Home Novel Cinta Sekilas Kenangan
Sekilas Kenangan
Damya Hanna
19/3/2020 13:27:29
57,369
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 16

BAB 16 (RAMPAS DAN KHIANAT)

"HANI, lamanya kau keluar! Risau aku. Kau pergi mana? Kata tadi nak beli barang kat kedai bawah aje?" Bariah spontan membebel sebaik ternampak kelibat Tihani memasuki rumah.

Tihani meletakkan plastik berisi sebotol kicap dan telur ayam di atas meja.

"Aku memang pergi kedai kat bawah. Mana ada pergi tempat lain!"

"Nak dekat satu jam aku tunggu. Daripada beras tak masak sampai dah jadi nasi!"

Tihani tidak berkata apa-apa. Dia terus berjalan ke ruang tamu rumah. Namun Bariah yang baru datang dari arah dapur, tiba-tiba menarik tangannya. Menyebabkan tubuhnya kembali berpusing.

"Apa tarik-tarik ni?" marahnya.

"Kau makan aiskrim sorang-sorang kat bawah, eh?"

"Mana ada!" Laju Tihani menafikan.

"Kalau mana ada, ni... kesan coklat ni apa?" Bariah menonyoh pipi kanan adiknya itu.

Tihani pantas meraba-raba pipinya. Ada kesan coklat?

"Sampai hati betul dia ni tau, makan aiskrim sorang-sorang tak belikan aku!" rungut Bariah sebaik mengorek beg plastik di atas meja.

Tihani tidak lagi menunggu di situ. Dia teringatkan pesanan Jihad tadi. Segera, dia berlari-lari anak menuju ke biliknya. Mahu menatap cermin yang tergantung di permukaan dinding.

Serentak matanya membulat. Kesan aiskrim coklat yang dinikmati semasa di tingkat bawah sudah kelihatan semakin kering di permukaan pipi kanannya. Wajahnya serta-merta berubah panas.

Patutlah tadi Jihad asyik tersengih-sengih bila memandang mukanya! Mesti sepanjang jalan Jihad sebenarnya dah ternampak kesan comot ni.

'Tak guna betul! Kenapa dia tak cakap awal-awal?' Tihani geram.

Turun naik nafasnya sebelum cepat-cepat mengambil tisu basah untuk membersihkan pipinya. Sedetik kemudian, dia mematungkan diri.

Dia teringatkan lelaki bernama Ehsan yang mengaku sebagai kawan Jihad di hadapan pintu lif tadi. Lelaki itu turut didapati tersenyum-senyum menatapnya.

'Maknanya lelaki tu pun nampak kesan comot ni!'

"Argh, malunya!" Tihani hampir menjerit.

"Hani, kenapa? Kau tak apa-apa ke?" Dalam sekejapan Bariah muncul di biliknya.

Tihani hanya diam. Kembali mengelap kesan comot di pipi kanannya itu sambil menyumpah seranah.

Saat itu, apa yang terlintas di fikirannya ialah dia benar-benar menyesal kerana membantu Jihad membawakan beg galas lelaki itu tadi. Kalaulah dia tahu Jihad akan bersikap tak bertimbang rasa, jangan harap dia akan bermurah hati. Biar lelaki itu terkial-kial menguruskan diri sendiri.

"Eeeiii, geramnya! Bila jumpa dia nanti, siap! Memang nak kena!" Tihani terus membebel-bebel. 

Dia mendengus tanpa henti. Langsung tidak menghiraukan kehadiran Bariah yang masih terpinga-pinga memandang ke arahnya.

__________

JIHAD merebahkan tubuh di atas hamparan tilam di biliknya. Walaupun jam baru mencecah pukul 9.00 malam, dia cuba mendapatkan tidur.

Sekejap tadi, dia mengisi perutnya dengan beberapa keping roti. Cukuplah sebagai hidangan makan malam memandangkan perutnya tidak berasa begitu lapar.

Setelah menutup kelopak mata, Jihad mengiringkan tubuh ke kanan. Memaksa fikirannya dikosongkan agar lenanya dapat menjelma. Apakan daya, mindanya tiba-tiba dijengah dengan tutur kata Ehsan.

Waktu itu, Ehsan menghantarnya pulang selepas tercedera tempoh hari. Membuatkan kelopak matanya terkebil-kebil semula.

"Ad, kau tak nak balik kampung ke? Jenguk mak kau tu."

Sewaktu mendengar pertanyaan Ehsan itu, Jihad merengus.

"Kenapa kau suka sangat sibuk dengan urusan aku?" Dia terus membalas.

"Beberapa hari lepas, Sal telefon aku sebab banyak kali dia telefon kau tak jawab. Sal beritahu aku pasal mak kau. Keadaan mak kau dah makin serius. Kau tak nak jenguk dia ke?" Ehsan tetap berkata.

Suara lelaki itu kedengaran perlahan. Seolah-olah cuba memujuknya. Kali ini, Jihad sekadar membisu sambil benaknya terbayang-bayang wajah Salmiah, adik Ehsan.

Memang sejak kebelakangan ini, Jihad ada menerima beberapa panggilan daripada gadis itu, tetapi sengaja tidak dijawab.

"Baliklah kejap jumpa mak kau sebelum terlambat." Ehsan berkata-kata lagi.

"Kau tak payahlah ambil tahu pasal urusan aku. Apa pun yang aku buat, itu hak aku. Pilihan hidup aku."

"Aku tahu, Ad. Tapi, mak kau tu..."

"Dahlah, aku tak nak dengar kau cakap apa-apa lagi. Kalau kau degil, nak jugak cakap pasal tu... turunkan aku. Biar aku balik sendiri naik teksi."

