FURQAN melangkah masuk ke rumah. Hidungnya menangkap bau masakan yang tak pernah dia hidu sebelum ini. Sedap dan menyelerakan. Serta merta perut terasa lapar.
Beg bimbit diletak ke tepi. Lalu, dia menghayun langkah menuju ke dapur. "Sedapnya bau," tegur Furqan sebaik sahaja dia berada di ruangan itu.
Dahlia yang sedang memasak tersentak. Lantas dia menoleh pada susuk tubuh itu. Mata mereka bertentang beberapa detik. Furqan terpaku seketika. Manakala, Dahlia pula terkebil-kebil melihat kehadiran lelaki itu di situ.
"Aaa... Kejap lagi saya hidang makanan," Dahlia bersuara apabila melihat lelaki itu seakan mengelamun. Ni kut anak lelaki puan sri. Bisik hati kecilnya.
Furqan tersentak. Cepat-cepat dia mengalih pandangan ke arah lain. "Kau... Pembantu rumah yang mommy ambil dari kampung tu?" soalnya.
"Ya," ringkas Dahlia menjawab.
Furqan mengangguk perlahan. Kemudian, dia kembali menatap wajah Dahlia. "Kejap lagi hidang makanan. Aku nak makan," pesannya dengan suara tegas.
"Baik," jawab Dahlia, sepatah. Setelah itu, dia kembali menyambung semula kerjanya. Furqan pula sudah pun naik ke bilik.
FURQAN duduk di birai katil. Tubuh diregang-regang. Kemudian, beg gym diambil. Segala isi dalamnya dikeluarkan. Benda yang paling dia malas buat. Basuh ke semua gadjet boxing nya.
Sudah seminggu barang-barang di dalam beg gym nya terbiar dan tidak dibasuh. Dia terlalu sibuk di pejabat. Jadi, tiada masa untuk dia membersihkan barang-barang itu.
"Oh, apa guna ada pembantu tu. Aku suruh dia buat je la," monolog Furqan. Disumbat kembali barang-barang tadi ke dalam beg.
Tatkala teringat tentang pembantu baru itu, bibir Furqan ukir senyum nipis. Dia fikir, pembantu rumah yang Puan Sri Fatihah ambil itu biasa-biasa sahaja. Tetapi, wajah gadis itu sungguh tak sesuai jadi pembantu rumah.
Furqan teringat kembali cerita Puan Sri Fatihah tentang gadis yang bernama Dahlia itu.
"Dahlia tu tak habis sekolah. Sampai tingkatan dua je. Dia tak nak sekolah dah. Tapi, mak dia cakap dia rajin. Tolong buat kerja-kerja rumah," cerita Puan Sri Fatihah serba sedikit.
"Tak nak sekolah? Mesti budak-budak remaja liar ni. Jenis ponteng sekolah. Buat kerja tak senonoh dekat luar," selamba sahaja Furqan menuduh yang bukan-bukan.
"Tak baik cakap macam tu. Kalau you orang yang berilmu sekali pun, jangan pandang rendah pada orang lain. Kalau nak ikutkan berilmu, iblis pun berilmu. Dalam hidup ni adab dan akhlak perkara utama," selar Puan Sri Fatihah, selamba.
Tersentap Furqan dibuatnya apabila dia ditegur sebegitu. Terus dia terdiam.
"Ramai orang dekat luar sana tu berilmu. Tapi, beradab ni boleh dikira dengan jari. Mommy tak heranlah dengan orang yang belajar tinggi tapi, tak beradab," sambung Puan Sri Fatihah lagi. Kali ini nadanya kedengaran sinis. Geram rasa hatinya apabila anak sendiri suka merendah-rendahkan orang lain.
"Sorry..." ucap Furqan. Terpaksalah dia mengalah memandangkan Puan Sri Fatihah masih sahaja membebel tentang kata-katanya sebentar tadi.
Lamunan Furqan terhenti apabila pintu biliknya diketuk seseorang. Lantas dia bangun dan berjalan menuju ke pintu.
Terbuka sahaja pintu, terpacul susuk tubuh Hafiqa di situ. Furqan sekadar angkat kening, menyoal.
"Mommy panggil makan sama-sama," dingin suara Hafiqa mengajak abangnya itu turun makan.
Mereka tidak rapat seperti adik beradik lain. Furqan agak garang dan tegas. Dia tak suka Hafiqa terlalu manja. Sering kali dia mengingatkan adiknya itu agar tidak terlalu bergantung pada Puan Sri Fatihah.
