Home Cerpen Seram/Misteri Jembalang Tiang Lampu
Jembalang Tiang Lampu
Diq Na
20/3/2023 14:42:19
2,466
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

            Sepasang kunang-kunang bagaikan sedang berdansa mengelilingi pokok bunga raya di tepi halaman. Ingatan Khai lari jauh, teringatkan bekas tunang nun di ibu kota.

            Masa bercinta, janji sehidup semati bukan main lagi. Ke gunung, ke lurah, ke lembah, semua sanggup belaka. Tup-tup bila dihantar bertugas ke ceruk alam, Marina terus tarik diri. Alah, buat apa dikenang-kenang lagi!

            Di sini juga ramai calon-calon isteri. Anak Wak Sood Cendol ada. Adik Bibah Pau Gebu pun apa kurang. Cucu Tuk Leh Patin, tuan rumahnya juga boleh tahan. Mereka pun bukan gadis kampung sebarangan.

            Ada rupa, pelajaran dan pekerjaan tetap. Bila-bila masa sahaja cikgu sastera ini boleh menyusun ayat pemikat. Kalau setakat perempuan yang hanya cantik sedikit dek kerana filter di telefon canggihnya, tidak berbaloi langsung meratap sedih berbulan-bulan.

            Sudah tiga minggu Khai menjadi orang kampung. Dahulu, walaupun mengajar di pekan kecil berdekatan, dia menyewa di perumahan bandar. Budak kotalah katakan. Tuan rumah mahu membuat pengubahsuaian. Apabila sudah siap nanti, pasti sewanya juga naik. Dia fikir lebih baik tinggal berdekatan sekolah.

            Salah seorang anak murid mencadangkan rumah milik jirannya. Khai pun bertemu dengan Tuk Leh Patin. Bila tengok rumah kayu tradisional ini hati terus berkenan. Sewa juga murah.

            Malam berhawa dingin tinggalan hujan lebat sepanjang petang. Aroma harum bancuhan kopi kampung di dalam kole ayan kuning lalu di hidung kala bayu malam berpuput lembut. Nyaman sungguh bila jauh daripada hiruk-pikuk kenderaan. Ini harga yang tidak mampu dibeli andai berada di kota batu sana. Sayang sekali Marina menolak kenikmatan itu. Lagi-lagi Marina. Nampaknya pengganti perlu segera dicari.

            Sorot mata terarah pula ke sebatang tiang lampu jalan tidak jauh dari rumah. Banyak betul kelekatu mengerumuni lampu yang sedang menyala. Satu fenomena malam yang biasa setiap kali selepas hujan. Khai jadi asyik memerhatikan tarian kelekatu.

            Sebuah motosikal muncul dengan laju dan melambung secara tiba-tiba. Berderau darah Khai melihatnya. Kalau tidak silap, memang ada lekukan dan jalan berlubang di sekitar kawasan itu. Memandangkan hari hujan, sudah tentu lekuk-lekuknya bertukar menjadi lopak air.

            Khai pun apa lagi, segeralah mengunci pintu. Pesan Tuk Leh Patin, pastikan rumah sentiasa bertutup kemas. Penjenayah ada di mana-mana termasuklah di kampung. Beringat sebelum kena.

            Khai bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya lebih kurang 50 meter. Dia berharap penunggang lelaki itu tidak apa-apa.

            Tatkala tiba di situ, tiada kelihatan lelaki mahupun motosikal. Yang menangkap mata hanyalah kelekatu berterbangan. Di atas tar pula kelekatu patah sayap sedang merayap-rayap. Terdapat juga sayap-sayap yang bertaburan. Dia kehairanan. Ke mana pula mangsa kemalangan tadi?

            Dijenguk-jenguk semak berhampiran. Usahkan tubuh manusia, badan kenderaan roda dua juga tiada. Boleh jadi kecederaan yang dialami tidak serius. Begitu juga motosikal yang ditunggangi, mungkin tiada kerosakan teruk. Sebaik jatuh lelaki itu segera bangun dan meneruskan perjalanan. Semuanya berlaku dengan pantas dalam jarak masa dia mengunci rumah tadi.

            Di sebalik pekat malam, Khai ternampak satu cahaya muncul dari arah bertentangan. Sayup-sayup dia mendengar enjin motosikal.

            Entah-entah lelaki yang kemalangan tadi? Mungkin keciciran barang dan berpatah balik untuk mencarinya.

