3,842
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Lapan Belas

     BAB 18

“YA datuk...”

Dija yang masih diam di atas kerusi di depan Datuk Nik Rasyid hanya menjawab sepatah dua kata bila ditanya oleh majikannya itu. Di atas meja itu, kelihatan kunci motosikal yang diletakkan oleh Dija seketika tadi. Dija meriba tangannya sambil merenung fail bertimbun di atas meja datuk. Dia sengaja tidak mahu berbalas pandang dengan majikannya itu.

“Habis, siapa yang nak gunakan motor tu nanti?” soal Datuk Nik Rasyid. Matanya terus melekat ke wajah Dija.

Gadis yang diburu serba salah itu kehilangan jawapan. Dia tahu, dia tidak perlu menjawab soalan datuk itu. Dia hanya tahu, dia mesti serahkan kembali motor tersebut kepada datuk sebab dia sudah tidak mahu bekerja di syarikat itu lagi.

“Dija ingat kat rumah saya sana ada sesiapa yang akan gunakan motor ni?”

Dija cuba tersengih bila mendengarkan persoalan datuk itu. Serupa dengan kata-kata Faheem tempoh hari. Yalah, siapa yang nak gunakan motor dalam rumah besar mewah itu? Masing-masing ahli keluarga tersebut sudahpun memiliki kenderaan masing-masing. Takkan mereka suka naik motor yang murah macam itu.

“Tapi, saya dah tak ada kerja datuk. Jadi, macamana saya nak bayar setiap bulan motor ni? Sebab tulah saya nak pulangkan semula kepada datuk.”

“Haa, itu satu hal. Kenapa Dija nak berhenti? Kan kerja kat syarikat ni dah kira ok? Apa yang tak kena lagi Dija? Gaji? Atau apa ni?” soal datuk mencungkil rahsia Dija.

“Bagi orang macam saya, gaji tu dah dikira ok sangat, datuk.”

“Habis, kenapa nak berhenti ni, Dija?”

“Dija tak layak nak bekerja di syarikat datuk. Nanti...” Dija berhenti di situ. Dia merenung wajah Datuk Nik Rasyid. Dia rasa tidak patut teruskan sebarang ucapan. Diam itu sebenarnya lebih baik. Bersuara lebih banyak bererti dia akan lebih banyak membuka rahsia.

Ah, tidak...

Dija mesti rahsiakan segala rahsianya selama ini. Mana boleh ceritakan dengan datuk.Nanti kecoh jadinya.

“Dija, cuba awak berterus terang.” Desak datuk. “Kenapa awak nak berhenti kerja? Awak dah dapat kerja lain ke? Gaji lebih lumayan ke? Atau awak tak puas hati dengan layanan kat syrikat ni?”

Dija hampir mengucapkan perkataan ‘yes’ sambil melompat riang di hadapan datuk. Biar dia tahu, memang itulah alasannya. Layanan yang memang tidak patut dia terima setiap kali bertembung dengan Mamat Bertaring itu. Biar datuk tahu, hatinya memang terguris bila kenangkan sikap dan layanan Faheem.

Tapi...?

Ah, jangan mengada-ngada wahai Dija. Jangan!

Siapalah kamu untuk tunjuk pandai. Jangan mengadu kepada datuk, nanti kamu juga yang akan susah. Faheem adalah anak kesayangan datuk. Walau apapun alasannya, datuk takkan membuang anaknya dengan mudah. Faheem tetap di hati datuk. Marah bagaimana hebat sekalipun, Dija tetap mengerti, itu semua kerana kasih sayang seorang ayah. Takkan datuk sanggup menghukum anak sendiri demi orang lain. Orang yang sekadar menumpang mencari sesuap rezeki untuk kelangsungan hidupnya.

Dija cepat-cepat membujuk hati. Jangan mudah terjebak dengan pujukan datuk itu. Mungkin itu sekadar untuk memancing tutur bicara Dija. Mungkin juga datuk mahu melihat, sejauh mana cerita Dija. Atau barangkali, datuk mahu tahu bagaimana hebatnya Dija bila mengumpatkan Faheem.

Dija cepat-cepat menutup bicara tentang Faheem sebelum ianya terluah.

“Mungkin Dija tak selesa dengan Faheem?”

Melopong mulut Dija bila datuk menyoalnya demikian. Dija tahu, Datuk Nik Rasyid memang sentiasa ikuti perkembangan konfrantsi antara dia dan Faheem.Takkan datuk tak tahu tentang kecundang rasa yang sedang Dija alami sejak mula Dija melangkah masuk sebagai pekerja disyarikat itu.

