Home Cerpen Seram/Misteri Antologi Jiwa Kacau : Aku Tak Tahu
Antologi Jiwa Kacau : Aku Tak Tahu
Imanisa Riana
6/4/2013 21:46:35
8,815
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Hujan turun mencurah-curah sejak pagi tadi. Ada ketika lebat dan ada ketikanya renyai-renyai. Sesekali terdengar guruh berdentum dan petir membelah bumi. Kerap benar petir menyambar di kampungku. Ada ketika terkena pokok dan ada ketika terkena rumah penduduk. Tetapi tiada lagi orang yang meninggal akibat petir itu.

Orang tua-tua kata, petir ‘panah syaitan’. Orang yang belajar sains kata sebab ada bijih atau galian yang terdapat di dalam tanah menyebabkan petir ‘tertarik’ ke situ. Macam teori elektriklah. Bila ada litar pintas, arus yang bocor akan dialirkan ke bumi. Tetapi bagi kebanyakan penduduk di situ, ini semua kerana Pak Hitam. Kata mereka, Pak Hitam ada membela jin dan teori petir memanah jin dan syaitan bermain di bibir mereka.

Pak Hitam merupakan seorang bomoh yang agak digeruni oleh penduduk kampung. Setiap kali dia mengubati penyakit yang pelik, dia akan berjaya. Ada orang kata Pak Hitam mengamalkan ilmu hitam untuk nampak hebat. Aku tak tahu kerana aku sendiri tak kenal ilmu putih atau ilmu hitam kerana tidak kelihatan di mataku. Kalau tahi cicak, tahulah aku mana hitam, mana putihnya.

Orang kata, ilmu hitam Pak Hitam adalah dari keturunannya atau perkataan popular sekarang, saka. Saka apa, aku tidak tahu. Orang kata, kalau saka harimau seseorang pewaris akan berdamping dengan jin yang berbentuk harimau. Malah boleh berkata-kata dengan ‘harimau jadian’ itu. Itu aku tidak tahu. Bab saka-saka ini aku tidak suka.

Menyusahkan! Dah bela, nak kena jamu. Orang kata Pak Hitam sediakan pulut kuning, ayam golek, bertih, coke untuk bagi makan jin dia. Air coke pun ada! Biar betul jin ni. Makan memilih juga. Makanan tu diletak dalam talam dan dibiar di sudut rumah dia. Jin itu akan makan. Aku tak tahu sama ada Pak Hitam yang makan atau jin dia. Sebab apa? Sebab aku tak tahu!

Hari ini aku pulang dari tempat kerja seperti biasa. Tiba-tiba kereta yang aku naiki meragam dan enjinnya mati berhampiran rumah Pak Hitam. Hujan masih lebat dan sesekali guruh berdentum. Aku telan air liur kesat. Di sebelah kiriku tanah perkuburan Islam dan di sebelah kanan rumah Pak Hitam.

Alahai! Yang oii! Yang kau nak mati pun tempat strategik macam ni kenapa? Kau pun tahu tuan kau ni tak kahwin lagi. Kau sengaja nak aku mati kena sakit jantungkah? Omelku sendirian. Aku ketuk stereng kerana geram.

Aku kerling sedikit arah kiri. Takut juga untuk memusingkan muka sepenuhnya. Bimbang jika ada makhluk yang tidak diingini mengintaiku dari celah-celah kuburan. Cerita yang kudengar minggu lepas tentang hantu perempuan yang membonceng motorsikal Mat Rempit di hadapan kawasan perkuburan ini benar-benar menyeramkan diriku.

“Eh! Hana, kau tu perempuan. Lagipun kau naik kereta, bukan motorsikal. Hantu perempuan tak kacau perempuan. Dia kacau lelaki saja. Lagipun aku bukanlah cantik sangat macam Maya Karin. Kalau Maya Karin lainlah,” ujarku bagi menguatkan semangat.

“Warghh! Maya Karin...tak mau...tak mau!” Aku tergeleng-geleng untuk membuang gambaran wajah Maya Karin sewaktu melakonkan watak hantu dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam.

Aku pandang ke kanan dan terlihat rumah Pak Hitam yang terang benderang. Hanya dialah satu-satunya orang yang boleh kuminta tolong saat itu. Jika ‘orang’ yang memenuhi tanah perkuburan di kiriku, pastilah aku pengsan jika ‘mereka’ mahu ‘menolong’.

Nak minta tolong ke tak? Kalau tak minta tolong, nak balik macam mana? Jauh lagi rumah ni, bisik hatiku, takut.

