Home Cerpen Cinta PUISI CINTA SI PENGECUT
PUISI CINTA SI PENGECUT
Raimah Dain
12/12/2023 13:02:33
2,678
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

AKU hanya melihat dari jauh Danial menerima surat cinta, hadiah bunga dan coklat sempena hari kekasih dari pelajar perempuan di sekolah. Danial sememangnya pelajar terhangat di pasaran kerana memiliki wajah yang kacak dan antara pelajar harapan SPM tahun ini.


Untunglah ramai peminat. Tak macam aku satu apa pun tak dapat. Nak kata ada peminat tu jauh sekali. Tetapi aku tetap bersyukur kersna miliki kehidupan yang bahagia. Walaupun tidak sesempurna kehidupan orang lain.


"Dania" aku yang baru sahaja melabuhkan punggung di kerusi dekat pondok sekolah terkejut mendengar suara Danial memanggil namaku dari belakang. Belum sempat aku menoleh longgokan coklat berselerak di atas meja.

"Untuk awak," katanya. Kemudian beredar dari situ.

.Aku dan Danial sudah berkawan sejak kecil. Meskipun dari latar belakang keluarga yang berbeza. Tetapi hubungan kami memang akrab. Aku boleh katakan dia satu-satunya kawan lelaki yang ikhlas berkawan denganku.

"Wow my favourite." Lebar senyum aku ukir. Orang yang lain yang dapat hadiah coklat, orang lain yang makan. Rezeki tak elok ditolak.

"Oh ya." Danial berpatah semula untuk mencari sesuatu dibalik coklat yang pelbagai jenis dan brand. Kemudian dia menghulurkan sekeping nota yang dilekatkan pada coklat

"Apa ni?" Aku bertanya hairan.

"Tadi ada budak lelaki mana entah minta saya bagi tu kepada awak. Tak sangka awak pun ada secret admire. Unbelievable." Dalam muka yang serius itu, sempat juga dia perli aku.

"Seriuslah untuk saya?" Soalku kurang percaya.

Danial hanya mengangguk. Kemudian beredar dari situ.

"Wow! Orang lain dapat kad, surat cinta. Aku dapat nota? Unik." Aku menggumam sendiri.

Aku membuka kertas berwarna merah jambu yang dilipat kemas itu dengan perasaan sedikit berdebar. Apalah agakanya yang terkandung dalam sticky note tersebut. .

"terlebih dahulunya maaf,


Kerana hanya mengirim nota ringkas ini,


Maaf, kerana saya hanya berani


Melihat awak dari jauh.


Suatu hari nanti,


Saya berharap saya diberikan keberanian


Untuk berhadapan dengan awak"


Dari saya yang hanya melihatmu dari jauh


Tanpa sedar bibir mengukirkan senyuman saat membaca bait-bait kata dalam kertas kecil itu.


"Ni puisi ke apa?" Aku melarikan pandangan dari kertas tersebut lalu memerhati kawasan sekeliling. Manalah tahu ada seseorang sedang memerhati. Sayangnya tak ada sesiapa yang mencurigakan.

"Takkanlah Danial nak main-mainkan aku?"

Aku memandang kembali ke nota dan membaca semula bait-bait ayat yang ditulis. Sejujurnya hati rasa tersentuh kerana seumur hidup, aku belum pernah mendapat nota atau surat dari seseorang seperti ini. Yelah, aku bukanya pelajar femes.

Selepas menerima puisi tersebut, aku cuba mencari seseorang yang memberikan nota tersebut kepada aku. Tetapi sehingga ke saat ini aku belum menemuikan jawapan. Bukan satu nota yang aku dapat. Tetapi beberapa nota yang dilekatkan di atas meja dan dikirim kepada pelajar lain untuk diberikan kepada aku/

Aku cuba tanya Danial. Tetapi dia hanya menggeleng. Katanya biar pecah diperut. Jangan pecah dimulut. Amanah tuan yang mengirimkan nota itu akan dia simpan.

