Home Cerpen Cinta Dania; Si Bunga Matahari
Dania; Si Bunga Matahari
nvrmnssd
6/8/2019 17:51:29
179
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Kawasan lapang berhadapan dengan pejabat kolej mula dipenuhi para pelajar. Suasana yang tadi agak lenggang mula riuh. Masing-masing datang dari arah yang berbeza. Ada yang baru habis kelas dan bergegas ke mari, ada pula yang datang dari kediaman asrama.

Jam 5.24 petang. Dania menebarkan pandangannya ke hadapan. Dia mengukir senyum apabila matanya bertembung dengan salah seorang kenalannya. Tidaklah rapat mana, sekadar kenalan yang kenal dirinya terlibat dengan persatuan ini. Itu sahaja. Dia kembali membelek telefon bimbitnya, menjalankan amanah.

Mohon isi kedatangan masing-masing ya. Nama yang tidak ditulis sama ada sengaja atau tidak, secara langsung akan dihantar ke S/U agong.

Butang ‘send’ ditekan. 

“Dania, ada nampak Kimi?” Entah dari mana Amira datang dan menyoalnya. Gadis itu nampak kalut. Mukanya tampak penat.

“Tak. Kenapa?” 

“Ya Allah. Dania, aku call dia macam nak patah jari aku tapi dia tak angkat-angkat. Kunci pejabat ada kat dia. Ni kalau dia tak turun, hilang entah ke mana, macam mana diaorang ni semua nak key-in kupon?”

“Dia tidur kot. Cuba call Luqman. Luqman serumah dengan dia kan?”

“Dania, aku minta tolong please call kan Luqman? Aku nak ambil flyers kat rumah Fana. Dia join lambat hari ni sebab tiba-tiba lecturer nak jumpa dia.” Amira mahu pergi, tetapi Dania cepat-cepat menahan.

“Eh suruhlah orang rumah Fana turun. Takkan diaorang tak turun semua kot?” Mula terbit rasa kasihankan Amira dan geram dengan beberapa ahli yang terlibat tidak turun. Perasan juga dia sudah jam begini pun masih tidak nampak bayang ahli yang lain. Yang dia perasan selain dirinya dan Amira, ada Tengku dan Firas je yang sedang menunggu. Padahal pelajar dah makin ramai nak dengar street talk hari ini.

“Diaorang turun pukul enam sebab baru balik dari trip Gunung Ledang. Suha dengan Ina ada koko.” Amira tidak menunggu lama. Dia terus meninggalkan Dania terkebil-kebil di situ tanpa menoleh belakang. 

Dania bergerak ke pintu pejabat kolej yang masih berkunci sambil mencari nama Luqman didalam senarai contacts. Belum pun dia mahu menelefon Luqman, muncul Kimi yang bergegas laju mendapatkan pintu pagar pejabat kolej. Kunci pejabat dibawa keluar dari kocek sweater. Luqman berjalan santai membuntuti Kimi.

“Sorry lambat! Tak sedar langsung dah pukul lima setengah.” Kimi menjelaskan. Suaranya mengah. Kelam kabut dia membuka pintu pejabat kolej. Suis lampu dan penghawa dingin dihidupkan. “By the way, dah ada group yang dah habis bagi talk ke?”

Dania menggeleng. Jam telefon bimbit dipandang sekilas. 5.35 petang. Sudah lambat lima minit. “Belum. Amira tengah on the way ambil flyers. Sebab Fana tiba-tiba inform yang dia kena jumpa lecturer.”

“Lahhh! Tak start lagi?” Kimi menepuk dahi. “Ni dah kali ke berapa kita lambat? Tak boleh ke punctual?” Kimi membebel sambil memeluk tubuh.

“Yang lain mana? Macam sekerat je yang turun.” Luqman menyampuk dari arah belakang. Kelihatan lelaki itu menarik telefon bimbitnya keluar dari poket seluar dan menaip sesuatu.

Dania mengangkat bahu. Telefon bimbitnya bergetar. Dia melihat ada beberapa mesej masuk melalui aplikasi Whatsapp. Salah satunya mesej yang dihantar oleh Luqman ke dalam group Whatsapp persatuan. Dia sekadar membaca di ruang notifikasi. Beberapa balasan mesejnya di dalam group Whatsapp biro sudah masuk sejak tadi. Dia membaca satu-persatu.

Baik boss ! B))

-mimie95

Dania mana?

-m.asyraf

Belum sempat dia mahu membalas pertanyaan Asyraf, telefon bimbitnya menerima panggilan daripada Asyraf. Panggilan itu diangkat.

“Ye, Asyraf?”

“Ada mana?”

“Dekat depan pejabat ni haa. Kenapa?” Dania menjauhkan diri daripada Kimi dan Luqman.

“Ni Fakhrul kirim kamera kat Dania. Dia kata kot-kot Dania nak pakai kejap lagi.”

