Home Cerpen Cinta Cari Cinta Tersembunyi
Cari Cinta Tersembunyi
Jung Siti
14/7/2020 16:38:53
4,993
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

CARI CINTA TERSEMBUNYI

Aku hanya memerhati anak buah Zati yang sedang asyik menonton tv bergenre remaja. Aku yang sibuk bekerja ni, tak sempat pula menonton tv. Alang-alang menonton cerita bergenre remaja terimbau pula zaman sekolah dahulu.


Bila difikirkan kembali, seronok bersama kawan-kawan, tapi kalau soal cinta monyet ni memang tiada dalam fail ingatan.


Zati rakan karibku sejak sekolah, sudahpun bertunang. Dia keluar hendak membeli barang kahwin bersama tunangnya, lalu meninggalkan anak buahnya di rumah kami.


"Kak Jahh ada minat sesiapa tak masa sekolah dulu?", tanya Nisya.


Soalan maut tu, fikirku.


"Aaa... haha, aaa entahlah Nisya. Tiada sesiapa yang minat akak. Akak pun malas sebab dah ada kawan-kawan yang gila-gila kan. Tak payah crush-crush pun Nisya, hidup akak pun dah warna-warni dengan diorang".


"Ooh, tapi akak tahu tak? Setiap orang memang akan ada peminat tak kisahlah cantik ke buruk ke, cuma tak perasan jelah", lagak Nisya seakan-akan berpengalaman.


"Ohh... tapi rasanya Kak Jahh memang tiada peminat", balasku.


"Hmm, tapi teori Nisya ni tak salah tau! Baik Kak Jahh kembali ke zaman lampau dan cari betul-betul", kata Nisya tersengih sambil mengangkat kening.


"Seronoknya lah kalau boleh buat macam tu. Hahahha merepek je Nisya ni", kataku. Nisya sengih.


*


Di bilik tidur, kata-kata Nisya masih terngiang-ngiang di fikiran.


' Baik Kak Jahh kembali ke zaman lampau dan cari betul-betul...'


Aku cuba imbau kembali, seingatku lelaki sebayaku di sekolah memang sangat sedikit. Satu lelaki bersamaan 9 perempuan. Ada satu kelas tu memang tiada lelaki, semua perempuan. Aku sengih.


Memang taklah ada diantara mereka yang meminati aku. Lagipula ramai yang lebih cantik daripada aku. Mungkin juga ada diantara mereka yang bercinta dengan junior perempuan.


Senior?...


Itu aku tidak terfikir pula, agak susah untuk melihat senior memandangkan aku tidak begitu rapat dengan senior.


Sekali lagi aku tersengih, merepek saja.


*


Jam berdering pukul 5.30 pagi, aku langsung bersiap-siap. Mandi-mandi apa semua. Tiba-tiba suara ibuku kedengaran.


"Kak!! Cepat pergi gosok baju! sarapan dah siap!".


Mataku membulat, ibu ada di rumah?


Tudung sekolah di atas seterika dengan tertera tanda nama aku di situ.


Apa benda sebenarnya ni? Mana baju kerja aku?


"Cepat!", teriak ibuku.


Segala-galanya berlalu pantas, sekarang aku sudahpun berada di depan sekolah. SMK Tun Teja. Aku terpempan, ternganga dan otakku ligat berfikir.


Apa yang terjadi sebenarnya sekarang ni?!


Mimpi?


Malaslah. Nak cepat-cepat bangun pergi kerja, harini terakhir dapat gaji.


Aku menampar pipi ku dan mencuit peha ku berkali-kali. Tak sedar-sedar juga.


"Hoii! Buat apa tu?!",jerit pengawas di situ.


Terkejut aku dibuatnya, berkerut dahiku memandang gadis berbaju biru yang berada di pagar sekolah.


Sengihanku melebar.


"Farah!", aku pergi ke arah Farah yang sedang menjaga pintu pagar sekolah. Farah juga ketawa saat aku pergi ke arahnya dengan gaya lucu. Saja aku buat-buat.


"Jahh temanlah aku..", pinta Farah dengan wajah kesiannya. Aku tersengih ketawa, lalu aku mengangguk.


Apa aku buat ni?


Macam biasa saja aku layankan semua mimpi ni?


