Home Cerpen Keluarga Sesalan Doktor Redza
Sesalan Doktor Redza
Jung Siti
28/6/2021 22:25:15
4,489
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

SESALAN DOKTOR REDZA


          “Bila Redza nak balik lagi ke rumah mak? Akhir Redza balik,masa Awal Muharram tahun lepas. Lepas itu, sampai sekarang tak balik-balik.Cuti tahun baru hari itu pun tak balik”, rungut Puan Khadijah menerusi telefon.


          “Maaf mak… bukan Redza tak nak balik. Redza banyak on call. Insyaallah masa Isra’ Mikraj Redza balik”, balas Redza yang baru pulang ke rumah setelah selesai kerjanya di hospital.


          “Lamanya Redza”, keluh maknya.


          “Anak mak kan doktor pakar, kena banyak berkorban untuk masyarakat”, Redza memujuk.


          “Hah… jangan lupa majlis perkahwinan kamu tahun ini. Umur sudah 30 tahun, kesian Fadilah tunggu. Tahun ini pun dia 29 tahun. Dah nak setahun kamu bertunang. Cepat uruskan hal cuti kamu. Jangan sampai nak dekat tarikh nikah nanti, masih ada on call lagi”,kata maknya lagi.


          “Ya mak… jangan risau. Kirim salam dekat adik beradik dan ayah”, senyum Redza.


          Redza memutuskan panggilan setelah selesai berbual. Dia membuka kotnya dan diletakkan di penyangkut berdekatan pintu. Dia duduk di sofa ruang tamu dan membuka televisyen. Tiba-tiba satu bunyi mesej telefon masuk. Redza tersenyum membaca mesej itu lalu menelefon rakannya.


          “Assalamualaikum Addy… Mesej aku, macam tahu saja aku baru balik kerja”, kata Redza.


          “Yalah… aku pun baru habis giliran ini, tapi aku masih ada dekat hospital. Ingat nak ajak minum-minum. Kita lepaskan tekanan kerja”, ajak Addy yang merupakan rakan sekerjanya.


          “Boleh juga”, balas Redza.


**

          “Masa 22 haribulan Mac itu saja aku cuti. Kau pun cuti kan masa tu”, Addy mengajak Redza lagi untuk keluar bersama rakan-rakan yang lain.


          Redza diam. Dia berfikir.


          “Kau nak tamatkan masa bujang kau tahun ini kan? Kita nikmati masa bujang kau hari itu. Lagipun bila lagi... nak ada satu hari cuti penuh”, kata Addy lagi.


          “Aku bukan apa. Aku janji dengan mak aku nak balik hari itu”, kata Redza.


          “Alahai… rumah keluarga kau dekat Selangor saja. Pecut sikit sampai dah… Bukannya macam aku, dekat Johor sana. Bukan ke ramai pegawai perubatan dekat tempat kita. On call biasa-biasa saja. Boleh saja kau selalu balik, tak payah nak tunggu cuti besar baru nak balik kampung”, Addy mengerutkan kening.


          “Dekat-dekat pun, gerak pagi sampai rumah dah nak tengahari. Lepas itu, petang dah nak balik. Letih kalau nak buat macam itu selalu”,kata Redza.


          “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih Redza. Kau saja yang malas”, kata Addy lagi.


          “Maaflah Addy… aku memang tak bolehlah. Ajaklah Izwan”.


          “Izwan? Nak ke dia ikut?”, Addy mengerutkan kening lagi.


**

          Kafe di Hospital Kuala Lumpur agak riuh dengan keberadaan ramai orang. Begitulah keadaan hospital sehari-hari.


        '  “Itulah berikutan perkembangan politik yang terkini”.

          “Ekoran kes pertama Novel Coronavirus di Malaysia yang membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari lalu…”.

          “Mereka akan ditempatkan di Hospital Sungai Buloh”.

          “Menteri Kesihatan berkata Hospital Sungai Buloh ialah Pusat Rujukan Penyakit Berjangkit Kebangsaan dan…”.

          “Pesakit-pesakit ini akan dipantau secara teliti oleh pakar-pakar yang terlibat”.

          “Seterusnya, kita akan ke segmen sukan…”. '


          Addy menggeleng dan meminum air teh o panasnya, lalu diletakkan kembali cawannya dengan keras. Redza hanya memandang rakannya sekilas.


