Home Novelet Seram/Misteri Intuisi
Intuisi
Ruby Annas
20/2/2019 13:30:55
15,161
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Bab 2

JIKA diikutkan hati aku yang membara,  dah lama muka gatal Pak Teh aku tenyeh dengan sabun Axion. Kopiah di atas kepalanya sekadar hiasan semata-mata.  Tidak sepadan dengan sisi syaitan durjana yang ditonjolkan.  Ini baru hari pertama aku di sini.  Bagaimanalah nasibku untuk hari-hari yang mendatang.  Aku cepat-cepat meloloskan diri daripada Pak Teh sebelum dia lebih merenyam.  Pintu bilik ditolak kasar sehingga Katy terkejut.

“Kau kenapa ni, Yuri?”

Kelu lidah aku untuk berkata-kata.  Perlu atau tidak aku menceritakan hal ini kepada Katy?  Nanti apa pula tanggapan Katy?  Tanggapan Mak Teh?  Mahu gila aku dibuatnya.

“Errr… takde apa-apa.  Aku terkejut je cicak jatuh dalam sinki tadi.”

Aku memilih untuk berbohong demi menjaga hati Katy.  Andainya aku ceritakan hal yang sebetulnya, adakah Katy akan mempercayai aku?  Biarlah.  Untuk kali ini saja.  Aku memujuk hati sendiri. 

Baju kerja esok aku gosok siap-siap.  Terlalu sibuk memikirkan tentang Pak Teh sehingga aku lupa akan kerja aku sendiri.  Berdebar pula menunggu hari esok. 

Seawal jam 5.30 aku sudah bangun.  Tidurku tidak lena kerana teringatkan peristiwa semalam.  Aku berkemban dengan kain batik dan menutup kepala dengan tuala untuk ke bilik air.  Ruang tamu cuma dihiasi dengan cahaya lampu samar-samar.  Setelah memastikan tiada sesiapa berada di luar, aku terus ke bilik air. 

Entah bagaimana lantai yang dipijak menjadi licin.  Aku hampir jatuh tersembam ke lantai jika tiada orang yang menyambutku.  Tuala yang menutup kepalaku terselak dan rambutku terdedah.  Begitu kuat jantung ini berdegup tatkala melihat sengihan nakal dari Pak Teh.  Lekas-lekas aku menjauhi dirinya dan  tuala ditarik untuk menutup semula rambutku yang terdedah.

“Nasib baik Pak Teh sempat sambut Yuri.  Kalau jatuh nanti siapa yang susah?  Pak Teh juga yang susah.”

Aku hampir termuntah dengan suara mengadanya yang dibuat-buat.  Mahu menangis pun ada juga.  Tidak pernah lagi aku bersentuhan kulit dengan lelaki yang bukan muhrim.  Apa yang membuatku ralat ialah wudhukku terbatal.

Langkah kaki diayun laju ke bilik.  Sempat telingaku menangkap ketawa gatal Pak Teh yang masih tersisa.  Aku duduk dibirai katil dengan mata yang berkaca.

“Kenapa kau menangis?”  Suara serak Katy menegurku.

“Tak ada apa-apa.  Aku rindu mak aku je.”  Bohong aku lagi.  Nampak ganyanya aku memang kena banyak berbohong bila berada di sini.

“Laa… baru hari pertama.  Hehehe.”  Katy mentertawakanku.  Lantaklah.  Asalkan dia tidak tahu hal yang sebenarnya.

Katy bangun dan menggosok matanya beberapa kali.  Dia mengambil tuala yang tersangkut di belakang pintu lantas segera ke bilik air.  Aku mengekorinya dari belakang untuk mengambil semula air wudhuk yang terbatal.

“Bukan kau dah mandi ke?” soal Katy pelik.

“A… aku lupa ambil wudhuk.”  Katy menggeleng.

Kelibat Pak Teh sudah tiada lagi di situ.  Aku menarik nafas lega.

AKU mendapat tawaran sebagai guru pendidikan awal kanak-kanak di Tadika Smart Kids di Sri Rampai.  Seronok bukan main ibu bila membaca surat tawaran tersebut.  Ibu memaksa aku menerima tawaran itu walaupun kami terpaksa berjauhan.  Jadi, aku datang juga kei sini bersama  Katy dan saudaranya.

Aku tiba di tadika jam 7.15 pagi.  Hari pertama kenalah berikan tanggapan yang baik kepada majikan.  Setelah berjumpa dengan Puan Roslina iaitu pengurus Tadika Smart Kids, aku dibawa melawat ke setiap ruang tadika.  Daripada bilik darjah, tempat makan dan juga riadah.  Sesekali, Puan Roslina menerangkan serba sedikit fungsi dan tata kerja di tadika tersebut.  Aku mengangguk tanda faham.  Semuanya aku sematkan dalam kepala agar tidak lupa.

