Home Novel Seram/Misteri NYAWA
NYAWA
Eqbal Mohaydeen
4/8/2016 12:23:49
23,743
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
BAB 1

Tahun 2015

RAIHANA mengoles gincu di bibir. Pemerah pipi disapu nipis menggunakan berus solekan. Dia membelek wajah di cermin sehinggalah berpuas hati. Cermin kecil bersaiz poket ditutup rapat dan dimuatkan ke dalam beg tangan Hermes. Pintu kereta dibuka dan dia menyelit keluar dari perut kenderaan.

Dia melangkah dengan penuh anggun dan bergaya menuju ke arah Kopitan Classic yang terletak beberapa meter dari lokasi keretanya diparkir. Heels yang dikenakan berdetak bunyinya memijak jalan tar. Rambut yang panjang melepasi paras bahu, kerinting di hujung terbuai-buai dihembus angin malam. Cuaca malam itu agak dingin tetapi langit tidak menampakkan tanda-tanda hujan akan turun.

Pintu ditolak dan Raihana melangkah masuk. Matanya mengitari sekeliling kafe mencari kelibat teman lelakinya, Khalis. Tidak begitu ramai pelanggan yang berada di situ. Hanya beberapa buah meja sahaja yang terisi. Lalu pandangan tertancap ke arah seorang lelaki berjambang halus dan rapi yang sedang melambai ke arahnya. Raihana tersenyum mesra dan mengatur langkah mendapatkan lelaki itu.

“Hai. Dah lama you sampai?” tegur Raihana. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan Khalis.

Khalis melingas jam di tangan sebelum menjawab. Waktu menunjukkan pukul 8.48 malam.

“Adalah dalam 15 minit.”

I’m sorry. Tadi I dah keluar, Tapi baru teringat handphone tertinggal dekat rumah. Jadi I terpaksa patah balik,” ujar Raihana berterus terang.

“Its okay. Lagipun you tak pernah lewat pun sebelum ni,” ujar Khalis, cuba mengurangkan rasa bersalah wanita itu.

Seorang pelayan menghampiri meja meletakkan dua buah buku menu sebelum berlalu. Khalis memberikan satu kepada Raihana. Masing-masing merayapi senarai hidangan yang tertera. Raihana terlebih dahulu menutup buku menu dan menolaknya ke arah Khalis.

“I tak tahu nak makan apa. You order ajelah apa-apa pun untuk I. I ikut aje,” kata Raihana.

“Alright.”

Khalis mencapai sebatang pen dan kertas yang berada di penjuru meja. Dia mencoretkan sesuatu sebelum menggamit tangan memanggil pelayan. Seorang pelayan lelaki segera mampir dan mengambil kertas itu sebelum berlalu menyiapkan pesanan.

“Kenapa you nampak macam tak bermaya aje ni? You demam ke? Muka you nampak pucat. Mata you jugak nampak macam tak cukup tidur?” tanya Khalis prihatin.

Dia meletakkan belakang tangan ke dahi Raihana. Cuba mengesan suhu teman wanitanya itu. Raihana hanya menggeleng lemah.

“I sihat. Cuma sejak akhir-akhir ni tubuh rasa tak bermaya. Dan I selalu…” Kata-katanya tergantung tanpa dihabiskan.

“You selalu apa?” tanya Khalis ingin tahu.

Nothing. Maybe cuma perasaan I aje kut,” balas Raihana. Mukanya kelihatan muram. Seperti langit yang dilitupi awan mendung yang membawa benih hujan.

Pandangan Khalis tepat pada Raihana mencari kejujuran. Raihana hanya menundukkan wajah mengelak renungan lelaki itu.

“Look Ana. Kalau you ada apa-apa masalah, you boleh beritahu I. Mana tahu I boleh tolong masalah you. Lagipun kalau kita ada sesuatu masalah, kita harus luahkan pada orang lain. Barulah beban yang ada di jiwa akan berkurangan,” tutur Khalis.

Raihana hanya mendiamkan diri. Nafas ditarik dan dihela lembut. Lalu dia merenung wajah lelaki yang dikasihinya itu. Seulas senyuman terukir di bibir. Jari-jemarinya mencapai tangan Khalis dan meramas lembut. Telapak tangan mereka berdua saling bertangkup.

“You jangan risau sangat. I okey aje ni. Maybe demam rindu kat you,” ujar Raihana, cuba bergurau.

Pelayan lelaki berbaju uniform coklat tiba membawa hidangan. Perbualan mereka terhenti seketika. Sebaik sahaja meletakkan hidangan yang dipesan, dia terus berlalu.

