Home Cerpen Cinta Kronologi Kita
Kronologi Kita
Aimi Rosli
14/10/2014 23:48:20
3,162
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

2014

“Alan, kau kat mana ni? Cepatlah! Keadaan dah makin kritikal ni,” Ezzah separa berbisik di telefon bimbitnya sambil mengerling ke arah belakang. Sesekali dia menjengah keluar tingkap.

“Eh, Ezzah! Kamu dengar tak apa mak cakap ni?” Puan Wani memanggil dari belakang.

“Dengar, mak,” Ezzah sorok-sorok meletakkan panggilan telefon sambil tersengih-sengih. Matanya masih lagi mengerling keluar tingkap.

“Baguslah kalau dengar. Mak bukan apa … Kamu tu suka sangat mengelak bila cakap hal kahwin. Kawan-kawan kamu pun ramai yang dah kahwin,” selesai Puan Wani berbicara terdengar bunyi hon motor dari luar.

Ezzah menjengah. Kelihatan seorang jejaka segak berjaket kulit di atas motor Kawasaki Z800 di hadapan pagar.

Yes! Sampai pun,” Ezzah separa melompat. Tangannya ligat mencapai helmet di bawah meja. “Mak, Alan dah sampai tu. Ezzah keluar dulu.”

“Ezzah, kalau susah sangat nak cari boyfriend, kamu ajak Alan tu kahwin,” ujar Puan Wani sebaik sahaja Ezzah menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.

“Merepeklah, mak!” Ezzah berlari keluar pagar mendapatkan Azlan.

“Fuh! Tak sangka hari ni dapat naik Z800. Kelam-kabut aku rembat helmet adik aku,” Ezzah tersenyum manis membuka pintu kafe.

“Kau lah non-stop call aku. Aku nak balik rumah tukar kereta pun tak sempat,” Azlan berjalan memeilih tempat duduk yang sesuai. Tempat untuk dua orang di tepi tingkap menjadi pilihan Azlan. Kerusi untuk Ezzah dibuka.

“Terima Kasih,” Ezzah duduk di tempatnya. “Yelah, lagi lama kau biar aku dekat rumah tu, lagi lamalah mak aku bising pasal kahwin kat aku. Tak sanggup!”

“Ni semua mesti sebab kad kahwin Mastura dan Khairy sampai kat rumah kan?” pertanyaan Azlan bersulam gelak kecil. Ezzah menjeling Azlan.

“Kahwin juga dorang. So, nak pergi tak?” Azlan tak mahu Ezzah merajuk lama.

“Gila ke tak pergi … Best couple masa pre grad dinner kot. Kahwin mesti gempak ni!”

“Ok. Nanti kita pergi sekali. Tapi kita bincang hal yang lebih mustahak dulu,” Azlan berubah serius.

“Apa dia?” Ezzah mula berdebar. Memang semalam dia sedikit terkejut bila Azlan menghantar pesanan ringkas mengajak untuk bertemu. Sudah tiga bulan juga, mereka tidak bertemu kerana masing-masing sibuk dengan kerja. Kebanyakkan acara lepak diaturkan juga beberapa terpaksa dibatalkan kerana komitmen kerja.

“Selaku interior designer bertauliah, aku nak kau decorate apartment baru aku. Amacam?” Azlan mengangkat-angkat kedua belah keningnya.

“Fuh, set!” Ezzah menyahut teruja.

Style semua kau … ” belum sempat menghabiskan ayat telefon bimbit Azlan berdering. Azlan memandang tepat ke dalam mata Ezzah sebelum mengangkat panggilan. “Hello, Nadira …”

***

3 TAHUN SEBELUM

“Oi, Makan tak tunggu orang!” sapa Mastura kepada rakan-rakan sekelasnya yang sudah mula makan dari jauh. “Pantang kita lambat sikit, ish!”

‘Dia buat macam kafe dia pula,’ bisik hati Ezzah. Ezzah menggeleng-gelengkan kepala. Ezzah bergerak menuju ke kaunter makanan membiarkan Mastura menyapa rakan-rakan sekelasnya. Dia sudah lapar benar.