Dania mengerut dahi. “Eh, tak apa. Dania pakai kamera phone pun dah okey.”

“Tak apa la. Asyraf on the way nak ke sana ni. Nanti Aysraf ..”

“Dania!”

Automatik Dania menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga dan memanjangkan leher ke arah Amira yang bergerak laju mendekatinya. Matanya jatuh pada flyers yang dipegang Amira. Sedikit lega apabila flyers ada. Bermakna, acara dah boleh mula.

Dania turut mendekati Amira. Dia mematikan panggilan Asyraf tanpa pamitan.

“Yep? Nak Dania temankan bagi talk ke?” Dania sengih mengusik. Kenal sangat dengan Amira. Ada masa bila dia tidak bersedia untuk bagi talk, selalu Dania diheret sekali sebagai peneman.

Amira menggeleng. Kebetulan Kimi dan Luqman berjalan ke arah mereka berdua. Firas dan Tengku membuntuti belakang mereka.

“Flyers! Flyers!” Kimi menyeru.

“Korang tunggu apa lagi? Dah lambat sangat ni!” Tegas. Luqman mengambil bahagian flyers dari Amira untuk dirinya dan diberikan kepada Kimi. Bahagian Tengku dan Firas turut diambil dan diberikan kepada mereka berdua. Wajah Dania dan Amira dipandang silih berganti sebelum mereka berempat beredar.

Amira menghela nafas sambil menggeleng kepala melihat suasana yang mula bingit apabila ramai pelajar mula merapati dan membuat bulatan kecil mengikut pecahan kumpulan Kimi, Tengku, Firas dan Luqman untuk mendengar Teen Street Talk. Baki flyers masih ada pada dia.

“Kenapa Mira panggil tadi?”

Amira menunjuk ke satu arah. “Ada orang cari.”

“Siapa?”

Amira mengangkat bahu. “Tak pasti. Dia datang dengan isteri dan anak dia.”

Dania berjeda memikirkan gerangan yang mahu berjumpa dengannya. Cuba memutar kembali kotak memorinya, mana tahu ada saudara-maranya yang berdekatan ada memberitahunya terlebih dahulu untuk berjumpa.

Tiada.

Mak pun tak ada bagitahu apa-apa pun pasal ini.

Siapa?

“Mira bagi talk dulu.” Amira meninggalkannya dan bergegas membuat bulatan kecil, bersedia untuk memberi street talk.

Dania tidak menjawab. Dia sekadar melihat Amira pergi. Kepalanya masih menimbang sama ada mahu pergi tengok siapakah gerangan yang mahu berjumpa dengannya atau tidak. Lama berfikir, dia akhirnya membuka langkah untuk berjumpa dengan tetamunya yang diberitahu Amira tadi.

+

Langkahnya yang tadi agak laju, diperlahankan.

Dia memincingkan pandangannya. Dari jauh, dia perhatikan gaya rambut, warna kulit leher dan bentuk tubuh lelaki itu dari belakang. Diamati sayup-sayup suara lelaki itu yang mengagah-agah anaknya.

Langkahnya kian perlahan. Bibirnya diketap. Cuba mencari idea siapakah dia. Kalau kotak memori boleh dipecahkan kepada empat, kotak memorinya kini mungkin terbahagi kepada:

1.Dia macam kenal lelaki itu tapi;

2.Dia tak pernah jumpa lelaki ini tapi;

3.Suara ni macam suara someone tapi;

4.Kejap..dia ni macam..

Kini jaraknya dengan keluarga ini cuma semeter. Kotak memorinya daripada pecahan empat, ini tinggal satu. Satu kemungkinan yang kian dia merapati keluarga itu, kuat nalurinya mengiyakan. Ya, dia pada awalnya memang tidak kenal tapi, dia rasa dia kenal lelaki itu kerana suara lelaki itu separuh berdaftar di dalam kotak memorinya. 

Jantungnya berdegup kencang. 

Kakinya diatur satu-persatu lagak seperti bayi baru belajar bertatih.

Ya, makin dia amati tidak salah lagi tekaannya.

Akalnya melarang untuk meneruskan langkah. 

Jangan Dania! Patah balik! Pusing! Tinggalkan mereka!

Dania terlambat. Matanya menangkap perempuan yang disyaki sebagai isteri lelaki itu, membuat isyarat bibir ke arahnya sekaligus mengambil bayi perempuan dari tangan lelaki itu dibawa ke dalam pelukannya.

Dan, lelaki itu berpusing ke belakang menghadap ke arahnya. Pandangan mereka akhirnya bertemu.

Dia kaget. 

“Hei Dania! Assalamualaikum! Kau apa khabar? Sihat?”

Lelaki itu mendekatinya. “Lama gila tak jumpa kau. Last jumpa masa SPM kan? Enam tahun jugaklah kita tak jumpa.”