Segala cerita hantu yang pernah aku tonton terlayar di minda. “Kenapalah mereka buat cerita hantu? Momoklah, Hantu Boncenglah, Hantu dalam botol Kicaplah, Waris Jari Hantulah dan segala jenis hantu dijadikan filem. Itu belum masuk hantu Korea, hantu Jepun, hantu orang putih dan hantu Siam yang aku tengok. Itulah gatal sangat nak tonton cerita macam tu. Sekarang siapa yang susah? Aku juga!” Aku berleter untuk diri sendiri sambil mencapai telefon.

“Alahai! Waktu macam nilah kau nak ‘kong’.”

Telefon kucampak dalam beg tangan. Payung yang ada di dalam kereta, aku capai. Aku nekad untuk keluar. Sudah beberapa kali aku terkentut dan baunya terperap di dalam kereta. Sudahlah panas, berbau pula tu. Pewangi kereta pun tidak dapat menandingi bau yang keluar daripada gas perutku. Prrgh! Boleh pengsan.

Hari telah menjelang senja sedangkan aku masih termangu-mangu di sisi kereta. Kenapa tiada sesiapa yang lalu ketika ini? Kalau ada yang lalu bolehlah aku meminta tolong. Apabila memikirkan hari kian gelap, aku menapak juga ke rumah Pak Hitam. Teragak-agak aku hendak memanggilnya. Tiba-tiba aku terdengar seseorang sedang bercakap dalam bahasa yang agak pelik dan tidak pernah didengari sebelum ini.

Nak kata Siam tak Siam. Nak kata Korea pun bukan. Bahasa apa, aku tak tahu.

Aku cuba mengintai melalui lubang pada dinding papan rumah itu. Dapat aku lihat Pak Hitam bercakap sambil menghadap satu objek. Oleh kerana lubang tersebut agak kecil aku tidak nampak keseluruhan objek atau wajah Pak Hitam. Aku perhatikan keadaan rumah itu dan dapat melihat tingkap yang agak renggang. Aku tahu aku akan dapat  melihat dengan lebih jelas melalui tingkap itu. Bibirku mengorak senyum.

Yes! Aku boleh ‘skodeng’, bisik hatiku sambil menghayun tangan yang tergenggam ke bawah. Isyarat yang selalu dibuat bila gembira.

Perlahan-lahan aku menghampiri tingkap dan melihat ke dalam. Aku dapat melihat objek yang berada di hadapan Pak Hitam dengan jelas. Objek itu merupakan seekor makhluk yang amat ngeri. Matanya agak tersembul berwarna merah menyala dengan gigi taring yang panjang. Tubuh makhluk itu dibaluti oleh kain putih yang bersalut tanah. Aku terperasan, mahkluk itu seperti memandang ke arahku. Bulu romaku meremang dan rasa sejuk merayap di bahagian tengkuk. Niat untuk memanggil Pak Hitam aku batalkan sebaliknya aku buka langkah seribu.

Lintang pukang aku berlari walaupun ketika itu aku memakai baju kurung. Aku tidak menghiraukan lagi keadaan diriku. Yang penting aku kena lari. Makhluk yang kulihat tadi seolah-olah mengejarku dari belakang. Segala ayat Al-Quran tidak terkeluar dari mulutku. Seolah aku lupa apa yang pernah aku pelajari sebelum ini. Terketar-ketar tubuhku menahan takut dan sejuk. Petir berdentum menambah perisa perasaan takutku.

“Mak! Abah! Tolong Hana!” Aku menjerit, tidak malu.

Terkocoh-kocoh ibu dan abahku muncul di muka pintu. Mereka kehairanan melihat aku yang basah kuyup dengan kain yang terkoyak.

“Kenapa ni Hana sampai basah lencun? Mana kereta?” soal ibuku.

“Hann...tuu,” ujarku tergagap-gagap sambil menunjukkan arah belakangku.

“Huih! Mengarut apa?” bantah abahku.

“Ada, abah! Benda tu kejar Hana tadi.”

“Hmm...dahlah. Pergi masuk mandi dulu. Jangan layan perasaan tu. Semua tu bayangan dalam kepala Hana saja. Tengok kubur dah takut sedangkan bukan ada apa-apa pun. Abah yang lalu hari-hari selama tiga puluh tahun, tak jumpa apa benda pun.”

“Kali ni bukan hantu kubur tu yang kacau. Ni hantu Pak Hitam. Seram betul,” aku menyanggah.

“Hantu Pak Hitam pula? Dahlah. Memang patut Hana pergi mandi. Nanti boleh kita jemaah sama-sama,” sampuk ibuku.