Bait-bait dalam sticky note yang aku dapat tidak ubah seperti sebuah nukilan puisi yang romantis. Zaman sekarang masih wujud lelaki puitis seperti si penulis nota ini. Tetapi aku harus sedar. Ini hanyalah sekeping nota yang mungkin cuba mempermainkan aku.

"Amboi dapat nota cinta lagi?" Danial tarik kerusi lalu duduk di tepiku. Nota yang aku pegang dia ambil lalu dibaca.

"Indah bahasa dari rupa,


Aku umpamakan diri ku ibarat pepatah itu,


Aku hanya bisa mengirimkan kata-kata ini buatmu,


Sayangnya aku si pengecut,


Bersembunyi disebalik nota kecil ini,


Bukan kerana aku malu,


Kerana aku tidak mahu kau menjauh"


Dari saya yang hanya melihatmu dari jauh


Berkerut muka Danial ketika membaca kata-kata puitis dari nota itu. "Ambillah balik. Geli tahu tak ayat mamat ni. Dia ingat ni zaman 50-an ke nak main tulis-tulis puisi bagai. Kalau kad atau surat tak apalah juga. Ni nota puisi, sticky note je dia bagi?" Rungutnya. Dia memberikan aku semula nota berwarna merah jambu itu.


"Romanticlah Ada jugalah pengalaman dapat ayat-ayat rimantis dan sweet zaman sekolah. Walaupun tak tahu siapa yang bagi. Awak betul ke tak tahu siapa yang bagi?" Kataku.

"Romantis apanya? Pengecut tahu tak? Orang kalau suka tu confess je terus cakap Dania I like you, I love you jom couple. Kan se...nang." Terputus ayatnya saat menyedari renungan mataku menikam terus ke dalam matanya. Dia nenolak kerusi dan terus pergi begitu sahaja.

"Tapi awak tahu siapa yang bagikan?"

Mati langkah Danial ketika mendengar pertanyaan itu. Aku menunggu responya. Sayangnya dia mengatur semula langkah tanpa menoleh sedikit pun ke belakang.

"Huh! dah kenapa dia pula yang emosi?" Aku menggeleng dengan senyuman. Nota tadi aku selitkan ke dalam buku diariku. Danial memang agak pelik. Tetapi aku tahu dia sebenarnya mengambil berat tentang aku kerana hubungan kami tak ubah seperti adik-beradik.

Walaupun begitu, Danial tidak pernah berkongsi cerita jika ada gadis yang menarik perhatianya dan aku juga tidak pernah bertanya. Apa yang aku lihat dia cuma menolak sekiranya ada gadis-gadis yang cuba memikatnya. Cuma sejak kebelakangan ini, aku perasan Danial agak berkawan rapat dengan Alana.

"Entah-entah dia berkenan dengan Alana tak?" Mati senyuman dibibirku saat memikirkan hal itu. Entah kenapa aku berasa sedih apabila memikirkan Danial mungkin akan menjauh dari aku.

"Lupakan! Lebih baik aku isi perut dekat kantin." Aku bangun, terus meninggalkan kelas. Namun langkahku mati saat mata terbuntang pada Danial dan Alana berbual mesra di tangga. Aku belum pernah melihat Danial tersenyum manis di hadapan gadis lain seperti itu. Ini membuatkan aku yakin Danial diam-diam menaruh hati pada Alana.

Semalaman aku memikirkan apa yang aku lihat di sekolah tadi. Bukan sekali. Tetapi beberapa kali aku melihat mereka berdua. "Sejak bila? Bagaimana mereka boleh jatuh cinta? Setahu aku Danial bukanlah lelaki yang ada ciri-ciri lelaki idaman Alana. Tapi..."

Belum sempat aku menghabiskan ayat. Pintu diketuk beberapa kali oleh mama. Dia masuk ke dalam bilik lalu membelai lembut rambut rambutku. Dari raut wajah mama aku tahu ada sesuatu yang ingin dia katakan kepada ku. Tekaan kubenar belaka apabila mama memberitahu satu berita yang mematikan senyuman yang tadinya indah menghiasi bibir.

Aku tidak ada pilihan lain melainkan mengikut sahaja keputusan yang dibuat oleh mama kerana ini demi kebaikan kami dua beranak memandangkan papa telah pergi selamanya dalam kemalangan tiga tahun lepas. Sejak itu, mamalah ibu dan mamalah juga ayah untuk aku.

