BAB
1 : KEHIDUPAN DI ESTET GETAH
‘Cikri’ itulah panggilan yang saya dan adik
beradik serta sepupu sepapat gunakan untuk memanggil Kolonel Hj. Zamberi Saidin (Bersara) iaitu
bapa saudara kami. Untuk kisah seterusnya saya akan menggunakan gelaran ‘Cikri’
sebagai menggantikan nama sebenar beliau.
Cikri dilahirkan pada subuh 30 Mac
1952 jam 3 pagi di Sanglop Estet, Kota Bharu Perak. Anak ke 5 dari 7 orang adik
beradik. Menurut cerita ibu saya yang Cikri panggil ‘Yong’ (‘Yong’ adalah panggilan
untuk anak perempuan sulung bagi orang Perak)….nama Zamberi itu dicadangkan
oleh bidan kampung yang menyambut kelahiran Cikri dan kebetulan pula opah saya
suka akan nama itu.
Kata bidan…. “ Namakan Zamberi…dah besar nanti boleh jadi askar macam si anu tu”.
Kebetulan ada saudara kami yang bernama Zamri dan dia bekerja sebagai askar.
Alhamdulillah, dengan izin Allah masin mulut bidan berkenaan kerana memang
Cikri memasuki tentera.
Semasa kecil Cikri banyak
menghabiskan masa bermain sahaja kerana mak ayah iaitu atuk dan opah saya
keluar bekerja sebagai penoreh getah. Maka anak-anak penoreh akan ditinggalkan
di ‘kandang’. Sekarang kandang dipanggil TASKA, TADIKA, kinder garden dan sebagainya.
Mengapa ianya dipanggil ‘kandang’? - kerana tempat asuhan ini sekadar berbumbungkan
zink dan berdindingkan pagar papan sahaja seperti kandanglah layaknya. Daifnya
TASKA di Sanglop Estet pada zaman itu.
Menurut cerita ibu saya lagi, arwah
opah selalu balik setiap kali habis menoreh pokok getah dengan berjalan kaki
dalam jarak yang agak jauh semata-mata hendak menyusukan anaknya. Cikri tidak
mahu meminum susu pekat manis yang dimasak dengan air. Susu cap junjung itulah
jenamanya. Zaman itu manalah ada susu tepung. Betapa bertuahnya anak-anak zaman
sekarang pelbagai jenama susu tepung ada di pasaran. Pilih saja yang mana
hendak asalkan ada duit. Kemewahan yang dimiliki anak-anak zaman sekarang
membuatkan mereka tidak mengenal erti susah dan kurang bijak menghargai duit.
Selesai menyusukan Cikri,
arwah opah akan pergi semula bekerja untuk mengutip susu getah pula. Begitulah rutin kehidupan arwah opah
sekeluarga. Masa itu Cikri dalam lingkungan usia 1 ke 2 tahun.
Selain tinggal di kandang dan
bermain-main, satu lagi aktiviti kebiasaan Cikri ialah mandi-manda di sungai. Malah
sungai ini merupakan nadi orang-orang estet dan kanak-kanak di situ. Air sungai
ini sangat jernih kecuali semasa hujan. Saya sendiri pernah mandi di sungai berkenaan
di zaman kanak-kanak apabila setiap kali berkunjung rumah opah di Sanglop Estet
itu. Airnya sejuk dan menyegarkan badan. Manakala suasana keindahan flora di
sekitar sungai sangat menyejukkan mata memandang tetapi kini semuanya itu sudah
tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan yang tersimpan indah di ingatan saya
dan apatah lagi buat Cikri yang membesar di Sanglop.
Ketika zaman itu, di estet hanya diduduki 10
keluarga Melayu, 2 keluarga Cina dan majoritinya keluarga India. Sungguhpun
begitu hubungan kaum sesama mereka sangat baik dan akrab. Semuanya mengenali
antara satu sama lain. Rutin harian semua ibubapa keluarga di estet ini ialah
sibuk dengan kerja memburuh sebagai penoreh getah manakala anak-anak terbiar.
Sudah menjadi kebiasaan anak-anak Melayu akan tinggal di kandang bersama
anak-anak India. Dunia mereka hanyalah bermain sahaja kerana tiada sesiapa yang
hendak mengajarkan ilmu 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Anak-anak melata
tanpa bimbingan malah ada yang berbogel sahaja sepanjang hari. Cikri juga tidak
kurang dengan sifat nakal dan lasaknya. Setiap hari Cikri pergi melastik
burung. Tidak pasal-pasal burung mati kerana terkena batu lastik Cikri. Fuhh!
nakalnya Cikri…
Pernah terjadi Cikri dengan tidak semena-mena
tanpa tujuan telah membaling tin sardin kosong ke arah rumah dan tin sardin itu
terkena kepala kakak Cikri iaitu ibu saudara saya, Rohyah namanya. Cikri
memanggilnya ‘Nyah’ iaitu gelaran orang Perak untuk anak yang tengah dan saya
memanggilnya ‘Wan Nyah’. Akibatnya kepala Wan Nyah berdarah dan membasahi
bajunya. Heboh seketika opah dan jiran. Nasib baiklah luka di kepala Wan Nyah
tu tidak dalam, hanya kulit kepalanya yang luka. Kejadian itu membuatkan Cikri
kecut perut kerana kerisauan. Kena marah dengan opah sudahlah pasti. Begitulah
nakal dan lasaknya Cikri ketika itu - almaklumlah zaman kanak-kanak apatah lagi
dalam situasi hidup yang terbiar tanpa bimbingan.
