Home Novel Kisah Hidup Opahku
Opahku
Farid Yang
21/10/2020 09:38:09
27,582
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Surat 6

Opah

19/3/2008

 

Menemui cucunda Ahmad Farid yang diingati diharap sihat dan selamat belajar. Pah ada terima surat daripada Farah. Dia kata dia dah melawat tempat bersejarah dan dah dapat duit biasiswa.

 

Di Malaysia dah lepas pilihanraya kali ini. BN kalah teruk. Banyak menteri tak menang. Perak, Kelantan dan kedah; PAS menang. Pulau Pinang DAP menang, Selangor PKR menang. Tak tahu macam mana nanti. Diharap tak ada apa-apa akan berlaku. Buat masa ini, macam biasa. Semua menteri baru.

 

Keputusan SPM pun dah diumumkan. Banyak dapat A termasuk seorang budak lelaki daripada Kedah. Dapat 21A, emak bapanya cikgu. Surat pah sampai ini, mungkin Farid dah melawat. Farid kata bulan 3 cuti dan bunga-bunga pun boleh jadi dah berkembang. Alangkah seronoknya. Pah doakan segala-galanya baik dan selamat.

 

Anak cina selang sebuah rumah pah itu dapat 13A1, anak Normah tempat Ana Ija beli kueyteow dapat 10A.

 

Bersama ini pah beri Farid satu resepi telur.

 

Telur Goreng Air

 

6 biji telur ayam direbus, buang kulit, sapu garam kunyit, goring, angkat.

1 camca ketumbar

1 camca jintan manis

½ camca lada itam

1 ½ cawan air seuk

4 biji cili kering direbus atau celur air panas, digunting

1 biji bawang besar

1 inci halia

4 ulas bawang putih

 

Panas minyak tumis bawang. Kuning, masuk benda tumbuk dan air. Mendidih, masuk telur, cili kering, garam gula. Kacau dan angkat

 

Peringatan: boleh guna serbuk ketumbar, jintan manis dan lada hitam.

Sekian sahaja. Pah harap mencuba. Maafkan pah jika tersilap kata-kata dalam tulisan.

 

Salam pah untuk Farid.”

 

Opah memang penyokong kuat Barisan Nasional. Beliau lahir tahun 1930an. Selalu diceritakan kepada kami penderitaan hidupnya semasa di zaman Jepun dan Komunis. Semasa pendudukan Jepun, opah akan korek lubang di sekeliling rumahnya. Apabila British menggugurkan bom, opah akan terjun ke dalam lubang sebagai perlindungan. Opah ada seorang abang tetapi meninggal dunia kerana dibunuh tetapi lupa semasa pendudukan Jepun atau Komunis. Opah selalu cerita semasa kecilnya, dia melihat orang disuruh minum air sabun, panjat pokok kelapa, anak-anak dara dirogol, perempuan-perempuan mengandung di Pernah juga dia bercerita, orang Melayu apabila mahu lari daripada Jepun, mereka akan masuk ke rumah dan membaca Yassin. Orang Jepun tak mahu masuk. Lantas mereka akan mencucuk benet daripada bawah rumah. Opah juga anggota kumpulan WI. Sebuah kumpulan wanita. Kumpulan itu mengajar wanita-wanita cara memasak, menjahit dan kerja-kerja rumah yang lain. Opah antara tenaga pengajarnya. Oleh kerana itulah, opah selalu mengadu tentang wanita zaman sekarang yang hanya pandai berhias sahaja. Memasak, menjahit semua diberi kepada orang gaji. Ya, kerana itulah opah sangat kuat semangat Barisan Nasionalnya, atas keperitan hidupnya dan atas nikmatnya mengecapi kemerdekaan. Pada opah, tiada alasan untuk tidak berjaya. Kami adik beradik selalu kena leter, anak penjual kueyteow, anak nelayan, anak penoreh getah boleh berjaya, kenapa kami tidak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farid Yang