Home Cerpen Seram/Misteri Kala Senja Dia Datang 'Raya Special'
Kala Senja Dia Datang 'Raya Special'
A. Darwisy
24/7/2014 18:57:48
6,957
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Kobaran api di tengah-tengah tanah lapang itu, menghangatkan kedinginan seawal hulu dinihari di Kampung Surau Tinggi. Unggun api yang marak menyala dari longgokan kayu yang dikumpul setempat, menghidupkan sumbu-sumbu hati yang sedang bertahajud di sepertiga malam. Malam-malam yang mana Allah telah janjikan kepada hamba-hambaNya, ganjaran pahala berlipat-lipat ganda bagi mereka yang menghidupkannya. Teguh terus larut dalam kelazatan beribadah. Sepuluh malam terakhir Ramadan mahu dimanfaatkan sehaulnya. Beriktikaf di surau menjadi kelaziman rutinnya saban hari.

“Mustafa, cukup-cukuplah. Mantapkan jiwamu, wahai saudaraku...” tegur Teguh apabila melihat pemuda itu yang seperti sudah padam semangat diri. Mustafa yang masih terkenang-kenang akan nasib diri yang malang. Sungguh, hatinya walang. Siapa menyangka, isteri yang dicintai, rupa-rupanya petualang! Tinggalkan dia seorang, meladeni hidup tidak berteman.

“Aku cuma kasihankan Abdurrauf...baru mahu melihat dunia, sudah tidak beribu,”

“Usah dikenang perkara yang lepas. Abdurrauf sudah setahun usianya. Lambat-laun dia akan faham,”

“Manalah menghilangnya Bunga? Terus lenyap bagai ditelan bumi,” keluh Mustafa.

“Kau masih sayangkan dia?” duga Teguh ingin menguji sejauhmana ikrar pemuda itu yang tega menolak mungkar meski pelakunya mantan isteri sendiri.

“Sayang kerana dia tidak diberi hidayah Allah. Aku selalu berdoa supaya terbuka pintu hatinya, biarpun sedikit untuk bertaubat dan kembali ke jalan Allah,”

“Bertabahlah, saudaraku...” Teguh menepuk-nepuk bahu Mustafa. Apalah lagi yang boleh dilakukannya selain dari mendengar luahan hati seorang sahabat yang diuji hebat. Mudah-mudahan, berkuranglah beban yang menghimpit perasaan.

Saki-baki malam terus diisi dengan menundukkan diri serendah-rendahnya kepada Pencipta. Masing-masing takut kalau-kalau inilah Ramadan terakhir buat mereka. Ajal maut bukannya mampu ditebak bila tiba waktunya. Bersiaga dan merancang kematian yang husnul khatimah itu sebijak-bijak manusia.

Subuh mengumpulkan sebahagian besar penduduk Kampung Surau Tinggi untuk berjemaah bersama-sama. Teguh mengambil alih peranan Tok Wali Sagor menjadi imam. Pemimpin kampung itu sekarang ini sudah tidak seampuh dulu. Solatnya juga tidak upaya lagi untuk dilakukan secara berdiri. Nikmat kudratnya ditarik Allah satu persatu. Waima dalam keadaan duduk, Tok Wali Sagor tetap tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Tidak sekali-kali tiang agama mahu dipatahkan sendi sewenang-wenangnya.

Seorang penduduk kampung berlari-lari anak mendapatkan Teguh dan Mustafa, ada perkhabaran penting yang mahu disampaikannya. Dilihat pada raut wajah si pembawa berita, mereka tahu ada sesuatu yang tidak kena.

“Teguh! Mustafa! Aku tahu dia di mana sekarang!” tercungap-cungap lelaki itu sambil menongkat kedua-dua belah tangan pada kepala lututnya. Bagai mahu putus nyawanya berlari meredah belukar.

“Tarik nafasmu dalam-dalam, saudaraku. Sudah tenang, barulah sampaikan apa yang kau tahu,”

“Bunga! Aku nampak Bunga!” Mustafa membuntang matanya, terkejut tidak percaya. Apa mungkin ingatannya terhadap perempuan itu lewat kebelakangan ini, membawa satu petanda?

“Kau nampak dia di mana?” soal Teguh semula.

“Sudah kebetulan, sedang aku mencari buah hutan sekejap tadi, aku terdengar suara orang mengerang kesakitan. Aku pun ikut arah suara itu dan aku yakin mata ini tak silap. Aku boleh tunjukkan mana tempatnya. Badannya susut sekali, seperti tinggal rangka!” Teguh menggeleng-gelengkan kepala. Dia tidak terkejut sama sekali dengan apa yang didengarnya. Mana mungkin perempuan itu mampu bertahan. Ramadan, bulan perlindungan bagi sekalian penduduk Kampung Surau Tinggi. Tetapi jahanam untuk penyembah syaitan!

“Kalau begitu, kau bawa kami ke sana. Ayuh, kita pergi sekarang!” usul Teguh tidak mahu membuang masa. Mereka bertiga meredah hutan belukar, telusur jauh ke dalam. Meski matahari tegak di atas kepala, tetapi tidak sampai ke lantai hutan. Terasa suasana bagaikan sudah senja. Mustafa mengerah kudrat untuk menyaingi kepantasan Teguh yang berlari bagaikan angin yang bertiup. Lelaki itu memegang kemas bahu si penunjuk jalan dan mendudu kedua-duanya maju ke depan tanpa berpaling. Mustafa tercungap-cungap. Dalam keadaan diri yang sedang berpuasa, terkial-kial dia mahu mengejar dari belakang, mengekori jejak denai yang ditinggalkan.

“Di bangsal itulah, aku nampak Bunga terkedang. Kalian pergilah... aku tak berani datang dekat,” beritahu si penunjuk jalan sebaik mereka bertiga sampai di tempat yang dimaksudkan. Teguh dan Mustafa mengangguk serentak. Kedua-duanya mengatur derap langkah sepakat.

“Busuk...” bisik Mustafa, tidak tahan dengan bau meloyakan yang dibawa angin. Semakin dia menghampiri bangsal itu, semakin keras mencucuk pula baunya.