Lebih memilukan lagi, kehidupan Cikri dan
seluruh warga Sanglop penuh dengan keperitan dan kepayahan. Keperitan dan
kepayahan yang saya sendiri tidak dapat gambarkan dengan untaian kata-kata.
Segalanya serba tidak ada namun tidaklah sampai mereka kebuluran. Ketika zaman
itu untuk berganti pakaian jauh sekali, yang ada seluar sekolah dipakai harian
tanpa baju. Bila hendak ke sekolah barulah memakai baju. Begitulah daifnya masa
itu, jauh berbeza dengan kehidupan saya semasa kecil. Sayu hati ini bila
membayangkan kehidupan Cikri ketika itu. Sewajar ianya menjadi iktibar kepada
kita khasnya anak-anak yang hidup zaman sekarang yang penuh dengan segala macam
pembangunan dan kemajuan. Kemiskinan dan kedaifan membuat anak-anak estet jauh
dari kemajuan minda.
Kembara Anak Estet......
Bertatih dalam
cahaya kelam penuh sendu
Bersendirian tanpa
bimbingan ayah ibu
Menyelusuri ranjau
berliku
Ke manakah hala tuju…
Menurut cerita ibu saya, semasa Cikri berusia
dalam lingkungan 3-4 tahun Cikri sering juga dibawa oleh ibu saya ke rumahnya. Antara
tempatnya ialah rumah yang dipanggil
'rumah tuan panjang' yang terletak di jalan Gopeng di mana abang ipar
Cikri yang dipanggil 'Yeop' bertugas sebagai SC (Special Constable). Apabila
abang ipar Cikri mendapat demam panas dan di masukkan ke hospital Kampar selama
14 hari. Hari-harilah Cikri mengikut Yong melawat sehingga abang ipar Cikri meninggal
dunia. Masa itu ibu sedang mengandungkan kakak sulung saya yang berlainan ayah,
Azizah namanya.
Selepas abang ipar Cikri dikebumikan di
kampung asalnya di Kuala Pilah Negeri Sembilan, ibu terpaksa balik semula
tinggal dengan keluarga di Sanglop. Oleh kerana keakraban antara Cikri dengan
ibu maka ke mana saja Yongnya pergi akan ikutinya. Malah pergi membasuh kain di
Sungai Teman yang jaraknya agak jauh dari rumah pun Cikri tetap juga mahu ikut.
Selalunya ketika hendak balik ke rumah, Cikri mulalah minta didukung. Bila Yongnya
enggan, Cikri pun menangislah sepanjang jalanan. Kesihan Yongnya - mana nak mendukung
Cikri, mana pula nak bawa kain basuhan lagi.
Hahaha....nakal betul Cikri sampai
arwah opah marah. Malah Yongnya pernah menyebat Cikri kerana tidak tahan dengan
kenakalan Cikri.
Namun dalam pada itu Cikri sering
mengajak Yongnya balik ke rumah tuan panjang.
"Yong,
mohlah balik rumah kita",
rayu Cikri pada Yong.
Yong pun cuba memujuk Cikri, "Mana boleh balik rumah kita dah, yeop
dah tak ada".
Mendengarkan kata-kata itu...Cikri pun
diam tetapi hari-hari Cikri bermuram durja.
Lantaran kerana kesihan melihatkan
keadaan Cikri begitu, akhirnya abang sulung Cikri, Halim dengan panggilan 'Yang'
membawa Cikri tinggal di Cameron Highland kerana Yang bekerja sebagai SC di situ. Selepas
tamat kerja SC, Yang sekeluarga termasuk Cikri balik semula tinggal di Sanglop
Estet. Isteri Yang mula bekerja sebagai 'pengasuh' di kandang estet. Selepas
itu Cik ri pun mula bersekolah.
Gambar Cikri bersama abangnya Sharin berdiri
di hadapan rumah buruh estet.
BAB
2 : DARI KECIL SUDAH DIKENALI
ADA DAYA MEMIMPIN
Cikri mula memasuki sekolah rendah pada tahun
1959 di Sekolah Kebangsaan Kota Bharu, Perak.
Dahulu dipanggil Darjah 1 tetapi zaman sekarang dipanggil Tahun 1.
Sistem pembelajaran dahulu dan sekarang sudah sangat jauh berbeza. Zaman
sekarang murid-murid sebelum masuk tahun 1 sudah diajar 3M iaitu Membaca,
Menulis dan Mengira,. melalui pra sekolah ataupun kelas TADIKA., Tetapi zaman
di estet dulu apa yang ada! -- Buku pun
tiada hanya menggunakan papan batu untuk menulis. Justeru, darjah 1 Cikri berlalu
tanpa tahu 3M -- malah mengenal huruf pun Cikri tidak tahu langsung. Selalunya
Cikri hanya meniru kerja sekolah rakan perempuan iaitu anak kepada salah
seorang anggota polis di Balai Polis Kota Bahru. Bila tiba ujian mengeja Cikri
hanya tahu mengeja B.O.L.A sahaja, Manakala ejaan yang lain semuanya salah.
Ha…ha..ha…maka pecah sudah rahsia bahawa selama ini Cikri tak tahu apa dan
hanya meniru kawan.