Masing-masing mula menikmati hidangan. Raihana sebenarnya tidak begitu berselera. Fikirannya berselirat memikirkan sesuatu. Sesuatu yang menghantui dirinya sejak akhir-akhir ini. Dan gangguan itu semakin lama semakin hebat mengacau dirinya. Satu keluhan dibebaskan.

Sudu dan garpu dicapai. Dia melihat ke arah pinggan yang berisi Spageti Carbonara. Tatkala itu dia kaget seketika sebaik melihat pinggannya kosong secara tiba-tiba. Dahinya berkerut. Tidak semena-mena dari tengah-tengah pinggan, sesuatu muncul perlahan-lahan. Pada mulanya pudar namun semakin lama semakin jelas. Ia membentuk sebuah tulisan berwarna merah seperti darah.

“Nyawa,” bisik Raihana perlahan membaca perkataan itu. Jantungnya berdebar.

Sejak akhir-akhir ini dia acapkali menjumpai tulisan itu di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Raihana memuntahkan pandangan ke arah Khalis. Lelaki itu tidak berada di hadapannya. Pandangan segera dialihkan ke sekitar kafe. Tidak terlihat kelibat individu lain. Melainkan hanya dia seorang sahaja yang berada di situ.

Kerusi ditolak ke belakang. Raihana bangun perlahan-lahan. Bebola mata digerakkan ke sana ke mari. Sunyi mencengkam suasana.

“Khalis?” panggil Raihana.

Suaranya bergema dan melantun sebelum hilang ditelan sepi. Raihana melangkah sekitar kawasan kafe. Derapan tumit kasutnya jelas kedengaran. Helaan hembusan nafasnya menderu. Pertama kali dia menghadapi situasi seperti itu.

“Raihana…”

Suara seorang wanita berdesir halus membuatkan Raihana tersentak. Dia terkalih-kalih mencari pemilik suara itu. Jantungnya semakin berdebar. Suara itu yang sering mengganggunya sejak akhir-akhir ini di dalam lena mahupun sedar.

“Siapa tu?” soal Raihana memberanikan diri.

Soalannya disambut dengan gelak tawa yang menyeramkan. Seolah-olah suara seorang pembunuh kejam yang sedang bersedia untuk meragut nyawa mangsanya bila-bila masa sahaja.

“Jangan main-main dengan saya! Siapa tu?” tanya Raihana meninggikan nada suara.

Suara wanita tertawa bergema di belakang tubuhnya. Diiringi dengan derapan kaki memijak lantai. Raihana pantas berkalih. Saat itu urat nyawa terasa direntap kasar. Seorang wanita berpakaian serba putih dicemari darah merah sedang berada di hadapannya. Wajahnya terlindung lantaran biasan cahaya lampu tidak menerangi bahagian mukanya.

Wanita itu melangkah setapak demi setapak ke hadapan. Perlahan-lahan wajahnya mula kelihatan. Bibirnya terkoyak sehingga ke bahagian pipi, beberapa bahagian di mukanya berparut dan terbelah menampakkan isi putih, anak matanya kemerahan dan kepalanya sedikit botak dengan beberapa helai rambut berjuntaian menutupi wajahnya. Dia tersenyum dan menyeringai. Tampak mengerikan.

Raihana menelan air liurnya sendiri. Kelibat wanita yang sering mengganggu dia sejak akhir-akhir ini muncul lagi. Dia terundur-undur. Cemas mengasak jiwa.

“Apa sebenarnya yang kau mahu daripada aku?” soal Raihana lantang. Takut dan keberanian saling bercampur baur dalam jiwa.

Wanita itu tertawa kecil menampakkan giginya yang runcing tajam. Dia melangkah mendekati Raihana.

“Kau takkan boleh melarikan diri daripada aku,” bisik wanita itu halus.

“Siapa kau sebenarnya?” soal Raihana mula merintih. Dia harus akur ketakutan lebih menguasai dirinya kala itu.

Wanita itu tidak menjawab. Sebaliknya dia hanya melangkah ke hadapan tanpa henti. Raihana terundur-undur sehinggalah belakang tubuhnya tersandar ke dinding. Tiada ruang untuk dia meloloskan diri. Wanita berwajah buruk itu semakin mendekat. Hanya beberapa sentimeter berdiri di hadapannya.