Dija tahu datuk tahu apa yang sudah sering terjadi antara dia dan Faheem. Datuk memang sudah amat maklum perkara itu. Jadi, untuk apa lagi Dija bercerita? Biarlah datuk terus faham dan mengerti kerana selama ini sudah banyak kelukaan yang Faheem berikan kepadanya. Bagaimanapun Dija tetap bersabar jua.

Apa ada pada sabar?

Dia tetap jua diperlakukan sesuka hati oleh Faheem. Malah, penghinaan tetap jua menjadi mainan bibir jejaka anak bosnya itu.

“Dija memang tak mampu dah nak bayarkan motor ni datuk.”

“Dah kalau tak mampu, kenapa Dija nak berhenti? Terus je kerja kat sini. Pedulikan Faheem tu.” Ujar Datuk Nik Rasyid.

Dija tersengih bila datuk bersuara begitu. Memang datuk dapat menduga bahawa hasrat Dija untuk berhenti kerja adalah kerana Faheem sebab utamanya. Tapi, Dija tetap tidak mengulas apa-apa.

“Selagi saya ada kat syarikat ni, Faheem tak boleh nak buat apa-apa dengan Dija.”

Dija mengangguk lagi. Itu kata datuk. Kat depan papanya, Faheem memanglah tak akan buat apa-apa terhadap Dija sebab dia takutkan papanya. Kalau di belakang, mahu ditelannya Dija macam udang goreng kering. Faheem memang sangat bencikan Diija. Padahal bukanlah besar sangat kesalahan Dija.

Dija benar-benar berasa pelik dengan tingkah Faheem. Namun, macam datuk cakap tadi, biarkanlah Faheem. Pedulikan dia. Usah diambil sangat buah bicaranya. Lama-lama nanti, bertaubat juga dia kelak.

Tapi Dija yakin, Faheem hanya akan berhenti memberikan dia sindiran ataupun kemarahan bilamana dia tidak lagi berada di depan mata lelaki itu. Tidak lagi berada di syarikat itu. Jika tidak, Faheem tetap akan menyindir dan membencinya. Itu memang Dija amat maklum. Apatah lagi kalau dia bersama Rita. Semakin banyak buah sindirian yang bakal ditelannya. Faheem akan lebih puas kalau melihat wajah kelat Dija. Mungkin lebih menyenangkan kalau ada airmata Dija yang tumpah.

Kenapalah dengan Mamat Bertaring itu? Hatinya dibuat daripada apa agaknya? Soal Dija berkali-kali. Wajah Faheem yang sedang mencerlang ke arahnya muncul dengan tiba-tiba. Garangnya dia!

RITA menarik nafas. Kemudian dilepaskan kuat. Aura geram terpahat di wajah dan matanya. Masam mencuka wajah yang selama ini cantik jelita itu. Di depannya Datin Wan Fuzia sedang terlantar di atas katil.

“Pekak ke kamu ni?” tiba-tiba jerkahan Datin Wan Fuzia menerpa pada gegendang telinga Rita. Terentak Rita bila mendengarkan jerkahan yang kuat begitu.

“Dah berapa aku cakap, aku nak kau tolak aku. Keluar dari bilik sempit ni. Aku nak ambil angin kat luar sana!” suara Datin Wan Fuzia terus menjerit kuat.

“Err...” Rita jadi teragak-agak. “Tapi, datin baru aje masuk ke dalam bilik ni. Kan datin cakap nak masuk bilik? Ni, Rita bawa datin ke dalam bilik ni...”

“Siapa cakap aku nak masuk ke dalam bilik? Aku nak keluar dari bilik ni...!” marah mencerlang datin. Tersentak lagi Rita.

Dulu, datin lebih banyak diam di awal Rita bertugas di situ. Mungkin waktu tu, dia masih belum boleh bercakap dengan sempurna. Selepas diberikan rawatan lebih intensif, datin mulai boleh bercakap semula. Walaupun agak telo tapi, suara kuat dan jelas. Dia akan menghamburkan kemarahannya kepada siapa saja jika dia rasa ingin marah. Itu merupakan sebahagian daripada sisa-sisa penyakit yang dialaminya.

Rita rasa geram bila dijerkah dan dimarah begitu. Di rumah sendiri, dia tidak pernah dimarahi apatah lagi dijerkah kuat begitu. Semua ahli keluarganya sangat memanja dan menatang Rita dengan penuh kasih sayang. Tiba-tiba mendapat layanan yang begitu daripada datin, tersentak habis Rita. Hatinya mulai membara.