Jihad menegah Ehsan daripada bersuara tentang perkara yang tidak digemarinya.

"Kau ni... aku cakap elok-elok pun susah betul kau nak dengar! Aku cuma tak nak kau menyesal. Kalau tiba-tiba kau tak sempat jumpa mak kau, macam mana?"

"Kau ni tak reti bahasa ke? Dah berapa kali aku cakap jangan masuk campur urusan aku!" Jihad sudah menaikkan suara.

"Yalah... yalah! Okey, aku diam. Aku takkan cakap apa-apa lagi. Puas hati?" dengus Ehsan.

Jihad terus mengalihkan pandangan ke luar tingkap. Sebal di dadanya tak usah dikata.

Sudahlah dia masih bengang kerana terpaksa menaiki satu kereta yang sama dengan Ehsan, lelaki yang konon-konon mengaku sahabatnya, tetapi tegar mengkhianatinya.

Bertambah-tambah bengang bila lelaki itu tak habis-habis mengungkit tentang emaknya iaitu perkara yang tidak mahu langsung didengarinya.

Anak derhakakah dia?

Tapi, bukan dia yang memulakan persengketaan sebaliknya emak yang bertindak memusuhinya terlebih dahulu.

Bukan dia yang mula-mula membenci, tapi emaknya yang tegar membuang dirinya sebagai anak hingga dia rasa kekosongan dan terpaksa membawa haluan hidup sendiri.

"Kau pergi berambus! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Sampai bila-bila, kau bukan anak aku. Jangan harap aku nak mengaku kau sebagai anak. Jangan harap!"

Tak mungkin Jihad lupa jeritan wanita itu. Lontaran kata-kata yang amat tajam menghunjam kalbu. Punca hatinya terluka dan tergores pedih.

Jihad mengeluh perlahan. Entah kenapa, dia terkenang perbualan telefon Tihani pada suatu lewat pagi yang sayup-sayup didengari dari ruang balkoni rumahnya.

"Hani pun sebenarnya rindukan mak. Rindu sangat-sangat."

Rupa-rupanya pintu gelangsar rumah jirannya itu ternganga luas dan tidak berkunci menyebabkan suara Tihani berjaya sampai ke sudut rumahnya.

Tika itu, Jihad baru terjaga daripada tidur. Dia mengambil peluang bermenung sendirian di penjuru beranda sambil memerhati ruang angkasa yang menjadi hamparan bintang bertaburan. Lalu, dia tertarik untuk memasang telinga.

"Dah tu, takkan kita orang nak balik kampung sehari aje jumpa mak? Mana cukup nak lepaskan rindu! Haaa... tak lama lagi cuti sekolah. Nanti Hani ajak Bariah balik kampung. Kali ni, kita orang janji akan lepak lama-lama kat sana sampai cuti sekolah habis. Biar mak rasa rimas. Sampai mak rasa nak muntah tengok muka kita orang."

Kedengaran kata-kata Tihani yang berselang-seli dengan gelak ketawa penuh ceria.

Tidak berapa lama kemudian, telinga Jihad menangkap pula suara Tihani memuntahkan bait-bait ucapan dalam nada yang mesra sebelum menamatkan panggilan.

"I love you, mak. I miss you."

Sejujurnya saat itu, hati kecil Jihad dipalu cemburu. Sempat tertanya-tanya, mengapa dia tidak menerima nasib yang bertuah bila berkaitan dengan keluarga?

Kalau orang lain boleh dilayan sepenuh kasih sayang oleh seseorang yang bergelar ibu, mengapa dia tidak begitu?

Takkan disebabkan satu kesilapan yang dia tidak pernah harapkan terjadi, dirinya perlu dipersalahkan lalu dibenci dan dibuang seolah-olah begitu keji?

Sesungguhnya, Jihad kecewa.

Apatah lagi bila Ehsan, sahabat yang paling dipercayai, boleh sampai hati menjadi pengkhianat yang meruntuhkan satu-satunya kebahagiaan yang hampir dikecapi pada suatu hari.

Sanggup lelaki itu merampas satu-satunya peluang bahagia yang diharapkan akan menjadi sinar untuknya meneruskan hidup setelah bertahun-tahun terkapai-kapai tanpa kasih sayang daripada keluarga.

Selama ini, Ehsan bukan tak tahu tentang kehidupan yang dilaluinya. Malah, lelaki itu arif benar tentang kisah deritanya dan betapa terlukanya dia sejak dibenci ahli keluarga sendiri.

Sampai hati, Ehsan!

'Sampai hati lelaki itu merampas cinta dan menambah sengsara hidupnya umpama dirinya langsung tidak berhak mendapatkan bahagia.'

[Bersambung...]

** Terima kasih kerana terus sudi menunggu update bab ke bab Sekilas Kenangan. Semoga kalian berpuas hati dengan nukilan Kak Damya kali ini. Sudi-sudilah vote dan beri komen ya.

*** By the way, Kak Damya minta maaf banyak-banyak sebab dah lama sangat tak update novel ni. Busy sikit menguruskan order sejak novel ni siap dicetak.

**** Kalau berminat nak order boleh contact Whatsapp Kak Damya (013-3766 496) dan boleh juga ke akaun media sosial Kak Damya seperti di bawah :

1. Facebook dan Facebook Page : Damya Hanna

2. Instagram : @Damya_Hanna.

P/s : Korang juga boleh order novel ni melalui website Karangkraf Mall atau ke Instagram Karangkraf Mall atau boleh beli melalui Shopee KarangkrafMallOfficial untuk diskaun menarik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Damya Hanna