Wajahnya yang hodoh didekatkan ke wajah Raihana. Mata merah bernyala memancarkan amarah. Hembusan nafasnya berbau busuk dan meloyakan. Lidahnya perlahan-lahan dijelirkan sehingga mencecah paras leher lalu menjilat wajah Raihana bermula dari bahagian dagu sehingga ke pipi. Dia menderam-deram kasar. Raihana hanya mampu memejamkan mata sambil memalingkan wajah ke arah kanan. Ketakutan benar-benar mengasak jiwanya.

“Aku dapat melihat darah yang mengalir segar di dalam tubuh kau,” bisik wanita itu.

Lidahnya yang terjulur panjang perlahan-lahan menyusup masuk ke dalam mulut.

“Apa sebenarnya yang kau mahu daripada aku?” rintih Raihana.

“Hanya satu. Kematian kau!”

Serentak itu wanita hodoh itu menebak tepat kukunya yang runcing dan tajam ke wajah Raihana. Raihana pantas menunduk dan mengelak. Cakaran hanya menembusi dinding. Wanita itu menderam-deram marah. Matanya mencerlung merenung Raihana.

Sekali lagi dia mengayunkan cakaran. Raihana menghadang dengan lengan kanannya. Serta-merta kuku itu membelah permukaan kulit. Darah menyeruak dari bahagian kulit yang terkoyak. Raihana meraung kesakitan.

“Ana, kenapa ni?”

Suara Khalis hinggap di ruangan telinga. Raihana terkebil-kebil memandang ke arahnya. Nafasnya tercungap-cungap seperti bernafas di dalam air. Khalis sedang merenung ke arahnya kebingungan. Mata Raihana diserakkan ke serata arah. Pelanggan dan pekerja di dalam kafe sedang memerhati ke arahnya. Tidak kurang yang sedang berbisik sesama sendiri membuat telahan.

Are you okay?” soal Khalis dengan riak wajah kerisauan.

Raihana tidak menjawab. Saat itu lengan kanannya terasa pedih. Pantas dia mengalihkan pandangan. Jantungnya berdetak kencang saat melihat kesan terbelah menganjur secara melintang. Mujur tidak terobek dalam. Darah merah mengalir lemah. Raihana mengambil beberapa helai tisu dari kotak yang tersedia lalu mengesat kesan luka.

Jika aku benar-benar terluka, maknanya apa yang dialami tadi bukanlah sebuah imaginasi atau mimpi? Hati Raihana berbisik.

“Lengan you kena apa tu? Bagi sini I tengok?” ujar Khalis segera mencapai tangan Raihana. Dia risau sebaik melihat lengan teman wanitanya itu dibasahi darah.

Raihana melepaskan tangannya daripada genggaman Khalis. Dia mencapai beg tangan lalu berdiri.

Sorry Khalis. I terpaksa balik,” ujar Raihana ringkas.

Seraya dia mengatur langkah meninggalkan Khalis meskipun lelaki itu sedang memanggil dirinya. Raihana tidak menghiraukannya. Perkara yang lebih besar sedang membelenggu fikirannya kini. Jiwanya tidak tenteram. Fikirannya berkecamuk. Dia menapak menuju ke kereta. Enjin dihidupkan dan kereta dipandu membelah kepekatan malam.

RAIHANA memandu dengan emosi tidak stabil. Beberapa kali kenderan lain membunyikan hon kepadanya lantaran cara pemanduannya yang agak berbahaya. Raihana tidak mengendahkannya. Hatinya tidak sedap. Matanya tidak putus-putus melihat cermin sisi dan cermin pandang belakang. Dia berasakan seolah-olah ada sesuatu yang sedang memerhati dirinya. Bulu romanya sejak dari tadi meremang.

Kereta dipandu memasuki ruangan parkir bawah tanah. Kondominiumnya terletak di tingkat enam. Sebaik sahaja enjin dimatikan, Raihana melangkah keluar dari perut kereta. Penggera ditekan. Secara automatik setiap pintu terkunci dengan sendirinya. Raihana berjalan pantas mendapatkan lif dengan beg tangan tergenggam kemas di tangan kiri.

Kawasan persekitarannya sangat sunyi dan sepi. Tiada siapa yang terlihat berada di situ. Hanya derapan kasut Raihana yang bergema. Memantul-mantul setiap kali kasutnya memijak lantai. Raihana berwaspada. Matanya meliar ke sana ke mari. Tatkala itu dia terlihat menerusi ekor mata seakan-akan satu bayang hitam di bahagian kirinya. Darahnya tidak semena-mena berderau.