Dania terkedu. Terasa darah di dalam tubuhnya dipam laju ke jantung hingga ke kepala. Membuatkan kepalanya terasa berat dan kembang semacam. Diikuti dengan rasa ngilu pada hati dan jantung yang berdegup bagai mahu terkeluar dari badan. Tanpa, sedar tangannya menggigil. 

Suaranya. Raut wajahnya. 

Dania menelan liur. Tangannya digenggam erat cuba untuk melawan rasa yang bertandang pada ketika ini. Ikutkan hati, dia memang mahu lari. Tapi sudah terlambat. Apa alasan dia mahu bagi kalau dia lari tiba-tiba? Dan apa pula tanggapan lelaki itu kalau dia lari secara tiba-tiba.

Pelik. Mestilah itu yang difikirnya. 

“Eh, kau okey tak ni? Sorrylah kacau kau sekarang. Macam busy je. Sorry weh.”

Nafas dalam ditarik. Dania, cuba bawa bertenang boleh? “Aku okey. Cuma terkejut sebab kau tiba-tiba datang. Alhamdulillah, aku sihat. By the way, apa hal kau datang sini? Mana tahu aku study sini?”

Lelaki di hadapannya itu ketawa. Entah apa yang kelakar, Dania tidak ambil pusing. Kepalanya kini seakan-akan tidak berfungsi. Hanya jawab tanpa berfikir. Dia yakin, jawapannya tadi pun terkeluar kerana semangat yang dia paksa dari dirinya untuk dirinya sendiri.

Siapa yang dia ada buat masa sekarang kalau bukan dirinya untuk memberi sokongan? Mahu tidak mahu, dia kena juga berdepan dengan lelaki ini. Mahu lari? Sampai bila, Dania?

“Lega aku kalau kau okey. Tengok macam barai je.” Ketawa lagi. Lelaki itu berdehem sekejap. “Aku tanya Jihah kat mana kau study. Aku jumpa kau ni, sebab aku dah lama tak jumpa kau.”

‘Rindu aku?’

Mata Dania terpejam rapat. Suara yang tidak banyak berubah. Masih sama nada dan ton. Dania memanjat doa di dalam hati minta dibuang jauh memori lama.

“Kau masih sama. Tak banyak berubah.” Suara lelaki itu antara mahu keluar atau tidak. Entah mengapa, suasana bertukar rasa. Nadanya berubah, yang tadi ceria jatuh senada. Seakan-akan menyampaikan rasa sebenar.

Ye ke? Dania menarik nafas. Sudahlah, Dania. Jangan pasang jerat sendiri. Jangan buat telahan yang memakan diri sendiri. 

“Well, kau pun sama.”

Dania menggigit bibir. Dari mana entah beraninya itu datang untuk menjawab lelaki itu. Jawapannya seakan-akan mengajak lelaki itu mengimbau zaman dulu-dulu. Tapi, itu bukan ke satu keberanian? Sebab dia berjaya berhadapan dengan kenyataan pahit? Entahlah. Dania cepat-cepat mengubah topik. “Kau tak jawab soalan aku. Apahal kau datang sini?”

Lelaki itu membetulkan kaca matanya. “Actually, aku nak kenalkan kau dengan wife dan anak aku.” Dia tersengih di hujung kata. Namun, mati segera. “Aku kahwin tahun lepas. Aku tak jemput engkau.” Dia berjeda seketika. “Sorry. Aku betul-betul lupa.” 

Sunyi di antara mereka. Lama.

Ada nada kesal di situ. Snap it, Dania! Sudah-sudahlah tu!

“It’s okay. Kalau kau jemput pun, aku tak datang. Aku busy.” Agaknya kot. Dania mengalihkan pandangan ke arah wanita itu. Masih mendukung anak mereka. Dia tersenyum mesra tatkala bertatapan mata dengan wanita itu.

“So, tak nak kenalkan aku dengan isteri kau ke?” nada berubah ceria. Terpaksa.

“Ahh yes. So, kenalkan ini isteri aku, Maisarah.” Dengan mesra, lelaki itu memeluk bahu isterinya. “Sayang, kenalkan ini kawan abang. Namanya Dania.”

Maisarah mengukir senyum mesra. “Hai, Dania.” Tangannya Panjang menghulur salam. “Nice to meet you.”

Dania menyambut salam itu. “Hai Maisarah. Nice to meet you too.”

“..and ini anak aku, Mia Fazreena.” Lelaki itu mencubit pipi anaknya yang tembam dan kemerah-merahan itu.

Lembut mata Dania memandang Mia. Persis ayahnya! Matannya yang kecil sepet, kulit yang cerah kemerah-merahan itu, bibir yang kecil molek. Tak perlu buat ujian DNA, bawalah ke mana sahaja tidak ada orang dapat menafikan memang anak kecil ini milik lelaki itu. 

“Comel.” Dania memberi respons. “Sebiji macam ..”