          “Aku pelik betullah… elok-elok pesakit Coronavirus itu ada dekat Johor, dibawanya lagi sampai ke Selangor. Bukan ke lagi mengundang penyakit itu?  Kenapa tak dihantar saja warga tu balik ke Singapura… China ke? Pandailah negara itu uruskan rakyat dia?”, keluh Addy.


          “Kalau nak bawa balik pun… ada prosedur lain agaknya. Mungkin pandailah pasukan doktor pakar dekat Sungai Buloh nak buat apa”, kata Izwan.


          “Hmmph”, Addy mengeluh.


Tiba-tiba satu kumpulan jururawat yang berkerumun dengan gaya ketakutan menarik perhatian Addy dan Izwan. Redza juga berhenti membelek telefonnya.


          “Kenapa Kak Zah?”, tanya Izwan kepada jururawat yang senior.


          “Doktor Izwan tak tahu ke? Pesakit Coronavirus baru saja dimasukkan ke wad tadi. Sekarang Doktor Junaidi tengah uruskan pesakit itu”, jawab Kak Zah.


          Addy, Izwan dan Redza berpan danganantara satu sama lain. Addy membulatkan matanya dan menelan air liur. Jantung Izwan juga mula berdegup kencang.


          “Doktor Junaidi ketua jabatan itu?”,tanya Redza diikuti kerutan keningnya dek kerana risau.


          “Haah… timbalan pengarah hospital pun turun”, kata Kak Zah. Jelas ketakutan di wajahnya.


          “Timbalan pengarah hospital pun?!”,Redza terkejut.


          Kak Zah mengangguk.


**

          Bilangan pesakit Coronavirus atau Covid-19 semakin meningkat. Pakar-pakar perbuatan yang veteran sudah dipanggil untuk berkhidmat lagi. Buat masa ini, Addy, Izwan dan Redza masih diarahkan untuk menguruskan pesakit selain penyakit Covid-19.Namun mereka juga tidak senang duduk kerana bilangan pesakit Covid-19 meningkat.


          “Redza… macam mana kerja kamu? Mak tengok berita dekat tempat kamu sudah ramai pesakit Coronavirus tu. Minta Allah lindung…”, jelas kerisauan maknya menerusi telefon.


          “Setakat ini baik… Redza tak uruskan kes Covid-19 lagi, tapi tak tahulah. Ketua jabatan suruh bersedia bila-bila masa saja”, cerita Redza.


          “Ya Allah… berapa orang dah kena Covid-19 setakat ni?”, tanya maknya.


          “Katanya bertambah 54 orang hari ini…tidakpun PM kita akan beritahu bilangan pesakit itu malam nanti. Emm mak… Redza kena sambung kerja balik ini. Pesakit ramai”, kata Redza.


          “Yalah… kerja elok-elok ya. Hati-hati”, balas maknya.


          Redza pulang ke rumah setelah dia menyelesaikan tugasan on call. Jam menunjukkan 9.30 malam, Redza membuka televisyen. Dia pergi ke dapur sebentar untuk mengambil minuman. Setibanya dia ke ruang tamu kembali, dia mendengarkan sesuatu yang tidak terjangka.


          “Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan serta merta. Rakyat sudah tidak boleh keluar rumah seperti biasanya. Perjalanan ke kampung halaman sudah tidak dibenarkan. Polis akan berkuatkuasa untuk melakukan sekatan jalan raya, tapi penghantaran makanan…”.


          Redza terdiam. Pengumuman ditelevisyen membuatnya tersentak. Tiba-tiba satu panggilan diterima. Hatinya mula rasa tidak sedap.


          “Dr. Redza, awak akan ditugaskan ke Zon Covid-19 mulai esok. Sila datang lebih awal untuk mendapatkan pakaian PPE”, kata kakitangan hospital.


          “Ya baiklah”.


           Redza termenung. Wajah keluarganya di kampung terlintas di fikiran. Tiba-tiba satu panggilan daripada maknya masuk.


          “Redza macam mana ni. PM kata dah tak boleh keluar rumah”, jelas kerisauan maknya.


          Redza berkerut. Dia rasa bersalah.Namun, dia cuba mengukir senyuman seraya berkata kepada maknya, “mak… Redza dah kena kerja zon pesakit Covid-19. Doakan Redza dan Redza minta maaf sangat-sangat Redza tak dapat balik lagi”.