“Hana cuti lagilah bu.”

“Kalau macam tu, ibu dan abah solat dulu. Jangan lupa tutup pintu tu.” Pesan ibu sambil melangkah mengikut abah ke bilik solat.

Aku hanya menurut saranan ibuku dan segera melangkah ke bilik mandi. Perasaan takut masih menguasai diri dan akhirnya aku hanya membersihkan diri secara ala kadar. Aku takut untuk melihat cermin kerana masih terbayang rupa makhluk yang menyeramkan itu. Tanganku pantas mencapai selimut dan membelitkannya ke tubuh. Ingin aku panaskan diri yang masih menggigil kesejukan.

“Hana! Budak bertuah ni. Panggil berkali-kali pun masih tak menyahut,” sentuhan tangan ibu membuatkan aku tersentak.

“Ibu panggil Hanakah?” soalku sambil mendongak memandang wajah ibu.

“Habis tu nak panggil siapa lagi? Takkan nak panggil Peah.”

Aku tersengih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Yalah, siapa lagi yang ibu akan panggil selain aku? Aku anak tunggal ibu dan abah. Peah pula adalah kucing kesayanganku. Memang peliklah jika ibu memanggil Peah.

“Apa salahnya kalau ibu nak panggil Peah,” ujarku seolah menutup rasa malu.

“Hah! Baguslah tu. Panggil Peah tolong ibu masak? Yang tuannya asyik mengelamun ingat tunang.” Bagai peluru berpandu ibu meleteriku.

Aku angkat kedua-dua tangan tanda menyerah. Perlahan-lahan aku lepaskan selimut dan kemudian menurut langkah ibu ke dapur. Walaupun aku anak tunggal tetapi ibu sentiasa tegas dan memastikan aku melakukan kerja-kerja dapur. Kata ibu, nanti bila dah kahwin senang, tak kekok untuk masak dan buat kerja dapur. Aku hanya menurut walaupun sebenarnya aku agak malas untuk membuat semua kerja-kerja itu. Akukan dah kerja? Mudah saja jika nak upah orang gaji. Orang Indonesia atau Filipina kan ramai?

Aku menarik kerusi dan mula memotong sayur yang telah dibersihkan oleh ibu.

“”Ibu, betulkah Pak Hitam bela jin?”

“Macam tulah yang ibu dengar. Abah pernah beritahu ibu, Pak Hitam guna jin untuk rasuk orang dan bila orang tu sakit, dia akan datang untuk ubati orang tu. Dengan cara tu, dia akan dapat duit dan orang kampung akan hormati dia.”

“Oh! Begitu rupanya. Jadi yang Hana nampak tadi memang jin peliharaan dialah. Patutlah hodoh benar. Tapi dia pelihara jin apa? Jin Islam atau bukan Islam?”

“Orang pun kita tak dapat beza Islam atau tidak inikan pula jin. Islam atau tidak jin tu tetap tidak boleh dibuat kawan. ALLAH dah larang kita minta tolong bangsa jin tak kira atas tujuan apa. Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Jadi jangan percaya pada tipu helah jin,” sampuk abahku.

Aku menganggukkan kepala dan menyambung kerja memotong sayur. Ibu ligat menyiapkan kerja-kerja memasak. Aku lebih banyak mendiamkan diri sehingga selesai makan malam. Aku meminta diri untuk tidur setelah selesai kerja-kerja mengemas. Kepenatan menguasai diri membuatkan mataku terpejam perlahan-lahan.

Hidungku terhidu bau busuk seperti bangkai yang amat meloyakan. Aku membuka mata dan terkejut melihat makhluk yang sedang berdiri di hujung kakiku. 

"Hani!" Makhluk itu memanggilku sambil menyuakan tangannya yang berbulu.

Peluh sejuk membasahi dahi dan tubuhku. Aku cuba untuk lari tetapi tubuhku bagaikan diglu kuat di katil. Makhluk yang kulihat di rumah Pak Hitam itu, makin hampir denganku. Hamis, busuk, meloyakan bersatu di rongga hidung dan kerongkongku. Aku cuba menutup mata tetapi kelopak mataku terasa kaku. Makhluk itu makin mendekat.

“Ibu! Abah!” Aku cuba menjerit untuk memanggil abahku tapi suaraku tersekat di kerongkong sahaja. Kenapa suaraku tak boleh keluar ni? Apa nak buat? Aku makin panik.

