Home Novel Thriller/Aksi ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
ARMAGEDDON (Trilogi Distopia #3)
kenhendri
13/6/2021 16:44:33
14,078
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 4

11 Februari 2025,
Washington, D.C.

Nama aku, Daniel Ash bin Ekael. Berasal dari Malaysia. Aku berumur dua puluh satu tahun dan belajar di Universiti George Washington. Ianya tidak jauh dari White House. Jaraknya hanyalah lebih kurang 1.3 kilometer sahaja dari universiti. Apa-apapun, ini ialah catatan pengalaman. Aku ingin menceritakan pengalaman aku belajar di sini. Pada hari pertama, aku tiada kawan. Tapi, aku bernasib baik kerana berjumpa dengan salah seorang pelajar yang juga dari Malaysia walaupun dia mengambil kursus yang berbeza.

Tiba sahaja di kolej kediaman pelajar, langsung aku berdoa agar dapat berada sebilik dengan orang Malaysia. Bukannya apa, kalau sebilik dengan orang Malaysia, sekurang-kurangnya aku boleh bertutur dalam bahasa ibunda. Tidak perlulah aku sepanjang hari bercakap dalam bahasa asing. Lagipun, kalau sebilik dengan kaum lain yang datang dari Malaysia sekurang-kurangnya dia sudah tahu yang aku Melayu Islam walaupun berlainan bangsa dan agama sebab Rukun Negara sudah menyatukan kami sejak kecil.

Tetapi, apakan daya. Ayah aku bukanlah orang yang menguruskan kolej kediaman walaupun sebenarnya ayah aku ada di kampung. Aku sebilik dengan orang asing. Nampak dari wajah dia orang British atau Britain atau lebih tepat England. Kami hanya membalas senyuman janggal saat bertentang mata. Dia mengurus tempat tidur dia dan aku mengurus tempat tidur aku. Sepi, hanya melakukan urusan sendiri.

Mahu sahaja aku menegurnya tetapi aku pula yang gentar. Jelas nampak rantai salib tergantung di leher sebelum dia memasukkannya ke dalam baju. Risau juga sebilik dengan orang asing. Kita tidak tahu apa yang dia fikir lagipun dia orang Eropah, aku pula Asia. Dia beragama Kristian, aku pula Islam. Dari segi rupa dan gaya, dia nampak agak menakutkan. Risau pula aku mahu mengeluarkan sejadah dan al-Quran dari beg pakaian. Takut dia juga salah seorang daripada golongan ‘Islamophobia’.

Namun, sedang asyik mengeluarkan pakaian dari beg, tiba-tiba sahaja dia menegur aku dalam bahasa Inggeris tetapi aku akan menterjemahkannya dalam bahasa Melayu agar kamu semua faham: “Kamu berasal dari mana?”

“Aku berasal dari Malaysia. Kamu pula?”

“Ouh, Malaysia? Kebetulan, aku berasal dari England. Negara aku pernah menjajah negara kamu. Tetapi, itu dahulu. Sekarang, negara kita sudah menjadi kawan. Kenapa pula kita tidak boleh, kan?”

“Hahaha! Itu agak lucu kalau dilihat dari sejarah. Apa-apapun, terima kasih. Nama aku, Danial Ash. Kamu pula?”

“Nama aku, Rushfold Greenwood. Panggil sahaja Rush. Kamu pula, mahu aku panggil Danial atau Ash?”

“Mana-mana pun boleh, tapi aku lebih suka orang panggil aku Danial.”

“Okey, aku panggil kamu dengan nama Danial. Kamu dari Malaysia, jadi kamu seorang Muslim?”

Dengan berani dan tanpa gentar aku menjawab, “Ya. Aku beragama Islam. Kamu pula Kristian? Aku sudah tahu melalui rantai tadi.”

“Ya. Aku seorang Kristian. Walaupun aku berasal dari England yang majoriti penganut agama Kristian di sana berfahaman Katolik, tapi aku Kristian berfahaman Ortodoks.”

