Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi Bahulu Berinti Kastard
Bahulu Berinti Kastard
Aimi Rosli
16/1/2015 06:37:56
3,802
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

“Aku tak percaya langsung drama kat tv tu! Cinta pejabat bagai … Padahal semua orang kat pejabat dah kahwin,” omel Zati.

“Eleh, tak percaya pun kau tengok juga,” sampuk Ag pula.

“Drama tu syoklah!” Diba tampil mempertahankan drama kegemarannya.

Suasana meja makan tengah hari itu meriah membincangkan drama bersiri yang hangat ditayangkan setiap petang. Nak-nak pula semalam episod  kemuncak, makin rancak perbualan mereka.

Memang rutin setiap hari Ag, Zati, Diba, Maria dan Anisa makan bersama. Walaupun baru berkenalan mereka sudah mulai akrab. Mungkin kerana semuanya memegang status pelajar praktikal di syarikat penerbitan itu.

Makan tengah hari mereka di kafe syarikat sentiasa dimeriahkan dengan pelbagai topik terutama sekali tentang episod drama petang yang ditayangkan semalam. Ag sampai sanggup meninggalkan aktiviti gim setiap petang untuk menonton drama. Sudah terjebak, katanya.

Maria lebih senang jadi pemerhati rakan-rakannya berbual. Dia akan bersuara bila perlu. Maria hairan melihat Anisa senyap sahaja hari ini. Selalunya, sama naik juga dengan Ag.

“Oi, senyap je?” Maria menyiku Anisa.

“Tak ada apalah,” Anisa membetulkan duduknya lalu menyambung menyuap nasi ke mulutnya perlahan-lahan.

“Eleh, ye ke? Aku tengok kau makan tak luak pun. Selalu paling laju habis,” Ag mengusik.

“Ok …” Anisa menarik nafas dalam-dalam “Ingat tak, abang yang sama department dengan aku. Yang aku cerita minggu lepas?”

“Staf yang kau kata masuk seminggu awal dari kau tu? Apa eh kau panggil dia ..." Zati buat muka berfikir keras.

"Abang Editor," Anisa menjawab pantas.

“Kenapa dengan dia?” Maria pula mencelah.

“Aku rasa dia pergi kahwinlah. Lama sangat dia cuti ni. Dah seminggu campur cuti Deepavali hari tu,” Anisa membilang dengan jari.

Rabu lepas cuti Deepavali. Khamis, Jumaat, orang yang dinanti tak kunjung tiba. Semalam juga, orang itu tidak muncul. Hari ini juga sama.

Zati menepuk meja. “Tengokkan betul apa aku cakap! Semua orang kat pejabat dah kahwin.”

“Ish, kau ni! Kita tak tahu lagi,” Diba menepuk bahu Zati. “Lagipun, kalau dah kahwin takkan department kau tak ada heboh-heboh?”

“Aku tengok department Anisa ni memang jenis senyap je,” Zati menongkat dagu.

“Alaa, macamana kalau dia kahwin …” Anisa tak senang duduk.

“Aku ada idea!” Maria pula menepuk meja.

“Eh, letihlah semua orang nak tepuk meja. Apa idea kau?” Ag memasang telinga.

“Ag kan intern kat HR … So, apa kata kalau …” Maria merenung setiap mata yang menumpukan perhatian terhadapnya.

“Aku dah dapat!” Anisa menepuk meja.

Yang lain mula tersengih-sengih.

“Oi! Apa ni semua ketuk meja! Apa kata apa?!” Ag masih tidak dapat menangkap.

“Apa kata kalau kau tolong check berapa lama dia cuti, status dia terkini apa semua tu untuk Anisa,” Diba menerangkan keadaan.

“Apa nama Abang Editor tu? Bagi pada Ag,” soal Zati pada Anisa.

Anisa menggelengkan kepala. Dia memang tak tahu nama Abang Editor itu.

“Ish, kalau tahu nama pun mana boleh! Sini ada sistem intergriti,” Ag tidak bersetuju.

“Maksudnya apa?” Maria kurang faham.

“Maksudnya, maklumat sulit dan peribadi macam tu mana boleh dikongsi. Lagipun, aku intern je. Tak jagalah benda tu,” Ag menerangkan.

“Alaa, habis tu macamana?” Anisa bersandar resah.

“Nak tak nak, kau kena guna cara konvensional lah,” cadang Ag.

“Apa tu?”

“Berkenalan, berbual? Lepas tu, baru kami boleh bantu,” Ag mengangkat kedua bahunya.

Yang lain mengangguk-angguk.

***

Anisa tergopoh-gapah berjalan menuju ke pintu jabatan.

‘Aduh, macamanalah boleh terlajak pula ni,’ Anisa membebel-bebel pada dirinya sendiri. Padahal dia sendiri sudah tahu silapnya tidur lewat melayan drama Korea di laptop.

Langkahnya terhenti disapa satu suara dari pantri “Minum!”

Mata Anisa pantas singgah ke jari empunya suara. Abang Editor!

