Home Cerpen Cinta Perginya Suhaila Kekasihku
Perginya Suhaila Kekasihku
Haikal Rider
14/8/2018 05:56:40
3,470
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Sudah lama dia pergi buat selamanya. Namun ingatanku masih tidak mampu untuk melupakannya. Dialah yang akan sentiasa memberi kata-kata mutiara saat semangatku mulai terjunam. Dia kekasih yang sempurna bagiku. Patutnya kami akan bernikah pada lima tahun lepas. Tetapi siapa sangka, ajalnya telah ditentukan pada sebulan sebelum majlis pernikahan kami dilangsungkan. Dia meninggal dunia ketika sujut semasa menunaikan solat istikharah. Ketika itu, aku hanya terdiam sehingga terduduk selepas mendapat tahu berita itu daripada adiknya di dalam panggilan telefon. Aku seakan bernafas di lautan yang sangat dalam. Tiada wanita yang mampu menggantikan tempatnya untukku.

Dialah yang bernama Suhaila. Sentiasa menjaga kehormatan diri. Tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki yang bukan muhrimnya dan tidak pernah membiarkan auratnya terdedah. Dia seorang wanita yang penuh ilmu di dada. Wajahnya bagaikan cahaya yang bersinar. Gayanya sungguh lemah lembut. Setiap kata yang keluar dari mulutnya bagaikan semanis madu. Bagiku, paling berharga dalam diri Suhaila adalah senyumannya kerana penuh dengan mutiara keikhlasan. Setiap kali dia tersenyum, umpama aku sedang berterbangan di taman syurga.


Walaupun aku tidak begitu sempurna tambahan pula tidak berharta, namun dia tetap setia terhadap cintaku. Masih terngiang-ngiang di ingatanku, dia pernah berkata, "Saya terima cinta Abang Kal bukan sebab harta malah bukan sebab rupa kerana setiap manusia pasti ada kekurangannya.. Saya percaya, Abang Kal mampu membimbing saya dalam hal agama.. Jika diizinkan Allah, Abang Kal pasti mampu mendidik anak-anak kita dengan agama secukupnya.. Lagi satu, saya terima cinta ini kerana ilmu yang sangat berharga daripada Abang Kal..” Setiap kata-kata mutiaranya, pasti akan aku tulis di dalam buku diariku.


Emakku dengan ibu Suhaila iaitu Cik Zah memang sudah lama kenal dan mereka adalah kawan baik. Sejujurnya, dahulu aku memang tidak tahu-menahu pun tentang anak sulung perempuannya iaitu Suhaila. Namun ketika aku menolong emakku hantarkan baju jahitan yang ditempah oleh Cik Zah, lantas keluarlah Suhaila untuk mengambilnya daripada aku di pintu. Secara tiba-tiba, jantung aku terus berdegup laju bagaikan dipanah saat melihat wajahnya yang sungguh ayu dengan berkaca mata. Dia pun memberi salam, "Assalamualaikum.. Ini Abang Kal, anak kepada Cik Salmah kan?” Dia seorang wanita yang sangat peramah. "Waalaikumsalam.. Abanglah tu.. Nah, ini baju kurung Cik Zah,” jawab aku sambil menahan malu. Dari situlah pertemuan kali pertama kami. Semenjak dari tika itu, wajahnya selalu bermain dalam ingatanku.


Selepas tiga minggu dari hari itu, mungkin jodoh kami semakin dekat. Kami bertemu kembali ketika Cik Zah datang ke rumah ditemani oleh Suhaila, saja ingin bersembang dengan emakku kerana sudah lama mereka tidak berjumpa. Ketika itu, aku sedang melukis di belakang rumah berdekatan dengan bendang. Memang di situ tempatku berkarya. Sedang mereka bersembang, Cik Zah pun bertanya tentangku, “Mana anak teruna kau tu? Tak nampak langsung mukanya..” Lantas emakku menjawab, “Dia ada dekat belakang rumah.. Tengah melukis rasanya.. Suruhlah Suhaila yang jelita ni pergi tengok dia.. Hehehe..” 


