Home Novel Komedi/Romantik Komedi Bukan Sebuah Cinta
Bukan Sebuah Cinta
Syamnuriezmil
17/11/2024 04:23:09
1,767
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 1

AKU melihat jam...

Tak tahu kenapa aku asyik nak melihat jam.

Dahi Leona dah berkerut memandang aku. Dia bagi isyarat seakan tanya aku kenapa... Yalah, aku tak fokus. Lagipun, macam tak baiklah bila asyik tengok jam aje kat depan pelanggan.

Aku tahu...

Tapi, aku tak tahu kenapa...

Aku asyik nak tengok jam.

Tengok jam ke... Atau tunggu panggilan?

Tak tahu yang mana satu!

“Anggaran kos... Dalam 300 ribu. Ini semua all-in. Iklan kat media sosial, TV dan majalah. Sebab ini produk baru. Kita perlu sekurang-kurangnya dua minggu untuk produk awareness. Minggu ketiga dan seterusnya... Bolehlah kita iklankan dalam TV.” Terang Leona bersungguh-sungguh.

Dan pelanggan tu...

“300 ribu... It’s a lot. Produk tak jual lagi, dah kena keluar 300 ribu.”

Ah...

Pelanggan macam ni yang buat aku...

Tengok telefon lagi kerap!

“Macam ni, Puan Dewi...”

“Puan Sri...”

“Puan Sri Dewi... 300 ribu untuk semua yang Puan Sri nak tu. Tapi, kita boleh aje buang kos untuk mencetak... Kos untuk iklan di TV... Ikut apa yang Puan Sri mahukan. Tapi, setakat ini... Ini tawaran saya dan ini juga apa yang Puan Sri mahukan sebelum ini.”

“Jadi, you nak cakap... Salah I la? I tak tahu yang harga you sebegini tinggi. Kawan I yang syorkan you pada I. Dia kata Heart Adworks ni... Bagus. Sampai 300 ribu untuk benda macam ni. I ingat dalam 100 ribu macam tu. Mentang-mentang dengan pangkat I ni... Kos jadi double, triple pula. I baru nak mula meniaga tau...”

Pula dah...

Dia ingat nak masuk TV tu...

Perlu dua tiga ringgit aje ke?

“Puan Sri...”

Aku dah mula nak panas...

Leona dah mula nak mencubit aku.

Dia dah tahu...

Kalau aku menekankan suara aku...

Tu tandanya...

Aku dah mula nak hilang sabar.

“Boleh saya tahu siapa yang syorkan kami tu? Dan atas sebab apa dia syorkan? Sebab murah ke? Atau... Sebab iklan kami boleh dapat jualan berjuta?”

“Errr... Puan Sri boleh fikir dulu...”

“Kita yang patut fikir dulu, Nana. Dahlah, jom balik. Aku kata dah... Jangan ambil projek orang ada pangkat ni. Bukan semua orang yang ada pangkat ni kaya. Buat-buat kaya aje. Kita kena ambil projek orang yang faham konsep pelaburan, Na. High risk... High return!”

Aku bukan ahli perniagaan macam Leona. Dia ada kesabaran. Aku ni creative director... Yang buat aku sabar adalah kerja aku dan Ivan Raeez. Selain daripada itu, aku tak ada kesabaran.

“Yang ini, kami punya...”

Aku bangun...

Dan aku ambil kertas kerja aku.

Nanti dia ambil idea aku dan bagi pada orang lain. Mana boleh aku serahkan idea aku pada orang yang tak hargainya. Siang malam kut aku buat persediaan untuk pitching ni... Bukan dia bayar pun!

“Aku tunggu dalam kereta.”

Malas aku nak berlama-lama.

Dah lapan tahun Heart Adworks ditubuhkan. Dah macam-macam perangai pelanggan yang aku pernah jumpa. Jarang sekali aku dapat pelanggan yang memudahkan urusan. Kebanyakannya... Semua nak kualiti kerja yang dahsyat tapi duit nak ciput. Kaput la aku kalau macam ni...

“Kau ni...”

