Home Cerpen Cinta Cinta Si Penjual Bunga
Cinta Si Penjual Bunga
PurpleAdnan
11/8/2014 23:41:06
2,974
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Dia melangkah keluar dan papan tanda di letak diluar pintu, dia melihat kedainya dan tersenyum kecil. Hari ini terasa lebih semangat dari semalam. Ini bermakna sudah lima hari dia buka kedai ini, kedai yang sudah terlalu lama dia inginkan. Dia melangkah masuk dan berharap keuntungan hari ini berlipat ganda, dia tersenyum dan berlalu ke hujung kaunter. Kerja mengubah bunga harus dia lakukan segera sebelum bunga layu. Penuh berhati-hati dia mengubah bunga-bunga hidup itu, dia senyum selepas gubahan itu selesai. Dia begitu berpuashati. Dia teringat kata guru yang mengajarnya seni mengubah, kalau hati tidak puas selepas mengubah bermakna pelanggan juga tidak berpuas hati dengan hasil itu. Gubahan itu diletak dihadapan kedai sebagai daya tarikkan pelanggannya.

Dia memandang jam di dinding, hari sudah lewat dan pelanggan terakhir sudah pun melangkah keluar dari kedainya. Dia bersedia untuk menutup kedai bunga itu bila ada suara menyapa.

“Nak tutup?”

Dia memandang lelaki itu, lelaki muda barangkali seusianya. Kemas bergaya, anak orang berada tentu sekali. Dia senyum dan mengangguk.

“Boleh kalau saya nak beli sekuntum bunga ros merah?” tanyanya.

“Sekuntum?”

“Tolonglah, penting?” suara lelaki itu diikuti anggukkan kepala. Dia melihat lelaki itu, kelihatan lelaki itu begitu mengharap.

“Okey,” ringkas jawapannya dan mencapai sekuntum ros merah dari peti sejuk dan membungkusnya. Kemudian diserah ke tangan lelaki itu dan wang bertukar tangan.

“Terima kasih, cik dah menyelamatkan saya,” ujar lelaki itu sebelum berlalu. Dia ketawa kecil dan segera berkemas untuk pulang ke rumah.

Hari baru bermula lagi, beberapa bekas mengandungi bunga segar segera dibawa masuk. Jika lewat bunga-bunga itu pasti layu dek panahan matahari. Sesekali matanya memandang sekiranya ada pelanggan yang mahu membeli bunga. Waktu masih terlalu awal untuk orang membeli bunga itu bermain difikirannya. Hari ini dia lega kerana ada tempahan untuk majlis perkahwinan jadi dia tidak menang tangan membuat gubahan. Perutnya berkeroncong, baru dia tersedar waktu makan tengahari hampir terlepas tetapi dia belum lagi menjamah makanan. Dia berlalu ke gerai berhampiran untuk membeli makanan, dia tahu kalau dia tak makan gubahan yang terhasil pasti buruk. Kalau dimatanya sudah nampak buruk apatah lagi dimata pelanggan.

Sudah separuh ros merah dan ros putih sudah habis dijual. Entah kenapa hari ini pelanggan begitu inginkan kedua ros itu, hendak dikatakan hari kekasih sudah lama berlalu barangkali mereka mahu menyambut Krismas yang akan dirayakan lusa. Dia sudah bersedia untuk menutup kedainya.

“Hai...”

Dia menoleh dan tersenyum. Kaca matanya dibetulkan dan dia menghampiri lelaki itu.

“Ros merah sekuntum?” suaranya.

Lelaki itu ketawa kecil, wajahnya tersipu dan mengangguk.

“Bertuah perempuan yang bakal menerima ros merah ni.”

“Dia sukakan ros merah. Jika tak dibeli merajuk pula.”

