Home Novel Cinta Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
3/2/2022 09:59:01
9,451
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28

Jam 8.56 minit pagi dia sudah terpacak dihadapan pintu lif bersama beberapa orang staf. Antara yang sedang menunggu hanya Sharon yang dikenali. Sharon terlebih dahulu menyapa. Bertanyakan khabar dan berita. Sambil menunggu mereka berbual ringkas. Ting! Pintu lif terbuka. Namun tiada yang berani membuka langkah. Empat orang individu berada di dalam perut lif ketika itu. Salah satunya teramat dikenali olehnya iaitu Dr. Adrian. Mata bertentang mata. Sebentar sebelum dia menjatuhkan pandangan ke bawah. Pintu itu kembali tertutup. Dia menarik nafas yang lega.

"Wow! Tan Sri Jo and Miss Carol! Bukan senang nak tengok diorang bersama macam tu." ucap Sharon separuh berbisik. Dia mendengar tetapi tidak tahu hujung pangkal.

"I'm afraid I didn't catch it." katanya pula.

"What? You tak kenal ke? That man yang pakai kot tadi tu is our chairman. Yang cantik manis berbaju merah tu his daughter, and you know Dr. Adrian and PA Miss Carol, Che Puteh."

Oh.

Dapat dirasakan rasa kagum terlahir daripada mulut Sharon ketika mengenalkan kumpulan itu kepadanya. Sayangnya dia tidak melihat dengan jelas. Segan punya pasal. Ketika lif yang seterusnya tiba barulah mereka yang menanti itu menaiki lif tersebut. Tiba diaras pejabatnya, dia disapa mesra oleh beberapa orang staf. Sambutan itu dibalas dengan baik. Sambil melangkah mendekati meja kerja lirikan terlayang kiri dan kanan. Terasa seperti telah berkurun dia tidak menjejakkan kaki. Segan pula tatkala dirasakan ada mata yang memerhati langkah yang diambil itu. Suasana masih sama. Meja kerjanya kosong. Hadi tidak kelihatan. Aidil sedang duduk bermain dengan telefon ditangan. Pemuda itu tidak bersendirian. Ada dua wajah baru yang tidak dikenali olehnya. Ketika dua pemuda itu menoleh ke arahnya dilemparkan satu senyuman. Nampak lebih muda darinya. Reaksi mereka berdua agak spontan. Kedua-duanya dengan wajah yang terpempan. Kening Suraya sedikit terangkat. Tanpa ambil pusing dia duduk. Malam tadi setelah sekian lama tidak memeriksa email dan pesanan ditelefon, dia dikejutkan dengan lambakan email rasmi berkaitan tugasan. Belum dikira pesanan di dalam aplikasi WhatsApp. Segala urusan berkaitan pejabat langsung tidak disentuh olehnya sepanjang percutiannya tempoh hari. Apa yang dapat diikuti sedikit sahaja. Itu pun hampir juling mata membaca beribu pesanan yang ditinggalkan oleh rakan sekerja dalam aplikasi tersebut.

"Eh, Anne? Kau buat apa kat sini?" Soal Aidil setelah menyedari kehadirannya. Kedua pemuda itu mengangkat wajah. Ikut mendengar. Dia buat tak tahu.

"Aik, kerjalah. Cuti dah habis lor.." sahutnya.

"Laa.. Kau tak baca email ke?"

Dia menggelengkan kepala.

"Kau dan Hadi tukar ofis. Naik atas." maklum Aidil. Apa? Bingkas dia bangun. Berniat untuk menghampiri lelaki itu supaya dapat mendengar dengan lebih jelas tetapi, tidak jadi. Sebaliknya dia terus melangkah ke bilik Mr. Lee. Bos yang sangat dihormati itu ada dibiliknya. Dengan sekali ketukan dia dipanggil masuk.

"Anne! How are you today?" Sapa Mr. Lee ketika menoleh ke arahnya. Reaksi wajahnya jelas terkejut. Satu senyuman yang ceria dihadiahkan oleh Suraya. Tangan yang sedang menaip sesuatu dilaptop terhenti. Dilambai dan diberi isyarat supaya dia duduk.

"Alhamdulillah. I'm good. How about you, sir?" Tanya Suraya sekadar berbasa-basi. Kerusi ditarik dan dia duduk.

"Fine fine.. I'm sorry Anne about your mother. How was your father? Can he cope with the loss?"