Tepat jam 7.30 pagi, para ibu bapa mula menghantar anak-anak ke tadika.  Macam-macam ragam kanak-kanak aku dapat lihat.  Lambat-laun, mungkin aku akan terbiasa dengan situasi sebegini.

Sesi persekolahan tadika tamat pada jam 11.30 pagi.  Katy sudah menungguku di depan pintu pagar.  Setelah menyusun peralatan belajar dan permainan, aku mengunci pintu tadika serta pintu pagar.

“Macam mana hari pertama?” tanya Katy ketika aku baru melabuhkan punggung di sisinya.

“Okey.  Budak-budak tu pun tak banyak songeh.  Katy, boleh tak kau tunjukkan aku stesen LRT terdekat? Takkanlah aku nak suruh kau hantar aku hari-hari ataupun naik teksi?  Rabaklah poket aku nanti.” 

Aku buat muka kasihan.  Tapi aku perlu berdikari.  Takkan selamanya aku perlu menyusahkan orang lain?

“Apa salahnya, tempat kerja kita tak jauh mana.”

“Ala… aku nak berdikari,” rayuku bersungguh-sungguh.

“Yelah.  Aku tunjukkan.”

Aku bercadang untuk membeli kad tambah nilai Touch N Go bagi memudahkan urusan pembelian tiket.  Usai berbuat demikian, Katy mengajakku menonton wayang di Wangsa Walk.  Kemudian, kami berlegar-legar sahaja di dalam kompleks membeli-belah itu sambil mencuci mata.  Sedar tak sedar, hari sudah lewat petang. 

“Seram jugak movie tadi.”

Katy menyedut saki-baki air pepsi yang masih bersisa.  Panggung wayang sesak dengan orang ramai yang ingin menonton cerita seram The Nun.  Mujurlah tiketnya masih ada.  Jika tidak, pasti Katy akan kecewa.

“Dah tau seram kau nak juga tengok.”  Katy bersahaja mendengar bebelan aku.

“Dah petang ni.  Jom balik!” ajak Katy seraya membayar tiket parking.

Sampai di pekarangan rumah, aku lihat banyak gerai yang menjual makanan.  Aku mengajak Katy ke sana untuk membungkus makan malam.

“Kenapa nak bungkus je?  Kan kat rumah ada sediakan makan malam?”

Banyak soal pula si Katy ni.  Aku sengaja beli bungkus siap-siap untuk mengelak dari bersua mata dengan Mak Teh.  Yang lebih utama, aku ingin mengelak dari berpapasan dengan Pak Teh yang gatal nak mati.

“Tekak aku ni mengidam nak makan nasi lemak lauk kerang.  Nampak macam sedap.  Kalau kau tak nak tak apa.  Biar aku je yang beli,” kataku bersungguh-sungguh.

Dalam menolak, Katy turut termakan hasutan aku dengan provokasi nasi lemak lauk kerang dan sayur kangkung goreng.  Lenganku menjadi mangsa cubitan Katy bila dia termalu sendiri.

Sebaik saja tombol pintu dipusing, terpacul susuk tubuh Pak Teh yang baru balik dari kerja.  Pak Teh bekerja sebagai pemandu teksi sepenuh masa.

“Eh, Pak Teh.  Awal balik?”  Katy bertanya.

“Teksi Pak Teh rosak.  Jadi, terpaksalah tinggalkan kereta tu kat bengkel.  Sebab tu Pak Teh balik awal,” jelasnya. 

Katy mengangguk.  Aku langsung tidak menegur Pak Teh.  Aku benci bila dia tengok dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.  Aku dan Katy meletakkan nasi lemak di atas meja makan.  Kami berdua terus saja masuk ke dalam bilik dan bersiap-siap untuk mandi.

Suruhan yang wajib telah kami kerjakan.  Bunyi keluarga Mak Teh sedang menjamu makan malam di ruang tamu jelas kedengaran.  Katy yang sedang tidur pulas di atas toto aku kejutkan.

“Katy, jom makan.  Aku laparlah.”

Katy membuka kelopak mata dengan payah.  Mungkin kepenatan setelah lama berpeleseran siang tadi.  Wajahku ditenung lama sebelum dia bangun dan duduk di hujung katil.

“Lapar eh?” tanyanya dengan mata sembab.

“Ya, Cik Katy.  Aku lapar.”  Katy tersengih.  Kami berjalan beiringan ke ruang makan.

Anak-anak Mak Teh sedang menonton TV.  Kelibat Mak Teh dan suaminya tiada di situ.  Aku tersenyum lega.  Sekurang-kurangnya aku tidak mengumpul dosa dengan berprasangka buruk kepada mereka suami-isteri.