Teguh mendahului Mustafa, berhati-hati memanjat naik bangsal yang dilihat dari luaran, bila-bila masa saja boleh menyembah bumi. Cuping telinga kedua-duanya menangkap suara erang seorang perempuan.

“Astaghfirullah,” spontan keluar dari mulut Teguh sebaik melihat sekujur tubuh yang cuma berkemban kain batik, berlumur dengan najis, terkejur di hadapan mereka. Hampir-hampir dia tidak kenal yang pemilik jasad itu adalah Bunga. Bunga yang dulunya rupawan. Bunga yang dulunya menjadi igauan. Benarlah perkhabaran yang disampaikan oleh lelaki tadi. Batang tubuh perempuan itu nyata sekali seperti tinggal rangka. Paling mengerikan, kedua-dua biji matanya tersembul seperti mahu keluar dari soketnya.

“Bunga...” seru Mustafa, lirih memanggil nama mantan isterinya. Bunga yang terdengar namanya disebut, menggerakkan kepalanya. Terdorong Mustafa beberapa langkah ke belakang lantaran terkejut melihat Bunga yang terbelalak memandangnya dengan lidah terjelir panjang. Tidak ubah seperti seekor anjing yang menjelir lidahnya.

“Haus! Aku haus! Bagi aku air!” perintah Bunga dengan suara meneran. Teguh mengisyaratkan kepada Mustafa supaya diturutkan saja permintaan perempuan itu. Bergegas Mustafa mencari apa saja bekas yang ada lalu mencedok air tadahan hujan di luar bangsal itu. Atas nama kemanusiaan, Mustafa menyuapkan air ke mulut perempuan itu yang terlantar sakit.

“Tak cukup! Aku haus! Bagi aku minum lagi! Haus! Haus!” desak Bunga lagi selepas licin bekas air itu. Mustafa akur dan mengulangi apa yang dilakukannya tadi. Tetapi, Bunga tetap juga kehausan sehinggalah air tadahan hujan di dalam tempayan itu kering kontang. Teguh menggeleng-gelengkan kepala. Dia memegang pergelangan tangan Mustafa, menghalang lelaki itu untuk terus menyusahkan diri.

“Usah diturutkan lagi kehendaknya. Perempuan ini jadi begini kerana perbuatannya sendiri. Barakah bulan Ramadan ini akan menjadi penjara buatnya selagi dia tidak bertaubat,”

“Apa maksudmu, Teguh?”

“Segala macam bentuk penyembahan dan amalan syiriknya dalam bulan perlindungan ini tidak lagi memberi sebarang kesan. Sebaliknya, pergantungan hidupnya pada iblis dan syaitan selama ini, memakan dirinya semula. Melainkan...”

“Melainkan apa, Teguh?” tanya Mustafa yang kelihatan masih mengambil berat kebajikan mantan isterinya itu.

“Melainkan dia melafaz syahadah, bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah,”

Mustafa mengeluh halus. Dia tahu Bunga sudah tersasar jauh. Mustahil perempuan itu akan kembali ke pangkal jalan. Dia masih ingat lagi sumpah keramat perempuan itu.

“Biar aku rentung hatta menjadi kayu bakar api neraka, tapi tidak sekali-kali aku akan tinggalkan iktikadku. Aku penyambung waadat ibuku, Ratna. Sampai tujuh keturunan, aku akan mengganggu keturunanmu!!!”

***

Azman memerhati Akil dan Fatin dari jauh. Hatinya terasa lapang. Sepanjang bulan Ramadan ini, mereka anak-beranak menjalani hidup begitu tenang sekali. Pun begitu, semakin menghampiri hujung-hujung bulan perlindungan, Azman semakin menggelisah. Lebih-lebih lagi malam ini sudah masuk malam tujuh likur. Tinggal beberapa malam saja lagi untuk dia kembali berperang dengan keadaan.

“Termenung jauh kamu, Man...” lembut suara Haji Rahim menyapa dari belakang. Azman terangkat bahunya sedikit.

“Bapak...tak ada apa-apalah. Seronok tengok Akil dengan Fatin main bunga api tu,” Azman menyembunyikan perasaannya yang sebenar. Haji Rahim mengambil tempat duduk di sebelah anaknya yang sudah ditakdirkan meneruskan kelangsungan hidup tanpa isteri di sisi. Al-Fatihah untuk Samrah. Bisik hati orang tua itu.

“Anak-anak kamu tu jarang-jarang dapat bermain dengan kawan-kawan sebaya mereka. Bapak risau pula nanti bila dah besar, masing-masing anti sosial. Tak pandai bergaul dengan masyarakat. Kamu tak perlu ketat sangat kawal hidup mereka,” nasihat Haji Rahim disambut keluhan kecil Azman.

“Bukan niat saya hendak mengongkong ataupun menyekat kebebasan mereka, bapak. Bapak pun tahu kan saya buat semua ni bersebab,” Haji Rahim mengangguk tenang. Ya, dia jauh lebih faham. Sumpah senja itu mana mungkin akan berakhir!

“Tapi syukur alhamdulilah, dengan izin Allah...selepas kejadian di masjid tak lama dulu, benda tu dah tak ganggu anak-anak kamu lagi. Sudah tiga bulan rasanya... sejak masuknya bulan Rejab, Syaaban sehinggalah ke Ramadan hari ini,”

“Bapak yakin benda tu takkan mengacau anak-anak saya lepas ni?”

Haji Rahim terdiam. Di luar kuasanya untuk menjawab soalan itu. Apa yang mampu dilakukannya, bertawakal dan meminta petunjuk dari Allah. Dia yakin, kuasa Allah mengatasi segalanya.

“Ustaz Jamil telefon bapak lewat petang tadi. Dia kirim salam assalamualaikum kepada kamu,” Haji Rahim menukar tajuk perbualan. Tidak mahu anaknya, Azman terus-terusan berkeluh-kesah dan berfikir yang bukan-bukan.