Mereka ketawa dan lelaki itu berlalu selepas wang bertukar tangan. Dia sempat memerhati lelaki itu yang melangkah masuk ke dalam perut kereta. Hyundai Sonata itu berlalu pergi dan dia segera menutup pintu kedai, alat pengera kereta ditekan. Kereta Kelisa miliknya meluncur laju menuju ke rumahnya.

Doa selepas solat baru saja selesai dibaca, kemudian dia terus ke dapur. Malam ini dia mahu makan roti sardin saja. Alat kawalan jauh dicapai dan rangkaian 40 di saluran ASTRO dipasang. Dia mengeluh, tiga tahun dia berhijrah dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur namun macam selalu dia kesepian. Umi di kampung sering bertanya bila dia mahu pulang atau bila dia mahu bernikah. Namun, kedua dua soalan itu tidak berjawapan. Biarlah... fikirya, ada jodoh kahwinlah dia nanti. Roti sardin habis dimamah, dia bersandar disofa. Iklan di kaca televisyen itu membuatnya terkenangkan seseorang. Lelaki yang sering membeli sekuntum bunga ros. Kenapa lelaki itu selalu lewat agaknya? Dia menghela nafas, alangkah bagus kalau dia dapat lelaki sebegitu sebagai temannya. Dia menguap dan mengeliat kecil. Dia harus masuk tidur awal, lagipun esok dia akan membawa 3 jambangan bunga untuk satu majlis perkahwinan di Puchong.

Dia berpuas hati dengan aturan jambangan bunga yang telah dia susun. Kemudian, dia menghampiri tuan rumah untuk memberitahu yang dia sudah bereskan kerjanya. Jam sudah menunjukkan jam 11 pagi, dia perlu segera kembali ke kedainya. Risau jika ada pelanggan yang mahu membeli bunga-bunganya namun dia tidak membuka kedai. Suara sapaan membuat dia menghentikan langkah dan menoleh. Dia terkejut namun tersenyum.

“Awak di sini?” suara lelaki itu.

“Ada tempahan bunga untuk Datin Syikin. Awak?”

“Saya pengapit lelaki...”

Dia tersenyum. Lelaki itu menyeluk poketnya dan mengeluarkan kad nama.

“Itu kad nama saya... Saya Muzzamil.” Suaranya selepas kad nama bertukar tangan.

“Lily Karleena. Panggil saja Lily. Maaf saya ada kerja... En. Muzzamil nak ros merah sekuntum lagi?”

“Hari ni tidak. Orang itu outstation.”

Lily Karleena tersenyum dan minta diri untuk berlalu.

Petang itu seperti biasa, lelaki bernama Muzzamil itu muncul. Lily Karleena tersenyum, menanti dihadapan muka pintu. Lelaki itu mendekatinya dan mereka berdepan. Wangian dari Dunhill menusuk rongga hidungnya.

“Ini Datin Syikin hantarkan, katanyabalance bayaran bunga awak?”

“Hairan, kenapa En. Muzzamil pula yang disuruh.”

“Kebetulan saya lalu disini jadi dia minta untuk diberi pada Cik Lily.”

Lily Karleena tersenyum dan memalingkan wajahnya.

“Dah nak tutup kedai?”

Gadis itu mengangguk dan mereka beredar ke luar kedai. Lelaki itu turut membantu menutup pintu kedai.

“Saya belanja Cik Lily minum?” ajak Muzzamil.

“Lain kali?”

Muzzamil mengangguk dan minta diri untuk pulang. Lily Karleena tersenyum dan masuk ke dalam perut keretanya.

Panggilan telefon kedengaran, tangannya segera mengangkat dan pantas dia mencapai pen dan kertas.

“Cik Lily, saya Muzzamil.”

“Oh? Kenapa En. Muzzamil?” tanyanya. Hairan juga kerana lelak itu menelefonnya. Ada tempahan barangkali.

“Maaf saya terpaksa telefon Cik Lily. Boleh tak, Cik hantar 21 kuntum ros merah di alamat ni sebelum jam 5 petang.”