Jadi, hubungan mereka menjadi dingin. Hafiqa juga agak takut dengan Furqan kerana pernah beberapa kali dia dimarahi oleh abangnya itu. Ya, Furqan garang. Walaupun garangnya bertempat, tetapi, Hafiqa tidak suka dengan mulut cakap lepas abangnya itu.
"Kejap lagi along turun," Furqan juga membalas dengan nada dingin.
Tanpa menunggu, Hafiqa terus berlalu pergi dari situ.
"DAHLIA, duduk makan sekali," pelawa Puan Sri Fatihah sambil tersenyum.
"Mommy... Tak pernah mommy pelawa pembantu rumah makan sama-sama dengan kita," tegur Furqan. Wajah Puan Sri Fatihah tidak dipandang.
Dahlia yang baru sahaja mahu menarik kerusi terus terbantut. Dia terlupa yang dia pembantu di dalam rumah itu.
"Apa salahnya mommy ajak Dahlia makan sama-sama dengan kita?" selar Puan Sri Fatihah. Geram juga dengan perangai 'bossy' si anak.
"Memang tak salah. Tapi, kita kena ada jurang antara majikan dengan pekerja, mommy. Along bukan apa, takut-takut nanti kita terlalu baik, orang pijak kepala," selamba sahaja kata-kata itu ditutur oleh Furqan tanpa memikirkan perasaan Dahlia yang turut berada di situ.
Dahlia tersentak. Ayat Furqan buat dia tersedar kedudukannya di dalam rumah itu. Ya, mana mungkin pekerja sepertinya boleh duduk di meja makan mewah itu.
"Furqan... Mind your words," tegur Puan Sri Fatihah. Nadanya ditekan dalam. Furqan benar-benar buat dia hilang selera. Matanya menatap tepat pada anak bujangnya itu.
"Puan sri, saya ke dapur dulu," Dahlia mencelah dengan sopan. Dia tidak mahu keadaan semakin tegang jika dia terus berada di situ.
Menghilang sahaja susuk tubuh Dahlia, Furqan kembali bersuara, "Along tak nak dia ambil kesempatan pada keluarga kita, mommy. Dia mesti tahu di mana kedudukan dia dalam rumah ni," jelasnya. Gaya boss sudah mula keluar tika ini.
Puan Sri Fatihah melepaskan keluhan perlahan. Kadang kala sikap Furqan buat dia geram. Suka benar cakap lepas. Apa dia ingat orang lain takda perasaan? Bentak hati kecilnya. Disebabkan malas nak berbalah, Puan Sri Fatihah diamkan sahaja. Dia kembali menyambung suapannya.
Hafiqa yang baru sahaja selesai makan, terus angkat punggung dan membawa pinggan kotor ke dapur. Malas dia nak tengok muka ego si abang.
Masuk sahaja ke ruang dapur, kelihatan Dahlia sedang membasuh pinggan kotor di sinki. Terus Hafiqa menghampiri gadis itu. Lalu, pinggan kotor dia letakkan ke dalam sinki. Tangan dicuci. Kemudian, dia merapati Dahlia.
"Along tu memang suka cakap lepas. Mulut laser kalah perempuan," umpat Hafiqa separa berbisik. Sempat dia menjengah ke luar takut-takut Furqan tiba-tiba muncul di situ.
Dahlia sekadar tersenyum hambar. Betul apa yang anak perempuan majikannya katakan. Lelaki itu bermulut lancang. Tetapi, Dahlia harus sedar siapa dia di dalam rumah itu.
"Akak jangan ambil hatilah dengan along tu. Apa dia cakap, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," sempat lagi Hafiqa berpesan pada Dahlia sebelum dia beredar dari situ.
Dahlia termenung sejenak. Sikap Furqan mengingatkan dia pada Daud. Begitulah layanan Daud terhadapnya. Bezanya, Daud naik tangan. Dahlia berdoa agar segala tindakannya tidak membuatkan Furqan marah. Itu sahaja.
PUAN SRI FATIHAH menggamit Dahlia yang sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah. Sejak kedatangan gadis itu ke sini, hatinya menjadi senang. Dahlia bukan sahaja rajin, tetapi pandai memasak. Setiap pagi dia sudah tidak perlu lagi terkejar-kejar untuk menyiapkan sarapan pagi. Semua Dahlia dah hidangkan atas meja. Begitu juga makan malam.
"Dahlia!" panggil Puan Sri Fatihah apabila melihat Dahlia tidak perasaan dengan panggilannya sebentar tadi.