“Macam aku kan?” Lelaki itu menyampuk. 

Dania mengalihkan pandangannya ke arah lelaki itu. “Thank goodness, dia inherited kecantikan mak dia.” 

Berubah riak wajah lelaki itu. Maisarah ketawa. Melihat ibunya ketawa, Mia turut ketawa. Terpaksa? Tidak. Barangkali meraikan kejayaan melawan rasa gentarnya tadi?

“Thank you, Dania. Finally, you said this. Ramai orang cakap Mia ikut muka ayah dia. But, I don’t think so. Bentuk muka Mia, obviously mine.” Maisarah mencuit dagu Mia.

Betul. Mia mewarisi bentuk muka ibunya. Manakala mata, bibir dan hidung termasuk warna kulit mewarisi genetik ayahnya kerana Maisarah berkulit hitam manis.

Siapa sangka, lelaki ini sudah berjaya. Sudah mencapai beberapa gol kehidupan. Bekerjaya dan berkeluarga. Dia? Dia masih lagi melangkah solo. Jauh pula perjalanannya untuk sampai ke tempat di mana lelaki sudah berada. Barangkali, dia memerlukan lagi lima tahun?

Atau lebih dari itu? Benda-benda masa depan ni, Tuhan saja tahu. Manusia macam dia, hanya mampu meneruskan kehidupan dan mengikut acuan nasib yang terletak pada dirinya juga. 

“Ada orang macam cari kau je?”

Dania tersentak dari lamunannya. Dia berpusing melihat ke arah yang sama suami isteri itu sedang lihat. Automatik dia memasang senyum. 

Asyraf kelihatan sedang berjalan laju menghampiri mereka dengan kamera tergantung di bahu kanan. 

“Oh. Tu..” Dania tidak tahu mahu memberi respons apa. Kalau dia beri respons pun, apakah satu keperluan?

“Sorry lambat. Nah kamera.” Ujar Asyraf sebaik sahaja dia tiba di sisi Dania. Agak laju nafasnya mencari oksigen. 

Dania serba salah melihat Asyraf kepenatan. “Kan dah cakap, tak payah.” Nikon Coolpix bertukar tangan.

“Alah, amanah orang. Kang apa pula dia cakap nanti kalau kamera ni tak bergerak.” Asyraf terpandangkan tetamu Dania. Dia sedikit menundukkan kepala tatkala bertemu pandangan dengan mereka.

“Ganggu ke?” Nadanya agak serba salah. Asyraf membetulkan kaca matanya yang sudah lurut ke pangkal hidung. 

“Nope. Not at all.” Sebenarnya dia terlebih lega dengan kehadiran Asyraf. Sekurangnya, tekanan yang beransur hilang tadi sepenuhnya hilang dengan kehadiran Asyraf. Boleh dikatakan, kehadiran Asyraf pada waktu ini merupakan tuah.

Dan juga peluang. “By the way, kenalkan ini Asyraf. Tunang aku.”

Asyraf yang sudah separuh menghulurkan tangan mahu dijabat, laju memandang Dania.

“Kau?” Lelaki itu menyoal.

“In shaa Allah.” Dania menjawab endah tidak endah. Fokusnya pada kamera yang dia terima tadi. Dania rasa dia mahu ketuk kepalanya sendiri kerana berani menempah maut. Peluang? Nonsense! Dia dapat merasakan Asyraf kini sedang memandang maut ke arahnya. Yang pasti, lepas ini tidak tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada Asyraf. 

Dania menelan liur dan merenung Asyraf. “..and Asyraf, kenalkan, ini Hazman. Member sekolah.”

+

‘You owed me an explanation, young lady.’

Dania menggeleng kepala cuba menepis. Berhantu betul ayat terakhir Asyraf sebelum mereka berpisah sebaik sahaja tamat program Teen Street Talk petang tadi. Sampai sekarang masih terngiang-ngiang di mindanya. 

Sebenarnya, rasa bersalah juga dengan Asyraf kerana secara tidak langsung dia telah mengheret orang yang tiada dosa dengannya. Dia pun salahkan dirinya juga sebab gila sangat heret Asyraf. Tidak pasal-pasal dia kena terangkan pada Asyraf. Dan itu bermakna dia akan menyingkap balik kisah lama. Betul tak?

Sebab, tak akanlah dia nak bagi alasan pada Asyraf begini; “Sebab aku suka-suka je?” Dania, tiada benda yang berlaku tanpa sebab. Semuanya bersebab termasuk kerja gila petang tadi!

Poket cardigan hitamnya bergetar tanda telefon bimbitnya menerima panggilan. Rasa mahu dicampak telefon bimbitnya ke dalam tong sampah besar yang terletak beberapa meter di hadapannya. Dia boleh agak yang menelefonnya tidak lain tidak bukan, Asyraf. 