‘Tak ada inai! Positif! Tak kahwin lagi ni,’ fikir Anisa sendiri.

Anisa membalas dengan senyuman ringkas dan berlalu ke tempat duduknya. Risau pula kalau penyelarasnya perasan yang dia sampai lewat.

Anisa menarik nafas lega bila meja penyelarasnya masih kosong. Kemudian, itu baru dia terperasankan sesuatu di atas mejanya. Rasa gusar kembali menjalar.

Goodie bag orang kahwin? Oh nooooooooooo!’ Anisa menekup muka. Mungkinkah apa yang dibayangkan selama ini sudah menjadi kenyataan?

Anisa tabahkan hati membuka goodie bag itu. Mahu lihat juga dari siapa. Mana tahu orang lain. ‘Apa ni … tak ada nama pun!’

Tenang. Tenang … Anisa mengurut dada.

“Anisa awak dah check emel belum?” sapa satu suara yang lain.

“Huh?!” Anisa terkejut dari lamunan. Dia membetulkan duduknya.

“Saya emel lewat petang semalam. Design awak tu kena betulkan sikit,” entah bila Anisa sendiri tak tahu tapi penyelarasnya sudah ada di sebelahnya.

“Belum, belum. Saya check sekarang,” Anisa cemas.

Anisa memerhati penyelarasnya berlalu menuju ke meja kerjanya.

“Siapa punya ni? Kau ke Mad?”

Anisa cepat-cepat memerhatikan penyelarasnya yang nyaring bertanya. Anisa memasang telinga.

“A’ah,” Abang Editor membalas.

“Adik kau kahwin hari tu?”

“A’ah,” balas Abang Editor lagi.

“Senyap-senyap je letak atas meja kita. Asmadi ... Asmadi,” omel penyelarasnya sambil menggeleng-gelengkan kepala. Anisa bersandar tenang.

***

“Macam nak gugur jantung aku tengok goodie bag tu. Fuh!” Anisa bersungguh menceritakan detik cemas yang terjadi pagi tadi pada waktu makan tengah hari.

“Cemas betul! Nasib tak kahwin lagi,” Diba turut mengurut dada.

“Tapikan weh … kalau adik dia dah kahwin, mesti dia pun dah kahwin,” sampuk Ag.

Maria mengangkatkan kening memandang Anisa.

“Belum. Sebab tadi penyelaras aku cakap kat dia ‘tengok adik kau pun dah kahwin’ … So … ” Anisa memulangkan persoalan kepada rakan-rakannya.

“Betul juga. Tak kahwin lagi. Nampaklah pragmatik penyelaras kau kat situ … Apa next plan kau?” soal Zati.

Anisa mengangkat bahunya.

“Apa nama dia?” Ag bertanya.

“Asmadi. Kau nak buat apa? Check data kat HR?” Anisa mula bersemangat.

“Saja tanya. Kot boleh minta jadi imam kat surau nanti” Ag mengekek-ngekek ketawa.

Zati mula memberikan pendapat “Aku rasa kau kena buat sesuatulah, Anisa. Kau tahu tiap pagi dia pergi pantri jadi kau kena …”

“Bawakan dia sarapan?” teka Diba.

Zati mengangguk.

Gosh! Aku mana tahu masak!” Anisa kaget.

***

“Sandwich?” Anisa gemuruh menghulurkan bekas makanannya kepada Asmadi.

‘Ish, apa yang sampai menggeletar ni … Relax … relax …’ Anisa menasihatkan dirinya sendiri. Langsung terlihat kelibat Asmadi ke pantri tadi, Anisa pantas menurut dari belakang.

“Boleh jugak,” balas Asmadi sambil tersenyum. Tangannya pantas mencapai sandwich yang dihulur. “Tak buat air?”

“Tengah fikirlah ni nak buat air apa,” Anisa meraup-raup dagunya.

“Teh O lah. Perfect dengan sandwich,” cadang Asmadi.

“Teh O perfect dengan semua benda,” balas Anisa.

“Kan?”

Anisa mengangguk sambil tersenyum manis. Cabaran pertama tersahut.

***

“Kira alright lah tu … dah berbual. Habis esok nak bawa apa pula?” respon Diba selesai mendengar cerita Anisa.

“Hmm, itu aku tak fikir lagi,” balas Anisa.

“Aku ada idea,” Zati bersuara.

***

“Nak?” Anisa menghulurkan bekas makanannya pada Asmadi.

“Boleh,” Asmadi menggapai makanan yang disuakan. Memang jarang dia menolak rezeki.

“Sedap. Kau buat?”

Tak tahulah terlalu gugup sebab berdepan dengan orang yang disukainya atau terlalu malu untuk mengaku dia tak tahu memasak, Anisa mengangguk.

“Aku suka. Nanti bolehlah buat lagi bahulu berinti kastard ni,” Asmadi melagakan gelasnya pada gelas Anisa.

Anisa tak dapat menahan dirinya dari tertawa besar “Cream puff lah. Kalau kau suka esok aku buat lagi.”