Sememangnya persis. Dulu juga aku kadangkala menemani Farah mengambil nama pelajar-pelajar yang langgar pemakaian sekolah dan juga budak-budak lambat. Seingat aku, Farah mula jadi pengawas saat tingkatan 5.


Kiranya sekarang ni aku tingkatan 5 lah kan?...


Farah kadangkala suka minta diteman, memandangkan dia seorang saja berbaju biru dalam kumpulan kami. Bukannya Farah tidak professional. Kadangkala dia bosan menjalankan tanggungjawab seorang diri dan memerlukan rakan untuk berbual.


Saat menemani Farah aku banyak diam. Fikiranku bercelaru, memberontak persoalkan apa yang sedang jadi. Jiwa ni gelabah tapi tak mahulah aku tunjuk sangat.


"Kau lagi! Kenapa asyik lambat ni dik... kau sebelah tu orang baru ke?", kata Farah. Aku hanya memerhati.


"Ada kecemasan tadi kak. Saya minta tumpang dia ni", takut-takut saja lelaki itu menjawab. Dia juga curi-curi pandang aku dan Farah.


"Hmm yelah-yelah",kata Farah.


Mereka berdua yang membonceng motor itu beredar.


"Form 4 ni berlemak tauu! Mentang-mentang baru habis periksa besar, diorang ingat form 4 ni untuk honeymoon je ke?!",luah Farah pada aku. Aku hanya dengar.


"Budak tadi ke? macam baik je aku tengok", kataku.


"Bukanlah diorang, aku cakap untuk keseluruhanlah. Banyak nama budak form4 je dalam ni. Aku risau je budak-budak baik nanti terpengaruh, macam tadi tu", balas Farah. Aku mengangguk mengiakan.


Saat guru belum masuk ke kelas, Farah, Zati dan Ina bersembang rancak. Aku hanya mendengar, tapi fikiranku melayang. Otak ligat berfikir, apa yang perlu aku buat.


Teruk betul lucid dream aku ni...


"Kau kenapa ni Jahh. Ceritalah", kata Ina.


Aku memandang mereka, "okay.. Aku sebenarnya dah 26 tahun dan harini hari last day aku kerja, patutnyalah. Tapi, pagi tadi aku bangun, aku jadi budak sekolah balik. Oleh itu, aku patut buat apa sebenarnya sekarang ni".


Mereka terdiam.


"Jahh... aku faham perasaan kau. Kerja sekolah sejak form 5 ni memang menimbun. Kesian kau, dah macam apa aku tengok", seloroh Zati.


"Laa tak percaya?! Aku tak tipu! Betul weyh! Aku tak tahu nak cerita macam mana?", berkerut dahiku cuba untuk meyakinkan mereka.


"Fuhh lompat ke 26 tahun terus si Jahh ni hahahha belum masuk u lagi pun hahahha", ketawa Ina. Ina ni memang paling mudah terhibur dan memang paling suka berseloroh.


Seharian itu, aku jalani kehidupan sekolahku seperti biasa. Penat sekolah ni, tapi seronok juga sebab dapat berjumpa kawan-kawan kembali. Hari esoknya dan esoknya dan esoknya lagi juga begitu. Aku semakin lupa pada kehidupan 26 tahun aku itu. Kembali muda memang seronok, cuma belajar di sekolah itu yang sakit sikit. Boleh tak kalau kembali muda, tapi tak payah pergi sekolah. Memang kena bebel dengan mak kejap lagi.


*


' Baik Kak Jahh kembali ke zaman lampau dan cari betul-betul...'.


Aku terjaga dari tidur, ingatkan dah kembali ke dunia asal, tapi masih sama. Di rumah ibu dan bukan di rumah aku. Kelibat Zati dan Nisya juga tiada.


Memang sah ini bukan mimpi. Kepalaku digaru. Adakah kehidupan 26 tahun itu yang mimpi atau kehidupan 17 tahun yang mimpi?


Seperti biasa aku ke sekolah, melalui segalanya yang bagaikan déjà vu.


Saat belajar, aku merasakan ada seseorang sedang memerhatikan aku. Aku memandang sekeliling. Semua sedang khusyuk belajar, bunyi bising tapak kaki pelajar tingkatan 4 di luar kelas sememangnya mengganggu.


Shhhhh!!!