Lily Karleena mengangguk sambil tangannya menulis alamat yang akan dia hantar jambangan bunga itu. Panggilan itu berakhir. Dua puluh satu kuntum bunga ros merah... lelaki hebat. Gadis itu mengeluarkan 21 kuntum bunga ros merah dan mula mengubahnya. Tinggal 3 jam lagi sebelum jam lima petang, dia pasti sempat untuk mengubah sekaligus menghantar jambangan itu. 1 jam lagi jam lima petang. Dia harus segera untuk menghantar bunga itu. Agak susah juga untuk dia mencari alamat yang dinyatakan oleh lelaki itu. Lily Karleena memerhati sekeliling, dengan jambangan bunga itu dia melangkah keluar. Seorang pemuda awal 20an muncul.

“Cik Mazlina ada?” tanyanya.

“Mazlina? Sekejap saya cari dia. Duduklah, cik.” Suara pemuda itu dan berlalu meninggalkannya. Dia memandang sekeliling, pasti syarikat antarabangsa. Hebat, gadis itu sehebat lelaki yang memilihnya.

“Awak cari saya?” satu suara menyapa. Dia menoleh, gadis itu menyambutnya dengan senyuman. Wajahnya seiras Muzzamil.

“Ros merah 21 kuntum,” suara Lily Karleena.

“Abang saya ingat juga hari lahir saya. Saya ingat dia lupa.”

“Abang?” tanya Lily Karleena.

“Abang kandung saya, dia ke Kuantan ada urusan kerja. Awak ni penjual bunga yang dia selalu beli kan?”

“Erk!”

“Cantik... Terima kasih,” suara gadis itu dan berlalu. Lily Karleena kaget seketika dan ketawa kecil. Dia berlalu.

Sebulan berlalu, lelaki itu tidak muncul-muncul. Dia kehairanan, jam enam petang dan lelaki itu tidak juga muncul. Mungkin belum balik dari urusan di Kuantan. Dia mengeluh, hari makin lewat dia harus pulang. Tetapi entah kenapa dia masih tertanya-tanya kenapa Muzzamil masih belum muncul. Bukan kerana bayaran ros merah yang tertunggak tetapi sudah terlalu lama dia tidak menatap wajah itu. Lily Karleena melangkah lemah keluar dari kedai dan mengunci pintu kedai itu. Kelisanya dipandu melintasi tol Sg. Besi dan dia menuju ke rumahnya. Langkahnya lemah masuk ke dalam rumahnya. Dia menghela nafas. Dia mengeringkan rambutnya yang basah dan duduk disofa, entah kenapa dia hanya merenung dinding yang kosong itu. Lontaran keluhan bermain lagi di bibirnya. Susunan nafasnya tidak teratur dan dia diserang kebosanan.

“Aku ditakdir sendiri?” ngomelnya sendiri. Bunyi rintik hujan diluar kedengaran, dia berdecit. Semakin lebat hujan di luar semakin sunyi dia merasakan dirinya.

Lily Karleena tekad mencari lelaki itu. Berdasarkan kad nama yang diberikan padanya dulu, dia gagah mencari. Pintu kaca ditolak, Lily Karleena menghampiri kaunter yang ada disitu.

“Selamat pagi, saya nak jumpa dengan En. Muzzamil. Dia ada?” tanya Lily Karleena. Gadis yang ada di kaunter pertanyaan memandangnya. Wajahnya seperti terkejut mendengar pertanyaan itu.

“Cik mencari En. Muzzamil? Dia...”

Kata-kata gadis itu terhenti. Lily Karleena memandang, ingin tahu. Akhirnya, gadis itu menceritakan segalanya dan menyerahkan sekeping kertas kepadanya. Dia jadi longlai, kemudian melangkah pergi tanpa suara. Lily Karleena memandang jalan raya, tanpa dipinta airmatanya melimpah. Lily Karleena menghidupkan enjin keretanya dan menuju destinasinya. Air mata masih lagi mengalir, dia memujuk diri untuk bertenang tetapi masih tidak berjaya.