“Tadi datin cakap tak nak duduk kat luar? Sekarang, tak nak duduk kat dalam bilik pula? Rita tak faham kalau macam ni...” sungut Rita. Tapi dia cuba mengawal ucapannya agar tidak sampai menyentuh perasaan orang tua itu.

“Hey, kamu ni tahu menjawab je. Aku cakap aku nak keluar! Hah, bawa ajelah aku keluar! Aku mana nak duduk dalam bilik sempit macam gua hantu ni?” marah datin semakin meledak. Geram hatinya bila Rita cuba membela diri. Datin, semenjak sakitnya hanya tahu meluahkan kemarahan. Bukannya mendengar ucapan orang lain.

Kata doktor, itu sebahagian daripada fenomenanya. Mungkin ianya akan pulih atau mungkin ianya takkan pulih. Bergantung atas nasib dan ketentuan Allah. Bagaimanapun, semua ahli keluarga mestilah bersabar dengan kerenah datin. Ianya telah membezakan antara datin sebelum sakit dan selepas sakit. Melawan kata-kata datin akan lebih membuatkan dia stress dan kesembuhannya agak menyukarkan. Jadi, doktor sangat mengharapkan kerjsama daripada setiap ahli keluarga. Mudah-mudahan ianya akan membantu kesembuhan datin dengan sepenuhnya. Ataupun, mungkin akan lebih baik daripada masa sekarang.

“Mahu juga aku terbalikkan kerusi roda orang tua ni...” sungut Rita di dalam hati. Wajahnya sudah mulai keruh dan terbayang kemarahan memuncak. Dadanya mendidih.

“Hey, cepatlah...!” jerkah Datin Wan Fuzia lagi. Dia mulai menggoncang-goncang kerusi roda dengan badannya yang agak membulat itu. Marah wajahnya semakin terserlah.

“Baik, datin...” patuhnya bunyi suara Rita menahan perasaan. Namun dalam hatinya seolah sedang menahan bara yang sedang menyala. Terasa geram dan marah itu bergaul menjadi suatu berontakan yang bakal mengganas.

Ditolaknya kerusi roda datin. Berhati-hati, bimbang kalau-kalau terlanggar dinding, datin akan hamburkan maki seranahnya lagi. Akhirnya sampai ke ruang tamu.

“Eh, nak ke mana pula, Cik Rita?” tiba-tiba Mak Siah terjonggol. Berlapis dahinya melihatkan Rita yang sedang menolak kerusi roda datin. Baru sebentar kerusi roda itu ditolak dari ruang tamu ke dalam bilik datin. Bilik rehat yang dikhaskan untuk datin. Bukannya bilik tidur mereka dulu.

“Entahlah Mak Siah. Datin tak jadi kut nak masuk dalam bilik. Dia nak keluar balik.” Rita berjaya mengawal suaranya agar tidak disedari oleh Mak Siah. Rita tidak mahu ada orang tahu bahawa dia tengah geram dan marah di saat itu. Bimbang kalau-kalau diketahui oleh datuk dan Faheem,buah hatinya.

Mak Siah adalah tukang masak di rumah itu. Dia tidak mampu untuk menjaga Datin Wan Fuzia dalam keadaan sakitnya sekarang. Itulah sebabnya datuk mencarikan pembantu yang lain semata-mata ditugaskan untuk menjaga datin. Mak Siah sudah tua. Mana mungkin dia mampu untuk menjaga datin yang sedang sakit begitu. Nak Siah sendiri sudah mengakui, dia memang tidak mampu. Namun, untuk sesekali, dia akan menjaga datin.

Itulah orang gaji khas didatangkan untuk datin. Rita, gadis cantik kesayangan Faheem, tugasnya kini sekadar menjaga datin. Dia tidak perlu buat kerja-kerja lain. Hanya bersama datin sepanjang siang hari. Kecuali pada waktu malam, Rita tidak lagi membantu datin. Mungkin datuk. mungkin Faheem yang menjaganya. Rita perlukan rehat kerana datuk tahu, pastinya amat letih melayani kerenah hebat datin.

Hari minggu juga, datuk memberikan cuti rehat untuk Rita. Dia tidak dibebankan dengan tugas menjaga datin pada hari minggu. Datuk akan menjaganya kalau tidak ke luar negara. Faheem juga. Dia akan menjaga datin jika datuk tidak ada di rumah. Paling tidak, Mak Siahlah yang kena teruskan tugas pada hari minggu. Rita pulang ke rumahnya pada setiap hari minggu. Ataupun keluar bersama Faheem setiap hari minggu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh