Home Cerpen Anekdot Moga Allah Permudah
Moga Allah Permudah
Hafiz Adam
24/8/2017 01:04:52
4,817
Kategori: Cerpen
Genre: Anekdot

Pada zaman hadapan, ada seorang Sheikh tinggal di kampung terpencil. Beliau berkerja mengajar di sebuah madrasah kecil yang terletak di pinggir kampung.

Ketinggian ilmu Sheikh membuatkan Khalifah pada masa tersebut menawarkan jawatan mufti kepada beliau. Tidak mahu terburu-buru membuat keputusan, Sheikh meminta masa sebanyak tiga hari untuk menjawab surat tawaran yang diberikan, sama ada bersetuju atau tidak.


Hari demi hari berlalu namun Sheikh masih belum mempunyai kata putus. Pada hari terakhir, seorang sahabat Sheikh datang menziarahi beliau bersama anak yang masih kecil.


“Masih belum buat keputusan?” Tanya sahabat Sheikh setelah mendengar dilema pilihan beliau. Anak perempuannya leka bermain congkak di sisi. Bertanding melawan anak lelaki Sheikh.


Sheikh hanya menggelengkan kepala.


“Tak perlu terima. Ramai lagi calon yang layak. Umat tak rugi walau sedikit pun.” Sahabatnya cuba memberi nasihat.


Benar. Ramai lagi calon yang lebih layak. Malah sudah layak bergelar mujtahid mutlak pada usia muda lagi. Kudrat mereka pun lebih kuat. Sheikh kini cuma orang tua sedang menunggu kubur.


“Tapi peluang cuma datang sekali. Kalau bukan sekarang, bila lagi?” Inilah peluangnya mahu berdepan masyarakat. Memberi pandangan yang mungkin berbeza daripada orang lain. Mengajar masyarakat dalam skala lebih besar. Membetulkan masyarakat yang semakin jauh dari Tuhan.


“Ini jalan yang sukar. Bukankah lebih baik hidup senang seperti sekarang? Masih boleh mengajar dan mendidik masyarakat.” Bukan mudah jadi mufti pada zaman tersebut. Melawan arus bakal dituduh wahabi. Salah perkataan mungkin dituduh macai Khalifah. Silap percaturan tanpa sedar diperguna parti Islam. Maruah mufti lebih rendah daripada orang awam.


Lebih baik jadi guru di madrasah. Didik anak-anak yang bakal jadi pemimpin masa akan datang. Buat perubahan dari awal, sedikit demi sedikit, umpama melentur buluh. Tiada yang membantah, tiada yang buruk sangka. Bukankah pemimpin hebat asalnya dididik guru yang hebat juga?


Anak perempuan sahabat Sheikh memandang ayahnya. Tangan yang laju mengisi biji guli dalam lubang congkak terhenti.


“Seronoknya kalau boleh hidup senang begitu,” Tiba-tiba dia bersuara. Sheikh mengalihkan pandangan kepada anak perempuan sahabatnya. Sudah berumur sepuluh tahun.


“Mengapa kamu kata begitu?”


“Saya selalu buat pilihan yang saya rasa senang dan membahagiakan. Tapi mesti ada sesuatu yang menghalang dan menyusahkan datang selepas saya buat pilihan.”


“Saya sangka tugas hantar buku latihan ke bilik guru satu kerja yang mudah, tapi saya kena tebalkan muka minta maaf dengan ustaz kerana ramai yang tak bawa kerja sekolah. Saya sangka jadi penyokong pada hari sukan tak perlu berlatih letih-letih di tengah padang, rupanya kena belajar ayat sorak dan buat sepanduk. Saya cuma bercakap dengan Ihsan, tengok-tengok kawan saya Suhaila marah tak bercakap seminggu.” Panjang lebar dia menuturkan.


Mendengar penjelasan anak kecil itu, Sheikh tergelak besar. Beliau tersedar akan hakikat yang mudah itu. Tidak ada pilihan hidup yang senang atau sukar. Pilihan kecil atau besar, sama sahaja. Jadi mufti memang susah, tapi jadi guru pun sama susah. Lebih penting apa yang manusia buat dengan pilihan masing-masing.


Setelah sahabatnya pulang, Sheikh mengambil surat tawaran di atas meja. Ayat dalam surat dibaca sekali lalu.


Saya menerima/tidak menerima (potong mana tidak berkenaan) tawaran pelantikan sebagai mufti Khalifah mengikut syarat-syarat yang terkandung dalam surat Tuan bilangan SPA.M880805(GG-9) bertarikh 1 Mac Zaman Hadapan.


Sambil tersenyum Sheikh membuat garisan menggunakan pen, memadam pilihan yang tidak dibuat. Perlahan beliau menyebut ayat yang selalu diucapkan ahli jemaah.


“Moga Allah permudah.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hafiz Adam