Sah! Memang Aysraf. Tekaannya tepat tatkala dia swipe untuk menerima panggilan itu.

“Explanation?”

“Dania nak masuk tidur dah ni?”

“Apa Dania kena kick dari dorm ke sampai nak tidur kat badminton court?”

Danggg! Dania menggaru pelipisnya. Nak lari mana kalau diri sendiri sudah ditangkap menipu? Dania menyepak batu kecil di tepi-tepi gelanggang badminton. “So, where are you?”

“Hujung court ni. Tak perasan ke?”

Huh? Dania angkat kepala mencari kelibat Asyraf. Gelap. Memang tiada sesiapa pun.

“Mungkin batu lagi menarik kot?”

Dania mengoyak senyum paksa. “Haah.” Dia sudah nampak Asyraf. Hisy, memanglah tak perasan kalau serba serbi hitam. Lepas tu, duduk bawah bayang-bayang pokok. Orang yang tidak pakai spek mata pun tak akan perasan kehadiran Asyraf. 

Asyraf berjalan mendekati Dania. Kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket sweater. “Sejuk kan?” Dia mendongak langit. Langit masih lagi tebal dengan awan kelabu. 

Obviously. Dania tidak menjawab, sebaliknya dia duduk di tempat asalnya yang kering. “Asyraf nak duduk mana?”

Asyraf melilaukan pandangannya ke sekeliling. “Macam mana tempat duduk Dania boleh kering?” Tadi, lepas Maghrib hujan menggila. Hampir dua jam hujan turun lebat. Seakan-akan membalas dendam musim panas yang singgah selama hampir sebulan. Sangkanya tidak akan berhenti. Tapi mujur jam 10 hujan mula renyai-renyai dan sekarang tidak lagi hujan. 

Dania memberi isyarat mata ke arah kain buruk di sebelahnya. “Lap pakai kain tu.”

“Gigih?” Asyraf tersengih. Dia mengambil kain buruk itu dan memastikan ruang bersebelahan Dania betul-betul kering sebelum dia yakin untuk duduk.

“Rajin turun. Assignment tak banyak ke?”

Asyraf mencebik. “Jangan tanya pasal assignment boleh? Gaya macam tak nak surut je. Dah lah frust dengan Sir Ranjit.” Asyraf akhirnya duduk. Kain buruk tadi dicampak ke hujung kakinya. Dia melepaskan nafas lega. 

“Okay. My bad. Sorry.” Dania pun tidak pula berminat untuk tahu apa yang jadi. Tapi, biasalah ni mesti kalau tidak sebab assignment banyak, mesti assignment kena reject. Lagi-lagi kalau Sir Ranjit ajar, dah boleh agak apa yang berlaku walau Asyraf tidak bercerita. 

“Plus, aku turun ni sebab aku nak tahu..pasal petang tadi. The exact story.”

Dania hampir terlupa tentang itu. Ya. Pasal petang tadi. Dia mengetap bibir. Tidak pasti bagaimana dia mahu bermula. Sebolehnya, dia mahu tutup kisah lama. Cukuplah, kisah itu melabuhkan tirai sepenuhnya petang tadi. Takut nanti, dia memakan diri sendiri.

Jadi, macam mana Dania? Kau nak terangkan siapa sebenarnya lelaki itu?

“I know it is your personal thing. But I promise to keep it as secret. I’m good at keeping.” Asyraf mengangkat keningnya berkali-kali, cuba meyakinkan Dania.

“Err..” bukan masalah rahsia atau tidak. Cuma.. Dania memandang selipar yang dipakainya. Dia betul-betul tak nak bercerita. Silap besar kerana babitkan Asyraf. Tidak pasal-pasal, Asyraf ada hak untuk tahu kisah hidupnya.

“Dania rasa Dania tak bersedia lagi nak berkongsi cerita dengan Asyraf..”

Asyraf memandang Dania tanpa kata. Dania meraup wajahnya sebelum dia membalas pandangan Asyraf. 

“Sorry.”

Asyraf ketawa kecil. Dia membuang pandang ke dada langit. Timbul rasa bersalah kerana dia merasakan dirinya terlalu memaksa Dania. Kalau ikutkan situasi, Dania tidak perlu pun bercerita kerana dia sudah boleh mengagak siapa lelaki itu. 

“Mesti..rasa sakit kan?”

Huh? Dania tidak faham.

“Tak apa Dania. Asyraf faham perasaan Dania and Asyraf pun tak nak push Dania untuk bercerita pasal ni. I bet benda ni dah jadi sejarah. Either sejak lama lagi atau sejak petang tadi.” Dia berjeda seketika. “Asyraf tak pasti the exact story tapi based on apa yang Asyraf saksikan, rasanya Asyraf boleh agak. Ini melibatkan perasaan. So, Asyraf takkan paksa. Tapi..Asyraf akan tunggu untuk Dania bersedia berkongsi cerita because why not? Sejarah also can be something interesting to share with someone.”

