Home Novel Thriller/Aksi PENJARA MATI
PENJARA MATI
Riduan Judin
12/1/2014 13:52:37
66,434
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG

PROLOG

HUJANpertama yang ALLAH turunkan ke dunia ialah pada 10 Muharam bersamaan dengan Hari As-Syura. Pada hari tersebut, banyak sejarah peradaban yang berlaku atas izin dan kehendak ALLAH seperti penciptaan Arasy, langit, bumi dan bintang-bintang. Lalu diciptakan pula sekalian makhluk yang begitu taat iaitu malaikat dan azazil yakni iblis.

Selepas itu, ALLAH menjadikan Adam lalu memerintahkan malaikat dan azazil tunduk sujud kepada Nabi ALLAH itu. Dan di sinilah titik pertama berlakunya perbalahan di langit yang berlanjutan sehingga ke bumi. Iblis dilaknat atas kesombongannya yang diciptakan daripada api. Bukankah manusia ialah sebaik-baik ciptaan? Kerana manusia mempunyai akal fikiran untuk menjadi ‘khalifah’. Umpama tanah dan api. Tanah itu menyuburkan dan api itu membinasakan. Maha Suci ALLAH.

Tambunan, Sabah

MAKHLUK yang dinamakan Duwarung menyeringai kasar. Gigi-giginya yang tajam meruncing, tampak kelihatan. Mangsanya mati dijadikan santapan. Dia melakukannya dengan rakus sekali. Dia makhluk ciptaan ALLAH yang ingkar. Hidupnya umpama tidak bertuhan. Malah kelakuannya umpama gabungan sifat jahat manusia dan syaitan. Dia makan semata-mata untuk hidup dan dia minum untuk menghilangkan kedahagaan darah.

“To... tolong, lepaskan aku!” Luah suara mangsa. Duwarung hanya menyeringai kasar. Suara itu langsung tidak diendahkan. Malah, dia tidak menunggu lama, gigi tajamnya dibenamkan sepuasnya di leher lelaki itu.

Duwarung - Dia ada sejarah hidup tersendiri, dia bukan ‘manusia’ tapi bukan juga syaitan. Apabila aura kejahatan diseru, maka waktu itulah dia akan datang.

Hotel Hilton, Petaling Jaya

MALIKmendongak di hujung bumbung Hotel Hilton. Anak matanya tajam menerkam salah satu bilik yang sudah dikenal pastinya - bilik 1109. Sedari petang tadi, dia telah pun berjaya menjejaki ‘mangsanya’ dengan membuat intipan awal. Dia meraba pinggangnya, memeriksa pistol yang dilengkapi dengan penyerap bunyi -. Pistol itu disimpan semula apabila kelihatan penuh berisi peluru. Lalu kakinya pantas menuju ke lobi utama hotel.

Hari ini, Malik tidak akan membazirkan malamnya. Kedatangannya ke sini mesti membuahkan hasil. Dia juga tidak ingin intipannya terhadap mangsa menjadi sia-sia. Dia mahukan nyawa. Malah, kalau diikutkan kata hati, mayat mangsanya akan dikerat dan dibakar sehingga menjadi abu. Mukanya masih begitu – Dia lelaki serius. Senyuman adalah satu kebencian baginya. dia tidak begitu, Cuma hambatan masa lalu yang terlalu perit menghimpit jiwanya.

DATUK HARIS sedang duduk di salah sebuah sofa berjenama. Dia kelihatan menikmati perahan buah anggur yang disediakan oleh pihak hotel. Seorang wanita yang dipercayai bukan warga tempatan duduk di sebelah lelaki itu sambil melentokkan kepalanya di dada Datuk Haris. Pakaiannya yang sendat mengundang mainan fikiran nakal lelaki itu.

Ketukan dari arah luar bilik kedengaran. Darahnya serta-merta berselirat ke otak. Sebelum mengunci pintu tadi, Datuk Haris telah pun meletakkan tag ‘Don’t Disturb’ di tombol pintu bilik itu. Dia bingkas bangun, berjalan ke arah pintu dengan emosi yang membuak-buak. Dia tidak suka diganggu. Pintu dibuka dengan kasar. Dalam hatinya menghamburkan sumpah.

“Kau tak faham bahasa ke? Aku dah letak tag di depan pintu tu.” Suara Datuk Haris kasar. Dia menyingga lelaki yang dia percayai sebagai pelayan hotel mewah itu.

“Maaflah, tetapi tag itu tertanggal.” Seiring dengan itu, sepucuk pistol dihalakan tepat ke dahinya. Datuk Haris terundur ke belakang. Malik segera masuk, sekali gus mengunci pintu agar mereka terkurung di dalam bilik itu.

“Si… siapa kau? Kau nak apa?” Suara Datuk Haris mengendur. Situasi seperti itu benar-benar mengecutkan perut. Umpama berhadapan dengan binatang pemangsa yang sedang kelaparan. Dia dibasahi peluh dingin.

“Namaku Malik, aku datang untuk mencabut nyawamu.” Malik masih tidak melepaskan tembakan. Seolah-olah ingin melihat wajah ketakutan yang dipamerkan oleh Datuk Haris.

“Tapi, ke... kenapa?” Datuk Haris terketar-ketar. Gadis yang menemaninya tadi tidak kelihatan di situ. Mungkin ke bilik air.

“Sekarang pukul 10.00 malam, berita kematian kau masih sempat masuk dalam berita pukul 12.00 tengah malam nanti.” Picu pistol ditekan. Sebutir peluru pantas menujah dahi Datuk Haris. Badannya serta-merta rebah ke lantai. Darah merah pekat menyeruak. Halkumnya mengeluarkan bunyi seperti lembu disembelih, seolah-olah meratapi pemergian yang empunya badan.

Hukuman telah dijatuhkan dan sekarang dia harus melepaskan diri agar tidak terhukum atas hukuman yang dia jatuhkan mengikut undang-undangnya sendiri. Malik segera menyisipkan kembali pistolnya. Dia mula mengatur langkah namun terhenti apabila melihat wanita yang bersama Datuk Haris tadi sedang menekup mulutnya di depan pintu bilik air.

“If You do not want to be accused killed, go from here. Immediately!” Muka Malik tetap serius seperti tadi. Dia pantas meninggalkan jasad kaku Datuk Haris bersama wanita itu. Ternyata, malamnya yang dibazirkan tidak sia-sia. Ia dibayar dengan harga yang begitu mahal iaitu – nyawa.

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.