Wajah hodoh makhluk itu menyeringai menampakkan taringnya yang kekuningan. Dia makin rapat, aku makin takut. Makin dekat, aku makin semput. Kini tinggal seinci sahaja lagi mukanya mengenai mukaku. Perutku makin kecut, tubuhku mengeletar hingga terdengar katil bergegar. Nafas busuknya tidak dapat kuelak. Beberapa kali aku tersedut dan tersedak. Aku cuba membaca ayat suci yang diingati tetapi ayat-ayat itu tidak melintas di kepalaku. Berhempas pulas aku hendak melepaskan diri.

“Tolong! tolong!” Akhirnya aku berjaya juga menjerit memanggil abahku, sebelum duniaku menjadi gelap.

Sayup-sayup terdengar di hujung telingaku suara ibu mengalunkan bacaan al-Quran. Merdu dan begitu mengasyikkan. Ingin aku membuka kelopak mata tetapi masih terasa berat.

“Pak Hitam ni dah melampau. Kita patut halau saja dia dari kampung ni.” Suara tunangku, Haziq jelas di pendengaran.

“Tapi kita bukan ada bukti jin dia yang menyebabkan Hana sakit.” Abah pula bersuara.

“Nak bukti apa lagi. Dah jelas Hana disampuk jin Pak Hitam. Pak cik pun dengar apa yang Hana racaukan tadi. Dia terjerit-jerit sebut nama Pak Hitam. Seeloknya, kita bakar saja rumah Pak Hitam.” Makin keras nada suara Haziq.

“Haziq! Kita nak selesaikan masalah Hana bukan nak cari gaduh.” Suara bapa Haziq Pak Cik Hakimi turut kedengaran.

Aik! Keluarga Haziq pun adakah? Malulah kalau aku buka mata waktu sekarang. Mesti rupa aku tak cantik. Haziq pun kata aku jerit panggil nama Pak Hitam. Kalau panggil nama Haziq, okey lagi. Ni nama orang tua tu, malu...malu, bisik hatiku.

“Betul kata kau Kimi. Kita bukan nak cari salah siapa. Mungkin Hana ni letih sangat dan takut. Dia ni memang penakut. Tengok kubur dah kecut perut belum tengok benda-benda pelik. Mungkin sebab tu dia jadi begini. Kita rawat Hana, sudahlah. Biarlah ALLAH saja yang balas jika benar Pak Hitam yang punya angkara. Apa hak kita nak halau atau bakar rumah dia?”

Hatiku memberontak mendengar kata-kata abahku. Aku membuka mata dan terus duduk secara mendadak.

“Arghh!” Haziq yang berada di sisiku terlompat ke belakang.

Aku alihkan kepala memandang Haziq. Penakut juga rupanya tunangku itu. Jika dia penakut dan aku juga penakut, macam mana kami hendak hidup berdua? Sempat ragu mendiami hatiku.

“Hana dah sedar!” ujar ibuku lalu memelukku dengan tangisan.

“Ibu, Hana belum matilah. Janganlah menangis.” Aku cuba merungkai pelukan ibu dan memandang tepat ke wajah Haziq.

Tersengih-sengih Haziq melihat wajahku. Hatiku menggerutu memarahi Haziq.

“ALHAMDULILLAH! Hana tahu tak apa yang terjadi tadi?” soal Pak Cik Hakimi.

“Tak tahu. Apa yang berlaku?”

“Hana mengamuk dan menjerit-jerit panggil nama Pak Hitam. Hana kata nak balik dan duduk di rumah dia. Ibu takut sangat tadi,” ujar ibuku sambil mengesat air mata yang bersisa.

“Hana nak ke rumah Pak Hitam? Oh! Tidak. Hana tak mungkin buat begitu.” Berkali-kali aku menggelengkan kepala.

“Cuba ceritakan apa yang Hana nampak sebenarnya,” Haziq mencelah.

Aku menjeling Haziq tetapi tetap juga menceritakan apa yang aku alami sebelum aku pengsan. Mereka mendengar dengan teliti dan sesekali bertanyakan aku bila mereka tidak faham. Selesai bercerita, hatiku kembali tenang.

“Kan betul tu! Kita kena ambil tindakan pada Pak Hitam. Jangan biar ada yang jadi mangsa dia lagi. Haziq tahu dia sengaja kenakan orang supaya orang guna khidmat dia untuk pulihkan kembali. Kali ni dia dah melampau sebab kenakan Hana.”

“Sabarlah! Berapa kali abah nak kata, nak ambil tindakan bukan boleh sebarangan. Esok kita semua pergi ke surau. Abah dah minta tolong Ustaz Harun dan jemaah dia untuk selesai masalah ni. Ustaz Harun dah setuju dan dia minta kita semua berkumpul di surau malam esok,” ujar Pak Cik Hakimi. Kami semua bersetuju dengan saranan itu.