Dania diam. Tidak sangka pula Asyraf rela menunggunya untuk bercerita. Dia sangkakan, Asyraf akan akur dengan pilihannya. Sekurang-kurangnya jika Asyraf menyerah kalah, tidaklah dia rasa terbeban untuk berkongsi. Jika Asyraf mahu tunggu dia bersedia untuk berkongsi, bila pula dia akan bersedia?

“Sebenarnya, dia bukan sesiapa pun dalam hidup Dania. Dia cuma sekadar singgah.” Dania akhirnya membuka cerita. “Singgah selama 12 tahun.” Pahitnya kenyataan sukar dia mahu terima. Ada baiknya dia bercerita sekarang daripada kemudian hari. Hari ini tamat semuanya!

“Dania ingat dia akan kekal. Tapi, tak. Macam Dania cakaplah, dia sekadar singgah sampai Dania terlupa sekejap yang dia tak janji untuk tinggal selamanya.”

“12 tahun..lamanya.”

“Kan?” Dania ketawa kecil. “Sedar tak sedar dah 12 tahun. Satu tempoh yang lama tapi Dania still lagi ingat kitaorang punya first meeting.” Betul. Masih segar memori itu. 

Dia masih ingat tatkala matanya bertembung dengan pandangan lelaki itu, dia sudah mula jatuh suka. Dan siapa sangka, suka yang sekadar suka berkekalan hingga dia dewasa.

“Masa tu Dania baru transfer sekolah. And dia kebetulan pengawas sekolah. Dania ingat, Dania cuma suka dia macam mana kita dulu suka-suka as student. Tapi tak sangka, dah sekolah menengah pun Dania still boleh suka dia seolah-olah baru pertama kali jatuh suka kat dia. Kemudian, habis sekolah Dania putus hubungan dengan semua kawan-kawan Dania. Dania nak mulakan hidup baru. 

Sampailah satu hari, kawan Dania share gambar dia masa kenduri arwah salah seorang batch kitaorang. Again, Dania suka dia. Dania ingat, dia mungkin dah pindah negeri atau sambung belajar oversea. Or mungkin sakit. Tapi, Dania tak tahu kenapa bila tengok gambar tu, Dania jadi lega sebab dia masih ada. Sihat dan muka dia tak berubah. Masih sama macam mula-mula kitaorang kenal.” Dania diam. Tangannya bermain sesama sendiri. Berkira-kira untuk meneruskan lagi.

“That moment, Dania luangkan masa berfikir pasal hati. Dania pelik kenapa Dania tak jemu dengan dia. Sedangkan, Dania nekad nak mulakan hidup baru tapi kehadiran dia is an exceptional. Dania izinkan dia masuk ke hati Dania lagi dan lagi. Dania mula sedar, selama ni dia memenuhi hati Dania sampaikan Dania tak bagi peluang pada hati Dania untuk terima orang lain selain dia. And sampailah hari ini, kehadiran dia merupakan jawapan pasti untuk Dania betul-betul tutup hati Dania untuk dia dan buka peluang kepada orang lain.”

Asyraf memandang Dania dengan pandangan redup. Dia cuba untuk memahami perasaan Dania. Tempoh Dania menunggu lelaki itu terlalu lama. Dua belas tahun, macam-macam boleh berlaku. Kalau Dania tidak menunggu lelaki itu, barangkali Dania sudah berpunya dan bahagia.

“Dania okey?”

Dania mengangguk senang. “Okey.” Dia tersenyum. “Dania tak sangka, perasaan Dania sekarang ni lega sangat. Sekurangnya, Dania ada somebody untuk faham hati Dania. Mungkin, soal hati merupakan tajuk yang agak kompleks. Tiada siapa dapat faham hati seseorang itu melainkan tuannya sendiri. Tapi, dengan berkongsi tentang hati sekurangnya beban itu berkurangan. Melalui berkongsi, kita boleh berkongsi pendapat juga dan menerima pujukan yang kita nantikan.”

“Betul. Tak dapat dinafikan. Ada orang lebih suka memendam. Tapi, sebolehnya janganlah pendam kalau tak mampu nak telan sendiri. Berkongsi merupakan jalan terbaik untuk tak terus melukakan hati sendiri. Actually, berkongsi ni juga sebenarnya salah satu cara menjaga diri sendiri. Cuma, tengok juga pada si pendengar. Kalau pendengar jenis yang suka menghentam kita yang meluahkan ni..baiklah jauhkan diri.”

Dania mengangguk. “Leganya. Lepas ni bolehlah tutup cerita ini serapat-rapatnya. Lepas tu kunci dan campak kunci ni jauh-jauh. Dania dah tak nak dah bermain api.”

“Habis tu, Dania nak bermain dengan apa pula lepas ni?”

Dania ketawa. “Dania nak tebus masa-masa Dania yang Dania sia-siakan berfikir tentang dia.”