Petang itu, seperti biasa aku berjogging di sekitar taman. Danial datang lalu berlari disebelahku. Sayup-sayup aku mendengar suaranya menyapa ke telinga kerana aku memakai fon telinga. Tetapi disebabkan fikiranku agak bercelaru memikirkan yang aku akan meninggalkan tempat ini dalam masa beberapa hari sahaja lagi membuatkan aku tidak mampu membalas sapaanya. Malah kaki semakin laju berlari meninggalkan dia jauh di belakang.

Sejujurnya hati belum bersedia untuk pergi. Aku masih mahu berada di sini. Tetapi apakan daya aku tidak mampu membantah keputusan mama yang mahu pulang ke kampung. Entah, selepas ni bila lagi aku akan bertemu dengan Danial. Mungkin nanti dia akan melupakan aku.

Aku menggeleng lalu berhenti berlari dan duduk di kerusi dekat tama. Danial turut melabuhkan punggung disisiku. Wajah ku dipandang agak lama. Aku tahu dia pasti menyedari sesuatu yang tidak kena dengan diri ini.

"Awak okey ke?" Soalnya serius.

Aku hanya membalas soalan itu dengan sekilas senyuman. Bibir ku terasa berat untuk menceritakan hal yang sebenar. Aku tidak mahu dia melihat aku menangis dihadapanya.

"Kenapa muka sedih ni? Awak tahukan saya tak suka tengok kawan saya ni sedih. Nanti saya pun sedih. fasal nota-nota tu ke? Awak tak jumpa lagi siapa yang hantar?" Bertubi-tubi soalan dia tanyakan.

"Tak. Saya cuma stress sebab tak lama lagi exam. Itu je." Aku mengeluh panjang lalu sengih.

Danial juga tersenyum. "Macam ni lah senyum. Baru cantik." Dia cuit dagu aku sesaat.

"Cantik ke?" Rasa nak tergelak pun ada apabila dipuji oleh Danial seperti itu.

"Ya cantik. Kalau tak cantik, tak adalah orang tu dapat nota cinta yang macam puisi tu dari peminat rahsia." Katanya lagi. Bunyi seperti sedang memerli pun ada juga.

"Dahlah saya balik dulu. Assalamualaikum." Aku bangun dan terus pergi.

Sekembalinya di rumah, aku mula mengemas barang-barang yang akan dibawa pulang ke kampung. Perasaan saat ini bercampur-baur. Pagi tadi adalah hari terakhir aku di sekolah. Tetapi tak ada seorang pun yang tahu kerana aku meminta supaya Cikgu Liyana merahsiakan hal ini daripada pengetahuan rakan-rakan ku dan pada hari terakhir aku mendapat sekeping lagi nota puisi dari peminat rahsia itu. Ini mungkin nota terakhir dia untuk aku.

Bergenang juga air mata melihat ruangan dalam rumah yang banyak meninggalkan kenangan manis sejak lahir sehinggalah ke saat itu. Aku tidak akan melupakan setiap memori indah ketika tinggal di sini. Suatu hari aku akan kembali untuk menziarahi mereka.

Pagi itu, sebelum bertolak aku singgah di rumah Danial. Danial tidak berada di rumah.. Jadi aku dan mama hanya mengucapakan selamat tinggal kepada keluarga Danial. Aku juga tinggalkan sesuatu untuk Danial. Tetapi Auntie Fatimah meminta aku untuk meletakkan hadiah itu di dalam bilik Danial.

Melangkah masuk ke dalam bilik Danial membuatkan aku terpegun seketika melihat biliknya yang bersih dan kemas. Semuanya disusun dengan teratur termasukah buku-buku di atas meja. Aku meletakkan hadiah dan sepucuk surat di atas meja lalu keluar meninggalkan biliknya.

Namun ketika aku nak pusingkan ke belakang, mataku terpanah pada buku yang berbentuk diari yang ada di hujung meja. Bukan diari itu yang mengejutkan aku. Tetapi sesuatu di atas diari itu yang membuatkan perasaan kukini bercampur-baur.