Sudah dua hari mereka menumpang makan di kafe Fakulti Kejuruteraan. Semuanya gara-gara kafe mereka ditutup selepas diperiksa Jabatan Kebersihan akibat kurang bersih. Ezzah berharap benar pengurusan kafe itu ditukar kerana ini bukan kali pertama.

“Apa menarik hari ni?” sapa Mastura dari belakang sambil mencucuk pinggang Ezzah.

“Kau ni kan!” Ezzah yang terkejut spontan memukul lengan Mastura.

“Tak adalah, aku tengok kau muka macam confuse sangat nak pilih lauk. Tapi nasi kau tak ambil pun,” Mastura tersengih-sengih sambil menarik tangan Ezzah menuju ke tempat mengambil nasi.

“A’ah, aku serius keliru weh! Banyak gila lauk! Kafe kita mana ada macam ni,” Ezzah membalas Mastura sambil menceduk nasi ke pinggannya.

“Kat sini memang banyak lauk best pun kan?” satu suara sampai ke telinga Ezzah. Tangannya berhenti menceduk nasi. Inilah suara yang sudah lama tidak didengarinya. Ezzah mengangkat muka.

“Azlan Zainal,” perlahan nama itu meniti di bibir Ezzah.

Azlan berdiri tersenyum manis.

***

9 TAHUN SEBELUM

Burung berkicauan di langit kolej matrikulasi itu. Sekumpulan pelajar lelaki sedang bermain futsal di gelanggang. Beberapa pelajar perempuan sedang bermain badminton. Ezzah dan Azlan duduk di bangku.

“Aku nak quit, Alan,” sekalian Ezzah menghembuskan keluhan kecil.

“Takkan semudah tu? Ni baru sem pertama,” Azlan cuba memujuk Ezzah. Dia tahu Ezzah rajin dan sentiasa berusaha, mungkin kali ini nasib tidak menyebelahinya.

“Sebab ni baru sem satu lah, Alan. Kalau sem satu dah teruk macam ni, sem lain apa pula,” kali ini nada Ezzah tinggi sedikit. Renungan menembusi pandangan Alan, meminta pengertian.

“Matriks ni sekejap je, Ezzah. Sem depan kau buatlah betul-betul,” Azlan masih cuba memujuk. Terlalu berat untuk dia membiarkan teman baiknya

“Jangan nak merepeklah. Aku dah buat keputusan,” Ezzah melepaskan pandangannya jauh.

Azlan diam. Penat mahu berbahas dengan Ezzah.

“Aku dah terima tawaran diploma dalam interior design. Aku rasa tawaran ni sesuai untuk aku,” Ezzah berterus-terang.

“Bukan awal-awal dulu kita dah janji ke nak sambung engineering?” Azlan cuba melemparkan Ezzah pada janji awal perkenalan dulu.

“Aku tak sama macam kau. Motivasi kau tinggi. Kau ada ramai nak dijadikan contoh. Abang kau semua engineer, keluarga kau mewah. Kau anak bongsu. Ada banyak ruang untuk kau.,” Ezzah bagai mencurah minyak api. Dia tahu, Azlan tidak suka jika status keluarganya disebut-sebut. Kesal menerpa di hati Ezzah.

“Aku tak boleh gagal, ayah aku dah nak bersara. Adik aku 3 orang, semua sekolah lagi. Kalau aku gagal, semua akan tengok aku. Aku harapan dorang,” Ezzah cuba meredakan keadaan.

Azlan diam. Dia bingkas bangun meninggalkan Ezzah di bangku.

“Maaf, Alan,” Ezzah berbisik sendiri. Itu kali terakhir Ezzah bertemu Azlan.

***

3 TAHUN SEBELUM

“Sorang?” sapa Azlan ketika sampai di warung.

Ezzah mengangguk perlahan. Pertemuan tengahari tadi di kafe fakulti Azlan, membawa kepada temujanji warung malam ini. Hampir empat tahun mereka tidak bertemu.