“Kalau Dania tak ada masalah, boleh share kenapa Dania suka dia? Eventhough dia tak pernah perasan kehadiran Dania?”

“Dia tahu yang Dania suka dia. Cuma dia tidak tahu yang Dania masih suka dia sampailah ke hari ini.” Rendah nada Dania cuba memperbetulkan pandangan Asyraf.

Dania termenung sejenak cuba memikirkan soalan Asyraf. Soalan itu pernah ditanyakan pada dirinya sendiri sebab dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh suka pada lelaki itu berkali-kali. 

Kalau nak kata kacak, masih ada lagi jejaka yang lebih kacak.

Kalau nak kata kelakar, masih ada lagi yang lebih kelakar dari lelaki itu.

Senang cerita, masih ramai lagi lelaki yang jauh lebih sempurna dari lelaki itu. Tetapi kenapa hati dia tetap memilih lelaki itu?

Anehnya, dia tidak pernah ada jawapan untuk persoalan ini. Bertahun dia menyimpan perasaan terhadap lelaki itu, tidak dia jumpa jawapannya.

“Tak ada sebab.”

Kening Asyraf sedikit terangkat.

“Jujur Dania cakap, dia tidaklah sempurna. Dia flawed. Selalu skip kelas, ada masalah disiplin sampai kena transfer sekolah, smoke kejap, bergaul dengan budak-budak bermasalah which one of the biggest reasons kenapa life dia berubah daripada seorang ketua pengawas kepada one of the worst student. Tapi, Dania still suka dia. The bad side of his life chapter still tak dapat lawan perasaan Dania pada dia. Dia suka kat orang lain, bercinta dengan orang lain pun, Dania masih tunggu. Masih simpan perasaan dan harapan.” Dania senyum. Teringat semula kisah dulu tiba-tiba rasa terhibur dengan diri sendiri. Betullah orang kata bila kita sukakan seseorang, kita jadi buta. 

“Bet to love someone dearly doesn’t need any particular reason why.” sambungnya lagi. “Betul tak?”

Asyraf mengalihkan pandangannya ke tempat lain tatkala mata Dania bertembung dengannya. Dia tiba-tiba rasa gugup apabila pandangan Dania yang redup itu menatapnya. Seakan-akan pandangan itu penuh dengan rasa tenang tetapi terselit rasa sayu. 

Tidak semena-mena Asyraf rasa bersalah. Dia yakin, semangat Dania sudah patah. Dia dapat rasakan itu. Dia kini sedang berhadapan sekuntum bunga yang selalunya mekar dengan kehadiran mentari tetapi layu apabila mentari pergi.

Bagaikan bunga matahari.

Silap dia kerana memaksa Dania untuk berkongsi. Patut, dia lebih sensitif memandangkan ia melibatkan hati. Bukannya dia buta untuk memahami situasi Dania. Dia tahu cuma dia mengada mahu mengorek cerita dalam. 

“Sorry.” Suara Asyraf tenggelam timbul.

“Kenapa?” Dania mendongak langit. Awan kelabu laju berarak ke arah timur. 

“Rasa macam Dania terluka balik.”

Dania ketawa. “Mana ada.” 

“Tipu.”

Diam.

“Dania?” Asyraf mengintai wajah Dania yang terlindung di sebalik hoodie.

“Sikit je la.”

“Sorry. Really sorry. A lot.”

Dania menghela nafas panjang seraya tunduk menyembunyikan wajahnya. Terasa air mata laju mahu keluar tetapi dia tidak tahu kenapa dia harus menangis. Dia keliru. 

Dia, jauh di sudut hatinya dia lega kerana akhirnya dia sudah menerima kepastian. Dia sedikit senang hati kerana melihat lelaki yang dia cintai sekian lama, berjaya dengan kerjaya dan bahagia dengan orang tercinta. Tetapi dia tersepit dengan rasa kecewa. Kecewa kerana pengakhirannya, dia juga yang terpaksa berundur. Dia juga yang terpaksa akur dengan takdir hidup. Luka di hati, siapakah yang perlu bertanggungjawab? Dia? Atau lelaki itu?

Lama mereka menyepi. Angin yang menyapa tubuh mereka kian sejuk seiringan dengan waktu yang berjalan pantas menyinggahi detik tengah malam. 

“Asyraf tahu, Dania rasa pathetic sangat sekarang. Dania, kesiankan diri Dania. Serius. Dania rasa..” Pelukan tubuh kian erat hingga dia sukar bernafas. “Dania rasa kesian dengan diri Dania kerana Dania kalah dalam permainan hati. Dania rasa kesian dengan diri Dania sebab terlalu naif soal hati dan perasaan. Dania rasa kesian dengan diri Dania sebab hati Dania dah terlalu banyak calar hingga Dania tidak sedar Dania terluka. Dania kesian sangat dengan diri Dania, Asyraf.” Suara Dania tenggelam timbul. Seakan-akan mahu menangis. Tetapi tidak. 