Dahlia menoleh saat mendengar namanya dipanggil. Paip air diletak ke tanah. Lalu dia berjalan menghampiri Puan Sri Fatihah.
"Ya puan..." Dahlia mengesat tangan yang basah ke baju.
"Panas terik ni. Petang-petang nanti baru siram pokok tu," kata Puan Sri Fatihah.
"Takpa, puan sri. Pagi tadi saya terlupa nak siram. Kesian pokok-pokok tu haus tak minum air," balas Dahlia, spontan.
Jawapan Dahlia buat Puan Sri Fatihah ketawa. "Pokok tu haus ya?" selorohnya. Dahlia tersipu malu. Malu dengan jawapan yang dia berikan sebentar tadi. Dia tayang sengih pada Puan Sri Fatihah yang masih ketawa itu.
"Duduklah. Teman I minum. I nak kawan berbual," pelawa Puan Sri Fatihah. Teragak-agak Dahlia nak duduk bersama wanita itu. "Aaa... Takpalah puan sri. Saya berdiri je," balasnya.
"Duduklah Dahlia. Takkan nak berbual berdiri macam tu?" paksa Puan Sri Fatihah. Dia tahu Dahlia teringat akan kata-kata Furqan beberapa hari lepas. Pasti sahaja gadis itu takut apabila diberi peringatan sebegitu. Ini semua Furqan punya pasal! Marahnya di dalam hati.
"Duduk Dahlia. You jangan ambil hati sangat dengan apa yang Furqan cakap. Mulut dia memang takda insurans. Main cakap lepas je dengan orang," selamba sahaja Puan Sri Fatihah mengutuk anak sendiri.
Melihat akan Dahlia yang masih sahaja tidak mahu duduk, Puan Sri Fatihah bertindak menarik tangan gadis itu. "Duduk sini," tegasnya.
Mahu atau tidak, terpaksalah Dahlia turuti. Dia duduk sopan menghadap Puan Sri Fatihah.
"Boleh I tanya sesuatu?" soal Puan Sri Fatihah.
"Tentang apa tu puan sri?" Hati Dahlia mula berdebar. Entah soalan apa yang mahu ditanya oleh majikannya itu.
"Kenapa you tak nak ke sekolah?" soalan itu diajukan dengan alis mata yang berkerut halus. Muka Dahlia ditenung. Dari wajah polos itu, dapat Puan Sri Fatihah rasakan yang Dahlia adalah gadis yang baik-baik. Pasti ada alasan kenapa dia tidak mahu ke sekolah.
Dahlia terkedu seketika apabila soalan itu diajukan. Bibir bawah digigit lembut. "Saya... Saya…. saya kena buli dengan kawan-kawan."
"Kena buli? Kena buli yang macam mana?" Semakin berkerut dahi Puan Sri Fatihah dibuatnya.
"Macam-macam dia orang buat pada saya. Ejek saya, kotorkan baju sekolah saya. Sorokkan kasut sekolah. Campak buku-buku saya dalam longkang. Lepas tu... Ada budak lelaki yang... yang raba saya. Saya takut nak ke sekolah sebab dia orang buat macam-macam pada saya," luah Dahlia. Selama bertahun-tahun hal itu dirahsiakan. Tidak pernah dia bercerita pada sesiapa pun. Tetapi, entah kenapa, apabila disoal oleh Puan Sri Fatihah, dia menceritakan semuanya. Bukan nak meraih simpati. Tetapi, dia merasa selesa dengan wanita itu. Lembut dan menyantuninya dengan baik.
Selepas mendengar penjelasan itu, mulut Puan Sri Fatihah melopong. Perlahan dia menggeleng. "Habis tu, abah dengan mak Dahlia tak ambil tindakan? Tak buat report dekat sekolah?"
"Mak dengan abah tak tahu," jawab Dahlia, perlahan. Wajahnya tertunduk menekur lantai.
"Kenapa Dahlia tak bagi tahu?" soal Puan Sri Fatihah tak puas hati.
"Sebab saya tak nak mak dengan abah risau." Itu sahaja jawapan yang Dahlia boleh berikan pada wanita itu. Walaupun dia tahu jawapannya pasti tidak akan puaskan hati Puan Sri Fatihah.
"Dahlia, kes buli ni buat you tak pergi sekolah tau. Trauma dengan sekolah. Maknanya kes ni berat. Budak-budak yang buli you tu bebas tanpa ada tindakan pada mereka. Lepas ni, mereka buli orang lain pula," bebel Puan Sri Fatihah, tak puas hati. Dahlia diam tidak menjawab. Terkebil-kebil dia menatap muka geram Puan Sri Fatihah.