Walaupun begitu, cikgu-cikgu masih memberikan
kepercayaan kepada Cikri menjadi ketua darjah. Cikri menjadi ketua darjah dari
darjah 1 sampailah darjah 6. Mungkin ketika itu cikgu-cikgu sudah mengesan
bakat kepimpinan yang ada pada diri Cikri. Memang Cikri mempunyai bakat
kepimpinan. “We proud of you”.
Di zaman persekolahan, Cikri sangat aktif dengan
permainan bolasepak. Ya, kalau Cikri aktif dengan permainan bolasepak, saya
pula aktif dengan bolajaring. Saya merupakan salah seorang daripada anak
saudara Cikri yang aktif dengan sukan dan permainan. Semasa darjah 5 Cikri
merupakan ‘top scorer’. Ketika dalam darjah 6 pula Cikri diberi kepercayaan
menjadi kapten pasukan bolasepak sekolah dan ditakdirkan juga saya pula pernah
menjadi kapten pasukan bola jaring sekolah. Saya dapat rasakan bagaimana
semangat kesukanan Cikri masa itu.
Atas terlalu minat kepada
permainan bolasepak, Cikri dan kawan-kawan di Sanglop pernah berkongsi 5 sen
seorang semata-mata mahu membeli bola getah. Itu pun mereka terpaksa menunggu
ibubapa masing-masing dapat gaji. Dengan bola getah itulah Cikri dan
kawan-kawannya bermain bolasepak sampai pecah rabak bola getah itu.
Mendengarkan kisah ini, ada rasa lucu yang amat sangat di hati saya namun tidak
dinafikan jauh di sudut hati saya ada juga terselit rasa sedih kerana itulah
hakikat kedaifan hidup warga estet di zaman Cikri. Betapa bertuahnya kehidupan
di zaman kanak-kanak saya. Kalau di zaman Cikri, mereka sangat menghargai apa
yang ada. Anak-anak sekarang ada yang lupa diri dek kerana terleka dengan
segala kemewahan dan kelesaan hidup yang tersedia ada. Hinggakan ada pula menjadi
manusia yang tidak tahu bersyukur dan menghargai apa yang ada.
Mengimbas kembali di awal
persekolahan, apa-apa pun Cikri tidak tahu. Membaca, menulis dan mengira bukan
milik Cikri. Namun apabila memasuki darjah 3, Cikri mulai tahu membaca, itu pun
kerana adanya peristiwa yang menyebabkan Cikri rasa segan dengan cikgu
perempuan yang baru mengajar di sekolah. Apatah lagi cikgu berkenaan cantik dan
manis orangnya serta selalu memberi kata-kata pujian umpama memotivasikan diri
dan minda Cikri. Zaman dahulu manalah ada cikgu motivasi seperti sekarang.
Pada
satu hari cikgu berkenaan telah memanggil Cikri tampil ke hadapan kelas untuk
membaca buku secara kuat supaya murid-murid lain dapat mendengar. Aduhai
malunya Cikri bukan kepalang kerana saat itu Cikri tidak boleh membaca. Apatah
lagi selaku Ketua Darjah. Mujurlah cikgu berkenaan menyelamatkan keadaan dengan
menolong bacakan dan Cikri mengikutinya. Ekoran dari peristiwa itu mulalah
Cikri belajar mengeja dan membaca di
rumah bersendirian tanpa bantuan sesiapa. Peristiwa itu jugalah menyebabkan
Cikri sedar bahawa Cikri BOLEH pandai membaca kalau rajin berusaha. Malah peristiwa
itu jugalah Cikri menyedari akan potensi diri untuk pandai. Seperti kata
pepatah -- belakang parang pun kalau diasah lagikan tajam -- inikan pula manusia yang diberikan kudrat dan
akal. Bukan kepalang gembiranya bila sudah pandai membaca. Alhamdulillah….
Menjelang cuti persekolahan, kebiasaannya
Cikri akan menolong emak-ayahnya mengutip getah sekerap sama ada dengan
berkayuh basikal atau berjalan kaki ke ladang getah. Di samping itu, Cikri
turut mencari kayu api dari dahan-dahan mati pokok getah buat dijadikan bahan
bakar untuk emaknya memasak. Masa itu
tiada kuasa eletrik mahupun dapur gas. Dahan-dahan kayu dikerat 3 atau 4 kaki
lalu diikat di ‘carrier’ basikal dan dibawa pulang ke rumah.
Pernah terjadi satu kemalangan semasa
Cikri hendak menyeberang titi sungai di kebun getah dengan berbasikal yang
sarat dengan dahan-dahan kayu. Lantaran keadaan titi yang agak kecil dan licin
telah menyebabkan Cikri tergelincir. Cikri jatuh dahulu, basikal dan kayu-kayu menyusul
kemudian dan hendak menimpa Cikri. Alhamdulillah…Allah
nak panjangkan umur, Cikri sempat melompat mengelak dari ditimpa basikal,
walaupun ketika itu Cikri sudah jatuh terlentang. Mujurlah sungai itu kecil dan
cetek serta airnya tenang. Bila rasa terkejut dan cemas telah reda, Cikri pun
bangun semula lalu membuka ikatan kayu api dan menaikkan basikal ke atas tebing
sungai. Kemudian menyusun dan mengikat semula kayu api di ‘carrier’ basikal
lalu terus pulang ke rumah. Kejadian ini terjadi ketika Cikri seorang diri dan
ianya masih segar dalam ingatan Cikri hingga sekarang.