Bangunan itu sudah dihadapan mata, enjin Kelisanya tidak dimatikan. Nafasnya turun naik laju, Lily Karleena mematikan enjin keretanya dan dia melangkah keluar dari perut kereta itu. Dia melangkah perlahan menuju ke tempat yang dinyatakan oleh gadis itu tadi. Dia dapat lihat seorang gadis melangkah keluar dari bilik itu.

“Awak? Gadis penjual bunga?”

Lily Karleena sedikit kaget, haruskah dia meneruskan langkahnya atau... Mazlina senyum dan membawanya masuk ke dalam bilik itu. Lily Karleena memandang gadis itu. Mazlina mengangguk kecil dan mereka mendekati katil itu.

“Dia kemalangan... doktor kata kecederaannya parah dan barangkali tiada peluang untuk sembuh,” ujar Mazlina tanpa dipinta. Lily Karleena memandang tubuh yang terbaring dengan wayar-wayar yang melekat di tubuhnya. Lily Karleena mengesat air matanya. Mazlina mengeluh dan berlalu pergi meninggalkan mereka berdua, dari balik pintu dia dapat melihat perbuatan gadis penjual bunga itu. Mazlina pasti gadis itu sukakan abangnya, pintu itu ditutup.

Lily Karleena memandang tubuh itu, wajahnya lesu disebalik ketampanan. Dia merenung wajah lelaki itu, tiada senyuman dan tiada teguran mesra yang dilontarkan. Dia terkenang kata-kata Mazlina, kemungkinan lelaki itu tidak akan sembuh. Lily Karleena menarik nafas panjang. Takkan sembuh? Kenapa insan sebaiknya boleh jadi begini. Tangannya singgah dibirai katil dan masih memerhati. Lily Karleena mengeluh. Dia berharap lelaki itu akan lekas sembuh, gadis itu berlalu melangkah keluar dari bilik itu. Dia bertembung dengan Mazlina.

“Terima kasih kerana sudi jumpa dengan dia,” suara gadis itu. Lily Karleena hanya memandang kemudian mengangguk. Dia melangkah tetapi berhenti dan berpaling.

“Doktor tidak cuba untuk memulihkannya?”

“Mereka sedang mencuba, kita doakan keselamatannya sama-sama?” ujar Mazlina. Lily Karleena mengangguk dan berlalu.

Dia memandang ke luar pintu kacanya, dia perlu berjumpa dengan lelaki itu. Hatinya kurang selesa hari ni. Pantas tanganya mencapai kunci. Dia kembali ke ruangan itu, dia terkejut melihat katil itu kosong. Dia memandang sekeliling, semua sudah dikemas. Lily Karleena melangkah keluar dari bilik itu.

“Cik, tumpang tanya... Orang bilik ni ke mana?”

Jururawat itu menjengah ke bilik yang ditunjukkan.

“Semalam peguam keluarganya datang, keluarganya minta dia dibawa ke Amerika untuk menjalani rawatan,” terang gadis itu.

“Amerika??? Bila dia bertolak?”

“Pagi tadi... Cik ni siapa?”

Lily Karleena membisu, dia siapa? Dia pun tak tahu jawapan yang patut diletakkan.

“Kawan... hanya kawan.”

Dia berlalu, kecewa dan sedih.

Masa berganti tanpa disuruh dan tanpa paksaan, dia melihat dirinya di cermin-cermin kedai itu. Dia dah jauh berubah, dia bukan lagi Lily Karleena 4 tahun yang lalu. Dia sudah berjaya dengan perniagaanya, perniagaan bunga eksotik yang akan dipasarkan diluar negara. Dia mengeluh dan melangkah, melewati kedai-kedai itu dan langkahnya terhenti. Direnung kedai itu, kedai bunga... kedai bunga miliknya suatu ketika dulu. Dia menjualnya untuk memulakan perniagaan. Lily Karleena menghela nafas dan melangkah masuk ke dalam kedai itu. Wangian bunga menyelubungi ruangan itu. Dia terasa seperti kembali sewaktu kedai ini masih miliknya. Seorang gadis muncul dengan senyuman, dia membalasnya.

