Esoknya Razmi datang lagi. Kalau semalam cuma seorang, hari ini dia bawa kawan-kawannya datang sekali. Meja hujung penuh dengan kumpulan mereka. Bising pula tu! Dan bagaikan nasib malang yang tidak sudah, Ayni juga yang perlu ambil pesanan mereka.
Kenapa?
Kenapa??
Kenapa???
Ayni hanya mampu menjerit di dalam hati. Berat kakinya untuk ke meja mereka tapi Kak Iti sempat menjeling beberapa kali sebagai amaran sebelum wanita itu keluar. Ayni masih perlukan kerja ini, jadi dia kuatkan semangat. Biar apa pun mereka cakap nanti, Ayni akan bersabar. Pekakkan saja telinga!
"Nama siapa?" tanya seorang dari mereka dengan senyuman gatal. Nampaknya dia bukan pelajar sekolah Ayni.
"Nak order apa?" tanya Ayni, langsung tidak pedulikan soalan itu.
"Sombong!" kata yang lain pula, tergelak-gelak. Apa yang kelakar sangat pun Ayni tidak pasti. Dua orang kawan baik Razmi melihat-lihat tanpa berkata apa-apa.
Razmi mendengus. "Cepatlah order, kita nak kena ke tempat lain lagi!"
"Eh, kau yang ajak kami ke sini tadi! Lagipun kedai motor tu tengah rehat sekarang. Buat apa nak cepat?" sanggah yang pertama tadi.
"Rehat setengah jam, bukan setahun!" balas Razmi.
"Bisinglah kau ni! Tadi kau jugak beria-ia nak datang sini. Sekarang kau pulak sibuk-sibuk nak pergi! Susahlah!" sungut seorang lagi yang sejak tadi cuma mendengar. "Zam, order cepat! Bos besar dah marah!"
Yang pertama, yang bernama Zam itu mendengus. "Yalah! Yalah! Bising mengalahkan perempuan!"
Yang berdiri tunggu ambil order ni perempuanlah! Kutuk pun tengok-tengoklah sikit! Tapi Ayni diam membisu. Kalau dia bersuara, nanti lain pula jadinya. Lagipun dia tidak mahu timbulkan masalah di sini.
Selepas mengambil pesanan (yang cuma minuman), Ayni terus masuk ke dapur. Niatnya, biarlah orang lain yang hantarkan pesanan mereka. Tapi semua orang terlalu sibuk, Ayni terpaksa ke meja itu lagi! Kenapa malang sangat nasib Ayni?
Ayni mengetap bibir, membawa minuman mereka. Biar mereka cepat-cepat minum, cepat-cepat pergi. Zam yang nampak Ayni membawa minuman mereka, tersengih gatal. Sekali lagi Ayni mengetap bibir, menahan diri dari hilang sabar. Ingat! Dia perlukan kerja ini!
"Tak beratkah angkat banyak-banyak?" soal Zam, ketika Ayni meletakkan minuman mereka.
"Dia dah biasalah!" kata Razmi.
Ayni masih lagi membisu. Satu-persatu pesanan dia letakkan. Zam yang masih cuba mengganggu Ayni tiba-tiba cuba memegang tangannya. Kaget, Ayni pantas ke tepi.Nasib baik minuman itu tidak tumpah. Matanya bulat memandang Zam yang langsung tidak merasa bersalah. Malah dia ketawa melihat reaksi Ayni.
"Pegang sikit pun tak boleh? Bukannya kurang apa-apa pun," kata Zam.
"Jangan kurang ajar boleh tak?" balas Ayni.
"Kurang ajar apanya? Bukannya aku raba kau pun."
"Macam ni tak kurang ajar? Siapa ajar kau yang kau boleh sentuh perempuan sesuka hati?"
Zam tergelak. "Aku rasa kau ni terlebih reaksi. Setakat sentuh macam tu, tak ada yang tak sopannya."
Semua yang berada di kedai makan itu memerhatikan pertelingkahan mereka. Rakan-rakan Zam, terutamanya Razmi tampak gelisah. Nampaknya mereka tidak terfikir yang Zam akan timbulkan masalah di kedai itu.
"Kita datang cuma nak minum, jadi tak payahlah cari pasal dengan dia," kata Razmi.
"Aku tak cari pasallah! Dia yang naik angin dulu!" sanggah Zam, yang makin lama makin marah.