**

          PKP sudah hampir 3 minggu dilaksanakan. Bilangan kes Covid-19 yang baharu naik turunnya tidak tetap. Kakitangan hospital sudah lelah. Berita ketidakpatuhan rakyat terhadap PKP di kafe menarik perhatian Izwan, Addy dan Redza yang kebetulan lalu di situ. Redza terasa sangat sensitif dengan berita berkenaan memandangkan dia petugas barisan hadapan. Addy apatah lagi, tetapi dia hanya diam kerana sudah penat.


          “Aku geramlah dengan orang luar sana yang tak patuh PKP! Nanti kena virus itu, masuk hospital kita juga yang kena rawat. Kerajaan suruh duduk rumah! Susah sangat ke?! Mereka tak rasa apa yang kita lalui! Berpeluh pakai PPE ni. Kerja 24 jam. Nak ke tukar tempat dengan kita?! Aku pun teringin nak duduk rumah… rehat tak kerja! Buat apa nak melayan orang degil”, marah Redza.


          “Redza… kau tak boleh cakap macam itu. Mereka yang kena virus itu tak minta pun virus itu datang. Mungkin memang nasib mereka kena penyakit itu. Kita sebagai doktor kena seikhlas mungkin menjalankan tanggungjawab. Kalau kena dekat keluarga kita, kita pun nak mereka dilayan dengan baik”, Izwan menenangkan Redza.


          “Kau tu baik sangat Izwan!...”, sindir Redza berlalu pergi.


          Redza kembali bertugas. Sudah cukuplah perasaan simpatinya terhadap pesakit-pesakit Covid-19 sebelum ini. Jika terlalu difikirkan pun, tidak mendatangkan apa-apa buat dirinya.


          “Kalau nak cepat sihat balik jumpa keluarga, tolong telan ubat ini. Dekat luar negara itu, ada yang tak bernasib baik untuk dapat apa yang encik dapat ini. Sila hargai. Jururawat, tolong pantau”, pesan Redza lalu beredar.


          “Heshh!”, keluh Redza. Dia mula berasa tidak sedap badan dan hatinya terdetik untuk membuat pemeriksaan terhadap dirinya memandangkan dia banyak menguruskan pesakit Covid 19.


**

          Baru sahaja hendak baring di rumah, panggilan hospital diterima. Redza berasa sesal dan letih memandangkan pesakit sentiasa ada.


          “Ya?”.


          “Doktor Redza… awak disahkan positif”.


          Redza terdiam. Dia mengeluh seraya berkata, “baik… saya akan ke hospital sekarang”.


          Redza tidak begitu terkejut memandangkan dia sememangnya orang yang berisiko untuk dijangkiti dek kerana profesionnya. Lagipula, dia yakin dia boleh sembuh. Lagipula dia masih muda dan masih mempunyai antibodi yang kuat untuk melawan peyakit.


          “Dulu aku rawat orang, sekarang aku pula yang dirawat. Tak apalah, setidaknya dapat rehat”, kata Redza.


          “Kau jangan cakap macam itu Redza…apa-apapun penyakit ini bahaya tau! Nak aku beritahu mak ayah kau?”, Addy prihatin.


          “Tak payahlah… nanti mereka risau.Insyaallah aku boleh sembuh. Ramai yang sudah discharge kan?”, positif Redza.


          Namun, penantiannya bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Keadaan Redza tidak sembuh-sembuh dan dia semakin tenat. Baru dia dapat merasakan betapa peritnya penyakit ini. Telinganya terasa hendak terbakar. Sulit untuk diungkapkan.


Addy dan Izwan risau. Akhirnya mereka mengkhabarkan keadaan Redza kepada keluarganya.


“Assalamualaikum mak cik. Ini Addy”.


“Ya Addy… Ada apa telefon mak cik?”, tanya Puan Khadijah.


“Mak cik bawa bersabar ya… Emm Redza disahkan positif Covid dan akan dimasukkan ke ICU untuk bantuan pernafasan”, kata Addy.

 

“Allahuakbar”, Puan Khadijah lemah longlai.


“Mak!...”, bunyi adik-beradiknya yang lain dapat didengari Addy melalui telefon.


“Mak cik… bawa bersabar banyakkan berdoa. Insyaallah Redza sentiasa ada peluang”, pujuk Addy.


