Home Alternatif Travelog TRAVELOG PERKAHWINAN:BANGKIT DARI KEKECEWAAN MASA LAMPAU
TRAVELOG PERKAHWINAN:BANGKIT DARI KEKECEWAAN MASA LAMPAU
14/7/2016 17:01:26
30,030
Kategori: Alternatif
Genre: Travelog
Senarai Bab
BAB 20- MELUPAKANMU SAATKU TAMAT MASTER

Tuhan tolong buang rasa cintaku, jika kau tak izinkan aku bersamanya.’

Bukan pintaku untuk berakhir dengan sebuah perpisahan. Tiada pasangan suami isteri yang berkasih-sayang mahukan penceraian. Walau cuma untuk seketika dia hadir kepadaku sebagai kawan, kekasih dan suami, tapi aku tetap berterima kasih untuk semua momen-momen yang tercipta.

Aku menghargai cinta yang pernah diberikan, aku redha dengan segala kongkongan dan perit yang pernah dirasa, tapi dia harus tahu bahawa aku tidak pernah menduakannya, dihatiku cuma dia seorang. Demi kebaikan bersama, maka jalan perpisahan ini yang kupilih.

Aku menyimpan semua memori tentang aku dan dia yang terakam dalam kepingan-kepingan gambar, emel, diari dan segalanya tentang kita dari awal perkenalan hingga perpisahan terjadi didalam kotak. Kad rawatan, ubat-ubat dan rundingan bersama kaunselor, Puan Suziana kukemas dan menyimpannya di dalam kotak yang sama. Aku berjuang melupakanmu. Bukan mudah, tetapi aku berusaha semampunya.

‘Selamat tinggal untuk semua kebahagiaan dan kesakitan yang pernah tercipta antara aku dan dia.’ Kukucup gambar kahwinku sebelum menyimpannya didalam kotak bersama kenangan-kenangan lain. Saat itu, hanya air mata mengungkap segala rasa. Aku menangis semahunya di dalam bilik seorang diri.

Aku gagal dalam percintaan. Aku gagal dalam perkahwinan. Aku tidak mahu gagal dalam mencapai impian-impianku yang lain. Jujur aku trauma selepas terjadinya penceraian sedangkan baru sahaja mendirikan rumahtangga. Aku menyembunyikan perpisahan ini. Aku tutup semua akaun laman sosial, aku padam coretan didalam blog, aku tukar nombor perhubungan supaya tiada yang bertanya, dan dia tidak menjejakiku lagi.

Aku berazam mahu lupakan semua. Aku nekad memulakan episod hidup yang baru. Aku letakkan cinta kepada Tuhan melebihi segalanya. Benarlah, cinta kepada bunga, bunga akan layu, cintakan manusia, manusia akan pergi. Cinta kepada Tuhan pasti abadi.

Aku melalui hari-hari selepas 3 Mac 2013 itu sebagai diriku yang baru. Aku memberi sepenuh perhatian kepada pengajian masterku yang tinggal setahun lagi. Rutinku hanyalah sebagai seorang pelajar dan pulang ke kampung menemui ummi abah dan adik-adik sahaja. Aku putuskan hubungan dari sebarang kenalan untuk elak ditanya tentang status aku yang terkini.

Sehingga saat ini, tidak ramai yang tahu tentang status perkahwinanku yang telah berakhir. Hatta sebahagian sanak-saudaraku juga tidak mengetahuinya. Aku perlu berjuang walau apapun tanggapan orang terhadapku kini.

Pada 11 September 2013 aku berjaya menamatkan pengajian masterku yang penuh onak diri dalam konflik diri yang hebat. Aku memulakan pengajia di UPSI sebagai isteri kepadanya, namun aku graduat hari itu sebagai bekas isterinya. Hanya ummi abah dan adik-adik datang merai hari graduasi itu. Impianku untuk mendapatkan segulung ijazah sarjana tercapai.

Sejak diperbicaraan terakhir, aku tidak lagi bersemuka dengannya. Aku memutuskan sebarang bentuk perhubungan. Aku benar mahu melupakannya dari takdir hidup ini, tapi terlalu sukar. Telah bertahun berlalu, tapi kenangan itu masih berbaki didalam minda apabila dia menghantar emel bertanya khabar tentang perkembanganku terkini.

Aku tumpang bahagia di atas perkahwinan barumu selepas setahun perpisahan terjadi. Kuharap dia menjadi suami yang baik kepada isteri barunya. Dan tentang ‘kita’, biarlah ia menjadi sebagai sebahagian pengalaman hidup untuk aku lebih matang di kemudian hari.

“Dan usah kau kenang diriku walau kita pernah berkasihan. Selamat tinggal cinta pertamaku!”

-Tamat-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.