"Eh, jangan bergaduhlah! Cepat minum,cepat kita boleh pergi!" desak seorang lagi.
Dua rakan baik Razmi mengangguk bagai burung.
Walaupun tidak puas hati, Zam mencapai minumannya juga. Tapi matanya tidak lepas-lepas mengekori Ayni. Semakin lama, semakin tajam renungannya. Dia bagaikan memikirkan sesuatu. Ayni yang terasa tidak selesa dengan renungannya cuba untuk mengelakkan diri. Tapi kedai makan ini bukannya besar. Mahu tidak mahu dia terpaksa ke meja yang berdekatan dengan meja mereka untuk mengambil pesanan.
"Aku rasa aku kenal kau ni siapa," kata Zam tiba-tiba. "Kau yang kena gantung sekolah sebab toreh tayar motor Razmi, kan? Eh, perempuan ni,kan?"
Menyirap darah Ayni. Perkara yang dia cuba rahsiakan dicanang dengan mudah oleh Zam dengan suaranya yang kuat. Semua orang yang ada sudah mendengar hal itu. Razmi tidak menjawab pertanyaan Zam.
Zam tergelak. "Muka nampak suci tapi hati hitam! Pandai kau berlakon depan semua orang. Mesti semua orang di kedai ni tertipu dengan muka kononnya suci kau tu. Eh, jangan berlagak baik sangatlah!"
"Sudahlah!" kata Razmi. "Kenapa kau cakap pasal hal ni tiba-tiba?"
Soalan itu membuatkan Zam terdiam seketika. Dia merenung Razmi, bagaikan tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut kawannya itu.
"Yang kau bela dia ni kenapa? Kau sukakan dia?" soal Zam.
"Kau jangan nak mengarut boleh? Dari kita mula datang, sampai sekarang, tak habis-habis mulut kau merepek!" balas Razmi, yang mula nampak marah.
"Tak merepek kalau semua yang aku cakap tu betul!" Zam berpaling kepada Ayni. "Tapi aku betul-betul tak sangka yang kau ni kasar sampai macam tu. Patutlah kena gantung sekolah!"
Kecuali Razmi dan dua orang rakannya, mereka yang lain tergelak-gelak. Kelakar sangatkah cerita itu? Ayni mengetap bibir, menarik nafas panjang. Apa sekalipun dia mesti bersabar. Dia segera mengatur langkah untuk masuk menyiapkan pesanan yang baru diambilnya itu.
"Nak lari ke mana?" tanya Zam, tiba-tiba menghadang Ayni.
"Jangan ganggu saya boleh tak?"
Zam tersenyum herot. "Macam ni pun ganggu? Habis macam ni macam mana?”
Tiba-tiba tangan Zam cuba memegang dada Ayni. Spontan, Ayni terus menampar lelaki itu. Razmi dan kawan-kawannya yang memerhatikan sejak tadi terus bingkas bangun.
“Eh, aku tak ajak kau datang sini nak buat hal macam ni!” tempelak Razmi.
Zam yang ditampar merenung Ayni dengan marah. “Belum pernah ada orang berani pukul aku! Kau ni memang nak mati dengan aku!”
“Cubalah bunuh aku! Kalau aku mati, aku akan tarik kau masuk lubang kubur sama macam aku!” balas Ayni.
Razmi terus datang kepada mereka berdua. “Dari tadi aku dah cukup bersabar dengan karenah kau. Sekarang kau nak balik atau tak? Aku tak berminat untuk terlibat dalam apa-apa masalah pun di sini.”
Zam merenung Razmi tajam. “Kau pulak dari tadi naikkan darah aku. Jadi kau nak berpihak pada perempuan ni dari kawan kau?”
“Kalau macam ni perangai kau, baik aku dan kau tak berkawan pun. Mak bapak aku pun tak ajar aku jadi kurang ajar pada perempuan.”
Kalau tidak kerana situasi sekarang yang agak serius, pasti Ayni tergelak sinis. Baru beberapa hari yang lepas dia dan Razmi bergaduh. Pandai pula dia cakap macam ni.
“Eh, bukan kau yang bergaduh dengan dia sampai dia toreh tayar motor kau tu? Jadi yang kau buat tu tak kurang ajar?” soal Zam.
Tengok, Zam pun fikir hal yang sama!