            Khai berdiri tegak di tengah jalan, menanti kemunculan pemilik motosikal. Apabila kedudukan mereka hanya berjarak beberapa meter, penunggangnya terus membrek. Berbekalkan tempias cahaya daripada lampu jalan, dia melihat si penunggang memandang tepat ke arahnya sambil ternganga. Dia merapati lelaki itu untuk bertanyakan kecederaan yang dialami.

            Beberapa langkah mara ke depan dan belum pun sempat menyoal apa-apa, lelaki itu tergopoh-gapah memusingkan motosikal. Tanpa lengah, motosikal dipacu laju.

            “Jembalang tiang, jembalang tiang…!”

            Begitulah bunyi teriakannya. Khai naik seram sejuk. Mata meliar ke kiri dan kanan. Jembalang tiang? Di mana?

            Puas juga dia memusingkan tubuh, mencari lokasi keberadaan jembalang tiang yang dimaksudkan namun gagal mengesan sebarang benda yang mencurigakan jauh sekali menakutkan. Sehinggalah dia terlihat pergerakan semak samun tidak jauh dari tempat berdiri. Seolah-olah ada yang sedang meranduk lalang liar di situ. Bunyi-bunyian yang aneh juga kedengaran.

            Mungkin itulah jembalang tiang yang disebut-sebut. Khai tidak menunggu lama. Dia buka langkah seribu kembali ke rumah sewa. Sebelum masuk, dia memberanikan diri untuk memandang ke arah tiang lampu jalan. Hati tetap ingin mengetahui rupa sebenar jembalang tiang. Dia melihat haiwan berkaki empat sedang berlegar-legar di bawah cahaya lampu. Ada besar dan ada juga yang kecil. Adakah itu jembalang tiang? Mengapa tidak menyerupai tiang?

            Kalau mengambil kira bentuk tiang, tentulah menceracak tinggi. Ini pendek-pendek sahaja. Diamati haiwan berkaki empat itu dengan lebih teliti. Tanpa sedar mulut menyumpah kebodohan sendiri. Inilah akibatnya bila terlampau takut. Di dalam kepala tetap berlegaran misteri, apa sebenarnya jembalang tiang yang digeruni oleh lelaki tadi?

 

            Pagi sabtu hujung minggu, Khai keluar untuk mencari sarapan di warung Wak Dogo. Dia terdengar sekumpulan orang kampung heboh bercerita tentang jembalang tiang. Dia yang masih dibelenggu tanda tanya segera menghampiri meja panjang di sudut warung.

            Ini kerana di antara suara saling meningkah di situ, ada satu yang sangat menghantuinya. Suara itulah yang terngiang-ngiang sepanjang malam hingga menyebabkan dia gagal lelap sampai ke pagi.

            Jika dilihat dari belakang badan, lelaki yang sama. Khai pun tepuk bahunya untuk bertanya lanjut. Dua pasang mata bertembung. Seperti juga malam tadi, mulut  lelaki itu terus terlopong. Selang beberapa saat dia jatuh pengsan.

            Warung Wak Dogo bertukar kecoh. Mujurlah ada Che Andak yang tahu serba sedikit ilmu perpawangan. Setelah pulih daripada pengsan, Pak Mud ketua kampung menuntut penjelasan daripada Harun dan Khai. Lalu kedua-duanya pun mulalah berperihal tentang kejadian yang dialami.

            “Jadi, cikgulah yang terpacak tengah jalan malam tadi. Dah lama tak balik kampung. Inilah pertama kali bertemu dengan cikgu. Si Aryanto yang mati kemalangan dekat situ pun saya tak kenal rupanya.”

            Mati? Kata-kata Harun membuatkan otak Khai semakin berat dengan persoalan. Dia meminta Pak Mud membuat pencerahan.

            “Aryanto itulah yang dikatakan menjelma menjadi jembalang tiang. Jelmaannya berdiri tegak betul-betul bersebelahan tiang lampu. Jadi orang kampung pun gelar jembalang tiang. Dah ramai yang kena sakat.”

            Pak Mud menambah, pemuda dari tanah seberang itu bekerja sebagai penjaga dusun durian. Aryanto hanya keluar sesekali untuk membeli barang keperluan. Suatu hari, pemilik dusun mengadu yang Aryanto sudah dua hari gagal dihubungi. Di dusun juga tidak kelihatan kelibatnya.

            Pemilik dusun mengesyaki yang pemuda itu lari kerana seminggu sebelum kehilangannya, mereka bertengkar pasal upah. Aryanto naik berang kerana bayaran yang diterima murah.