Aku terjaga pada jam 1.20 pagi.  Perutku memulas dan sakit.  Tanpa berlengah, aku menyarung tudung di kepala dan menuju ke tandas.  Selesai menunaikan hajat, aku ingin kembali ke bilik.  Dadaku berdebar-debar saat terlihat bayang-bayang sesuatu di dapur.

“Hai!” sapa satu suara.

Belum sempat aku menoleh, tanganku sudah dikilas ke belakang.  Aku terkepung di dinding dan cahaya lampu yang menyuluh ke wajah Pak Teh membuat aku semakin kecut perut.

“Shhhh… jangan bising,” bisik Pak Teh perlahan.

Air mata sudah bertakung di tubir mata.  Pak Teh semakin kemas mengilas tanganku sehingga aku  berasa sakit.

“Argh!”  Aku cuba menjerit.  Pantas mulutku ditekup dengan tapak tangannya yang sebelah lagi.  Aku hampir lemas diperlakukan begitu.

Bola mata Pak Teh rakus menatap ke seluruh tubuhku yang berpijama nipis.  Wajahnya semakin mendekati mukaku.  Dia cuba mencium leherku yang beralas dengan tudung bawal.  Entah dari mana datang kekuatan dalam diriku.  Aku menyepak alat sulitnya dengan sekuat tenaga.  Pegangan Pak Teh terlepas.  Tanpa membuang masa aku berlari ke bilik.

Celaka betul Pak Teh.  Dia cuba mencabul kehormatanku di dalam rumahnya sendiri.  Dentuman pintu yang kuat membuatkan Katy terjaga.

“Kenapa ni, Yuri?”

“Li… lipas,” bohongku.

Katy merebahkan badannya semula ke toto.  Aku terkebil-kebil memeluk bantal, menahan tangis daripada didengari Katy.  Akhirnya aku terlena setelah beberapa minit meratapi nasib diri.

Pagi itu, Katy menghantarku ke stesen LRT Setapak sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja.  Ketika di tadika, aku menguap beberapa kali kerana tidak cukup tidur.  Sikap Pak Teh telah berjaya memporak-perandakan emosiku.  Ibu, Yuri nak balik!

“Yuri,” panggil Cikgu Miza, guru Bahasa Inggeris di tadika tersebut.

“Ya, Cikgu.”

“Awak okey?”

“Okey.  Errr… saya pun tak pasti saya okey ke tak,” jawabku berbelit-belit.

“Macam ada masalah berat je?” balas Cikgu Miza.

Aku terdiam sejenak.  Perlu atau tidak aku menceritakan masalahku kepada Cikgu Miza?  Sedangkan, kami baru saja berkenalan.

“Cikgu tahu tak mana nak cari bilik sewa dekat-dekat kawasan tadika ni?”  Soalanku membuatkan dahi Cikgu Miza berkerut.

“Bilik sewa?” Dia mengulangi soalanku.

“Ya.  Kalau ada, tolong beritahu saya.” Aku seakan-akan merayu. 

Aku terdesak.  Aku betul-betul terdesak!  Semalam aku boleh lagi mengelak daripada perbuatan sumbang Pak Teh ke atasku.  Bagaimana pula dengan esok atau lusa?  Adakah nasibku sebaik semalam?

“Cuba Yuri cari dekat Mudah.my.  Kat situ banyak iklan rumah sewa, bilik sewa.  Cubalah.  Mana tahu ada rezeki awak,” nasihat Cikgu Miza.

“Mudah.my eh?  Baiklah, saya akan cuba.”  Aku tersenyum gembira.

Selamat tinggal Pak Teh pervert!  Kepada Katy aku akan mencipta alasan yang tidak akan membuatkan dia  mengesyaki apa-apa.

“Beratur ikut barisan.  Lepas ambil makanan, duduk kat tempat masing-masing,” arahku kepada kanak-kanak Tadika Smart Kids. 

Aku mengambil tempat di meja yang dikhaskan untuk cikgu.  Sandwich aku kunyah perlahan sambil jari-jemariku lincah melihat tawaran bilik sewa yang diiklankan di aplikasi Mudah.my.  Tetapi aku belum menemui bilik sewa yang memenuhi citarasaku. 

Sementelah, jaraknya pula agak jauh dari tempat kerja dan kemudahan pengangkutan awam.  Sedang leka melayari aplikasi berkenaan, namaku dipanggil oleh seorang kanak-kanak tembam bernama Aidan.

“Cikgu, Firdaus yak,” kata Aidan sambil memicit hidung.  Aku tengok Firdaus sudah berdiri dengan takut-takut.  Dia menunduk saja sambil meramas baju.  Sah!  Firdaus terberak dalam seluar.  Kena cucilah nampak gayanya. 





Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ruby Annas