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini
bahawa sistem pembelajaran dahulu jauh berbeza dengan sistem pembelajaran
sekarang. Sekarang sudah ada peperiksaan ujian persekolahan sekolah rendah iaitu
bermula dengan Peperiksaan Penilaian Darjah 5 dinaik taraf peperiksaan tahun 6
yang dipanggil UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah).
Dahulu di zaman Cikri cuma ada
peperiksaan agama darjah 6 sahaja. Dalam peperiksaan agama itu Cikri telah
lulus dengan baik dan mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama iaitu Sekolah
Menengah Agama Izzuddin Shah di Ipoh Perak. Berita itu tersebar dengan cepat --
hebohlah satu estet akan berita seorang budak estet dapat masuk sekolah jauh
dan berasrama. Tetapi kegembiraan Cikri
tidak kekal lama lantaran emak-ayah tidak mampu untuk membeli baju Melayu, sampin,
songkok, cadar, sarung bantal dan lain-lain keperluan untuk masuk ke sekolah
berasrama. Dengan berat hati tawaran itu dilepaskan dan berakhirlah satu
peluang baik bagi Cikri untuk memulakan satu langkah untuk maju ke hadapan.
Kesihan Cikri.
Pun begitu, mendung kekecewaan tidak terus
memayungi kehidupan Cikri kerana cahaya cerah datang menyinar. Di sekolah Cikri
selalu mendapat perhatian dari cikgu-cikgu. Atas keyakinan seorang guru agama,
Cikri diberi kesempatan untuk mewakili Sekolah Kebangsaan Kota Bharu dalam
musabaqah al-Quran. Peringkat awal pertandingan ini diadakan di masjid Kampung
Sungai Terap Batu Gajah. Manakala peringkat akhir diadakan di masjid Batu
Gajah. Malangnya Cikri gagal untuk terus ke peringkat akhir kerana Cikri hanya
menghafal surah al-Baqarah sedangkan tajwidnya entah ke mana. Lagi pun Ustaz
berkenaan tidak pernah mengajarkan Cikri tentang ilmu tajwid. Ustaz hanya
menyuruh Cikri menghafal sahaja dengan bertaranum. Sungguh pun begitu, sebelum
pertandingan musabaqah itu, ustaz menyuruh Cikri membacakan surah itu di dalam
kelas maka senyap sunyilah kesemua orang mendengarnya dan Ustaz berpuas hati
dengan cara pembacaan Cikri.
Selain itu Cikri juga turut diberi
kepercayaan oleh guru untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pengucapan umum
dalam Bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa Kebangsaan. Nah! Sekali lagi aku seperti mengikuti jejak
langkah Cikri cuma bezanya aku mewakili sekolah dalam pertandingan bahas iaitu
semasa aku di sekolah menengah. Untuk pertandingan ini, guru telah menuliskan
skrip ucapan dan Cikri hanya perlu menghafalnya sahaja. Maka dengan susah
hatinya Cikri berusaha menghafal skrip itu setiap pagi dan petang.
Apabila tiba malam pertandingan, Cikri
pun berucaplah di atas pentas, malangnya di pertengahan ucapan tiba-tiba sahaja
Cikri terlupa langsung skrip seterusnya. Cikri terdiam. Cikri cuba mengingati
skrip ucapan, tapi semakin dicuba semakin lupa. Akhirnya masa pun tamat. Sekali
lagi Cikri gagal untuk ke peringkat seterusnya. Pertandingan itu dimenangi oleh
wakil dari Sekolah Kebangsaan Changkat Tualang. Apa yang boleh diambil iktibar
dari kejadian ini ialah ilmu atau sesuatu itu tidak boleh hanya menghafal
sahaja. Ianya mesti difahami dan mesti ada roh penghayatannya. Kita tidak boleh
jadi seperti burung kakak tua yang mendengar dan menghafal tetapi ia tidak
mengerti apa-apa pun.
Menjelang temasya sukan sekolah, cikgu telah
melantik Cikri untuk menjadi ‘markman’ di hadapan murid-murid lain di dalam
pertunjukan senaman kepada khalayak. Sedangkan ramai lagi murid-murid lain yang
boleh dipilih, namun Cikri juga yang diberikan tanggungjawab untuk
melakukannya. Wah! Hebat betul aura Cikri saya ni. Mungkin semua cikgu sudah
menghidu akan kelebihan yang ada pada diri Cikri yang tidak ada pada
murid-murid lain. Pepatah ada mengatakan, ‘Hanya
jauhari mengenal manikam’.Hanya orang yang bijaksana mengenal kebolehan
seseorang. Justeru, cikgu menyerlahkan
bakat dan kebolehan yang ada pada diri Cikri satu persatu.
Berbalik kepada kehidupan seharian di estet -- untuk mendapatkan makanan nasi yang berlauk,
selalunya emak-ayah Cikri (opah-atuk saya) serta tiga keluarga yang lain terpaksa
pergi memancing setiap petang di paya-paya yang terdapat di dalam ladang getah.
Hasilnya akan dibawa balik. Selalunya mereka dapat banyak ikan dan malamnya
arwah opah akan masak sedap - ikan segar, bukan ikan di pasar yang sudah bundar
matanya dan lebik dagingnya.
Dari sinilah Cikri mula mempelajari
hidup berdikari mencari rezeki. Cikri mula memahami selok-belok memancing.
Bermula dari menggali tanah lembab untuk mendapatkan umpan cacing - tahu pula bagaimana
membuat kail dan memasang umpan serta seterusnya mengetahui kaedah untuk memancing
agar ikan tersangkut di mata kail.