“Dania tak jaga diri Dania. Dania biarkan diri Dania disakiti berkali-kali oleh diri sendiri kerana percaya kehadiran lelaki itu akan kekal. Dania kesiankan diri Dania, Asyraf. Kesian sangat.”

Asyraf terkedu. Sisi Dania dipandang lama.

Dania menelan liur. Perit. Dia terpaksa terima hakikat, dia kena paksa dirinya untuk tidak lagi mengenangkan lelaki itu. 

Paksa diri. Macam mana dia paksa diri untuk berdepan dengan lelaki itu, macam itulah dia kena paksa diri untuk lupakan.

Ahhh..kalaulah ada cara untuk hilangkan ingatan, bergadai nyawa pun aku sanggup. Perasaan ini, terlalu berat.

Marah.

Kecewa.

Sedih.

Geram.

Segalanya menjadi satu emosi kuat.

Akhirnya, air mata yang ditahan sedari tadi bercucuran jatuh ke pipi. Dia kalah juga melawan perasaan. Melalui air mata yang kian deras dan tangisan yang mendayu, dia melepaskan segala rasa yang dipendam lama. 

+

“Dah submit assignment?” 

“Dah.” Tatkala itu dia ternampak Dania berlari laju ke fakulti mereka. Dalam pelukan Dania, ada fail putih berisi helaian kertas yang agak tebal. Dia mahu menjerit memanggil Dania tetapi memikirkan Dania yang kelihatan kelam kabut, dia membatalkan niatnya. 

“Pandang siapa?” pandangan terarah ke arah yang sama.

“Dania.” Jawabnya. Beg galasnya dizip rapat. “So nak makan mana ni?”

“Diaorang ajak makan kat luar. Aku tak pastilah makan mana. Plan hari ni pun bukannya plan aku. Ni semua plan si Faizal. Konon nak celebrate last assignment.” Diam seketika. “By the way, aku selalu nampak Dania tu tiap kali ada event Teen Street Talk. Tapi, tak pernah nampak dia bagi talk macam si Kimi dengan Luqman. Dia in charge bahagian apa?”

Asyraf memeluk tubuh dan bersandar pada kerusi. “Kenapa? Kau berminat dengan dia?”

“Eh tak lah. Saja tanya. Sebab most of member Teen Street Talk, semuanya aku kenal. Kecuali beberapa orang including Dania. Aku tahu nama dia Dania pun sebab kau yang mention tadi. Kalau tak, aku tak tahu and takkan tanya pasal dia.”

Asyraf mengangguk. Mula mengerti niat Erman. “Dia in charge bahagian media. Macam aku.”

“Oh.” Erman cuba mengingati sesuatu. “Selalu juga bertembung dengan dia. Sebab kelas aku selepas kelas dia.”

Asyraf memasang telinga. Sekadar mendengar. Tidak pasti mana arah tuju perbualan mereka berdua.

“Cuma ada satu hari tu aku nampak dia termenung kat luar kelas. Padahal kelas dia still berjalan macam biasa. Aku syak dia skip kelas. Tapi, aku tengok dia macam sedih. Dia termenung jauh. Tak berganjak langsung even kelas dia dah habis and turn kelas kitaorang pula start. Muka dia pucat, pandangan dia macam..kosong? Jiwa dia macam tak ada. Eh, memandai je aku. Tapi..”

Lepas itu, Asyraf sudah tidak dengar apa yang dikatakan Erman. Fikirannya mula tenggelam dengan Dania. Sudah beberapa hari dia risaukan Dania. Tetapi, kelibat Dania tadi memberitahunya yang Dania baik-baik sahaja. Tidak terlalu terbuai-buai dengan perasaan kecewa dan bisikan jahat yang membisiknya untuk terus berduka lara. 

Betullah Dania itu bagaikan bunga matahari. Layu apabila kehilangan sang inspirasi yang bergelar matahari. Mekar indah apabila mentari menyinari. Barangkali, sebab itu bunga matahari tidak pernah putus asa dengan kehadiran mentari kerana mentari sering muncul setelah menghilang seketika. 

Barangkali, Dania perlu berhenti menjadi bunga matahari. Kerana hidup bunga matahari terlalu bergantung kepada kehadiran mentari. Luka yang ditinggal mentari terlalu mendalam hingga sukar untuk Dania bangkit kerana selama ini dia hanya ada lelaki itu untuk percaya cinta antara dua manusia itu wujud. 

Asyraf yakin, suatu hari nanti Dania akan kembali percaya. Cuma tidak pasti bila. Mungkin esok atau lusa. Atau dua tiga tahun akan datang.

Tiada siapa yang tahu.

Hanya Dania sahaja tahu bila dia akan benar-benar bersedia untuk percaya lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nvrmnssd