“Waalaikumusalam warahmatullah. Bapak sembang apa dengan dia?”

“Dia tanya khabar kita sekeluarga,”

Dua lelaki dewasa itu terus berbual sambil memantau Akil dan Fatin yang sedang berkejar-kejaran dengan anak-anak kampung yang lain, bermain bunga api. Terleka seketika mengawasi gerak-geri Akil dan Fatin, singgah di pendengaran mereka suara jeritan seorang kanak-kanak perempuan. Mendadak jantung Azman berdegup kencang. Bergegas dia dan Haji Rahim bangkit dari duduk mereka dan berlari ke arah kumpulan kanak-kanak yang sedang berkerumun melihat sesuatu.

“Abah! Tengok ni!” laung Akil lalu menarik pergelangan tangan lelaki itu. Haji Rahim turut menyelit di celah-celah kerumunan anak-anak kecil itu. Terbeliak mata mereka masing-masing.

“Bangkai anjing...” ucap Azman perlahan. Dia memandang Haji Rahim di sebelah, mengharap apa saja penjelasan bagi merungkai persoalan yang tiba-tiba mendatang ini. Haji Rahim terdiam sejenak. Sebaliknya, dia menyuruh semua kanak-kanak yang sedang bertinggung mengelilingi bangkai haiwan itu supaya balik ke rumah. Tidak terkecuali Akil dan Fatin yang memuncung mulut mereka apabila disuruh masuk ke dalam rumah.

“Masih baru lagi, kalau tak mesti berbau...” hujah Haji Rahim selepas tinggal dia, anak lelakinya di situ.

“Bapak, ada orang bela anjing ke kat kampung ni?” soal Azman, mencurigai sesuatu.

“Sini kawasan kampung orang Melayu, ada lah beberapa keluarga Cina yang tinggal di sini tapi setahu bapak, dorang tak bela pula anjing...”

“Habis, anjing ni datang dari mana?” gumam Azman, antara dengar dengan tidak. Haji Rahim meninggalkan Azman sekejap di situ sementara dia ke belakang rumah mengambil sesuatu.

“Kita tanam ajelah bangkai anjing ni sebelum perutnya membusuk...” cadang Haji Rahim yang sudah memegang cangkul di tangan. Bangkai anjing itu dialihkan menggunakan cangkul, sedikit jauh dari perkarangan rumah itu lalu ditanam dalam-dalam.

“Man tak sedap hatilah, bapak...” luah Azman sebaik mereka selesai menanam bangkai anjing berkenaan.

“Anjing liar aje tu,” putus Haji Rahim, menidakkan segala macam rasa kurang enak yang mulai menular dalam perasaan Azman. Masuk saja ke dalam rumah, Hajah Aminah menyerbu ke arah suaminya.

“Akil beritahu saya, ada bangkai anjing kat depan rumah kita. Betul ke, bang?” soal Hajah Aminah, terburu-buru kedengaran nadanya. Haji Rahim mengangguk tenang.

“Saya dah tanam pun, jauh dari sini...”

“Mana pulak datangnya anjing tu? Jangan-jangan...”

“Dah...dah... tak payah fikir jauh sampai ke situ pulak. Saya nak ambil wuduk kemudian masuk tidur. Awak jangan lupa kejutkan saya dalam pukul 3 nanti, sayang kalau kita lepaskan ganjaran sepuluh malam terakhir ni,” pesan Haji Rahim sekaligus meletakkan titik pada hujahnya. Hajah Aminah tunduk akur. Meski dia tahu, suaminya itu sebenarnya tidak mahu memanjang-manjangkan cerita. Bukan baru sehari dua dia mengenali keperibadian suaminya itu tetapi sudah berpuluh tahun lamanya.

Tinggal Azman dan Hajah Aminah di ruang tamu. Akil dan Fatin sudah disuruh masuk dan tidur di bilik masing-masing oleh Haji Rahim. Sementara Suri, nyenyak tidur didodoi Hajah Aminah di dalam buaian, sejak lepas Isyak tadi.

“Besar ke anjing tu, Man?” Hajah Aminah berbisik. Hatinya meronta-ronta hendak tahu.

“Tak besar macam anjing yang kita nampak waktu dalam perjalanan kita balik kampung hari tu. Tapi...persamaannya, anjing hitam dan ada tanda putih kat atas mata,”

Hajah Aminah tidak senang duduk mendengarnya. Dia mengheret pergelangan tangan Azman supaya duduk rapat di sebelah.

“Benda tu menunggu Ramadan berakhir... Mak dapat rasa, Man... Ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Raya kita tak macam raya keluarga lain,” Hajah Aminah berombak dadanya. Mata wanita itu sudah berkaca.

***

Ahli-ahli kariah Surau Tinggi yang dipimpin Teguh, meneruskan tradisi amalan ziarah dari rumah ke rumah setiap kali hari pertama bulan Syawal. Bermula dari pagi hinggalah ke lewat petang. Lazimnya, kumpulan kariah surau ini akan dipecahkan kepada beberapa lagi kumpulan kecil yang terdiri daripada lima hingga enam orang ahli, dan akan menziarah setiap rumah bagi merapatkan tali silaturahim sesama penduduk.

“Remang-remang senja sudah kelihatan, ada baiknya kita bubar dan beransur pulang,” cadang salah seorang penduduk kampung sambil menengadah ke langit jingga. Teguh mengangguk setuju, mengizinkan mereka bersurai. Tetapi dalam ramai-ramai itu, kelibat Mustafa tidak pula kelihatan. Ke mana pula lelaki ini?

“Siapa antara kamu yang sekumpulan dengan Mustafa tadi?” soal Teguh membuatkan masing-masing tidak jadi hendak melangkah pulang.

“Saya. Kenapa, Teguh?” sahut Saidikin. Saidikin, salah seorang anak kampung itu juga.

“Rumah terakhir kumpulan kamu pergi, rumah siapa? Ada Mustafa ikut sekali?”

“Kami ke rumah Mak Pah, bidan kampung. Tapi Mustafa tidak ikut. Katanya dia ada urusan lain,”

“Tidak apalah kalau begitu, Saidi. Kalian boleh pulang,”

Teguh terdiam sejenak tetapi dalam masa yang sama otaknya ligat berfikir. Entah kenapa, gerak hatinya kuat mengatakan yang Mustafa ke bangsal buruk di tengah hutan untuk bertemu Bunga. Kalau benar telahannya itu, nyawa lelaki itu berkemungkinan dalam bahaya. Manakan tidak, Bunga sudah tentu akan mengambil peluang ini untuk memporak-perandakan semula Kampung Surau Tinggi. Ramadan sudahpun berlalu pergi. Bila-bila masa saja, kekecohan boleh berlaku. Teguh membuka langkah. Dia perlu cepat mencari Mustafa sebelum hari masuk senja.

Sudah jauh ke dalam hutan tetapi bangsal buruk yang menjadi tempat perteduhan Bunga masih tidak dapat dijejaki. Waktu kian suntuk. Teguh yakin dia tidak silap jalan tetapi aneh sekali, bagaikan dia berpusing-pusing di tempat yang sama. Teguh menarik nafas dalam-dalam. Surah Al-Fatihah bermain di hujung lidah. Dia dapat merasakan ada kuasa jahat yang membatasi pandangannya. Bukan sekadar mahu menutupi penglihatannya malahan sengaja hendak melengah-lengahkannya. Teguh mengejapkan kelopak mata. Hanya kepada Allah, dia meletakkan pergantungan sepenuhnya.

“Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi syaiun fil ardhi wala fis sama'ie wa huas sami'un alim,” (Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit selagi bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.)

Doa ayat penggerak itu diulang baca sebanyak tiga kali. Usai bacaan, tujuh langkah diatur dan pada setiap langkahan, sekali lagi mulut Teguh membacakan sesuatu.

“Salamun ‘ala nuhin fil ‘alamina innaka hamidun majid,” (Kesejahteraan ke atas Nabi Nuh di seluruh alam.)

Perlahan-lahan Teguh membuka mata. Alangkah terkejutnya lelaki itu bila mana melihat suasana di sekeliling yang mulai merelop. Teguh mendongak ke langit, nyata sekali senja sudah berlabuh.

“Aku sudah masuk perangkap,” gumam Teguh sedikit kesal. Bangsal buruk yang sebelum ini dicarinya merata-rata, berada di depan mata. Membuntang mata lelaki itu apabila mendapati susuk tubuh Mustafa terbaring berdekatan bangsal itu.

“Mustafa, bangun!” Teguh menggoyang-goyangkan batang tubuh lelaki itu. Melihat tiada tindakbalas daripada Mustafa, Teguh mengeluarkan sesuatu dari kantung bajunya. Botol kecil minyak kasturi yang tidak tinggal dibawanya ke mana-mana, dioleskan sedikit pada telapak tangan lalu dilayang-layangkan pada hidung lelaki itu. Dalam masa yang sama, hujung lidah Teguh lancar membaca Selawat Tafrijiyyah.

Dengan izin Allah, Mustafa akhirnya sedar. Dirinya yang dalam keadaan terlentang ketika itu segera mengiringkan badan ke kiri. Perutnya bergolak, membuak-buak terasa mahu muntah. Teguh memalingkan kepalanya apabila melihat Mustafa memuntahkan segala isi perutnya. Bau masam pekat menusuk deria hidu masing-masing. Teguh membantu Mustafa untuk bangkit selepas lelaki itu benar-benar sudah tidak terasa hendak muntah lagi. Tersandar Mustafa di batang pokok sambil mengelap lebihan air liur di pinggir bibir.

“Macam mana kau boleh berada di sini?” tanya Mustafa, lemah ucapnya.

“Aku yang sepatutnya bertanyakan soalan itu kepada kau,”

“Aku...aku...menziarah Bunga tadi...” Mustafa serba-salah hendak berterus-terang. Dia hanya mahu melihat keadaan Bunga yang nazak. Tetapi akhirnya, dia sendiri yang terpedaya lalu jatuh dalam perangkap perempuan itu. Keadaan Bunga jauh sekali berbeza sewaktu kedatangannya bersama Teguh beberapa hari yang lalu. Bunga begitu lincah pergerakannya sehingga dia sendiri tidak mampu mengalahkan perempuan itu dalam pertempuran mereka tadi.

Tumbukan demi tumbukan di bahagian perut dan sepak layang di kepala, membuatkan Mustafa yang baru belajar ilmu persilatan, mudah saja ditewaskan. Hampir satu badannya lebam-lebam. Ilmu mempertahankan dirinya belum cukup ampuh untuk bertentang dengan perempuan itu.

“Dan kau teruk dibelasah perempuan itu hingga pengsan?” duga Teguh dan Mustafa menganggukkan kepala.

“Aku tak sangka, dia boleh kembali sihat dalam sekelip mata,”

“Apa nak dihairankan sekiranya tubuh sudah ditumpangi setan. Mari aku bawa kau keluar dari sini. Lagi berlama kita di sini, lagi terdedah kita dengan bahaya,”

Teguh memapah Mustafa berjalan keluar dari hutan. Sekembali mereka ke Kampung Surau Tinggi, Teguh terasa dadanya berat tiba-tiba, petanda buruk sesuatu sedang menimpa. Teguh mempercepatkan langkahnya.

“Teguh! Teguh!!” Serentak Teguh dan Mustafa berpusing ke arah suara yang melaung. Kelihatan Saidikin terkocoh-kocoh berlari mendapatkan mereka berdua.

“Kenapa Saidi? Apa yang sudah berlaku?”

“Geunteut! Geunteut menyerang kampung kita tadi!”

Teguh beristighfar panjang. Nampaknya, caturan permainan Bunga sudah berjaya. Perempuan itu bijak mengambil kesempatan sewaktu dia nyaris-nyaris sesat di dalam hutan mencari Mustafa tadi. Selang masa yang singkat itu digunakan sebaiknya oleh Bunga yang tidak pernah surut dendam kesumatnya. Senja memang waktu kegemarannya membuat jahanam!