Surau kampung agak penuh malam itu dengan jemaah lelaki dan perempuan. Ketika menunggu waktu Isyak, sempat Ustaz Harun memberikan tazkirah berkaitan amalan yang bersyirik kepada ALLAH.

“Haram bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak. Menyekutukan Allah, meminta pertolongan dan mengharapkan selain daripada Allah, merupakan amalan yang boleh membawa kita kepada amalan syirik. Sesungguhnya amalan syirik ini merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh ALLAH SWT. Orang yang tidak diampunkan oleh Allah, nerakalah tempatnya.” ujar Ustaz Harun.

Aku yang telah suci daripada hadas besar, turut berada bersama-sama jemaah perempuan yang lain. Tiba-tiba telingaku dapat mendengar suara memanggilku dari tingkat bawah surau papan itu. Perlahan-lahan aku bangun dan menghampiri tingkap. Ibu yang melihat perbuatanku turut bangun.

“Kenapa Hana?”

“Ada orang panggil Hana di bawah.”

“Ibu tak dengar pun.”

“Ada. Dengar macam suara Haziq. Dia panggil Hana banyak kali,” ujarku lalu membuka cermin tingkap.

“Hana! Jangan.” Ibu segera menarik tubuhku ke dalam pelukannya.

Aku terpinga-pinga dan sempat melihat tangan yang berbulu cuba mencapaiku melalui cermin tingkap.

“Ibu! Dia datang lagi.”

Aku memeluk ibuku seerat-eratnya. Perasaan takut menyaluti tangkai hati. Terasa kepalaku mulai berpusing dan jantungku berdegup kencang. Aku tahu bila-bila masa sahaja aku boleh hilang kawalan terhadap diri. Segera aku membaca ayat-ayat suci al-Quran yang telah diajarkan kepadaku sebelum ini. Ibuku juga turut membacakannya.

Suasana surau agak gempar dengan bunyi jeritan daripada jemaah wanita yang ketakutan. Ustaz Harun dan beberapa orang lelaki segera menghulurkan bantuan. Makhluk yang cuba mengganggu kemudiannya menghilang. Keadaan kembali tenang dan sekali lagi Ustaz Harun mengingatkan kami semua supaya tidak tunduk dengan tipu daya syaitan.

“Saudara dan saudari, selepas kita menunaikan solat Isyak, kita akan teruskan dengan solat hajat dan bacaan Yassin. Jika terdengar sesuatu yang agak pelik, jangan berhenti. Kalau tengah solat, teruskan solat dan kalau tengah membaca Yassin, teruskan membaca.” Pesan Ustaz Harun.

Agak gentar aku mendengarnya tetapi aku perlu kuatkan semangat. Aku tidak akan tunduk kepada jin ataupun syaitan. Ibu menepuk bahuku dan memberi kata semangat. Setelah masuk waktu Isyak, kami semua menunaikan solat. Sesekali dapat kudengar suara memanggilku tetapi aku tetapkan hati dan memberi fokus terhadap solatku. Sehingga berakhir solat, suara itu tidak kedengaran lagi.

Bacaan Yassin dimulakan dan sekali lagi aku mendengar suara memanggil namaku dan bunyi cakaran pada dinding surau. Aku pekakkan telinga dan menguatkan bacaanku. Jemaah yang lain turut menguatkan bacaan mereka. Mungkin mereka juga mendengar apa yang kudengar. Fikiran kutumpukan kepada bacaan secara bersungguh-sungguh. Lama kelamaan bunyi itu menghilang.

“Prangg!!” Bunyi petir tanpa hujan yang amat kuat mengejutkan kami semua.

Aku beristighfar di dalam hati dan memohon perlindungan ILAHI. Keadaan kembali tenang dan kami dapat menghabiskan bacaan tanpa gangguan. Selesai majlis, kami pulang beramai-ramai ke rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang menaiki motorsikal memberitahu bahawa rumah Pak Hitam sedang terbakar akibat terkena panahan petir. Tanpa melengahkan masa, kami semua bergegas ke situ.

“Baru saja Haziq sebut nak bakar rumah dia, rupanya dah pun terbakar.”

.....tak habis lagi la... nak baca sambungan kisah ni? Kena beli Antologi Cerpen Jiwa Kacau yang akan berada dipasaran tidak lama lagi...peace!! No war...eaa...hihii

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.