Home Alternatif Travelog Nada Sahabat Syurga
Nada Sahabat Syurga
Nur Suri Natasya
13/5/2016 20:43:24
5,319
Kategori: Alternatif
Genre: Travelog
Senarai Bab

Nada Sahabat Syurga

Saat pertamaa ku melangkah ke alam persekolahan remaja, pertama kali ku terlihat susuk tubuhmu, ku tahu kau berbeza dari insan yang lain. Istimewa dari yang lain. Ku melihat kau dari jauh, engkau duduk termenung. Apakah agaknya yang menyelubungi di fikiran dan sanubarimu? Hatiku kuat ingin mengetahui dan mengenalimu dengan mendalam lantas aku menghulurkan salam perkenalan. Terbit sinar cahaya riang di matamu, saat mata kita bertentang.Engkau tersenyum riang, hatiku juga berbunyi girang.

Bermulanya saat itu, kau dan aku seperti satu. Aku menjadi pelindung setiamu. Engkau menjadi penghibur hatiku, pengubat laraku. Kita tertawa bersama, kita menangis berdua. Saatku buntu, kau setia membantu dan saat ku terleka juga alpa, kaulah yang menggenggam erat tanganku dan memimpinku. Teguranmu penuh dengan hemah dan bijaksana. Kau menerima diri ku seadanya diriku dan Ku juga sedar dan memahami tiada manusia sempurna ada di dunia ini. Meskipun manusia yang punya kuasa sakti. Dia juga akan di benamkan di dasar perut bumi.

Hadir takdir menguji persahabatan kita. Segala keindahan hanya sekejap cuma. Takdir memisahkan kita seketika, mengikut haluan dan pendirian kita. Demi untuk mengejar cita-cita. Aku tahu berat rasa untuk kita sama-sama menerimanya namun kau seperti memahami keadaannya lantas kau berkata, “Pergilah sahabat, ayuh kita bersama mengejar cita-cita. Aku akan terus di sini. Meskipun berbeza, tujuan kita tetap sama untuk mencari dan mendapat keredhaan Yang Maha Esa. Sejauh mana kita terpisah, takkan terputus tali perhubungan kita. Hanya ajal dan maut sahaja yang memisahkan kita”. Dengan segala kata-katamu itu aku berpegang, kau mengajar aku erti sebuah kepercayaan yang tiada kesangsiannya. Sememangnya engkau benar-benar memaksudkannya.

Hari berganti hari, bulan bertemu bulan, tahun bertukar tahun. Masa seperti berlari laju. Meskipun tembok jarak dan waktu memisahkan kita, namun itu bukan menjadi penghalang persahabatan kita. Kita seperti mekar dewasa bersama di hadapan mata. Itulah kesempurnaanmu.. yang mungkin tidak di miliki oleh insan yang sempurna. Kau tiada galang gantinya. Di mata lahiriah, memang kau di pandang insan istimewa, kadangkala kau juga di persenda oleh mereka yang tak punya rasa, namun jelas di mataku kau begitu sempurna. Bersamamu aku belajar erti sebuah perjalanan, melihat ketabahanmu mengajarku erti sebuah penghidupan. Engkau di besarkan dengan kasih sayang seorang ayah yang berhati waja, membentuk kecekalan hatimu mengatasi segala yang kurang. Bicaramu yang tulus bersahaja selalu membuat hatiku girang. Pandangan matamu yang redup penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang. Keluhuran budimu penuh dengan kejujuran. Segala perbuatanmu di hiasi keikhlasan hingga menyentuh lubuk hatiku yang terdalam. Sungguh engkau memang insan istimewa.

Bersama-sama kita melukis impian, meraih apa yang di cita-citakan. Bersama-sama kita bayangkan sejuta satu kehidupan. Meneroka apa yang di hadapan. Kita ketepikan segala keterbatasan diri hingga ianya bukan menjadi penghalang. Saat nadiku seakan terhenti, kau bagaikan nada lagu yang menghidupkan aku kembali. Saat kau hampir rebah ke bumi, ku memeluk tubuhmu memapahmu berdiri kembali. Saat ku hilang dari pandanganmu, dengan kudrat dan keterbatasan dirimu kau gagahi menjejaki diriku sehingga pandangan mata kita bertemu. Kesungguhan mu sungguh membuat aku terharu. Begitu mulia nilai persahabatan yang kau hulurkan. Jatuh,bangkit,luka,nanah,berdarah dan berparut kita bersama.

Bersama-sama kita melangkah dari sifar ke infiniti. Selangkah demi selangkah menapak, bermacam corak bermacam warna. Meskipun pendirian kita berbeza namun tujuan kita satu. Mencari penghujung kebahagiaan serta keredhaan darinya yang kekal abadi. Segala kelemahan kita baiki, segala kekurangan kita atasi.

Dalam keghairahan kita mewarnai apa yang kita impikan. Perlahan-lahan kau menyendiri dan kau pergi menyambut seruan ilahi. Takdir yang Maha Kuasa. Dirimu di cintai oleh Yang Maha Mengetahui. Tidak ku menyangka dakapan sayu dan pandangan redup mu pada saat itu merupakan buat kali yang terakhir kita bertemu. Saat kau menerpa kearah ruang itu dan membelai manja kucing kesayanganmu yang sedang menanti kepulanganmu. Lentokan mereka seakan mereka juga mengerti akan terbitnya detik itu. Itulah yang terakhir mata kita bertemu.

Kau menghembuskan nafas terakhir tanpa aku sempat berada di sisimu menemani. Pilu terkilan hatiku, namun ku cuba untuk mengerti dan pasrah dengan ketentuan ilahi. Hanya sekujur tubuh, berwajah tenang sempat ku tatapi dan ku kucupi. Ku iringi kau dengan doa dan janji serta pohonan kemaafan andai kau pernah aku sakiti sehingga selesai kau di semadi.

Segala impian dan cita-cita kita bersama ku sematkan di hati, ku perisaikan hati agar tidak di nodai, ku kebalkan hati agar tidak di bolosi. Meskipun kau tiada lagi di sisi, semangatmu ku genggam dan ku sulamkan bersama semangatku. Ku peluk erat ku janji akan ku takluki semua impian yang kita lukiskan dan warnai. Segala cabaran dan rintangan rela aku selami. Biar ku di hempap batu-batu, biar ku di sasar berbagai peluru, akan ku bangkit menyusun batu-batu, akan ku tepis segala peluru. Segalanya ku tempuh demi menyahut seruan hakikat yang satu, demi menyempurnakan dan merealisasikan lukisan yang kita mulakan itu. Ku manfaatkan seluruh masa yang masih berbaki buatku, agar suatu masa kita akan sekali lagi bertemu di alam yang abadi dan dapat semula kita saling berdakap rindu.

Terima kasih sahabat mengajarku segala erti, memiliki, menghargai dan menjiwai mata hati kerana hati punca segalanya hidup dan mati. Terima kasih Yang Maha Esa mempertemukan aku dengan nada hati itu. Terima kasih Nada Sahabatku. Semoga kita akan bertemu. Ku merinduimu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nur Suri Natasya