Mr. Lee seperti selalu tidak berpura-pura menunjukkan sikap prihatinnya itu. Hanya menjemput perasaan senang disekelilingnya.

"Thank you, sir. Inshaallah. You know it does take time to heal." ujarnya pula.

"Well, I wish all the best to the two of you. So, how come you here? Ada hal apa?"

Berkerut dahinya seperti sedang meneka-neka kedatangan Suraya ke bilik pejabatnya itu.

"You know very well about my situation, right? Maybe I am missing something. But why do I have to transfer upstairs? Cuma on site team, kan? Tak boleh ke kalau I stay dekat sini aje?" jelas Suraya akan tujuannya itu. Mr. Lee mengangguk faham.

"I see.. But rather than you dekat sini, it's better you duduk atas. You know as a team, it's best to stick together."

Dia mengangguk. Tiada lagi bantahan yang mampu diutarakan. Secara rasmi Mr. Lee bukan lagi ketua yang menguruskan kerja-kerjanya. Dan secara rasmi juga dia berada dibawah seliaan Dr. Adrian. Gemersik hati menyebut nama lelaki itu. Dia bangun. Meminta izin untuk beredar. Ucapan terima kasih sempat dititipkan kepada lelaki itu yang terlalu banyak jasanya dalam memandu tujuannya disyarikat itu. Sedikit rasa sebak menyentuh lubuk hati. Dia mencapai beg laptop lalu kembali menggalasnya. Dilayangkan jua ucapan terima kasih kepada Aidil sebelum beredar ke tingkat atas. Hanya dengan mendaki anak tangga dia sampai ke aras tujuh itu. Access card dilekatkan kepada access reader. Kelipan cahaya hijau dan dia menolak pintu kaca itu. Agak mengambil masa untuk dia meninjau keadaan sekeliling sebelum melihat satu tangan melambai-lambai kearahnya. Hadi! Dia mempercepatkan langkah. Dihujung ruang pejabat, disudut paling hampir dengan cermin tingkap terdapat wajah-wajah yang dikenali olehnya. Wajah yang pernah dilihat ketika kali terakhir berada dibilik mesyuarat. Gusar. Terpandangkan wajah serius Ben yang sedang menatap laptop. Tiada Ricky. Hanya Nazril dan Hadi serta seorang pemuda berbangsa Cina yang tidak dikenali olehnya.

"Anne, kenalkan Eugene. Eugene, Suraya Anne."

Nazril bersuara selaku team leader. Eugene kelihatan lebih tua darinya. Berambut kerinting yang diwarnakan perang dengan wajah yang agak tampan tetapi nampak kebudak-budakan. Baby-faced barangkali. Eugene menghulurkan tangan untuk bersalaman. Cepat-cepat dibawa tangan kanan ke atas dada sebelah kiri dan dia menunduk sedikit. Eugene senyum. Mata yang sedia sepet itu kelihatan tertutup apabila senyum begitu. Kemudian Eugene membalas anggukannya. Dia turut senyum lalu duduk disebelah Hadi memandangkan hanya kerusi dan meja itu yang kosong.

"Wei, aku pergi bawah tadi. Tak tahu pulak dah tukar tempat." bisiknya sedikit malu menceritakan peristiwa itu. Hadi tersengih.

"Tulah, kau. Mesej tak nak baca. Kan dah tertinggal kereta api." sindir Hadi. Dia membuat muka. Geram disindir begitu.

"Abah kau macam mana? Sihat?"

"Sihat. Eh, terima kasih sebab temankan abah aku dekat wad hari tu ye," ucapnya ikhlas.

"Nanti aku belanja lunch." tambahnya lagi. Sengih. Hadi geleng.

"Eh, takpe takpe.. Aku tak kisah." sahut Hadi.

"Mana boleh macam tu. Aku rasa terhutang budi sangat ni."

"Kalau kau nak sangat balas budi tu, elok sangat la kau pergi jumpa Dr. Adrian. Dia yang mintak aku temankan abah kau petang tu." kata Hadi separuh berbisik. Mulut Suraya ternganga sedikit.

"Tapi, kau tetap tolong."

Dia membalas juga berbisik.