Sememangnya aktiviti memancing sangat menyeronokkan kerana saya sendiri pun
pernah memancing tetapi ikan yang saya dapat bukan untuk dibuat lauk. Hanya
disimpan di dalam balang atau botol kaca yang mana akhirnya ikan itu mati
kerana tidak diberi makan….ha…haa…haa…saya juga tak kurang nakalnya semasa kecil,
ala ala tomboy perangai saya.
Biasanya Cikri akan pergi
memancing bersama arwah opah meredah paya bakong untuk mencari lokasi yang
sesuai untuk meletakkan pancing. Dalam pada itu arwah opah selalu mengingatkan
agar Cikri berhati-hati takut-takut ada ular sawa. Kecut perut juga
mendengarnya tetapi Alhamdulillah, sepanjang pergi memancing itu tidak pernah
sekalipun terjumpa ular sawa.
Pasukan Bola Sepak SK Kota Bharu
Perak. Cikri selaku Kapten duduk ditengah- belakang piala (Gambar tahun 1964)
BAB
3: LCE MENGHANTUI PEMIKIRAN
Tahun demi tahun berlalu,
umur Cikri pun meningkat remaja. Tahun 1965 Cikri melanjutkan pelajaran ke
sekolah menengah -- Sekolah Idris Shah (SIS) Gopeng. Ketika itu usia saya baru
setahun jagung. Tidak seperti kebanyakan murid Melayu, Cikri telah memilih
untuk memasuki aliran Inggeris walaupun terpaksa membayar yuran bulanan
sebanyak lima ringgit. Zaman sekarang nilai lima ringgit itu tidaklah sebesar
mana, tetapi di zaman Cikri ia besar nilainya. Apatah dalam keadaan hidup
keluarga yang miskin lagi serba kekurangan. Namun Cikri tetap bertekad memilih
aliran Inggeris. Opah dan atuk tidak tahu malah mereka tidak ambil kesah disebabkan
mereka tak faham apa-apa pun.
Semasa itu hanya 3 orang sahaja dari
kelas Cikri yang memilih aliran Inggeris iaitu seorang murid perempuan dan 2 orang murid lelaki. Oleh
kerana Cikri dan 2 lagi rakannya merupakan murid dari sekolah Melayu maka mereka
bertiga terpaksa memasuki kelas peralihan (remove class) selama setahun.
Justeru mereka telah rugi setahun, sepatutnya tahun itu sudah menduduki Form 1.
Dari tahun 1967 hingga 1969 Cikri berada di Form
1 hingga Form 3. Semasa ini Cikri aktif
bersukan seperti bolasepak, badminton dan olahraga. Cikri pernah mewakili
sekolah dalam acara larian berganti-ganti 4x100 meter dan 4x200 meter. Malah
beliau merupakan pelari kedua terpantas dalam acara pecut 100 dan 200 meter.
Cikri juga pernah menjadi johan lompat jauh. Bab berlari ini saya tabik spring
pada Cikri sebab saya tidak pantas berlari. Saya sekadar pelari 100 meter dan
400 meter untuk rumah sukan sahaja.
Memenangi larian pecut 100meter dan
4x100 antara sekolah-sekolah
Dalam bidang akademik pula Cikri merupakan
salah seorang pelajar Melayu yang dikira pandai. Majoriti pelajar SIS adalah
dari keturunan Cina. Satu ketika, Cikri pernah mendapat markah tertinggi dalam
peperiksaan bagi matematik mengalahkan pelajar Cina yang paling pandai
matematik. Untuk itu Cikri telah mendapat pujian dari cikgu matematik - Mr.
Wong. Wah! Sungguh hebat pakcik saya ini
malah dia selalu hebat di mata kami.
Semasa di Form 1 hingga 3 ini Cikri
belajar secara sederhana sahaja. Hanya 3 bulan sebelum peperiksaan LCE (Lower
Certificate of Education) baharulah Cikri mula belajar bersungguh-sungguh -- hinggakan
tidak keluar rumah kecuali ke sekolah atau membantu emak-ayahnya menoreh. Dapat
saya bayangkan macam mana Cikri belajar ketika itu sebab saya juga memiliki
penyakit belajar apabila peperiksaan menjelang tiba.
Alhamdulilah,
akhirnya Cikri mendapat keputusan yang
baik - Gred “A”. Ini membolehkan Cikri maju ke Form 4. Mereka
yang gagal tidak boleh memasukki tingkatan 4. Pada masa itu keputusan LCE
diberi grading A, B , C, D atau tamat tingkatan 3.
Sesungguhnya bagi Cikri bibit-bibit kesedaran
untuk mengubah nasib hidup mula berputik ketika hendak mengambil peperiksaan
LCE. Cikri sedar diri tentang kepayahan dan keperitan hidup sebagai anak buruh
estet -- anak kepada seorang penoreh getah. Oleh kerana selalu memikir-mikirkan
tentang keputusan peperiksaan tersebut membuatkan Cikri termimpi-mimpi dalam
tidurnya. Hinggakan tahap menangis dalam tidur kerana bermimpi mendapat
keputusan gagal dalam peperiksaan berkenaan.
Lantaran kehidupan yang susah, Cikri
biasanya berbasikal pergi balik sekolah dan adalah sesekali menaiki bas.