Leona marah aku sebaik aje dia masuk ke dalam kereta. Mestilah dia marah... Dia berusaha dapatkan pelanggan, aku pula dah musnahkan usaha dia. Masalahnya, kalau pelanggan macam tu... Tak payah sedih dengan kehilanganlah. Ada rezeki, adalah!

“Kenapa kau cakap macam tu?”

Bukan sengaja nak cakap macam tu pun...

Tapi, klien macam tu...

Lebih baik berurusan dengan alien aje.

“Na... Puan Sri kut, takkan 300 ribu pun tak ada? Nak meniaga apa kalau tak nak keluar duit. Dia ingat keluar air liur... Boleh laku ke? Nak semua yang hebat. Bukan kita yang makan 300 ribu tu pun. Fees kita hanya 30 ribu aje. Kita cuba ambil 10 persen. Habis diskaun kita boleh bagi. Patut kau letak 20 persen. Kalau dia nak diskaun, kita boleh potong fees kita tu. Sekarang, kita nak potong apa? Kalau nak jadi 5 persen, kita nak makan apa? Absurd. Dah... Jangan ambil lagi klien macam ni, Na. Penat aku kerja aje. Aku tahu, selama ini kau yang keluarkan duit... Tapi, keluar idea lagi penat tau!”

Leona mencebik.

Aku kenal Leona pada lapan tahun yang lepas di sebuah agensi pengiklanan. Aku pergi ke sana untuk temuduga sebagai pengarah kreatif dan Leona pula... Dia yang temuduga aku. Ada tiga orang yang menemu duga aku... Dia aje yang nampak berpuas hati dengan jawapan aku. Lagi dua... Tak bersetuju dengan aku sebab masa itu... Aku tengah mengandung. Dia orang memerlukan pengarah kreatif untuk satu projek besar tapi keadaan aku seakan tak mengizinkan walaupun aku kata... Aku boleh buat sebab itu merupakan kandungan kedua aku.

Keputusannya...

Bila dua lawan satu...

Aku tak dapat kerja tu.

Tapi, Tuhan ada rancangan lain untuk aku.

“Helo... Boleh cakap dengan Puan Iris?”

“Ya, saya bercakap...”

“Saya, Leona... Saya yang temuduga puan tadi.”

“Oh... Saya dah tahu keputusannya. Saya tak dapat kerja tu... But it’s okay. Saya pun dah agak yang saya tak dapat. Siapalah yang nak ambil pekerja yang tengah mengandung kan?”

Aku pun tahu...

Tapi, aku nak cuba nasib aje.

“Saya. Saya nak ambil.”

“Maksud, puan?”

“Saya suka dengan idea puan. Saya rasa... Kita dua boleh bekerjasama dengan baik. Saya tak pernah rasa macam ni... Dah lama saya nak berhenti dari situ. Tapi, saya tak ada sebab sehingga saya jumpa puan. Apa kata, saya tubuhkan syarikat dan puan boleh bekerja dengan saya? Kita cuma perlu kerja kuat...”

“Kerja kuat adalah matlamat hidup saya sekarang...”

“Macam mana? Setuju?”

“Hanya kalau puan panggil saya Iris...”

“Leona.”

Dan...

Itu permulaannya.

Dari hanya dua orang pekerja...

Sekarang dah ada 20 orang.

Dari hanya bekerja dari rumah...

Sekarang dah menyewa dua lot bangunan kedai.

Heart Adworks berkembang dengan pesat tapi, mana ada perniagaan yang berkembang aje... Ada masa kuncup sekejap. Dan masa sekarang, masa tengah kuncup la. 

“Kita dah lama tak ada projek besar. Kita perlukan projek besar, Iris. Sekurang-kurangnya, satu projek besar untuk kita sustain. Bukan kau tak tahu, lepas aje Covid tu... Banyak syarikat berhati-hati mengeluarkan belanja tau. Kalau tak dapat projek besar... Cashflow kita tak flow, Iris.”

Dah tu, aku ke penyebab Covid tu?

Nak buat macam mana...