“Cik nak beli apa? Kami ada buat gubahan kalau cik mahu?”

Lily Karleena memandang gadis itu, terkenang dia waktu mula-mula buka kedai, tanpa pengalaman dan disinilah semuanya bermula. Lily Karleena memandang sekeliling.

“Ini kedai awak? Cantik?”

“Terima kasih... cik tengoklah. Kami ada bunga segar dan bunga plastik serta keluaran terbaru, bunga kristal.”

“Tak mengapa, saya pusing-pusing dulu.”

Gadis itu faham dan membiarkan Lily Karleena berlegar dikedai itu, Lily Karleena terpandang satu loceng angin dan menghampirinya. Indah sekali bunyian loceng angin itu.

“Empat tahun saya mencari awak dan awak disini?”

Lily Karleena terkejut dengan suara itu, pantas dia menoleh. Dia terkejut melihat wajah dan senyuman itu. Lelaki itu menghulurkan sejambang lili putih, tangannya mengeletar untuk mengambil bunga itu.

“Lily, ini untuk awak... seindah nama awak.” suara lelaki itu.

Dia kaku tak bersuara hanya memandang wajah itu. Air matanya mengalir, lelaki itu mencapai sapu tangannya dan segera mengesat air jernih itu.

“Lily, terlalu lama saya mencari awak. Jangan awak sambut saya dengan air mata, tetapi sambut saya dengan senyuman manis yang terlalu lama saya rindukan.”

“En. Muzzamil... Saya... saya terlalu gembira sehingga tak mampu untuk saya ukirkan senyuman.”

“Awak masih pandai bergurau seperti 4 tahun dulu.”

“Jom kita pergi...”

“Ke mana?”

“Menunaikan cinta saya pada awak,” suara Muzzamil dan menarik tangan gadis itu.

“Awak bergurau kan, En. Muzzamil?”

Lelaki itu membuat tanda senyap, dimulut Lily Karleena

“Panggil saya Muzzamil dan tak... kali ni saya serius. Lily Karleena, saya cintakan awak...” bicara lelaki itu.

Lily Karleena tidak percaya apa yang dia dengar. Lelaki itu cintakannya, dia ketawa kecil kerana sehingga kini rasa yang ada di hatinya hanya untuk lelaki bernama Muzzamil.

“Family awak?”

“Mereka gembira kerana saya sembuh kerana awak, Lily?”

“Saya? Apa yang dah saya lakukan...”

Kad nama awak yang sentiasa ada ditangan saya... ketika kemalangan itu. Kad ini berada ditangan saya, Lily.”

Lily Karleena memandang lelaki itu kemudian mengalihkan matanya ke arah kad kecil yang sedikit kusam ditangan lelaki itu, pantas dia mendongak dan memandang wajah itu seakan-akan bertanya apa yang terjadi?

“Saya cuba menghubungi awak ketika itu kerana... kerana saya ingin meluahkan perasaan saya pada dan... ianya terjadi. 4 tahun saya tak sedar dan sebaik sedar, Mazlina menceritakan kehadiran awak dihospital dan kad nama ini tidak pernah lekang ditangan saya sehingga saya pulih semula.”

Lily Karleena tersenyum dan memalingkan wajahnya.

“Saya tidak akan meninggalkan awak lagi dan awak jangan tinggalkan saya?” suara lelaki itu. Lily Karleena menatap wajah itu dan mengangguk. Muzzamil mencapai tangan wanita itu dan mereka melangkah keluar menuju ke destinasi yang akan mereka tujui.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.