“Allahu akbar! Ada orang kampung yang terbunuh?”

“Tok Wali...Tok Wali cedera parah, Teguh! Geunteut mahu mengambil anak Mustafa, Abdurrauf. Dan Tok Wali cuba menghalang. Akibatnya...”

Saidikin tidak mampu meneruskan ucapnya, apatah lagi hendak memberitahu yang Tok Wali Sagor tewas teruk dalam pertarungan sengit tadi. Di dalam kampung itu, selain Teguh, siapa lagi yang handal dalam ilmu pencak dan kebatinan melainkan Tok Wali Sagor. Malangnya, ketua kampung itu sudah tidak seperti dulu lagi. Sejak pertarungan dengan Bunga beberapa bulan yang lalu, kudratnya bagai disedut keluar. Tok Wali Sagor tidak setangkas seperti kelazimannya. Pun begitu, demi menyelamatkan cucu kesayangan, dia tekad berpantang maut sebelum ajal! Hatta Bunga hakikatnya bukanlah anak kandungnya yang sebenar.

Teguh, Mustafa dan Saidikin mempercepatkan langkah masing-masing untuk menemui Tok Wali Sagor. Lebaran pertama yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan bertukar menjadi tragedi dan mimpi buruk buat sekalian penduduk Kampung Surau Tinggi. Kala senja, geunteut sekali lagi membuat onar!

“Tok! Tok! Ya Allah!” Berlari Teguh mendapatkan susuk tubuh tua itu yang tersandar lemah di batang pokok dengan darah merah pekat mengalir keluar dari mulutnya. Mustafa lebih terperanjat lagi. Inilah kali pertama dia melihat ketua kampung merangkap bapa mentuanya itu, dalam keadaan tertewas sedemikian rupa.

“Bapak, jangan banyak bergerak. Dalaman bapak cedera parah ni,” Mustafa menghalang Tok Wali Sagor yang cuba untuk bangkit. Orang tua itu tetap berdegil, semangatnya masih kuat.

“Bawa Abdurrauf jauh dari Tanah Rencong ini, Mustafa. Selagi anak kamu di sini, nyawanya sentiasa dalam bahaya. Dan kamu Teguh...” Tok Wali Sagor terbatuk darah. Makin kalut Mustafa dan Teguh melihat keadaan orang tua itu.

“Ya, tok...” sahut Teguh.

“Ajari cucu angkatku, Jamalullail dengan ilmu persilatan dan perubatan. Aku mahu satu hari nanti, dia dan nasab keturunannya akan mampu menjadi pelindung buat Abdurrauf juga cucu cicitnya,”

“InsyaAllah, tok. Amanah tok akan saya gigit dengan gigi geraham,”

Tok Wali Sagor tersenyum tenang. Penyambung waadat Ratna akan bertemu ruasnya suatu hari nanti. Biar melangkaui zaman tetapi Tok Wali Sagor yakin, akan ada seseorang yang mampu melenyapkan sumpahan Bunga. Tidak pada zaman ini, mungkin pada zaman di mana jasadnya sudah reput ditelan bumi.

***

Takbir raya mengundang sebak di dalam jiwa dua lelaki itu. Seorang kehilangan isteri tercinta, seorang lagi kehilangan ibu yang menjadi tempat bermanja. Pun begitu, kedua-duanya cukup tabah mengharung lebaran pertama tanpa orang yang tersayang. Akil mengulang baca surah Yasin sebanyak dua kali, dia mahu berlama-lama di pusara arwah emaknya itu. Azman faham gelodak perasaan anak kecilnya itu. Samrah menemui ajal di depan mata Akil sendiri. Sampai bila-bila, peristiwa menyayat hati itu akan dikenang mereka anak-beranak.

“Assalammualaikum,”

“Waalaikumusalam warahmatullah. Ya Allah, Majid! Selamat hari raya! Selamat hari raya!”

Azman mendakap tubuh Majid dengan penuh rasa mahabbah. Majid, pemandu teksi yang banyak menolongnya sebelum ini. Hadir di kala dia benar-benar memerlukan bantuan. Terkadang, Azman merasakan antara dia dengan Majid bagaikan ada satu ikatan persaudaraan yang sangat kuat.

“Selamat hari raya kembali, encik Azman. Kita tiap kali ada rezeki untuk berjumpa, di tanah perkuburan ajelah tempat untuk kita menyambung ukhuwah,”

Azman dan Majid ketawa kecil. Barangkali sudah aturan yang Maha Berkuasa. Ditakdirkan mereka bertemu di situ untuk kesekian kali. Majid di situ kerana menziarahi pusara sahabat rapatnya.

“Awak, apa khabar Majid? Masih diganggu dengan bau-bau haruman dalam teksi awak tu?” usik Azman, sekadar hendak menceriakan suasana.

“Hisy, jangan ditegur encik Azman,”

“Saya seloroh saja,”

“Sebenarnya, saya sekarang dah tak memandu teksi lagi. Saya dah dapat kerja tetap. Memandu teksi, kerja sementara saya aje,”

“Alhamdulilah. Senang saya mendengarnya,”

“Balik dari kubur, encik Azman dengan anak hendak ke mana pula? Jemputlah beraya di rumah saya bila ada kelapangan nanti,”

“Saya hendak ke hospital sekejap. Kemudian lewat petang, balik ke Kelantan semula. Anak-anak saya yang lain, ada di kampung. Tinggal dengan orang tua saya kat sana. InsyaAllah, lepas seminggu di kampung, saya balik Kuala Lumpur semula. Nanti saya ajak anak-anak beraya di rumah awak ya,”

“Boleh tahan ye encik memandu KL-Kelantan balik hari? Makan sehari suntuk jugak tu. Hmm... encik nak ke hospital tu, ada saudara-mara yang sakit ke?”