Biasanya Cikri akan berbasikal dua kali sehari ke sekolah kerana sebelah petangnya
Cikri ada sukan, bola sepak dan aktiviti-aktiviti lain lagi. Jarak kayuhan
Cikri dari Sanglop Estet ke SIS adalah sejauh 10 kilometer.
Kehidupan yang daif juga
menyebabkan ada ketikanya yuran sekolah sebanyak 5 ringgit sebulan tergendala
pembayarannya kerana tiada wang. Terpaksa meminta bantuan dari abang Cikri yang
bernama Sharin, saya memanggil arwah Sharin sebagai Cek. Cek Sharin ketika itu
masih bujang dan tinggal di pekan Kota Bharu. Dia bekerja sebagai pengawal
keselamatan di kompeni Siamese Tin. Mengikut cerita Cikri, Cek Sharin ini tidak berapa mesra dengan
adik-adiknya kerana cek bersifat agak pendiam.
Kadangkala timbul rasa segan di hati Cikri untuk meminta wang, walaupun
Cek Sharin akan membantu bila diminta.
Semasa form 1 iaitu ketika itu ibu
saya mengandungkan kakak saya Rosnah. Kira-kira tiga bulan sebelum tarikh dijangka
melahirkan, yong Cikri iaitu emak saya balik tinggal bersama keluarga di
Sanglop Estet. Yeop Cikri (ayah saya) terpaksa berulang kerja dari Sanglop
Estet ke Gopeng. Waktu itu kakak sulung saya yang kami panggil Zah bersekolah
di pekan Gopeng. Zah ini adalah anak emak saya dengan suaminya terdahulu yang telah
meninggal dunia.
Oleh kerana tiada sesiapa yang boleh
diharapkan untuk menguruskan Zah -- maka Yong telah meminta Cikri menunggu di stesyen
bas Gopeng bagi menentukan yang Zah menaiki bas yang betul ke Kota Bharu. Bila
saja loceng tamat waktu sekolah berbunyi Cikri pun bergegas berbasikal ke pekan
Gopeng kerana bimbangkan anak saudaranya.
Ada kalanya waktu bas terlalu lambat ini
menyebabkan Cikri beberapa kali mengambil keputusan membawa Zah balik dengan
menaiki basikal, sedangkan basikal Cikri tiada tempat duduk penumpang. Jadi Zah
terpaksa duduk di palang besi basikal menyebabkan berbekas merah peha Zah.
Apatah lagi dalam jarak yang jauh dari pekan Gopeng ke Sanglop Estet. Tindakan
Cikri itu tidak disenangi oleh yong
namun Cikri buat tidak tahu saja.
Menjelang cuti panjang sekolah,
Cikri pernah bersama kawan-kawan estet pergi mendulang bijih di kawasan lombong
tinggal. Sememangnya daerah Kinta terkenal dengan kegiatan melombong bijih.
Masing-masing hendak mencari duit. Kerja mendulang ini sungguh memenatkan --
mereka perlu mengangkut tanah dan selepas itu perlu didulangi di dalam air
lombong. Kerja ini dibuat berulang-ulang kali sehingga menyebabkan waktu malam
Cikri merasa sakit di bahagian dada.
Namun kerana mahukan wang, aktiviti ini diteruskan hingga seminggu
lamanya. Mereka berjaya mengumpul bijih sebanyak satu tin susu cap junjung.
Kemudian Cikri dan kawan-kawannya membawa bijih itu ke pekan Kota Bharu untuk
dijual. Tetapi alangkah terperanjat dan dukacitanya bila taukeh kedai
menyatakan bukan bijih yang mereka dapat tapi hanya debu bijih yang tiada
nilainya. Pada jangkaan Cikri dan kawan-kawannya, mereka boleh mendapat 20
ringgit seorang.
Mungkin atas rasa belas - taukeh kedai
telah memberi seringgit seorang. Sedihnya…betapa hampanya hati mereka serta
penat lelah selama seminggu hanya seringgit nilainya. Kesian…..
Selepas itu Cikri tidak mendulang
lagi. Dari peristiwa itu, sedarlah Cikri bahawa mendapatkan duit bukanlah suatu
pekerjaan yang mudah.....
BAB
4 : KESEDARAN UNTUK MEMBINA MASA
DEPAN
Tahun 1969 -1970 iaitu zaman Form 4
hingga Form 5 merupakan fasa kehidupan yang sangat bermakna dan penuh dengan
linangan airmata. Cikri sering menangis mengenangkan ke manakah nasib diri.
Menangis seorang diri sambil berazam untuk mengubah nasib diri keluar daripada
kepompong estet getah. Bermulalah Cikri memotivasikan diri sendiri dengan
bercakap pada diri...
"Aku tak mahu jadi penoreh getah. Tak
mahu menyembah (menoreh) pokok getah lagi!.."
Lantaran itu, Cikri banyak menyendiri
sehingga menimbulkan perasaan rendah diri (inferiority complex) bila berhadapan
dengan orang lain selain anak-anak estet.