“Aku ada ajak kawan. Tapi kejap lagi dia sampai. Ada kerja dekat bengkel. Kita order dulu?” Azlan mengangkat tangan memanggil pelayan untuk mengambil pesanan mereka.

“Lama gila weh, tak jumpa kau! Empat tahun jugaklah,” Azlan membuka bicara.

“Aku ingat kau marah aku lagi.”

“Ah, benda lama! Tapi kau memang terus hilanglah, lepas berhenti matriks tu. FB tak ada, Twitter tak ada, aku cuba call pun tak dapat,” Azlan meluahkan sedikit kekesalannya kerana gagal untuk menghubungi Ezzah.

Handphone aku kena curi masa tu. Tak ingatlah macamana tapi aku terus tukar nombor,” Ezzah cuba mengimbas kembali kejadian dulu. “Aku tak layan social media sangat. Tak nak jadi internet addict.”

“Ah, poyo je!” Azlan mencebik bibir. “So, macamana interior design? Ada pakwe handsome?”

“Aku nak belajarlah! Bukan pakwe handsome. Aku ada lagi setahun nak habis degree. Aku rasa aku tak salah buat pilihan,” Ezzah sedikit serius.

“Tak salah buat pilihan apanya? Kalau kau masuk engineering dengan aku, kau akan jumpa ramai jejaka kacak tapi yang paling kacak tentulah aku,” Azlan ketawa mengekek-ngekek. Ezzah menggeleng-gelengkan kepala. Azlan masih tak hilang sifat loyar buruk.

“Eleh, ye ke kacak? Hari tu aku pergi tak ada nampak pun,” Ezzah tangkas membalas.

“Ok lah, yang kacak dan pintar ramai yang dah fly pergi oversea. Tinggal satu je kacak kat Malaysia ni,”

“Kau lah tu?” Ezzah melayan gurauan Azlan.

“Aku tak kata,” Azlan menjungkitkan bahu sambil tersenyum simpul.

“Kau bila nak habis belajar? Angan-angan nak pakai Kawasaki dah tercapai ke belum?” Ezzah mengubah topik. Makin dibiarkan makin banyak pula lawak hambar bakal dibuat Azlan nanti.

“Aku dah tahun akhir ni. Sem depan final year project. Dapat kerja nanti aku belilah Kawasaki tu. Tak macholah guna duit mak ayah. Bagi aku masa tiga tahun.”

“Ok, kita tengok nanti macamana,” Ezzah sedikit kagum terhadap Azlan yang tidak hanya mengharapkan kemewahan dari keluarganya.

Tiba-tiba, telefon Azlan berdering. Azlan memandang Ezzah. Ezzah mengangguk.

Girlfriend aku dah sampai … Aku nak kenalkan kat kau ni. Jap,” Azlan sempat berkata-kata sebelum bangun dan mengangkat panggilan telefon itu. “Hello, Nadira …”

***

3 TAHUN SEBELUM

Selesai sesi studio dengan Dr. Khairudin, Ezzah pantas berlari mendapatkan skuter miliknya di parkir fakulti. Suara Azlan lain benar dalam telefon tadi. Mujur Azlan menelefon waktu semua orang diberikan waktu rehat dan kelas sudah hampir tamat. Kalau tidak, pastilah lebih lama masa yang perlu diambil untuk bertemu Azlan.

Dia tidak tahu apa kondisi penuh Azlan, yang dia tahu nada Azlan tadi amat jarang sekali didengar. Ezzah pantas mendapatkan lif menuju ke tingkat paling atas bangunan Fakulti Kejuruteraan. Di tingkat paling atas menempatkan tangki-tangki air dengan ruang luas dijadikan tempat pelajar-pelajar bersantai. Azlan berdiri di satu sudut memandang jauh. Ezzah datang perlahan dari belakang.

“Kau tak ada fikir nak buat benda bodoh kan?” sapa Ezzah dari belakang. Azlan memandang Ezzah. Azlan tidak mampu senyum ketika itu.

“Kenapa ni?” Ezzah lembut menutur bicara.

“Nadira dah tinggalkan aku. Aku tak faham!”