“Saya mahu ziarah pelajar saya. Dia kurang sihat sikit,” jawab Azman tanpa memperincikan lebih lanjut. Majid menganggukkan kepala. Akil yang sudah selesai membaca surah Yasin buat kali keduanya itu, menghulur salam kepada sahabat ayahnya. Pertemuan mereka selesai di situ. Masing-masing berangkat pulang, mengisi baki hari lebaran pertama seadanya. Bagi Azman, Aidilfitri kali ini diraikan begitu sederhana sekali. Sekadar lunasi tanggungjawabnya membahagiakan anak-anak, Fatin dan Suri yang masih tidak mengenal erti kesedihan berbanding Akil yang sudah boleh berfikir.

“Kita nak ke mana lepas ni, abah?” tanya Akil kepada Azman yang masih tidak tahu perancangan si ayah. Fikirnya selepas menziarahi pusara arwah emaknya, mereka akan bergegas balik ke kampung sebelum senja.

“Abah nak singgah hospital sekejap. Nak melawat pelajar abah, kak Marina yang pernah abah bawa Akil jumpa dia dulu,”

“Oh, kak Marina yang sakit tu ye...” Azman mengiyakan pertanyaan si anak. Azman sebenarnya mengejar masa. Dia tidak mahu berlama-lama di Kuala Lumpur, terasa seperti ada malapetaka yang akan menghambat mereka anak-beranak di pertengahan jalan.

Sampai saja di hospital, Azman terus berjumpa dengan staf hospital yang bertugas untuk berjumpa Marina. Sempat Azman bersembang ringkas dengan jururawat yang menjaga bilik wad pesakit itu, bertanyakan tentang Marina.

“Bagaimana keadaan Marina sekarang?”

“Sepanjang Ramadan, alhamdulilah dia dah beransur sihat. Sudah boleh bergaul dengan pesakit-pesakit yang lain. Tapi biasalah, sakit yang melibatkan tekanan perasaan ni makan masa yang lama untuk sembuh. Bergantung pada sokongan orang sekeliling juga,”

“Ada saudara-mara dia datang melawat?”

“Saya selalu nampak, kawan baik dia aje yang tiap-tiap hari luangkan masa dengan dia. Tak silap saya, Ashikin namanya,”

“Oh, saya kenal dia...pelajar saya juga tu,”

“Encik bolehlah melawat Marina, saya buat kerja saya dulu,” ucap jururawat itu. Azman telah beberapa kali datang melawat Marina di situ dan disebabkan itulah, ada staf dan jururawat hospital yang sudah mengenali wajahnya. Bahkan mereka tahu, Azman adalah pensyarah di tempat Marina belajar.

“Assalammualaikum, Marina...”

Azman mengucap salam. Marina yang sedang duduk termenung di atas katil, memandang ke luar tingkap bilik pesakit, berkalih kepalanya.

“Encik Azman. Waalaikumusalam...”

“Selamat hari raya, Marina. Saya bawa kuih raya untuk awak sekali,” Azman meletakkan sebalang biskut tat di meja sisi katil pesakit itu. Marina tidak menunjukkan sebarang reaksi. Tetapi arah matanya tepat memandang ke wajah Akil. Akil yang takut-takut hendak rapat dengan Marina. Menyorok dia di belakang abahnya.

“Baik encik Azman balik sekarang. Balik!”

Azman berderau darahnya. Tidak pernah-pernah pula Marina menjerkah apabila dia datang. Kenapa pula emosi perempuan itu berubah tiba-tiba?

“Saya bukan nak halau encik Azman. Tapi Jamaliah pun suruh encik Azman balik sekarang. Sebelum terlambat...”

Setiap kali dia datang, sepotong nama itulah yang acapkali disebut-sebut Marina. Siapa Jamaliah?

“Sebelum terlambat? Maksud Marina?” tanya Azman, sengaja mahu menduga. Walaupun dia tahu, hendak mempercayai kata-kata seorang pesakit yang mengalami masalah jiwa, bukanlah sesuatu yang boleh diterimanya bulat-bulat.

“Kala senja dia datang... Setan tu nak anak encik Azman. Lebih baik encik lekas balik! Saya kata, balik!!!” Marina menjerit sekuat-kuatnya. Bergegas jururawat bertugas, datang mengawal keadaan. Azman dan Akil saling berpandangan hairan. Serentak mereka anak-beranak membuang pandang ke luar tingkap. Langit masih biru.

Ustaz Jamil begitu kuat prarasanya mahu berjumpa dengan keluarga Haji Rahim pada hari itu. Sudahnya, dia buat keputusan untuk datang bertandang pada petang itu juga. Dia datang berseorangan, tidak dibawa isterinya bersama.

“Selamat hari raya, Jamil. Allah...jemput masuk, jemput masuk,” pelawa Haji Rahim meraikan tetamu istimewanya itu. Hajah Aminah yang memang sudah menyiapkan minuman panas untuk para tamu yang tidak putus-putus datang kunjung, menjemput ustaz muda itu untuk membasahkan tekak. Lemang dan ketupat yang sudah siap dipotong-potong, dipindahkan ke dalam pinggan. Disajikan bersama kuah lodeh, kuah kacang dan rendang ayam.

“Ya Allah, susah-susah aje pak cik dengan mak cik. Marilah makan sekali,”

“Tetamu perlu diraikan, Jamil. InsyaAllah, besar pahalanya,” ucap Hajah Aminah yang ligat tangannya menyenduk itu ini ke dalam pinggan juadah. Ustaz Jamil tersenyum lebar. Senang sekali diraikan begitu, Allahu akbar, indahnya hidup bersyariat.

Ustaz Jamil menjamu selera seadanya. Sambil-sambil itu, melayan borak Haji Jamil yang ada saja ceritanya. Menghampiri jam 6 petang, Haji Jamil mulai beriak resah. Sekejap-sekejap dia memandang ke luar.

“Sepatutnya dia dah balik kalau bertolak awal pagi tadi,” gumam Haji Rahim dalam tidak sedar. Ustaz Jamil mudah saja dapat mengagak siapakah yang dimaksudkan oleh lelaki tua itu.

“Azman ke mana, pak cik?”