Aku meninggalkan bilik itu dengan air mata yang bergenang. Tetapi cepat-cepat aku sapu apabila melihat mama dan ibu Danial rancak berbual di ruang tamu. Aku hanya mampu menitipkan salam dan maaf kerana pergi tanpa menemuinya. Hati ini tidak kuat untuk mengucapkan selamat tinggal terhadap orang yang aku sayang.

Tujuh Tahun Kemudian

SELEPAS menamatkan pengajian aku membuat keputusan untuk menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai penyunting rancangan di salah sebuah stesen TV. Sepanjang itu aku cuba mencari Danial. Tapi mereka sekelaurga juga telah berpindah sehinggalah suatu hari aku secara tidak sengaja terserempak dengan Alana.

Alana kelihatan cantik malah lebih anggun dari zaman sekolah dulu. Aku bertanya jika dia ada berhubung dengan Danial. Alana dengan senyuman menceritakan rahsia yang selama ini dia dan Danial rahsiakan dari aku. Alana juga memberikan alamat kafe Danial kepada aku.

Selepas berfikir panjang aku berkunjung ke kafe Danial. Dari luar aku melihat dia sibuk melayan pelanggan di kaunter. Dia masih tidak berubah sama seperti dulu lebih suka melakukan sesuatu sendiri berbanding mengharapkan orang lain. Dengan langkah kanan aku masuk ke dalam kafe dan membuat pesanan di kaunter.

"Welcome to..." Tidak berkelip mata Danial ketika melihat aku berdiri dihadapanya. Satu perasaan yang sukar aku gambarkan selepas tujuh tahun akhirnya aku melihat semula wajahnya yang sangat aku rindui.

"Dania?" Soalnya, tidak lepas memandangku.

Namun, aku hanya membalas dengan memberikan sekeping nota kecil. Aku dapat melihat matanya yang berkaca. Tetapi aku buat-buat berkelakuan seperti biasa, seperti mana aku yang selalunya.

"Saya nak minum..." Belum sempat aku menghabiskan ayat. Aaron iaitu kawan ku sejak di universiti datang menyapa. Kami sudah berjanji untuk berjumpa di kafe itu.

Selepas membuat pesanan kami duduk dekat meja tidak jauh dari kaunter. Dapat aku lihat mata Danial tidak lepas dari memandang kami. Sementara itu, Aaron pula sibuk bertanya jika itu lelaki yang selalu aku ceritakan kepadanya dan merasakan Danial seseorang yang boleh dia percayai untuk menjaga aku.

"Maafkan saya Aaron." Aku terlebih dahulu meminta maaf kerana tidak dapat menerima cinta Aaron. Aku sudah cuba membuka hati dan memberi peluang untuk mencintai Aaron. Tetapi aku tidak mampu.

"It's okay saya faham. Perasaan sesuatu yang tak boleh dipaksa. Saya tengok mata Danial tak lepas dari pandang awak. Renungan yang penuh rasa rindu. Saya yakin dia jauh lebih baik berbanding saya." Katanya yang diakhiri dengan satu senyuman ikhlas melepaskan aku.

Selepas beberapa minit Aaron pergi, aku juga bangun dan keluar dari kafe itu.

"Maaf kerana merahsiakan diri,


Maaf kerana aku si pengecut itu,


Maaf kerana telah membuatkan engkau tertipu,


Diri tidak mahu kehilangan,


Sayangnya engkau pergi sebelum aku meluahkan"


"Dania maafkan Danial"

Mati langkahku ketika mendengar bait-bait kata itu keluar dari mulut Danial. Aku berpusing ke belakang, lelaki itu berjalan setapak demi setapak mendekatiku.

Kami berdiri berhadapan, mata saling bertemu. Sayangnya bibirku menjadi kaku sama seperti tubuhku. Aku merasakan diri seperti diperbodohkan olehnya. Tujuh tahun lepas ketika aku meletakan hadiah di dalam biliknya. Sceara tidak snegaja aku terlihat nota-nota puisi di atas buku diari Danial.