            “Sehari kemudian kami terhidu bau busuk semasa melalui jalan depan rumah sewa cikgu tu. Pencarian kami berakhir dengan penemuan mayat Aryanto bersama motosikalnya di bawah bukit. Hasil siasatan polis, kematian Aryanto tiada unsur jenayah. Pihak polis percaya dia terbabas sendiri. Berkemungkinan kejadian berlaku waktu malam dan tidak disedari oleh sesiapa.”

            Menurut Pak Mud lagi, ketika kemalangan tragis itu berlaku, lampu jalan belum dipasang. Bimbang kejadian yang sama berulang, Pak Mud menghubungi wakil rakyat dan meminta bantuan lampu jalan dengan segera. Setelah jalan kampung itu terang maka timbullah cerita jembalang tiang.

            “Kalau macam tu, jangan-jangan lelaki yang saya nampak melambung malam tadi jelmaan Aryanto. Agak-agaknya, begitulah dia mendapat kemalangan.”

            Orang kampung saling berpandangan. Logik juga telahan Khai. Setelah sekian lama kematian menjadi misteri, jelmaan Aryanto memilih Khai sebagai saksi kejadian.

            “Bukanlah. Lelaki yang Cikgu Khai nampak melambung dekat tiang lampu malam tadi sebenarnya aku.”

            Di hadapan kedai ada suara menyelit. Mukmin memberitahu semua yang dia baru balik daripada mengurut. Dia menunjukkan kaki yang berbalut sebagai bukti. Dakwaannya disokong oleh sang isteri di sebelah.

            “Bila dekat dengan tempat Aryanto terbabas, aku nampak lalang bergerak-gerak.  Otak terus terbayangkan jembalang tiang. Aku pun pecut motor. Tak teringat ada jalan berlubang. Apa lagi, aku dengan motor pun melambung ke dalam lopak air. Dipendekkan cerita, motor tak boleh hidup. Aku tak ada pilihan, terpaksalah heret motor walaupun kaki sakit.” Mukmin menokok cerita.

            “Ooo… abanglah yang saya nampak basah kuyup sambil heret motor tu. Saya panggil tapi abang terus menonong laju. Saya tak syak apa-apa sampailah bertembung dengan Cikgu Khai yang saya sangkakan jembalang tiang.” Harun pula mencelah.

            “Jadi, memang betullah ada. Kalau bukan Mukmin yang Cikgu Khai nampak terlambung ke dalam lopak air, kalau bukan juga Cikgu Khai yang Harun jumpa terpacak di tengah jalan, pasti benda bergerak-gerak dalam semak yang Mukmin lihat itulah jembalang tiangnya. Baru hendak keluar menyakat kut.” Pak Mud membuat andaian.

            “Bukanlah. Selepas pergi ke tempat Mukmin melambung, bertembung pula dengan Harun yang menyangka saya jembalang tiang, saya pun nampak pergerakan di semak yang sama. Teruslah lari balik macam tak cukup tanah.” Khai menyampuk.

            Sebelum meneruskan cerita, Khai menghirup teh tarik dan menghabiskan baki karipap. Perut berkeroncong perlu diisi. Semua kejadian saling berkait, entah bila penamatnya.  

            “Sampai di muka pintu, walaupun takut-takut, saya toleh juga ke tiang lampu. Terpandanglah haiwan berkaki empat. Nak kata kerbau atau lembu, kecil pula. Nak kata kambing, besar sikit. Tengok punya tengok, rupa-rupanya ibu babi hutan dengan tujuh ekor anak.”

            Seisi warung Wak Dogo meledak dengan ketawa setelah mendengar sambungan cerita Khai. Gara-gara terlalu percaya dengan perkara mistik, babi hutan mencari makan pun disangkakan jembalang tiang. Akibat salah faham dan kekeliruan, sekampung huru-hara.

 

            Malam semakin sunyi. Di kawasan semak samun tidak jauh dari tiang lampu, kelihatan lalang-lalang liar dirempuh sesuatu. Bau hanyir menjajah udara. Satu lembaga muncul dari situ. Kepala dan tubuhnya kelihatan berlumuran darah. Lembaga itu terincut-incut menuju ke tiang lampu.

            Deruman dua buah motosikal menggugat keheningan. Suara berbual dan ketawa bersilih ganti. Lembaga berdarah di bawah tiang lampu jalan pun menyeringai, menanti mangsa seterusnya.

 

 

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.