Home Alternatif Alternatif Cerita Aku dan Bas: Ibu yang Kuat
Cerita Aku dan Bas: Ibu yang Kuat
25/8/2015 08:56:42
1,086
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Senarai Bab

Bas bergerak.

Gerakan yang saya rasa amat perlahan. Seolah-olah tidak mahu meninggalkan. Hati saya, saya kunci kuat-kuat. Mata saya saya buka luas-luas. Saya tidak mahu biarkan air menakung lalu tumpah membasahi. Saya tidak mahu orang di sebelah saya terfikirkan yang bukan-bukan. Tapi itulah ... saya tetap menangis tanpa air mata. Menangis dalam hati. Seorang isteri seorang anak yang di mata mereka penuh kasih sayang tentunya sedang menangis melihat saya pergi. Itulah ketentuan apabila bekerja jauh. Hari minggu sangat singkat. Banyak perkara tidak langsai. Perkara kasih sayang misalnya. Tergantung.

Tangisan anak kecil menganggu. Saya tidak jadi tidur. Tangisan itu menjadi-jadi. Si ibu memujuk. Ya ... hanya ibu yang ada. Ayahnya tiada. Mereka di tempat duduk depan. Di sebelahnya juga seorang perempuan.Saya fikir mereka tiada pertalian apa-apa. Masing-masing penumpang bas.

Anak kecil itu menangis lagi.

Kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Si ibu tanpa jemu memujuk. Walaupun saya tidak dapat melihat wajahnya, namun saya tahu ibu itu tenang. Ia tergambar daripada tutur katanya. Sangat kelihatan sabar dan tenang sebutannya memujuk anak. Namun anak itu masih menangis. Penumpang sebelahnya cuba mengambil alih peranan. Memujuk dan mengagah-agah. Dia wanita bahari. Cuba menolong atau juga dia sudah tidak tahan dengan tangisan bayi itu. Aduh, saya berfikirkan yang negatif tentang wanita itu.

Suatu perkara yang aneh. Saya dipertemukan dengan pemandu bas yang faham. Sebelum ini, tingkah laku pemandu bas membuatkan saya menekatkan dalam hati bahawa kesemuanya berperangai tidak senonoh – garang, suka marah-marah, bawa bas laju dan banyak lagi perkara yang negatif. Tapi pemandu ini lain, dia cuba membantu. Seada sedayanya.

Dibukanya lampu. Ditutup pula. Mungkin fikirnya, bayi itu takutkan gelap.

Namun semuanya tidak menjadi. Bayi itu tetap menangis. Diam cuma sebentar.

Langsung saya berfikir. Ibu adalah wanita yang kuat. Seorang diri membawa anak menaiki bas pada malam-malam pula dan anaknya menangis sepanjang perjalanan tentu bukan kerja mudah. Kerja yang mungkin tidak terbuat oleh sang suami atau si lelaki.

Ya ini cerita tentang perempuan biasa yang kuat. Itulah ibu.

Hargailah ibu, walaupun pada bukan hari ibu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.