Satu kelas membahan pelajar-pelajar diluar kelas itu, lebih-lebih lagi lelaki. Mereka memang pengusik. Aku kembali memberi tumpuan.


Hari Khamis, aku biasanya puasa. Alang-alang tu dapat jimatkan duit.


" Caiyok man! Straight A+ Man!",jerit pelajar-pelajar di tepi pusat sumber. Berkerut aku melihat mereka.


Bising betul!


Aku mencari bahan bacaan berkaitan psikologi memandangkan aku tak tahu apa yang terjadi dengan hidupku. Belek punya belek, sepatah haram pun tak faham.


Komputer pusat sumber pula dibuka.


'Kenapa kita tiba-tiba kembali ke zaman silam.' Aku menaip.


Benda yang tiada kena mengena pula yang keluar. Hanya satu blog menarik perhatian aku.



'Hahahahahha berangan korang ni pergi search benda-benda macam ni... mana wujud!! Pergi taubat sana!... Kot2 ada dosa silam yang tak beres... Hahhahahha..'



"Apahal blog ni?!", aku mendengus. Aku memang serius, main-main pula blog ni.


Aku ada buat salah besar ke dekat sekolah. Mungkin ada betulnya kata blog ni.


'anonymous comment: fikir sebab apa korang boleh kembali ke zaman silam... kemudian cari benda yang korang aim tu... mungkin korang akan kembali ke dunia sebenar korang'.


Satu komen yang sememangnya menarik perhatian aku.



' Baik Kak Jahh kembali ke zaman lampau dan cari betul-betul...'.



Bait-bait kata itu terlintas di fikiran. Adakah aku perlu mencari seseorang yang mungkin meminati aku. Takkan nak tanya satu-satu mamat-mamat di sekolah ni?


Bunyi buku jatuh kedengaran, pantas aku toleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki cepat-cepat mengalihkan pandangannya dariku dan pantas membawa buku yang jatuh itu keluar pusat sumber.


*


"Zati... Kenal tak budak tu?", aku tunjuk pada seorang lelaki.


"Budak form 4 tu? Nama dia Aiman tak silap", jawab Zati.


"Ohh form 4 ke? Aku ingatkan sebaya kita, kot-kot kelas lain ke?Macam mana kau tahu?!", teruja aku mendengar.


"Tanda nama dekat baju dia tu. Cuba kau tengok", kata Zati sambil tunjuk ke arah lelaki itu. Aku hanya mengangguk.


Jangan-jangan dia minat aku. Aku sengih.


Perasannya kau Izzah. Mukaku kembali kelat, kembali ke dunia nyata.


Malamnya...


Sebelum tidur, aku membaca doa tidur. Aku masih berharap ada keajaiban pada esok harinya.


*


Sejak tingkatan satu lagi saya suka Izzah, tapi susah nak jumpa. Bila dah menengah atas, perasaan ni membuak-buak bila selalu saja bertembung Izzah, senang je nak tengok Izzah dalam kelas sebab nak pergi mana-mana kena lalu depan kelas Izzah.


Malu saya bila datang lambat ke sekolah haritu, kebetulan pula kamu jaga pagar, tapi saya bukan jenis langgar peraturan, memang ada kecemasan masa tu.


Izzah yang rajin pergi perpustakaan juga mendorong saya untuk rajin belajar.


Malu juga bila kawan-kawan menyakat saya bila ada kamu, tapi rasanya Izzah takkan perasan kewujudan saya.


Tapi takpa ini hanyalah luahan saja. Saya tak mengharapkan apa-apa.


*


Harini hari terakhir sekolah, tapi tidak bagi tingkatan 5 kerana SPM makin mendekat. Aku tak nak jawab SPM balik!!


Di masa lalu, hari akhir sekolah aku langsung keluar kelas bersama rakan. Tapi kali ini aku sengaja menjadi orang terakhir di kelas. Mana tahu ada keajaiban berlaku.


"Banyak betul sampah...". Alang-alang tu aku mengemas mejaku. Sampahnya semua dibuang, tapi satu sampul ringkas menarik perhatianku. Hatiku langsung berdegup laju. Pantas ku sisipkan dalam beg dan langsung keluar. Aku menyorok di tepi luar kelas.


Jangan-jangan ada yang memerhatikan aku tadi.