**

          Redza hanya berdiri sambil melihat jasadnya yang terlantar di katil.


Pada awalnya, dia juga terkejut saat rohnya sudah tidak melekat dengan jasad. Sudah seminggu dia kritikal dan mungkin hanya menunggu ajalnya tiba sahaja. Dia sudah penat menangisi diri sendiri.


          “Ya tuhanku… Sesungguhnya aku dalam kalangan orang yang zalim”, kata Redza kepada diri sendiri.


          “Aku mohon kepada-Mu… Janganlah kau jadikan aku manusia yang berputus asa seperti putus asanya orang-orang kafir di dalam kubur”, kata Redza lagi.


          “Tak sedia lagi ya?”, seseorang menyapa. Orang itu seakan kaya, tetapi seakan miskin. Penampilan yang aneh untukdipandang oleh manusia biasa.


          Redza berkerut.


          “Mari sini aku tunjukkan satu pintu dimana kau boleh ubah hari ini”, sengih orang itu.


          Orang itu berkata lagi, “aku bersumpah dengan nama tuhan-Ku, jika aku syaitan maka akan binasalah diriku. Tidak lain tidak bukan, aku adalah amalan kau”.


          Redza bingung dan hanya memasuki pintu itu.


          Tiba-tiba dirinya berada di sekolah menengah agama.


          Dia melihat dirinya sedang bersungguh-sungguh menyiapkan surat di kelas berseorangan.


          “Tak silap, ini masa aku tingkatan empat…”, Redza sudah mengingati. Surat yang ditulisnya waktu itu adalah surat permohonan untuk ke kelas aliran sains tulen.


          “Siapa itu?”, kata Redza yang muda pula. Redza muda itu terkejut melihat kewujudan seorang lelaki seakannya dibelakang dengan berpakaian pesakit.


          “Emm aku adalah kau di masa hadapan”,kata Redza.


          Redza muda hanya diam lalu kembali menyambung kerjanya.


          “Aku tak galakkan kau tulis surat ini…baik kau duduk sahaja di kelas perakaunan”, cuba Redza.


          “Cita-cita aku seorang doktor! Aku nekad!”.


          “Walaupun kau tahu ajal kau akan datang sewaktu kau bertugas?”, tanya Redza.


          “Ajal datang pada bila-bila masa”,kata Redza muda itu.


          “Oleh sebab itu aku ada dekat sini, kau saja yang boleh ubah masa depan kau!”, tegas Redza.


          “Apa yang dah jadi kepada diriku di masa hadapan? Kenapa semangat kerohanian kau pudar? Bukankah aku mengagumi para syahid? Perjuangan kita mungkin tak sama seperti di medan perang, tetapi jika ajalku sewaktu melaksanakan tugas yang mulia, maka aku gembira. Aku akan rasa diriku seperti orang-orang yang syahid di jalannya tersendiri selagi aku berniat kerana Allah”, marah Redza muda itu.


          Redza terdiam. Redza muda itu meninggalkan dirinya. Rohnya berjalan di kawasan sekolah itu. Dia berhenti apabila tiba di hadapan musolla sekolah. Redza dapat melihat dirinya yang muda pergi ke musolla bersama rakan-rakan. Redza tersenyum.


          ‘Sejak bila aku berubah ya?’, Redza merasakan dirinya yang dahulu lebih baik. Keningnya berkerut apabila terkenangkan sesuatu.


**

          Redza mengikut Addy menari di sebuah parti rakannya. Kemudian mereka pergi ke arah Izwan yang sedang duduk di meja makan.


          “Menarilah… bukannya pub pun”, ajak Addy.


          “Aku tak selesalah… campur lelaki perempuan. Aku balik dulu ya”, kata Izwan.


          “Aku pun… Esok ada perjumpaan dengan ketua jabatan”, kata Redza.


          “Alah kau pun? Yalah yalah”, kataAddy.


**

          ‘Aku melepaskan tekanan tempat kerjaku di tempat yang salah. Aku sepatutnya mengunjungi rumah Allah di saat masa lapangku’.


          Kemudian dia terlihat Fadilah bersama rakan-rakan berjalan dengan gelak ketawa. Redza tersenyum apabila melihat tunangnya sewaktu muda. Siapa sangka mereka akan bertunang. Namun, dia kembali menunduk ke bawah apabila terkenangkan sesuatu.