Dapat klien macam tu...

Lebih teruk daripada Covid.

“Aku nak minta satu aje... Please. Jaga perangai? Kalau kau rasa senang nak cari projek... Lepas ni, kau yang cari projek. Satu projek jadilah. Besar. Aku tak nak kecil.”

Ah, apa susah nak cari projek pun.

“Yalah... Nanti aku carilah.”

Itu aje janji yang akan buat Iris tak membebel. Nanti ajelah aku fikirkan macam mana nak cari projek tu. Memanglah aku berpengalaman lapan tahun dengan Heart Adworks... Tapi, sebelum tu... Aku dah bekerja dengan Zenith Media, sebuah agensi pengiklanan yang terkenal tu selama 7 tahun. Insya-Allah... Aku boleh.

Harapnyalah!

“Dan... Kenapa kau asyik tengok telefon eh? Kau tak fokus!”

“Entahlah. Aku rasa tak sedap hati.”

“Kenapa? Ivan tak sihat ke?”

“Dia nampak okey aje masa aku hantar dia pergi ke sekolah tadi. Tapi, tak tahulah... Kenapa aku rasa tak sedap hati. Mungkin bukan pasal Ivan tapi... Pasal puan yang tak berseri tadi. Red flag...”

“Hesy...”

Aku tersengih. 

“Jangan marah. Nanti rezeki lari.”

“Ada nampak aku marah ke?”

“Nampak!”

“Menyampahlah...”

Aku tersengih lagi.

“Jangan risaulah. Dah tak ada rezeki kita kat situ. Yang rugi bukan kita tapi dia... Bukan sikit projek produk kecantikan yang kita buat... Banyak kan. Contoh terdekat, iklan produk baru dengan The Care. Meletup-letup... Sampai sekarang, tagline kita guna masih melekat!”

“Tak care, tak cantik!”

“Insya-Allah... Hilang yang ini, Tuhan bagi projek 3 juta untuk kau! Percaya cakap aku!”

“Dapatkanlah... Jangan sembang kari!”

Tiba-tiba...

Telefon aku berbunyi.

“Weh... Ada apa Ratna from Zenith yang sangat sibuk ni call aku tiba-tiba?”

Satu-satunya kawan dari Zenith...

Yang aku masih kekal berkawan baik.

Sejak akhir-akhir ni...

Jarang nak sembang sebab dia sibuk sangat.

Zenith kan... 

Mustahil tak sibuk.

“Tak boleh cakap panjang. Tapi, Heart tengah sibuk ke sekarang? Sebab aku ada projek yang...”

“Aku hanya akan entertain projek 3 juta ke atas aje...”

“Mana kau tahu? The Crepex dah call kau ke? Aku tak bagi lagi nombor kau pun...”

Aku yang tengah bersandar...

Terus menegak.

Aku tekan loud speaker...

“Serius tiga juta?”

“Serius. Syarikat ni syarikat baru yang berpangkalan kat Ipoh. Bila dia cakap Ipoh... Aku terus ingat kau. Lebih baik, kau uruslah kan. How?”

“Terus bagi nombor akulah.”

“Okey, thanks.”

Belum sempat aku nak jawab...

Panggilan tu dah letak.

Hai... 

Betul-betul sibuk.

“Kan... Aku kata dah. Rezeki tak salah alamat. Tutup satu peluang akan buka peluang yang lain. Dah... Jom balik ofis dan bersedia untuk The Crepex. Aku nak buat research sebelum dia orang ni call aku. Aku... Akan dapatkan projek ni untuk kau!”

Leona mencebik.

Tak percaya pula.

Buktinya dah jelas.

Aku akan buat yang terbaik.

Tapi...

Semangat aku jadi pudar bila...

Kat skrin aku tertera nombor telefon Cikgu Sally...

“Helo, cikgu...”

“Minta maaf ganggu... Saya nak beritahu Ivan sesak nafas dan sekarang... Dalam perjalanan ke JMC.”

Dan Leona...

Terus menekan minyak!


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Syamnuriezmil