Raihana pantas menoleh. Tiada siapa yang berada di belakangnya. Dia memerhati untuk beberapa ketika sebelum memulakan langkahnya semula. Tidak semena-mena kejadian tadi berulang semula. Sekali lagi langkah kaki Raihana terbantut. Dia mengalihkan pandangan ke serata arah. Hanya kesunyian yang merantai suasana sehingga desah nafas Raihana sendiri kedengaran.

Raihana memanjangkan langkah menuju ke lif. Jantungnya berdebar kencang mengepam darah. Sebaik sahaja tiba di hadapan lif, punat ditekan bertalu-talu. Dia resah menanti pintu lif terbuka. Sesekali dia menoleh ke arah belakang ketakutan. Tidak lama kemudian pintu lif terbuka. Raihana pantas menyelitkan diri masuk ke dalam. Butang enam ditekan.

Baru sahaja pintu lif ingin tertutup satu tangan muncul secara tiba-tiba menghadang. Raihana terperanjat besar sehingga tersandar ke dinding lif. Seorang pengawal keselamatan lelaki melangkah masuk ke dalam. Dia tertanya-tanya melihat wajah Raihana yang pucat sedang memandang ke arahnya.

“Awak okey ke?” tegur pengawal lelaki India berusia lingkungan 20-an itu.

Raihana mengambil masa yang lama sebelum kembali pulih. Dia mengurut-urut dada sendiri. Kemudian barulah dia mengangguk perlahan-lahan. Pengawal India itu menekan butang sembilan dan selang beberapa saat pintu lif tertutup.

“Lewat balik kerja ini hari?” soal pengawal bernama Naavin itu memulakan perbualan.

Dia sudah bekerja di kondominium itu selama sembilan bulan dan mengenali hampir kesemua penghuni di situ.

“Habis kerja awal. Tadi saya keluar jumpa kawan,” jelas Raihana tanpa berselindung.

Boyfriend ka?”usik Naavin.

Raihana hanya mengukir senyuman tawar tidak membalas pertanyaan itu.

“Saya pun sudah lama tarak jumpa sama saya punya girlfriend. Bulan depan baru boleh cuti,” cerita Naavin sambil mengeluh kecewa.

Raihana tidak memberikan sebarang respons. Dia tidak berminat untuk berbual. Naavin terus berceloteh. Raihana hanya memilih untuk mendengar daripada mencelah perbualan. Sekurang-kurang dia tidak berasa sunyi dan takut dengan kehadiran pengawal keselamatan itu.

Ting!

Pintu lif terbuka di tingkat enam. Raihana tidak terus melangkah keluar dari dalam lif. Separuh dari wajahnya dijengahkan. Matanya tertinjau-tinjau suasana di luar lif. Lalu perlahan-lahan kakinya melangkah keluar.

Namun tidak semena-mena rambutnya seolah-olah tersangkut sesuatu sehingga membuatkan kepalanya terdongak. Beg tangan terlepas dari genggaman. Separuh badannya telah berada di luar lif. Raihana memegang rambutnya sendiri cuba melepaskan daripada tersangkut.

“Naavin. Tolong saya,” pinta Raihana.

Naavin tercengang-cengang. Rambut Raihana kelihatan terawang-awang seperti dicekak oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Naavin cuba membantu tetapi dia bingung untuk melepaskan leraian rambut Raihana kerana dia tidak dapat melihat punca ia tersangkut.

Tidak semena-mena pintu lif meluru kasar dan tertutup keras. Leher Raihana tersepit di tengah-tengahnya. Keadaan menjadi gempar dan panik.

“Naavin! Tolong saya!” teriak Raihana panik.

Naavin cemas. Dia cuba membuka pintu lif dengan kedua-dua belah tangan tetapi gagal. Beberapa butang ditekan kelam kabut tetapi pintu lif masih tidak mahu terkuak. Keadaan menjadi semakin kalut sebaik sahaja lif perlahan-lahan bergerak ke atas dengan kepala Raihana masih tersepit di tengah-tengahnya.

“Naavin! Do something!” jerit Raihana.

Dia bergelut cuba melepaskan diri tetapi gagal. Tubuhnya perlahan-lahan terangkat mengikut pergerakan lif.

Naavin menekan-nekan butang kecemasan tetapi lif tetap tidak berhenti. Sekali lagi dia mencuba membuka pintu lif dengan kedua-dua belah tangan. Tenaga dikerah sehabis mungkin tetapi pintu masih tidak terbuka.