“Janganlah
kamu bersikap lemah, dan jangan pula bersedih hati pada hal kamulah orang-orang
yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman” (Maksud Surah
Ali-Imran 3:139)
Ketika inilah Cikri memiliki
bilik belajar iaitu sebuah rumah kosong tiada penghuni yang berdekatan dengan
rumah keluarga. Rumah kosong ini berkongsi dengan seorang kawan yang bernama Samsudin
yang dipanggil Jotor. Jotor ini merupakan junior Cikri. Zaman form 4 dan form 5 inilah Cikri mula
banyak membaca surat khabar ‘Mingguan Malaysia’ dan ‘ Sunday Times’ yang dibeli
seminggu sekali secara berkongsi duit dengan Jotor. Waktu itu harga surat khabar berkenaan hanya
20 sen saja. Zaman sekarang ini jarang sekali kita dapat melihat pelajar
khasnya pelajar Melayu yang mahu membaca surat khabar. Kalau ada pun hanya
sebilangan kecil sahaja itupun bahagian yang biasa dibaca ialah bahagian
hiburan dan sukan.
Disamping membaca surat khabar Cikri juga
membaca novel-novel hasil karya penulis atau sasterawan seperti Shahnon Ahmad,
Keris Emas, A Samad Said, Usman Awang (Tongkat Warrant) dan beberapa penulis lain. Novel-novel yang
dibaca kebanyakannya berkisar tentang kehidupan nelayan dan petani atau pesawah
yang menggambarkan kemiskinan dan pahit maung kehidupan mereka. Novel-novel ini
biasanya Cikri pinjam kerana Cikri tiada wang untuk membelinya. Dari pembacaan
novel inilah telah banyak mempengaruhi minda Cikri sehingga menyebabkan Cikri
mampu berkarya sajak. Nanti saya akan titipkan sajak-sajak hasil ciptaan Cikri.
Minat membaca ini telah menyebabkan
Cikri sanggup berkayuh basikal sebulan sekali mengikuti sepanjang jalan
keretapi dari Kota Bharu ke Batu Gajah. Ianya bukanlah jarak yang dekat.
Kesungguhan ini semata-mata hendak membeli majalah ‘Mastika’. Pada masa itu
majalah Mastika banyak mendedahkan kisah tentang kehidupan masyarakat Melayu. Dewasa ini Mastika telah diisi dengan
cerita-cerita tahyul yang kurang memberi manfaat kepada pembacanya. Untuk
membeli majalah Mastika ini Cikri terpaksa mengumpul duit belanja sekolah. Ini
bermakna waktu rehat Cikri tidak makan. Berbeza sungguh sikap Cikri dengan
sikap pelajar zaman sekarang. Pelajar sekarang akan membelanjakan semua
walaupun sudah ada yang membawa bekalan dari rumah. Kalau adapun pelajar yang
mahu berjimat cermat mungkin dalam bilangan yang kecil sahaja.
Dalam pada sibuk belajar, membaca
surat khabar, membaca novel dan majalah Mastika, Cikri masih aktif dalam pasukan
bolasepak sekolah dan olahraga larian pecut mewakili sekolah. Disamping itu
Cikri pernah memegang jawatan sebagai Presiden pertama Persatuan Bahasa Melayu
Sekolah Idris Shah. Melalui minat membaca khasnya novel sasterawan-satserawan yang terkemuka, maka
tidak hairanlah minda Cikri diasuh dengan cara penulisan mereka. Cikri turut
berkarya sajak dan hasil sajak itu masih disimpan hingga sekarang. Sajak-sajak
Cikri menggambarkan bentuk pemikiran Cikri waktu itu. Malah Cikri pernah menghantar
sajaknya ke Radio Malaysia siaran pelajar yang 'Bunga
Bangsa' yang dikumandangkan pada setiap hari Sabtu jam 11.05 pagi selama 25
minit.
Rancangan 'Bunga Bangsa' ini diterbitkan oleh radio Malaysia pada tahun
1966 di bawah penerbitan Cik Zaitun binti Muhamad dan dikelolakan oleh encik
Kamal Baharin. Penerbitan rancangan 'Bunga
Bangsa' ini adalah satu projek bertujuan menggalakkan murid-murid Melayu
mempelajari sains kerana murid-murid Melayu jauh ketinggalan dalam bidang ini
berbanding dengan kaum lain. Rancangan ini juga bertujuan memberi pendidikan
akhlak dan nasihat kepada para pelajar di samping memberi peluang kepada
pelajar menunjukkan bakat mereka dalam bidang penulisan.
Cikri mengambil peluang itu dengan
mengirim hasil penulisan sajaknya yang bertajuk 'Dialog Untuk Kawan'. Malang sekali sajak itu tiada dalam simpanan
Cikri. Alahai ruginya...apalah agaknya bait-bait bahasa dalam sajak itu - hinggakan
dipilih untuk dikumandangkan di radio. Sajak
ini mambawa kepada satu fasa kehidupan yang baru dalam hidup Cikri hingga
sekarang. Apakah kisahnya? - Tunggu, kemudian nanti saya akan ceritakan pada
bab yang lain.
Pernah suatu hari sedang Cikri sibuk
menyiapkan penulisan sajak yang berkaitan dengan perasaan emaknya di bilik
belajar (rumah kosong) beliau. Tetiba
datang seorang kawan dari Kampung Tengah, Kota Bharu masuk lalu terus merampas
dan membaca kuat sajak tersebut. Lantas tidak semena-mena Cikri menangis
tersedu-sedu mendengar bacaan sajak itu. Hal ini membuatkan kawan Cikri
terperanjat dan berasa serba salah.
"Hei!
Mengapa kau menangis? Kau marah aku ya....Ok, aku minta maaf kerana merampas
dan membaca sajak kau. Maafkan aku ya". Rayu kawan Cikri.
Cikri tidak menjawab, hanya sedu genangan
air mata sahaja yang berkata-kata.