Sedang aku teliti dan tekun melukis, tiba-tiba aku tersentak dengan suara yang sangat merdu. “SubhanAllah! Cantiknya Abang Kal lukis...” Rasanya, aku pernah mendengar suara wanita itu. Aku pun terus menoleh kebelakang. Rupanya itu suara Suhaila. Lalu aku pun terkejut sampai tak terluah kata-kata. “Assalamualaikum Abang Kal.. Janganlah terkejut sangat sampai macam tu sekali.. Suhaila tak makan oranglah.. Hehe.. Cik Salmah kata, Abang Kal tengah lukis dekat sini.. Nak juga tengok karya daripada Abang Kal,” usik Suhaila apabila melihat aku terkejut. Terdengar saja kata lucunya, aku terus jadi tenang sedikit. “Waalaikumsalam Suhaila.. Hehehe.. Abang Kal memang suka melukis dekat sini.. Tempatnya aman.. Sambil melukis, boleh juga melihat keindahan ciptaan daripada Allah.. Lukisan Abang Kal biasa-biasa saja..”


Walaupun kami sedang bersembang, Suhaila memang tidak terlalu dekat denganku. Kerana itu aku mengatakan dia adalah wanita yang menjaga kehormatan diri. Sejak dari itu, aku mula terasa sesuatu yang tidak pernah aku rasakan iaitu cinta. Ya, aku sudah jatuh cinta namun aku hanya mampu memendam perasaan sahaja kerana aku sedar akan diriku yang tidak sepadan dengan dirinya nan ayu. “Wah! Cantiknya lukisan ni dengan kata-kata mutiara yang Abang Kal tulis,” pujinya sambil menghayati lukisanku. “Oo.. Kalau Suhaila suka, takpa, ambil terus lukisan ni.. Abang Kal hadiahkan,” ujarku. Mulanya dia segan dan kata tak mahu tapi aku paksa juga suruh dia ambil.


Kami pun terus menjadi rapat dan mesra selepas itu. Lama juga aku dan Suhaila menjadi kawan baik. Tempat yang selalu akan kami pergi ialah di perpustakaan. Emakku memang sangat berkenan kalau Suhaila menjadi isteriku untuk sehidup semati. Ingat lagi aku ketika kami di perpustakaan, Suhaila secara tiba-tiba menceritakan kepadaku kisah Siti Khadijah melamar Rasulullah. Aku memang tahu akan kisah itu, tetapi selepas saja aku pulang ke rumah, jantungku mula berdegup dengan laju kerana tertanya-tanya mengapa Suhaila bercerita kisah itu kepadaku.


Selepas seminggu dari kejadian itu, hatiku sekali lagi terasa sangat berdebar, tak tahu apa puncanya. “Assalamulaikum tuan rumah!” Aku terdengar suara ayah Suhaila memberi salam. Cik Zah pun ada ikut bersama. “Waalaikumsalam.. Masuklah Ali.. Memang kau tepati janji orangnya,” jawab abahku, sambil menjemput masuk. “Janji? Ada apa-apa ke yang aku tak tahu?” tanya hati kecilku yang ditemani tanda tanya. Setelah lama mereka bersembang, abahku pun memanggilku. Barulah ketika itu aku diberi tahu, sebenarnya Pak Ali dan Cik Zah datang untuk masuk meminangku bagi pihak Suhaila. Ketika itu, aku tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana terlalu bersyukur kepada Allah. Aku pun terus sujud syukur pada waktu itu juga.


“Ya Allah! Sungguh sayu dan sedih bagiku untuk mengingati semula kenangan itu... Engkau damaikanlah Suhaila di sana dan tempatkanlah bidadariku itu di syurgaMu yang indah... Aku memohon kepadaMu agar lindungilah Suhaila dengan rahmatMu... Terima kasih Ya Allah kerana pernah menghadirkan seorang kekasih yang sungguh membahagiakan hatiku... Aku bersyukur walau hanya sekejap kehadirannya dalam hidupku yang mengajarkanku tentang erti cinta yang sejati iaitu cintalah sepenuhnya kepada Allah dan Rasulullah... Pergilah dahulu wahai bidadariku, Suhaila... Abang Kal akan bersamamu nanti,” lafaz dan doaku setiap kali menziarahi pusara Suhaila iaitu kekasihku yang pertama dan yang terakhir.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.