Ezzah diam. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. ‘Apa aku nak kata kat Alan ni? Aku bukan tahu sangat pun hal-hal macam ni,’ bisik hatinya.

“Kau boleh fikir tak Ezzah, dia cakap kat aku, dia tak rasa aku cintakan dia macam dulu. Dia merepek apa?” nada suara Azlan meninggi. Ezzah masih lagi diam.

“Kat sini bukan ramai perempuan pun. Aku jumpa dia hari-hari,” seribu kekesalan terbit dari raut wajah Azlan. Ezzah hanya mengangguk-angguk.

“Tiga tahun weh … tiga tahun. Last sekali, dia boleh cakap kat aku, selamat berbahagia dan biarkan dia pergi dengan orang yang lebih sesuai, aku patut buat yang sama,” nada Azlan makin perlahan. “Apa maknanya Ezzah?”

Ezzah menggelengkan kepala. Dia memang tidak tahu apa jawapannya. Azlan kemudian duduk dan bersandar pada dinding. Ezzah turut berbuat yang sama.

Bila keadaan sudah, Ezzah memegang bahu Azlan “Aku takkan pergi. Aku ada untuk kau.”

***

HARI INI

“Apa style cadangan kau?”

“Kau tak ada cadangan? Inikan rumah kau?”

Azlan menggelengkan kepala. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. “Nadira call. Kejap eh, Ezzah.”

Azlan berlalu mengangkat panggilan dan membiarkan Ezzah sendirian di balkoni.

“Amacam apartment ni?” sapa Azlan dari belakang selesai bercakap telefon.

Ezzah sedikit terkejut. Matanya sangat tertumpu dengan keindahan yang disajikan di luar balkoni apartment itu.

Perfect! Aku ingat aku pun kena belilah satulah. Bolehlah kita berjiran nanti,” Ezzah tertawa kecil.

“Ah, tak payah beli! Tinggal saja dengan aku nanti,”

“Jangan merepeklah, Alan,” Ezzah memukul lengan Azlan. Azlan menyambut tangan Ezzah. Mata mereka bertentang.

“Tak. Aku tak merepek. Kau tinggal sini. Kau kahwin dengan aku,” Azlan memandang ke dalam mata Ezzah. Ezzah tertunduk malu.

“Tapi … Kau dan … Nadira …” Ezzah masih bingung. Dia baru saja menyaksikan Azlan mengangkat panggilan dari Nadira.

“Cemburu?” Azlan mengangkat keningnya. Dia tersenyum nakal. Tangan Ezzah digenggam “Dia dah nak kahwin. Kitalah pengapitnya nanti.”

Ezzah melepaskan tangannya dari genggaman Azlan. Dia masih lagi tidak percaya dengan semua ini. Ezzah segera mendapatkan barang-barangnya untuk berlari ke luar dari rumah itu. Azlan pantas menggapai tangan Ezzah.

“Ezzah … janganlah pergi. Kau janji untuk selalu ada dengan aku kan?”

Ezzah memandang Azlan.

“Nadira ada betulnya. Dia betul bila dia kata dia rasa aku tak cintakannya sepenuh hati lagi,” Azlan melepaskan satu keluhan berat.

“Jadi, aku yang salah?”

“Dia betul tapi kau tak salah hadir dalam hidup aku pada waktu itu. Mungkin aku yang tak jelas atau cuba menolak realiti. Bila aku nampak kau di kafe dulu, aku dapat rasa kau lah yang aku tunggu dan rindu selama ini. Takkan kau tak rasa macam ini, Ezzah?”

Mata Ezzah mulai panas. Air mata bergenang tapi tidak dititiskan. Ezzah masih keliru, debar di dadanya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Kita saling melengkapi dari dulu. Kali ini biarlah kita sama-sama buat benda yang betul, Ezzah.”

Azlan tiba-tiba melutut di hadapannya. “Ezzah, sudikah kau mengahwiniku dan selamanya ada untukku?”

Ezzah merenung Azlan dalam-dalam.

“Ya,” air mata Ezzah menitis. Kepalanya diangguk perlahan.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aimi Rosli