Aku bingung seketika dengan penjelasannya sebelum bertanya, “bagaimana tu?”

“Kamu agama Islam tapi mazhab apa?”

“Mazhab Shafie.”

“Ya, sama seperti aku. Dalam Kristian pun ada mazhab dan aku mengikut fahaman Ortodoks. Tapi, kamu tidak perlu risau. Kalau kamu mahu solat, silakan sahaja. Pedulikan aku. Aku tidak akan mengganggu. Selagi orang hormat fahaman aku, aku akan hormat fahaman mereka.”

Aku hanya membalas dengan ucapan ‘terima kasih’. Tidak sangka pula dia sebaik itu. Ternyata, aku harus mengubah persepsi aku terhadap orang yang baru sahaja aku kenal. Walaupun agamanya berbeza dengan aku, dia sangat menghormati aku yang beragama Islam. Benarlah kata orang, jangan menilai seseorang daripada rupanya.

Seusai aku solat Asar, Rush langsung bertanyakan soalan. Soalan yang membuatkan aku agak terkejut kerana soalan itu keluar daripada mulutnya. Jadi, aku sebagai seorang muslim, perlu menjawab soalan itu dengan ilmu bukan pemerhatian semata-mata.

“Dahulu, aku selalu terdengar berita tentang pengganas yang pelakunya ialah orang Islam. Tapi, apabila aku membuat kajian aku tentang sejarah orang Islam, mereka hanya berperang apabila diserang. Kamu ada padangan mengenai hal itu? Tapi, jangan salah faham. Aku hanya ingin tahu.”

“Ramai yang sudah terpengaruh dengan media sehingga salah faham tentang kami. Memang agama Islam dan agama-agama lain juga mengajarkan kebaikan tapi ada sahaja yang tidak mengikuti ajaran yang sebenar. Ada juga yang salah faham tentang agama. Apa yang dikhabarkan oleh media mengenai pengganas itu mungkin orang-orang Islam yang tidak mengikuti ajaran yang sebenar. Seperti agama kamu, ada sahaja yang tidak mengikuti ajaran yang sebenar dan ada juga yang mengikutinya.”

Rush hanya mengangguk faham tatkala aku menjawab soalannya. Aku cuba sedaya upaya untuk menjawab agar tidak menimbulkan sebarang salah faham. Keadaan menjadi senyap untuk seketika sebelum Rush kembali membuka mulut, “aku dengar keadaan di Malaysia sudah pulih daripada Karnivor, betul ke?”

“Setakat ini, ya. Tapi, tidak tahu apa yang akan terjadi nanti. Dunia sekarang ini sudah tidak aman. Macam mana dengan keadaan di England?”

“Di sana sudah membaik. Rasanya, negara-negara kuasa besar sudah membaik sebab itulah mereka secara sukarela memberi bantuan kepada negara-negara membangun. Tapi, kita tidak boleh menarik nafas lega. Aku tidak tahu apa yang Amerika Syarikat dan negara aku sendiri, rancang. Rusuhan dan peperangan sudah terjadi di kebanyakan negara lain. Aku takut jika keadaan ini membawa kepada perang dunia.”

“Harap-harap tidak.”

“Hey, kau suka Amerika Syarikat?”

“Soalan apa tu?”

“Sekadar bertanya.”

“Sejujurnya aku tidak suka. Aku bukan ingin mengata tetapi mereka suka bertindak seperti polis dunia. Mereka menyerang negara-negara lain untuk kepentingan tersendiri dan mereka-reka cerita untuk menutup kesalahan itu. Aku yakin, suatu hari nanti Amerika Syarikat akan musnah disebakan perbuatan mereka sendiri. Tapi, nasib malangnya aku terpaksa belajar di sini.”

“Hahaha! Sama seperti aku. Aku jenis yang suka membuat kajian jadi aku tahu apa yang aku tidak suka dan apa yang aku suka. Mahu tidak mahu, kita kena tinggal di sini selama empat tahun sampai graduasi.”