“Ke kubur arwah isterinya nun di Kuala Lumpur sana. Bertolaknya malam semalam. Dia dah janji dengan pak cik untuk balik hari ni sebelum senja,”

“Balik hari? Larat dia memandu ye,”

“Itu yang pak cik risau,”

“InsyaAllah, sekejap lagi sampailah tu...” pujuk Ustaz Jamil. Haji Rahim terpaksa akur. Langit sudah bersepuh warna emasnya. Sedikit demi sedikit.

Azman mengintai langit yang makin merelop. Lagi beberapa kilometer saja lagi untuk dia sampai ke destinasi. Berbaki setengah jam sebelum pukul 7 malam. Azman membuka aplikasi e-solat di telefon pintarnya. Masuknya waktu Maghrib tepat pada pukul 7.30 malam. Azman bertawakal kepada Allah. Lelaki itu memecut laju kereta yang dipandunya.

“Abah, Akil dapat rasa...dia nak datang,” bisik Akil takut-takut nadanya.

“Dah...dah...tak payah ingat lagi apa yang kak Marina cakap tadi. Akil kan tahu kak Marina tu tak sihat,” bijak Azman bermain dengan psikologi. Dia tidak mahu Akil terus-terusan dalam ketakutan.

“Sempat ke kita sampai rumah sebelum senja ni, bah?” tanya Akil lagi. Tidak habis-habis risaunya sejak balik dari hospital tadi.

“InsyaAllah, sempat...” balas Azman ringkas. Stereng dipegang kemas. Azman terus fokus pada pemanduannya. Sambil dalam hati memohon supaya perjalanan mereka anak-beranak lancar dan dipermudahkanNya.

“Abah, telefon abah bunyi!”

“Tolong angkatkan, Akil...” Akil segera mencapai telefon pintar milik si ayah lalu menjawab panggilan. Haji Rahim di hujung talian.

“Atok! Akil dengan abah dah nak dekat sampai ni. Oh, okey-okey. Nanti Akil beritahu abah. Atok tunggu kita orang tau,”

Azman dapat mengagak siapa yang menghubungi. Sudah tentu Haji Rahim risau. Janjinya, dalam pukul 6 petang akan sampai. Tetapi sekarang sudah pukul 6.40 petang.

“Atok cakap apa?”

“Atok pesan kalau jauh lagi, cari mana-mana surau atau masjid dulu. Kemudian, telefon atau SMS atok balik. Nanti atok datang dengan Ustaz Jamil jemput kita,”

Azman mengerling ke papan pemuka kereta di hadapannya, setiap digit yang bertukar bentuk selang minit itu membuatkan dia semakin berdebar. Sempat atau tidak ni? Gumam Azman sedikit teruji ketenangannya. Tidak mahu mengambil risiko, Azman mengikut nasihat Haji Rahim untuk singgah di mana-mana musala bagi melepaskan waktu Maghrib.

“Assalammualaikum. Awal datang berjemaah untuk Maghrib, saudara?” sapa mesra salah seorang pak cik yang barangkali ahli kariah madrasah itu. Azman memaniskan roman muka.

“Waalaikumusalam warahmatullah. Haah, kebetulan saya dalam perjalanan nak balik kampung. Lagi dua tiga kilometer nak sampai. Nampak madrasah ni, itu yang berhenti sekejap, singgah untuk jemaah,”

“Alhamdulilah...alhamdulilah...betul sangatlah tu. Rumah Allah, insyaAllah saudara dan anak dalam perlindunganNya,” Azman menghulur salam taaruf. Kedua-duanya berdakap kemas, lama.

“Pak cik, siapa nama? Saya Azman,”

“Orang sini panggil pak cik, Imam Hasan. Bersegeralah ambil wuduk. Sementara menunggu azan Maghrib, isi dengan membaca Al-Quran. InsyaAllah, benda tu takkan berani datang dekat,”

Berderau darah Azman. Pak cik ini macam dapat baca saja apa dalam fikirannya sekarang ini. Tidak mahu terlalu memikirkan perihal itu, Azman memimpin tangan Akil, menuju ke kolah air untuk mengambil wuduk. Sempurna berwuduk, Azman dan Akil memanjat tangga naik ke madrasah yang terletak di tepi jalan itu. Warna langit sudah berubah. Jingga merekah.

“Abah, hari dah senja...” bisik Akil yang duduk di sebelah sambil membuka Al-Quran kecil di tangan. Sebaik habis ucap itu keluar dari hujung lidah Akil, berdentam tingkap-tingkap kayu madrasah terbuka katup dengan sendiri secara tiba-tiba. Azman tersentak. Ditariknya tubuh kecil si anak untuk duduk lebih dekat. Bagaikan ulang tayang kejadian yang pernah menimpa mereka anak-beranak tidak lama dulu, berlaku lagi pada hari ini.

“Dia pusing-pusing kat luar aje pun, tak berani nak masuk. Ini rumah Allah. Tak payah nak risau sangat,” Imam Hasan yang basah anggota wuduknya, menyapa lembut dari belakang. Azman termangu-mangu.

“Pak cik tahu apa yang kacau kami?” Azman memberanikan diri bertanya. Imam Hasan tersenyum manis. Wajah redup dan bersih orang tua itu cukup menenangkan.

“Setan,”

Bumbung madrasah bergegar. Siling bagaikan mahu runtuh ke bawah. Imam Hasan menggeleng-gelengkan kepala. Kain serban putih di kepala ditanggalkan ikatannya. Hujung kain itu disimpulnya pada genggaman buku lima tangan kanan dan hujung yang lagi satu diregangkan dengan tangan kiri. Orang tua itu maju ke muka pintu madrasah.

“Kalian berdua duduk diam-diam dalam ni. Ambil Al-Quran dan bacalah. Biar pak cik tengok keadaan di luar. Pantang pak cik, rumah Allah yang pak cik jaga berpuluh-puluh tahun lamanya ni, berani-berani pula dia hendak buat kacau,”

Imam Hasan melibas kain serban putihnya yang panjang itu ke lantai. Dan pada setiap libasan, kelihatan bibir si tua itu bergerak-gerak. Kalimah Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai-in qadiir bergaung-gaung di udara. Azman meremang bulu romanya tidak semena-mena. Dari dalam madrasah itu, dia tergerak hati untuk melihat apa yang berlaku di luar. Membuntang matanya apabila melihat sepasang kaki gadang berbulu hitam dan lebat, sedang berlegar-legar di sekeliling madrasah itu.