Pantas Naavin mencapai walkie-talkie yang terselit di pinggang. Lalu melaporkan kejadian itu. Frekuensi berdesir tetapi tiada suara yang menjawab. Naavin pantas berkalih ke arah CCTV.

“Berhentikan lif ni! Berhentikan!” jerit Naavin sambil membuat isyarat dengan menggunakan tangan.

Dia cuba berkomunikasi dengan mana-mana individu yang sedang melihat menerusi kamera itu.

Raihana menjerit-jerit histeria. Tangannya menampar-nampar pintu lif. Lehernya terasa terjerut. Nafas dihirup pendek. Lif semakin bergerak ke atas. Semakin hampir dengan batas yang memisahkan setiap tingkat.

“Naavin! Help me!” rintih Raihana dengan suara tersangkut di kerongkong.

Naavin memegang kepala Raihana. Cuba menariknya masuk ke dalam. Tetapi Raihana menjerit kesakitan. Dia cuba menolak kepala wanita itu keluar dari lif tetapi masih gagal. Lif terus bergerak tanpa henti. Leher Raihana semakin tiba di batas dinding.

“Tolong selamatkan saya,” rintih Raihana lagi. Mungkin untuk terakhir kalinya.

Naavin masih memegang kepala Raihana. Bergelut cuba menyelamatkan wanita itu dengan pelbagai cara. Lif bergerak tetapi pergerakan menjadi lambat sebaik leher Raihana bertemu batas dinding. Raihana bernafas tersendat-sendat. Dia terbatuk-batuk memuntahkan darah. Matanya terbeliak berair lantaran saluran pernafasan yang tersekat.

Saat itu di ruangan matanya jelas kelihatan, seorang wanita  berwajah hodoh sedang mencekak erat rambutnya. Wanita itu tertawa menyeringai seolah-olah menikmati penderitaan yang ditanggung Raihana.

Lif berkeriut berbunyi. Darah merah terpancut-pancut keluar dari liang leher Raihana. Mata Raihana berkaca merenung wajah Naavin sebelum lif bergerak ke atas. Serta-merta kepalanya terpenggal dari leher. Tubuhnya sehingga ke bahagian leher melorot rebah di luar lif. Tubuh itu tergeletak di atas lantai dengan darah membuak-buak keluar dari batang leher.

Naavin terduduk dan tersandar ke dinding lif dengan kepala Raihana masih berada dalam tangannya. Naavin tergamam seketika. Wanita itu mati tanpa sempat untuk dia menyelamatkannya. Serta-merta dia mencampakkan kepala yang berlumuran darah itu ke penjuru lif. Bergolek dan terpusing-pusing sebelum bahagian wajah menghala ke arah Naavin. Matanya terbelalak seolah-olah masih merenung Naavin dengan lidah yang terjulur keluar.

Seluruh tubuh Naavin menggigil ketakutan. Darah merah pekat mengotori pakaian seragam putihnya. Saat itu dia terlihat satu susuk tubuh sedang duduk mencangkung bersebelahan kepala itu. Anak matanya jelas menangkap lidah makhluk itu menjulur keluar dan menjilat darah yang masih mengalir dari liang leher kepala yang terputus itu.

Seolah perasan dirinya diperhati, makhluk itu perlahan-lahan menolehkan kepalanya memerhati Naavin dengan anak matanya yang kemerahan sebelum terus menghilang. Suara seorang wanita tertawa bergema di cuping telinganya. Naavin terlingas-lingas ketakutan. Jiwanya merusuh. Lantas satu jeritan meletus dari kerongkongnya.

INSPEKTOR AMIRUDDIN ditugaskan untuk mengetuai siasatan kematian Raihana. Dia mendekati tubuh mayat dan membeleknya. Sarung tangan getah berwarna putih dikenakannya. Kepala mangsa yang berada di dalam lif turut diperhatikannya. Dokumen pengenalan diri, barangan kemas dan sejumlah wang tunai di dalam beg tangan tidak terusik. Inspektor Amiruddin menolak andaian bahawa wanita itu dirompak dan bunuh. Dia berfikir sejenak sebelum mula meninjau keadaan sekeliling.

“Tuan, tengok ni,” beritahu Sarjan Manaf sambil menunjukkan sesuatu yang berada di dinding lif.

Inspektor Amiruddin menoleh ke arahnya. Lalu pandangannya mati terhadap tulisan yang tertera di dinding lif. Tulisan yang tidak sekata, berjalur-jalur dan berwarna merah.

“Nyawa…” bisik Inspektor Amiruddin membaca ayat itu.