"Aku tolong dengan imbuhan cuti. Hari esok tu aku diberikan cuti, Anne." cerita Hadi lagi. Oh.. Saat itu satu habuk kata pun tak mampu dia ungkapkan. Begitu sekali pertolongan Dr. Adrian kepadanya. Sedangkan dia membalas perbuatan lelaki itu dengan melancarkan perang dingin, perang terbuka dan perang urat saraf. Dia menggigit kuku. Segan. Serba salah. Benarkah dia terlalu mengikut emosi ketika mereaksi akan kelakuan yang dirasakan tidak sopan yang dipamerkan oleh lelaki itu kepada Maksu Azah?

"Eugene.." seru satu suara sekaligus menyalakan getaran ke seluruh tubuh hingga ke tangkai jantungnya. Dia mahu berpaling tetapi, malu.

"Cluster Bandaraya. I've already sent the email. Bring Suraya along."

Ketika namanya disebut makin hebat dadanya berdegup. Dia menanti. Hanya kedengaran bunyi tapak kasut yang menjauh. Sedikit kecewa. Kenapa?

Eugene bingkas bangun.

"Jom." kata Eugene yang duduk dihadapannya. Suraya mengangguk.

"Jangan tertipu dengan muka budak-budak Eugene tu. Dr. Adrian snatch dia dari subcon. Skill boleh tahan power." pesan Hadi dengan suara yang perlahan. Dia tersenyum tipis. Menghargai titipan tersebut. Semasa melangkah sempat dia menjeling bilik pejabat lelaki itu. Tiada apa-apa yang kelihatan. Hati kecil masih mendendangkan kekecewaan ketika dia turun melewati lobi dan menuju ke pintu utama.

"Ke mana?" Soalnya. Eugene menunjuk ke arah sebuah kereta yang diparkir dibahu jalan betul-betul dekat dengan anak tangga diluar bangunan. Dia angguk. Ketika pintu utama terbuka barulah porak-peranda keadaan diluar berderu masuk ke lubang telinga.

"Well, you sit at the back seat." ucap Eugene ketika mereka menghampiri sebuah kereta sedan berwarna hitam. Pemuda Cina itu mendekati pintu dibahagian sebelah pemandu. Dia terangguk-angguk lalu membuka pintu tempat duduk belakang sebelum bunyi muzik yang agak kuat menerpa. Dia duduk. Bauan sitrus menusuk hidung. Seorang lelaki menoleh sambil tersengih ke arahnya. Terpana. Jikalau Eugene menarik perhatian dengan wajahnya itu pemandu itu pula betul-betul seorang remaja belasan tahun. Biar betul!

"Anne, our respective driver, Zaf. Zaf.."

"I know, I know.. Suraya Anne. Long live our only DT queen!!"

Terkejut tetapi sempat tersipu. Nama dia pun budak lelaki itu tahu! Malah berlebihan pula aksinya dengan kedua belah tangan terangkat ke atas.

"Eh, adik ni siapa, eh? Eugene, boleh ke dia drive? Budak-budak lagi ni.." rungut Suraya bimbang. Eugene ketawa terbahak-bahak begitu juga si Zaf itu. Dia hairan. Main-main pula mereka berdua ni.

"Anne, you jangan risau maa.. Zaf dah setahun buat kerja ni. Lagipun Dr. Adrian yang rekrut dia bukan company. Now let's start the engine, bro. Cepat habis cepat kita balik." kata Eugene sambil menoleh ke arahnya kemudian kembali memandang ke hadapan. Beg laptop diselongkar dan Eugene mula mengeluarkan tools untuk memulakan kerja. Zaf pula menghulurkan sepeket chewing gum kepada Eugene. Juga kepada Suraya. Hanya Eugene yang mengambil sekeping isi daripada bungkusan tersebut.

"Zaf, mula dari Getah Asli."

"Alright, bos."

Tercengang dia melihat gelagat kedua lelaki dihadapannya. Boleh jadi mungkin dia yang terlalu mengambil serius dalam semua perkara.

Getaran dari dalam beg laptop yang berada diribaan menyedarkan lamunannya. Ketika itu kereta sedang berhenti dipersimpangan lampu isyarat. Dia meraba mencari telefon pintar. Gemuruh yang hadir ketika dipejabat tadi kembali lagi. Dimulai dengan satu helaan yang panjang dia menjawab panggilan tersebut.

"Suraya.."

Makin menggila pula debaran yang bermain sebaik namanya diseru oleh pemanggil dihujung talian. Dia diam. Menunduk. Padahal sedar lelaki itu tak mampu melihatnya ketika ini.