Sebenarnya sajak itu amat
terkesan di jiwa Cikri kerana ianya menggambarkan harapan seorang emak kepada
anaknya untuk mengubah nasib keluarga. Sedangkan ketika itu Cikri tidak tahu
bagaimanakah perjalanan hidup masa depannya. Bagi Cikri, biarpun arwah opah
saya tidak pernah menyuarakan harapannya pada Cikri, namun melihatkan dari raut wajah emaknya dan
tindakannya yang tidak jemu-jemu membangunkan Cikri yang tidur di rumah kosong
tempat belajar setiap dini pagi agar bersiap untuk ke sekolah -- itu sudah
cukup menunjukkan betapa besarnya harapan emak pada anak lelakinya. Sajak itu
masih tersimpan dengan baik dan ianya berbunyi....
Suara
Emak
“mengapa
mu mesti kalah ?
setelah
mereka tumpas semua !
ya
! mereka itu geliga
namun
jangan mu turuti
mereka
yang kalah
kau
adalah kandil ku
gelap kau , gelitalah daku “ (30.3.1970)
Selain itu Cikri pernah juga pernah
menghantar sajak Cikri ke Utusan Pelajar (tidak disiarkan) dan sajaknya berbunyi....
Kerana
Mu Manusia Berkaih
Penoreh
getah, buruh estet adalah teman-teman ku
Tanpa
mereka mundar-mandirlah perjalanan
Perjalanan
yang konkrit dalam hati muda ini,
Ini
perjalanan pasti ku perjuangkan
Walau
teman-teman ku terkepil-kepil memangku
Kerna
aku mahu ke perhujungan
Bersama
mereka bertemankan tangan-tangan kendur nan lembut itu
Penoreh
getah, buruh estet pangkulah aku
Aku
ingin benar ke perhujungan
Tangisan
bercucuran merinduinya
Siang
di impian , malam dimimpikan,
Keringat
mu aku jasai pasti.
Setelah
perjalanan dipertengahan
Kau
berdua ngak bisa lagi memangku ku
Ini
aku tidak kesal
Kerna
kau manusia berkais
Biarlah
aku berperasaan pedih-sendu
Namun
perjalanan ini pasti ku perhujungkan
Walau
tidak se konkrit dulu
(6
pagi 5.9.1970)
Atas kesedaran yang mendalam sewaktu
form 5, Cikri banyak memberi penumpuan pada mentelaah pelajaran dan membuat
praktikal matematik. Disamping itu setiap kali cuti sekolah Cikri akan menolong
emak-ayahnya menoreh getah. Setiap hari Jumaat, Cikri dari sekolah berbasikal
terus ke ladang getah semata-mata hendak menolong emak-ayah mengutip susu getah
menyebabkan seluar sekolah Cikri terkena percikan susu getah. Masa itu di dalam
fikiran Cikri berkata-kata...”macamana
nak mengubah nasib emak-ayah !”
Oleh kerana itu lahirlah beberapa
sajak hasil dari apa yang Cikri rasai sepanjang tahun 1970 itu...
ABC
Keladi Kangkung
Dipersisiran
hidup penoreh getah
Nyenyamuk
sahabat mereka
Getah
beku masaman
Jadi
air wangi hiduan
Rona-rona
inilah dunia mereka
Baik
pagi jua petang
Getah
masaman mendakap sentiasa
nyenyamuk
mencucuk jua…..
anak-anak
manusia penoreh
tidak
kenal ABC
hanya
bisa melolong…
“ABC
keladi kangkung , babi mati kamu dukung”
pekik
terlolong sana sini
bikin
ketawa ramai-ramai
tanpa
ngerti maksud makna
lagu
ini bernafas terus
selagi
besok tetap menjelma
“ABC
keladi kangkong, babi mati kamu dukung”
bikin
tawa ramai-ramai……
(9.1.1970)
*****
Saudara
!
Semalam
datang penoreh tua
Berkaki
ayam tegang berurat
Pantalun
hitam percik getah
Kemeja
usang tanpa kutang
Dadanya
membilang tulang
Merendah
suaranya terketar berkata:
“anak
pakcik yang kecik
sudah
dua hari tak bersusu
hujan
tak renti-renti, pokok sentiasa basah
tak
dapat di toreh !” renti seketika…
cahaya
matanya menjamah mukaku, katanya lagi:
“kalau
kasihan anak pak cik,
pinjamkan
ku wang sekolah mu
anakku
merengek susu !”
Penoreh
tua terus bercerita….
Cerita
basahan masyarakat ku.
Tapi
bagi saudara
Semalam
itu penuh romantisnya
Dikamar
sepi seorang diri
Secarik
surat cinta
-
sebatang pena berkilau
-
sehelai sapu tangan dara
-
mungkin dara tersenyum potret di muka
Ah
! indahnya masyarakat saudara ! wahai saudara yang mulia
tolehlah
kehidupan masyarakat ku
Jangan
leka bersurat cinta.
(Sanglop
Estet Kota Bahru - 22 Okt 1970 jam6.54 senja)
Ah!.. Terlalu puitis dan simboliknya
bait-bait sajak Cikri sehingga saya sendiri agak sukar untuk mentafsirkannya
dengan jelas. Namun secara umum saya dapat menggambarkan apa yang Cikri rasa
dan lalui ketika itu. Lantas saya teringat Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Allah
tidak memberati seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Al-Baqarah 2 : 286)