"Disebabkan budak-budak tu, you tak dapat pendidikan yang sepatutnya," bebelan Puan Sri Fatihah masih bersisa. Sungguh, dia sendiri kecewa apabila mengetahui apa yang berlaku pada gadis itu.
Wajah kecewa Puan Sri Fatihah masih menghiasi wajahnya. Muka polos Dahlia direnung dengan rasa kesian.
"Ehemm..."
Deheman itu merentap tangkai hati Dahlia. Terus dia menoleh pada susuk tubuh yang sedang berdiri di belakangnya. Melihat Furqan ada di situ, cepat-cepat Dahlia bangun daripada duduknya.
Puan Sri Fatihah pula mencebik saat melihat gaya Furqan. "Mommy yang paksa Dahlia duduk teman mommy berbual," jelasnya.
"I know... " Hanya itu sahaja balasan Furqan. Sempat dia melirik pada Dahlia beberapa saat. Entah kenapa wajah putih bersih gadis itu menarik perhatiannya. Lalu punggung dilabuhkan ke kerusi tempat Dahlia duduk tadi. "Aku nak air kopi kurang manis," pesannya pada Dahlia.
Dahlia mengangguk. Lantas dia beredar ke dapur untuk membancuh kopi yang diminta oleh Furqan.
Pergi sahaja Dahlia dari situ, Furqan memandang muka Puan Sri Fatihah. "Mommy ni baik sangat dengan orang. Berapa kali along pesan. Jangan sampai orang ambil kesempatan pada mommy," tegurnya, selamba.
"Mommy dah hidup lama, along. Mommy tahu beza mana orang baik, mana orang jahat. Dahlia tu budak baik. Dia takkan ambil kesempatan pada mommy walaupun dia masih muda," selar Puan Sri Fatihah. Sungguh, dia tidak suka Furqan berburuk sangka pada Dahlia.
"Kalau budak baik, sekolah sampai habis, mommy. Dia ni mesti budak bermasalah dekat sekolah," balas Furqan, bersahaja. Entah kenapa dia sengaja mencari salah gadis itu. Sungguh hatinya tak berkenan apabila mengetahui latar belakang pendidikan Dahlia. Ya, dia pandang rendah pada gadis itu. Pada dia, Dahlia pasti gadis bermasalah di sekolah. Disebabkan itu dia tidak menyambung persekolahannya. Entah-entah kena buang sekolah sebab ada kes! Kutuknya di dalam hati.
"Mommy tak suka along bercakap buruk tentang orang lain. Lebih-lebih lagi Dahlia. Bila kita tak tahu apa yang berlaku, kita tak boleh buat assumption yang bukan-bukan. Sepatutnya kita selidik tanya kenapa. Bukan buat spekulasi atas apa yang kita dengar," nada Puan Sri Fatihah mula keras. Geram sungguh mendengar kata-kata anak bujangnya itu.
Furqan tersenyum sinis. Dia tahu Puan Sri Fatihah mula marah apabila dia bercakap buruk tentang gadis itu. Sejak kehadiran Dahlia, sering kali dia dan ibunya berbalah. Entah apa yang menyebabkan ibunya itu membela Dahlia, dia sendiri tidak pasti.
Beberapa minit selepas itu, Dahlia muncul semula bersama secawan kopi yang Furqan pesan tadi. Dengan berhati-hati dia meletakkan cawan itu ke atas meja di depan Furqan.
"Air ni panas lagi," pesan Dahlia. Sekilas wajah Furqan dipandang. Saat mata mereka bertembung, entah kenapa jantung Furqan tiba-tiba berdegup kencang. Mata coklat Dahlia buat Furqan terpaku untuk kali yang kedua.
"Jangan tenung lama-lama anak dara orang," tegur Puan Sri Fatihah dengan nada sinis.
Furqan tersentak. Tersedar yang Dahlia sudah pun berlalu pergi. Gadis itu menyambung kembali kerjanya. Menyiram pokok bunga di laman rumah.
"Tadi bukan main cakap buruk pasal Dahlia. Ni orang tu depan mata, terpaku terus. Mommy doakan jodoh you dengan Dahlia. You tergila-gilakan dia," kata Puan Sri Fatihah dengan nada geram. Lantas dia bangun meninggalkan Furqan seorang diri di situ.
Furqan yang mendengar ucapan doa daripada si ibu, terus menggeleng laju sambil mengerut dahinya. "Iiisshh.. tak nak aku. Memanglah muka cantik, tapi sekolah tak habis," kutuknya.