"Hey, are you there?" tanya Dr. Adrian lagi. Suaranya masih berbisik lembut. Dia menelan air liur.

"Erm.."

Sepatah dia menyahut dan kerlingannya bertembung dengan sepasang mata di dalam cermin pandang belakang. Cepat-cepat dia menjatuhkan pandangan.

"Kenapa tak cakap? Oh, dalam kereta ke?"

"Erm.."

Dia mendengar lelaki itu tertawa. Sebentar.

"Dah berkenalan dengan Zaf? Jangan bimbang. Mungkin dia budak-budak tapi dia cekap dalam memandu. Dan dia tahu siapa awak. I've got to go. Take care, dear."

Klik. Hampir gugur jantungnya kerana dua sebab; Dipanggil dear dan, Zaf yang sedang memandu tahu siapa dirinya. Dirinya yang mana? Staf baru yang tak tahu apa-apa atau yang bakal berkahwin dengan Dr. Adrian? Dia menyimpan kembali telefon pintar itu ke dalam beg. Kedudukan diengsot sedikit ke tengah. Diperhati Eugene membuka software TEMS Investigation. Kemudian mengecilkan paparan tersebut sebelum email pula dibuka.

"Nice. Kerja senang maa. Tapi makan masa. Maybe petang baru siap."

Suraya ternganga.

'Kerja senang tapi petang baru siap?'

"Kalau petang baru siap mana ada senang." tingkahnya. Eugene menoleh. Tersengih mendengar omelannya.

"Easy bermaksud you just run the software tak perlu buat other tests. Tapi sampai petang sebab cluster ni besar. Chow Kit, Pudu, Keramat, you tengok la nanti."

"Oo.. Okay. So, apa yang first things first?"

"Tools. Make sure all tools complete. Laptop, inverter, power extension, mobile phone, USB slot, GPS and all the cables. Hari ni kita buat coverage test untuk post launch performance."

Dengan tangkas dia menarik keluar buku nota peribadinya. Mencatit satu per satu maklumat yang diterima. Kemudian Eugene menerangkan pula cara-cara untuk setting dan lock bandwidth pada software yang sedang dipaparkan. Baru satu jam bermula, dia mula memahami apa yang dikatakan oleh Eugene sebelum bermula tadi. Tugasan itu sememangnya mudah cuma, keadaan jalan raya yang sibuk ditambah dengan sekatan lampu isyarat membuatkan ianya mengambil masa yang agak lama untuk ditamatkan. Melewati tengah hari, kawasan Chow Kit baru saja siap ditelusuri. Mereka berhenti rehat untuk makan. Manakala dia mengambil kesempatan itu untuk terus menunaikan solat Zuhur lalu bersambung pula ke daerah Pudu. Jam 4.00 petang mereka berada dilorong sebuah kawasan perumahan di Keramat. Sesekali matanya melihat paparan skrin yang bersimpang-siur dengan jujukan warna-warni parameter RSRP. Kemudian pemuda Cina itu turut menunjukkan cara-cara untuk menyimpan log files yang diperoleh daripada tugasan itu. Tepat jam 6.00 petang mereka dalam perjalanan pulang ke pejabat. Telefon pintar dikeluarkan dan satu pesanan kepada Hanis dihantar. Nampaknya dia bakal pulang sedikit lewat pada petang itu.

"Alright. Off to go. Eh, you balik naik apa, Anne?" Tanya Eugene ketika kereta berhenti ditempat yang sama ketika bermula pagi tadi.

"Tren."

"Oh. Okay. See you tomorrow. Zaf, thanks. Cao dulu." ujar Eugene lantas keluar. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Zaf disambut dengan kenyitan mata oleh remaja itu. Isy, geram pula dia melihat gelagat hiper sejak dari pagi itu. Pintu kereta ditutup rapat dan dia menelan keadaan yang bising dengan lolongan hon kenderaan yang bersesak dijalanan. Fuh! Habis lenguh satu badan kerana perlu duduk hampir lapan jam di dalam kereta. Dia menoleh kiri dan kanan. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk masuk kerana solat Asar belum ditunaikan lagi. Baru selangkah, telefonnya bergetar. Dia menjawab.

"Suraya, nanti saya hantar awak balik. Naiklah dulu."

Talian diputuskan dan serta-merta dia mendongak.

'Dia nampak aku ke?'

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.