Teman,
cobalah kau dengarkan ini
sehelai surat buat sahabat
hanya sekadar untuk mengingat
demi satu,
hanyalah demi…Hablumminallah, Hablum minan nas.
Teman coba kau katakan
di kalangan kita ini
siapakah yang berani menyanggah
suratan yang datang menyinggah?
Telah kita akui
begitulah aturan hidup kita
detik yang bermula, kan berakhir dihujungnya
kita hanya mampu mentakbir
Allah jua yang mentakdir
Wahai sahabat
Ku tahu,
keringat yang kau kerah
bakti yang dicurah
bukan mahu didendang,bukan mahu dijulang
cukuplah sekadar untuk bekalan pulang
moga nanti dirahmati Tuhan.
Masih ku ingat pesananmu tuan
walau aku tiada di sisi
teguhlah berpaksi
dengan kudrat, dengan semangat
jangan luntur, jangan kendur
perisailah diri dengan kesabaran
sambutlah tangan-tangan mereka
yang lemah takberdaya
Katamu tuan,
jiwa kebajikan, ibu segala kebaikan
genggamlah ia sebagai pedoman
Sahabat
telah tiba jua akhirnya
di hujung hentian yang tidak kau mahu
walau detik waktu kan pasti mendesakmu
agar menghabiskan sisa-sisa perjalananmu
di stesyen terakhir yang setia menunggu
Tuan,
carilah kami
bila-bila kau mahu
atau bila-bila kau rindu
kami sedia menunggu
menjabat tangan kekar,seorang pahlawan
yang sudah mengucup piala kemenangan
Di penghujung jalan ini
ku untaikan secebis ucapan…
selamat jalan sahabat
selamat tinggal kenangan
bertemu dan berpisah
sudah pasti keranaNya jua
Ayuh! maralah tuan...
tidak perlu menoleh lagi. Teruskanlah perjalanan
di hadapanmu ada cahaya sedang menunggu.