          Dia kembali pulang ke wadnya, sudah tidak ada yang dapat diubah. Andai sikapnya yang dulu masih kekal, pasti dia tiada sesalan seperti sekarang. Dia berjalan lagi. Kemudian dia terkenangkan Fadilah. Baru sahaja menutup mata, Fadilah sudah ada di depan matanya. Dia dapat melihat Fadilah yang bertelekung sedang berdoa.


          “Ya Allah Ya Tuhanku… Kau selamatkanlah tunangku, hanya kepada Engkau tiada yang mustahil”, Fadilah menangis.


          Redza tersentuh. Dia terduduk.


          ‘Maafkan Redza… Dilah’.


**       

          “Doktor Bella itu pandang-pandang kau, syok dekat kau ke apa?”, Addy menyiku Redza.


          “Biasalah…”, Redza bangga.


          “Eeh… dah bertunang buat cara bertunang!”.


          “Ada tiga lagi kosong”, sengih Redza.


          “Alahai kau ni…”, Addy turut tersengih.


          Doktor Bella yang merupakan pakar aestetik menghampiri Redza seraya berkata, “awak janji nak makan dengan sayakan?”.


          Redza tersenyum. Kemudian mereka berjalan bersama.


          “Orang macam Doktor Redza ini betul ke bujang? Macam tipu saja”, tanya Bella.


          “Haah saya bujang… tak percaya ke?”,senyum Redza kepada wanita cantik di hadapannya itu.


          ‘Bujang tiga’, ketawa Redza di sudut hati.


          “Boleh saya kenal-kenallah”, senyum Bella.


**

          Seremeh-remeh perkara yang dilakukannya, sebenarnya hina terhadap dirinya sendiri. Bagaimana dia boleh bersikap begitu terhadap perempuan yang baik di hadapannya. Tunangnya memelihara kehormatan diri hanya untuknya, tetapi dirinya? Masih leka dengan bisikan syaitan yang dianggap indah.


          Kemudian dia terkenangkan keluarganya, dalam sekelip mata Redza berada di hadapan mereka.


          “Mak sudahlah tu. Mari makan dulu.Abang Redza akan sembuh”, pujuk adiknya kepada maknya. Dia dapat melihat maknya yang sedang bertasbih di atas katil. Wajah maknya pucat, ayahnya pula makin surut. Redza menangis apabila melihat keadaan itu.


          “Mak! Ayah! Ampunkan Redza!... Redza banyak dosa”, Redza berlutut tetapi mereka tidak dapat melihatnya.


          “Redza abaikan mak ayah di kampung…Redza ambil endah panggilan mak… Disaat mak telefon, Redza cakap Redza on call walaupun sebenarnya Redza ada masa”.


          ‘Aku tahu permintaanku mustahil, tetapi hanya dengan izin-Mu. Jika aku kembali, pasti aku akan menjadi manusia yang lebih baik. Aku akan melakukan segalanya kerana-Mu’.


          Dia mengesat air matanya.


**

          Redza membuka mata perlahan-lahan. Izwan yang berada di sisinya terkejut, “alhamdulillah”.

Redza sedar dari mimpinya yang panjang. Ini pasti peluang yang diberikan tuhannya. Dia mula menelefon maknya dan berbual.


                    “Mak makanlah. Redza sayang mak… Janganlah risaukan Redza sampai mak berlapar. Allah ada. Dia jaga Redza mak. Redza pun dah masuk wad biasa. Insyaalah akan discharge tak lama lagi”.


“Alhamdulillah…”, rintih Puan Khadijah.


          “Lagi satu mak… beritahu Dilah yang Redza ucap terima kasih. Terima kasih kerana setia menunggu Redza. Cakap dekat dia lagi yang hati Redza untuk Dilah seorang”.


          “Yalah”, senyum Puan Khadijah.


          Setelah mengakhiri salam di telefon. Dia memandang Izwan seraya berkata, “Izwan… bantu aku ya. Berikan aku kata-kata semangat. Aku nak ikhlaskan diri aku untuk berjihad dalam mengubat pesakit. Aku akan berusaha bersungguh-sungguh. Aku tak akan merungut. Peluang yang diberi tuhan hanya kepada insan yang dipilih-Nya saja”.


          Izwan mula berkaca lalu berkata, “Redza…”.

 


TAMAT



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.