“Geunteut ni masih ada sampai sekarang?”

“Setan, Man... hidupnya beranak-pinak, matinya tidak sekali-kali. Sampai dunia kiamat, setan ni akan memporak-perandakan hidup anak Adam. Itu janji mereka.”

Terngiang-ngiang dalam kepala Azman perbualannya dengan Hajah Aminah tidak lama dulu. Angin semakin galak bertiup kencang membawa bau yang amat busuk sekali. Akil menggeletar ketakutan. Dia tahu benda itu datang mahu mengambilnya. Dia takut. Takut yang bukan kepalang.

“Akil, baca ayat Kursi...” bisik Azman yang tidak putus-putus dalam hatinya membaca surah agung itu sebagai pelindung diri.

Dalam pada itu, teratak madrasah itu seperti mahu tercabut dari pasaknya. Berpelukan Azman dan Akil, mengharap keadaan tidak menjadi bertambah buruk lagi.

Imam Hasan menggumpal tanah lalu dikepalnya bulat. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu.

“Rabbi annii massaniya as-syaithoonu binusybin wa adaba,” (Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan hasutannya semasa aku ditimpa kesusahan dan azab seksa yakni penyakit). Surah Saad ayat 41

“Rabbi a’udzu bika min hamazaati-s-syayaathiini, wa a’udzu bika rabbi an yakhdurun,” (Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku). Surah Al-Mu'minuun ayat 97 hingga 98

“Wa khifzhon min kulli syaithoonin maarid,” (Dan Kami pelihara urusan langit itu dengan serapi-rapi kawalan dari masuk campur tiap-tiap syaitan yang derhaka). Surah As-Saaffaat ayat 7

Imam Hasan menghembus perlahan pada gumpalan tanah itu lalu melontarnya ke arah makhluk yang mendongak tinggi di hadapannya. Dengan izin Allah, sebaik melayang ke udara, gumpalan tanah berkenaan bertukar menjadi bebola api yang marak nyalaannya. Serentak dengan itu, bergema lolongan keras di udara, mirip lolongan seekor anjing dalam kesakitan. Azman membuka kelopak matanya perlahan-lahan apabila suasana sekeliling tiba-tiba menjadi senyap sunyi.

“Abah, benda tu dah takde ke?”

Azman mengangkat bahu. Mereka perlahan-lahan menjenguk ke luar. Kelihatan ada kenderaan yang berhenti di tepi jalan. Akil mengamati kelibat yang keluar dari perut kereta. Berlari dia ke luar apabila mendapati datuknya, Haji Rahim dan Ustaz Jamil yang datang menjemput.

“Atok!!!” laung Akil lalu melompat memeluk Haji Rahim. Orang tua itu menghembus nafas lega dan memanjat rasa syukur tidak terhingga apabila melihat cucunya itu selamat.

“Abah Akil mana?”

“Ada kat dalam, tok!”

Ustaz Jamil mendakap batang tubuh Azman menzahirkan rasa gembiranya. Alhamdulilah, Allah menjaga kedua-duanya dengan baik.

“Wanginya kamu, Man. Bau seribu bunga,” Ustaz Jamil tidak dapat menahan lidahnya dari menegur bau harum yang dihidunya itu. Azman terhidu-hidu bau badannya sendiri.

“Melekat bau Imam Hasan agaknya,” jawab Azman memikir logik. Memang tadi dia ada berdakapan dengan orang tua itu.

“Imam Hasan?”

Azman menganggukkan kepala, mensahihkannya. Ustaz Jamil terdiam. Alang-alang sudah berada di madrasah itu, Ustaz Jamil mengajak Azman, Haji Rahim dan Akil untuk solat Maghrib berjemaah sama-sama. Selesai menyempurnakan yang wajib, Ustaz Jamil berlama-lama di madrasah itu untuk bacaan tahlil. Azman mahu bertanya, tetapi dipendamkannya sehingga mustaid bacaan tahlil itu beberapa minit kemudian.

“Tahlil arwah untuk siapa, Jamil?”

“Imam Hasan. Madrasah ni dia yang jaga sewaktu hidupnya. Orang sini hormati dia sebagai darwis. Bersederhana saja orangnya tetapi alhamdulilah, baktinya kepada masyarakat, dikenang sampai mati. Di madrasah ini jugalah, anak-anak yatim dididiknya jadi hafiz Quran. Madrasah ini tak ubah fungsinya seperti maahad tahfiz. Tapi selepas pemergiannya 7 tahun lepas, jarang-jarang sekali orang bersolat di sini. Lebih-lebih lagi bila depan tu dah ada masjid baru yang dibina,”

Azman tercengang.

“Dan kalau Azman nak tahu, Imam Hasan ini jugalah antara orang yang dirujuk setiap kali ada budak hilang di kampung ni tak lama dulu. Arwah dah masak sangat dengan gangguan makhluk senja ni,”

Ustaz Jamil tersenyum penuh makna. Bahu Azman ditepuk-tepuknya. Azman masih tergamam. Kelopak matanya tidak berkelip-kelip.

ALLAHU AKBAR!

“...pantang pak cik, rumah Allah yang pak cik jaga berpuluh-puluh tahun lamanya ni, berani-berani pula dia hendak buat kacau,”

TAMAT

Nota Penulis: Ramadan, bulan madrasah. Bulan di mana iman diasah. Moga kita istiqamah. Salam Eidilfitri daripada saya untuk semua teman pembaca yang sudah mendapatkan novel Kala Senja Dia Datang. InsyaAllah, tunggu sesuatu yang lebih baik dan ampuh dari ini daripada saya tahun hadapan. – A.Darwisy

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.