“Hasil pemeriksaan darah merah yang tertulis di dinding lif adalah sepadan dengan darah mangsa,” beritahu Sarjan Manaf.

Inspektor Amiruddin menanggalkan kaca mata hitam yang dipakai dan duduk dengan berpangkukan sebelah lutut. Kesan darah merah yang tercoret direnungnya. Motif dendam mula bermain-main di fikiran namun andaian itu terlalu awal untuk disahkan.

“Siapa yang menjumpai mayat mangsa?” tanya Inspektor Amiruddin sambil matanya meneliti sekitar lif.

“Pengawal keselamatan bernama Naavin. Saksi berada bersama mangsa di dalam lif. Saksi melaporkan mangsa mati kerana leher tersepit di pintu lif. Saksi cuba membantu mengeluarkan mangsa tetapi gagal sehinggalah kepala mangsa terpenggal,” lapor Sarjan Manaf.

Inspektor Amiruddin mendengar keterangan itu lalu mengangguk-angguk kecil. Dia memerhati tubuh mangsa yang terbaring kaku dan juga kepala yang tergolek di dalam lif. Fikirannya seolah-olah dapat menggambarkan peristiwa yang terjadi.

“Pintu lif lazimnya dilengkapi dengan sistem pengesan yang membolehkannya terbuka secara automatik jika terdapat individu yang tersekat di antaranya. Jarang berlaku kegagalan dalam sistem lif. Bagaimana dengan rakaman CCTV?” ujar Inspektor Amiruddin membuat kesimpulan lalu mengajukan soalan.

“Rakaman CCTV dah kami perolehi dan akan dianalisis,” balas Sarjan Manaf.

“Bagus. Lakukannya secepat mungkin,” ujar Inspektor Amiruddin bersuara serius.

“Baik tuan. Cuma ada sesuatu lagi yang diberitahu oleh saksi, tuan,” beritahu Sarjan Manaf.

“Apa sarjan?” tanya Inspektor Amiruddin ingin tahu.

“Saksi ada juga melaporkan sebelum lif mengepit leher mangsa, rambut mangsa seolah-olah tersangkut. Dia melihat rambut mangsa tergantung seolah-olah dicekak sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar,” ujar Sarjan Manaf.

Inspektor Amiruddin berkerut dahi mendengar keterangan itu.

“Tak mengapa. Tahan saksi untuk siasatan lebih lanjut.”

Inspektor Amiruddin memerhati wajah-wajah penghuni kondominium yang berada di sekeliling lokasi mayat itu dijumpai. Lokasi itu telah dihadangkan dengan pita kuning yang merentang bagi menghalang orang ramai berasak mengerumuni mayat dan seterusnya menganggu kerja polis. Ternyata wajah penghuni sekitar itu berada dalam keadaan ketakutan dan terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Inspektor Amiruddin menghembus nafas perlahan. Beberapa andaian bermain di fikiran. Antara dua pertimbangan sama ada ia pembunuhan atau kemalangan.

“Ke tepi! Ke tepi!”

Keriuhan tercetus seketika. Seorang wanita melepasi pita kuning dan ditahan oleh seorang anggota polis wanita. Inspektor Amiruddin segera mendapatkan wanita itu.

“Awak kenal dengan mangsa?” tanya Inspektor Amiruddin.

Wanita itu mengangguk. Air mata membasahi pipinya. Dia tersedu-sedu menangis.

“Dia rakan serumah saya, encik.”

“Mayat ini akan dibawa ke hospital terlebih dahulu untuk dibedah siasat. Dan kemudian barulah keluarga boleh menuntut jenazah mangsa. Harap awak dapat bersabar dan boleh menghubungi keluarga mangsa untuk pengecaman,” ujar Inspektor Amiruddin.

Wanita itu mengangguk perlahan-lahan. Air matanya masih tidak berhenti dari mengalir. Inspektor Amiruddin menyeluk poket seluar. Lalu dia mengunjukkan sekeping kad kepada wanita itu.

“Bila-bila awak berasa tenang boleh hubungi untuk berjumpa dengan saya. Saya perlukan keterangan tentang diri mangsa dengan lebih lanjut,” jelas Inspektor Amiruddin.

“Baik encik,” balas wanita itu ringkas.

Inspektor Amiruddin mengangguk kecil. Lantas dia terus berlalu untuk pulang ke ibu pejabat. Tulisan Nyawa yang tertera di dinding lif mengganggu fikirannya kala ini.

Previous: PROLOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.