Sangkaanku tepat, seorang lelaki masuk sambil membelek tong sampah. Mungkin hendak mencari suratnya.


Aiman form 4 tu?! Biar betul?! Jiwaku tak keruan, saatku tahu betul-betul ada orang meminatiku. Bukan kerana perasan ke apa, tak sangka betul rupanya.


Wajahnya hampa. Aku rasa bersalah. Takpalah ini hari terakhir sekolah, apa salahnya malukan diri sikit.


"Cari apa dik?", aku menegur.


Terkejut sungguh si Aiman. Wajahnya terkejut bercampur hampa saat melihatku. Satu perasaan aneh menusuk hatiku saat melihat dirinya.


Aku mengeluarkan sampul di dalam beg aku.


"Ini memang dari Aiman ke?", aku bertanya. Mukanya merona merah. Aku membuka sampulnya, tetapi tiada isi. Pelik?


Aku memandang di tangan Aiman. Kertasnya digenggam erat.


"Aahh maaflah, saya terambil sampul je rupanya. Itu nak bagi saya kan, meh sini", lembut tutur kataku.


Muka Aiman yang merah itu semakin merah seperti gunung berapi.


'Izzah tahu nama aku?!', Aiman tak tentu hala.


Aiman menggeleng kepala tanda tiada apa-apa dengan kertas yang dipegangnya.


"Goodluck SPM!!!", Aiman membongkokkan badannya dan berlari pergi.


Terpaku aku disitu. Surat yang Aiman pegang tak dapat ku baca.


*


Azan subuh berkumandang, aku terjaga diikuti helaan nafas yang laju.


Fuhh, mimpi rupanya! Panjang betul mimpinya.


Aku bersiap seperti biasa untuk pergi kerja.


"Harini hari last day supervisor Cik Jahh kita ni, lepasni dia nak pindah kerja di Petronas pula", kata pegawai atasan. Semua mengucapkan tahniah.


"Sebelum si Jahh ni pergi, saya nak kenalkan seorang supervisor baru yang bakal gantikan Jahh. Harap Jahh dapat tunjuk ajar dia", kata pegawai itu lagi.


Semua memberi tepukan.


"Tolong tunjuk-tunjukkan", kata lelaki itu pada ku sambil membongkokkan badannya sedikit.


"Baik-baik", aku sengih.


Mataku membulat apabila memerhati wajah lelaki itu.


Aiman??!!


Aku terkenang pada mimpi itu. Mimpi atau realiti? Aku sendiri tidak pasti.


Sepanjang hari aku menunjuk-nunjukkan kawasan syarikat, mengenali orang bawah dan skop pekerjaan.


Hal lampau ingin sekali ditanya, tapi tunggu masa sesuai.


"Bye Izzah.. Encik Aiman..", kata beberapa pekerja bangun dari kerusi kafe.


Saat waktu untuk pulang, aku mengajaknya untuk duduk sebentar di kafe sementara yang lain sudah pergi.


"Encik Aiman... nak tanya sikit?", aku bernada serius. Aiman memandang aku.


"Dah kahwin? Bertunang ke? Girlfriend ke?", tanyaku.


"Siapa nak saya Cik Izzah... Saya ni pemalu kalau dalam perhubungan ni", wajah Aiman seakan merendah diri, diikuti senyuman sedihnya.


"Nak baca surat yang Aiman pernah bagi Izzah dulu boleh?", kataku lagi.


Aiman terdiam, matanya membulat. Wajahnya kemerahan sambil memandang bawah dan curi-curi pandang wanita di hadapannya.


"Jangan nak lari eh!", aku sengih.


"Izzah ingat Aiman...", Aiman sengih memandang bawah.


Mungkin di saat umur 26 tahun inilah, aku harus membuka mata dan hati untuk berkenalan dengan insan bergelar lelaki. Fikir Izzah.


'Tak sangka Aiman minat saya', aku ketawa memandang redup lelaki di hadapanku.



Playlists:

https://www.youtube.com/playlist?list=PL7PO5JLroFaAQF3RkmP5zPAWaLSkWpy72

Sambil taip aku dengar lagu ni:

-Tonari no Kaibutsu kun Opening HD]

-9nine - White Wishes [OST Tonari no Kaibutsu-kun] [Sub Indonesia]

-Tonari no Kaibutsu-kun Opening [AMV y lyrics]

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.