Aku masih cuba berfikiran positif mungkin peminat rahsia itu memberikan nota-nota kepada Danial untuk diserahkan kepadaku. Tetapi tanggapan ku salah apabila aku mendapat tahu nota itu ditulis sendiri oleh Danial melalui sekeping nota biru yang dikeronyok dekat meja belajarnya.

Alana juga teleh menceritakan perkara yang sebenar iaitu dia dan Danial tidak pernah ada hubungan istimewa. Mereka kelihatan akrab kerana Alana secara tidak sengaja melihat Danial menulis nota itu ketika dia duduk di perpustakaan.

Sebagai ganjaran supaya alana merahiakan hal itu dari aku, Danial berjanji untuk melakukan apa sahaja yang Alana minta dan Alana minta supaya Danial membantunya untuk memikat Adam memandangkan Adam dan Danial adalah kawan baik.

"Awak sihat?" Soalnya.

"Alhamdulillah." Sepatah aku menjawab dengan wajah kosong. Tetapi dalam hatiku berbisik aku merinduinya.

"Siapa lelaki tadi tu? Teman lelaki awak?"

"Aaron." Sepatah lagi aku menjawab.

"Teman lelaki?" Tekanya.

"Tak. Tapi dia tak pengecut macam orang tu. Dia jujur sukakan saya dan sanggup tunggu saya untuk terima cinta dia." Jawab ku sedikit sinis.

"Maknanaya awak akan terima cinta dia suatu hari nanti?"

"Mungkin kalau orang tu terus jadi pengecut dan bersembunyi disebalik nota putisi tu." Aku kemudian pusingkan badan berpaling membelanginya sebelum melangkah pergi. Namun, dia pantas mencapai pergelangan tanganku dan memegangnya dengan erat.

"Mungkin orang tu dulunya bodoh. Tapi sekarang, dia takkan lepaskan gadis yang dia cinta ke pangkuan orang lain." Katanya. Dia berjalan dan kini berdiri dihadapanku.

Wajahku dipandang lama. Perlahan-lahan dia mengukirkan satu senyuman manis yang sudah lama aku rindui.

Dia memberikan aku sekeping sticky note yang selalu dia gunakan untuk menghantar nota puisi cintanya dulu .

"Bacalah." Katanya.

"Musim terus berganti,


Masa terus berjalan,


Kita semakin dewasa,


tetapi hati dan diri ini masih sama,


Bezanya, aku Si pemerhati jauh akan berhenti melihatmu,


Kerana aku mahu jujur,


Akulah Si pengecut yang mencintaimu"

Tanpa sedar bibir tersenyum ketika membaca bait-bait kata yang tertulis di atas nota itu. Aku memandangnya lalu meminta dia untuk membacakan sendiri bait-bait itu dengan nada berpuisi. Tetapi dia menolak kerana dia hanya menulis. Tidak tahu untuk melagukan sesebuah puisi atau sajak.

"Selepas awak pergi macam tu je saya dah berhenti menulis. Saya dah tahu awak dah tahu semuanya sebab nota di atas meja tu dah tak ada. Tapi saya tak boleh buat apa-apa sebab awak dah pergi macam tu je. Jangan benci saya" matanya menikam tepat ke dalam mataku.

"Kenapa awak dulu awak tak jujur?" Soalku.

"Sebab saya takut awak cuma anggap saya tak lebih dari seorang kawan. Saya tak mahu disebabkan perasaan peribadi saya ni, saya akan kehilangan Dania yang saya sayang. Tapi sekarang, saya takkan benarkan Dania saya pergi lagi." Jelasnya. Aku dapat melihat dari mata Danial yang dia benar-benar ikhlas dan jujur ketika mengungkapkan kata-kata itu.

Sepanjang tujuh tahun itu nota-nota Danial dan memori ketika bersamanya menjadi penemanku sehingga aku menutup hatiku untuk semua orang termasuk Aaron. Tetapi saat aku sudah berputus asa dan cuba memberi peluang untuk Aaron. Tuhan mempertemukan aku dan Danial semula. Sesungguhnya sebaik-baik rancangan itu adalah perancangan Tuhan.  

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Raimah Dain