Terkedu sekejap Razmi jadinya. “Hal tu tak ada kena-mengena dengan hal ni! Lagipun kau bukannya tahu hal yang sebenar, jadi baik kau diam! Sekarang aku nak tanya kau buat kali terakhir, kau nak pergi atau tak?”
“Aku tak nak! Kau nak buat apa?” soal Zam dengan bongkak.
Ayni segera berjalan meninggalkan mereka. Tapi sekali lagi Zam memintas, kali ini terus menangkap tangan Ayni. Dari merentap tangannya kembali, Ayni mencapai segelas air yang berdekatan, terus menyimbah lelaki itu.
“Kau ni memang kurang ajar!”
Wajah Zam merah menyingga. Dia bagaikan ingin menelan Ayni hidup-hidup dengan cara dia merenung Ayni.
“Aku rasa aku memang patut ajar kau cukup-cukup sekarang. Kalau tidak aku tak akan puas hati!”
“Aku dah cakap jangan cari pasal, kan?”
“SUDAH!”
Suara Kak Iti yang kuat menyebabkan mereka semua terkejut. Entah bila Kak Iti pulang dan melihat situasi tegang ini.
“Kamu semua buat apa? Nak bergaduh? Minta maaf, di sini bukan tempat untuk kamu bertengkar. Tolong balik atau kakak akan panggil polis sekarang!” ugut Kak Iti.
Zam mendengus. Jelas sekali dia masih tidak berpuas hati tetapi keadaan nampaknya tidak memihak kepada dia. Dengan renungan ke arah Ayni dan Razmi, akhirnya dia pergi. Tapi sempat dia menendang kerusi yang berdekatan pintu keluar. Rakan-rakannya yang lain, kecuali dua rakan baik Razmi terus bangun mengikut dia keluar. Razmi merenung Ayni sekilas, bagaikan ingin berkata sesuatu. Tapi akhirnya dia juga pergi tanpa berkata apa-apa pun.
“Ayni, ikut kakak!”
Suara Kak Iti yang masih marah membuatkan Ayni mengikut dia tanpa banyak bicara. Lagipun dia faham yang Kak Iti pasti mahu penjelasan. Mereka ke dapur dan Ayni jelaskan bagaikan mereka boleh mula bergaduh. Bahagian yang tidak diceritakan Ayni ditambah oleh Raudah.
“Jadi betullah kamu yang toreh tayar motor dia?” soal Kak Iti.
Ayni tunduk. “Ya.”
“Kenapa?”
“Dia…”
‘Tidak faham keadaan saya’. Tapi Ayni tidak dapat luahkan ayat itu. Bila diulang berkali- kali, biarpun pada orang yang berlainan, terasa seperti dia merungut bagaikan anak kecil. Ayni akhirnya membisu. Kak Iti merenung Ayni dengan lama,membuatkan Ayni terasa tidak selesa.
"KakIti rasa esok Ayni tak payah datang lagi!"
Terkejut Ayni mendengar kata-kata itu. "Tapi kenapa? Apa salah Ayni?"
"KakIti tak mahu ada masalah kemudian hari."
“Tapi kak…”
“Ini gaji untuk hari ni, dan duit lebih ni anggaplah ganti rugi.”
Ayni mengetap bibir. Dia rasa dia tidak diperlakukan dengan adil. Harga diri dan perasaan marah yang membuak-buak di dalam hati membuatkan Ayni terasa ingin menolak wang itu.
Tapi harga diri tak dapat isi perut bila lapar.
Ayni mengambil wang itu, kemudian berlalu tanpa sepatah kata. Wang ini mungkin akan bertahan paling lama dua minggu jika dia benar-benar berjimat. Tapi itu agak mustahil. Sekali lagi dia menemui jalan buntu.
Berat langkah kakinya untuk berjalan pulang pada hari itu. Dia tahu dia tidak boleh mengalah dan terus bersedih. Dia masih boleh cari kerja yang lain. Pasti masih ada rezekinya di bumi Allah yang luas ini. Dia tahu semua itu tapi hatinya terasa kusut. Perlahan-lahan dia berjalan pulang ke rumah.
“Lama aku tunggu kau! Jadi memang ini jalan balik ke rumah kau!”
Ayni mengangkat kepala, melihat Zam sedang duduk di motor. Apa maksud dia menunggu Ayni?