***

“Pergh! Ini dah kira macam menipu!” terjah Ag sebaik sahaja mendengar cerita Anisa tengah hari itu.

“Mana ada! Aku tak sempat nak explain apa pun. Benda jadi terlalu pantas,” Anisa tampil membela dirinya dengan alasan lemah.

“Sempat pula kau salin cream puff tu dari plastik masuk tupperware kau kan?” Maria kehairanan.

“Tak adalah. Tupperware tu aku memang dah siap-siap bagi Zati lepas dia bagi idea nak belikan cream puff semalam. Aku tak suka beli makanan dalam plastik. ‘Go green, save the world!’ kata orang,” terang Anisa sambil tertawa kecil.

“Ini kalau bocor, tak tahulah macamana,” Ag menggeleng-gelengkan kepala.

“Ish, kau ni!” Anisa menjeling

***

Anisa menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Langkahnya laju menuju ke pintu jabatan. Sudahlah lambat, dapat pula Whatsapp tidak senang dari Zati. Kedai yang selalu Zati bungkuskan cream puff untuk Anisa tutup pula hari ini. Anisa berkira-kira, memang tidak sempat untuk dia ke pantri berbual-bual dengan Asmadi pagi itu. Kalau tidak untuk 3 minggu ini, rencananya sudah berjalan dengan sangat lancar.

Anisa terkejut melihat jabatannya meriah. Suasananya sangat berbeza dari hari-hari yang lain. Selalunya waktu begini, semua orang sedang fokus melihat computer masing-masing.

“Haa, Anisa kenapa lambat?” penyelarasnya menyapa.

Anisa tidak tahu harus menjawab apa. Bimbang juga markah untuk internshipnya nanti rendah. Nak jawab apa pada pensyarah.

“Eh, jangan serius sangat. Jom, makan! Ni Mad bawa,” penyelarasnya menyuakan bekas besar berisi cream puff.

Terbuntang mata Anisa melihatnya.

“Eh, kenapa tengok je? Amiklah. Sedap tau adik Mad buat.” penyelaras Anisa sekali lagi mempelawa apabila melihat Anisa masih tercegat “Sempena apa kau bawa ni Mad?”

“Hari jadi,” Asmadi ketawa.

“Haa, dah boleh cari bini dah. Anisa pun ada kalau nak,” penyelaras Anisa ketawa berdekah-dekah.

Anisa tersedak.

“Amboi, usik sikit pun tak boleh,” makin galak penyelarasnya mengusik.

Sebenarnya, Anisa tidak tersedak kerana usikan itu. Anisa tersedak kerana rasa cream puff itu terlalu sama dengan cream puff yang selalu dipelawanya kepada Asmadi itu. Bukan terlalu sama, MEMANG SAMA! Lepas mendengar adik Asmadi yang membuatnya, lagilah dia tidak tahu mana mahu diletakkan mukanya.

Anisa pantas berlari ke pantri mendapatkan air. Kemudian dia berlari menaiki tangga menuju ke tempat yang dirasakan tiada siapa dapat mencarinya. Atas bumbung. Jantung Anisa berdegup kencang. Sampai tersedu-sedan menahan air matanya mengalir. Pandangannya dilemparkan ke lalu lintas trafik di bawah.

“Kenapa nangis?” satu suara menyapa dari belakang.

“Malu …” Anisa tertunduk.

“Bisnes adik saya tu, saya pun baru tahu minggu lepas …” Asmadi mengambil tempat di sebelah Anisa “… tapi tak apalah …”

“Buat malu je … Apalah yang saya fikir …” Anisa memotong kata-kata Asmadi.

“Relakslah ... Benda boleh belajar.”

“Yang saya tahu buat sandwich je …”

“Ok lah tu. Kan perfect dengan Teh O,” usik Asmadi.

Anisa tersenyum. Air matanya dikesat.

“Kalau awak nak, saya boleh minta tolong adik saya ajar awak buat bahulu ber … Eh! Maksud saya cream puff!” Asmadi cuba berjenaka. “Tapi sebelum tu … kita berkenalan semula. Kita tak pernah betul-betul berkenalan pun kan?”

Anisa mengesat air mata.

“Saya Asmadi. Hari ni hari jadi saya. Esok masuk 3 bulan jadi editor dekat sini,” Asmadi menghulurkan salam perkenalan.

“Saya Anisa. Hari ni saya mengaku saya tak tau masak tapi ... saya akan belajar. Minggu depan saya habis intern.”

***

“Lagi hebat dari drama tv, cerita kau ni!” bisik nakal Zati di sisinya.

Anisa mula kembali ke realiti dari lamunannya. Anisa cubit manja lengan Zati. Di belakangnya rancak Ag, Diba dan Maria mengusik. Anisa tersenyum sendiri melihat cream puff di dalam dulang hantarannya.

Sedar-sedar jarinya sudah disarungkan cincin oleh ibu Asmadi. Salam dari ibu Asmadi disambut. Kedua belah pipi ibu Asmadi dicium. Asmadi senyum manis di luar pintu bilik.

Majlis pertunangan selamat dijalankan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aimi Rosli