Sedar tidak sedar, sejak hari pertama kami berkenalan, hubungan kami menjadi rapat. Perbualan kami selalunya bertopikkan agama, isu semasa dan nasib kami di masa hadapan. Antara topik agama yang kami bualkan ialah perbezaan tentang Jesus Christ atau Nabi Isa a.s. Sudah tentu dia akan mengatakan yang Jesus Christ itu ialah Tuhan bagi mereka sedangkan aku yang Islam ini percaya bahawa Nabi Isa itu hanyalah utusan Allah iaitu seorang nabi dan juga rasul seperti Nabi Musa, Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim.

Cuma persamaannya hanyalah soal ‘penyelamat’ di akhir zaman yang akan turun nanti. Rush juga percaya bahawa suatu hari nanti Jesus Christ atau Nabi Isa akan turun di akhir zaman. Ianya sama dengan kepercayaan orang-orang Islam.

Tetapi, apa yang membezakannya, Rush percaya yang Jesus Christ disalib dan mati selama tiga hari sebelum dihidupkan semula dan diangkat ke langit manakala dalam kepercayaan orang Islam, Nabi Isa tidak pernah disalib kerana kami percaya yang disalib itu ialah orang yang disamakan rupanya oleh Allah. Nabi Isa yang sebenar telah diangkat ke langit. Walaupun kami berbeza tetapi kami saling menghormati kerpecayaan masing-masing.

Beberapa hari kemudian, pada tanggal 11 Februari 2025, aku dan Rush keluar untuk menjenguk White House yang sering dipaparkan dalam televisyen sebagai tempat perhimpunan para pemimpin Amerika Syarikat. Jika di Malaysia dan England, ianya sama seperti parlimen. Namun, tidak disangka pula ramai orang berhimpun di sana. Ada apa-apa majlis yang sedang dijalankankah?

“Aku dengar, Presiden akan membuat suatu pengumuman rasmi nanti,” kata Rush.

“Kenapa aku tidak tahu pula? Pengumuman apa?”

“Masih ingat pembunuhan Perdana Menteri di negara kamu? Ianya sudah kecoh satu dunia. Rusia mendakwa yang ianya dirancang oleh Amerika Syarikat dan Jerman untuk merampas K-User dari Malaysia. Jadi, Rusia menandatangani suatu perjanjian dengan China dan Korea Utara untuk menyerang salah sebuah wilayah kekuasaan Amerika Syarikat yang didakwa tersembunyinya K-User yang diculik. Sekarang ini, mungkin deklarasi perang akan diumumkan.”

“Bagaimana kamu tahu semua ini?”

“Aku mendapat tahu melalui internet. Aku sudah cakap sebelum ini, aku suka membuat kajian.”

“K-User lagi? Aku tidak faham dengan dunia sekarang ini. Tapi, kalau perang tercetus, apa nasib kita?”

“Aku tidak tahu. Kita mungkin akan jadi mangsa perang.”

Seluruh manusia di dunia bakal menyaksikan sebuah pengumuman yang akan dibuat secara langsung oleh Presiden Amerika Syarikat berikutan dengan salah sebuah negara yang dinaunginya sudah dijajah oleh China dan sekutunya, Korea Utara. Pengumuman ini jelas mendapat perhatian ramai kerana mereka sudah mengetahui perkara yang bakal diucapkan oleh Presiden. Setelah menaiki podium dan melakukan ucapan pendahuluan, ucapan akhir menjadi penantian. Sorakan penyokong Presiden kedengaran, namun ketakutan dalam jiwa orang-orang yang mendengar melalui televisyen, mula menyerang diri.

“WE WILL TAKE OUR NATION BACK! OUR MOTHERLAND! OUR FUTURE! THIS IS WAR! WE WILL FIGHT FOR OUR GENERATION! WE WILL FIGHT FOR OUR FUTURE! THIS IS WAR! THIS IS WORLD WAR THREE!”














Armageddon hanya akan diterbitkan sampai bab 4 sahaja. Untuk membaca kesemua novel Trilogi Distopia secara lengkap, boleh follow kenhendri di aplikasi wattpad.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.