4,874
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Enam


MISS MARSHMALLOW VS MR EGO

(DYZA AINUN)

BAB ENAM

“PERIT!” ujar Dija, kelat. “Dan, melukakan!”

Mata Dija bertentangan dengan mata Marina.

“Apa yang peritnya?” soal Marina. Dia kehairanan. “Apa yang melukakan?”

“Macam biasalah...!” jawab Dija seakan meluahkan terus apa yang terbuku di kalbunya. Kesakitan yang hanya dia sahaja yang mampu mengerti.

Marina memang tidak mengerti. Sedang Dija malas untuk bercerita lebih lanjut.

“Eh, tak faham aku!” sungut Marina. Kerut dahinya beribu.

“Baik kau tak usah faham, Rina. Takut-takut kau turut perit dan terluka nanti.”

“Kau ni Dija. Kalau tak buat aku susah hati, boleh tak?” Marina menggerutu.

“Eleeyy, yang kau nak susah hati tu kenapa?” soal Dija. “Bukannya masalah kau! Tapi masalah aku. Biarlah aku aje yang tanggung!”

“Yalah, kau asyik cakap, perit, pedih dan pedas! Mana aku tak risau dan susah hati? Kau tu kan kawan aku?” sungut Marina.

Dija menumbuk bahu Marina dengan mesra. Kemudian ada tawa mengiringi.

“Kawan ke?” Dija seolah mengejek.

“Habis, aku ni bukan kawan kau ke?” Marina agak tersinggung.

“Tahulah aku ni kawan kau! Tapi, aku tak pernah suruh kau risaukan aku. Tak pernah minta kau susah hati kerana aku!” mengekeh jadinya Dija dalam tawanya.

Marina buat muka. Dija terus selamba. Malah tersengih nakal.

“Peliklaa kau ni, Dija.” Marina merenung ke dalam mata Dija.

Dija mengangkat kening. Mungkin sedang kehairanan bila mendengarkan ucapan Marina yang berbaur aneh itu.

“Tadi kau kata hati kau tengah perit, pedih dan pedas! Sekarang, boleh pulak kau tersengih macam kerang dah busuk!” omel Marina.

“Aku ni memang makhluk paling pelik dalam kumpulan kita ni. Tukang cuci yang sangat pelik. Aneh dan susah untuk difahami.” Dija terus juga tersengih melebar.

“Yalah, dalam sedih-sedih macam ni, sempat pulak kau tersenyum. Dalam senyum manis tu, tak semena-mena kau boleh menangis! Memang aneh sangat!”

“Eh, tak peliklaa kalau macam tu. Ada lagi yang lebih pelik kau tahu?”

“Apanya?” soal Marina, ingin tahu.

“Tu, Si Mamat Bertaring tu, peliknya mengalah anak kucing bertanduk empat. Mengalahkan juga gajah kembar siam.”

Marina ketawa dengan tiba-tiba. “Kau ni Dija...”

“Kucing bertanduk empat pulak? Ha, gajah kembar siam macamana erkh? Tak pernah pulak aku dengar dua-dua jenis makhluk tu.” tambah Marina masih dalam ketawa lucu. Geli hati dengan ungkapan Dija.

“Mamat Bertaring tu memang lebih pelik daripada dua-dua makhluk yang tak pernah kau dengar tu.” Ujar Dija.

Marina menggeleng lagi. “Pelik macamana?”

“Yalah, dalam masa dia sindir-sindir aku, boleh pulak mengertak. Dalam mengertak tu, sempat lagi bagi aku ancaman...” Dija cuba tersengih lagi. “Tak ke pelik bin ajaib bin aneh, kalau macam tu?.”

Marina tersengih. “Macam-macamlah kau ni Dija.”

“Memanglah dah macam-macam yang berlaku semenjak aku bekerja di syarikat ni, Rina. Mengalahkan Astro yang macam-macam ada tu...!”

Marina ketawa lagi. Kata-kata Dija banyak yang membuatkan Marina tidak dapat menahan tawanya. Lucu dan menggelikan hati.

“Dija, sebenarnya apa yang berlaku semalam?” tiba-tiba Kak Sal muncul dari ruang belakang. Di tangannya ada penyapu. Langkahnya semakin mendekat ke arah dua orang teman sekeerjanya itu.

Marina segera menoleh ke arah Kak Sal. Kemudian, menghantar pandangan ke arah Dija pula. Dia nampak kehairanan. Dija yang turut melempar pandang ke arah Kak Sal akhirnya berpaling ke arah Marina. Kedua sahabat itu bertentangan mata.

Dija tidak segera menjawab. Sebaliknya mengangkat kening seakan tidak tahu menahu dengan pertanyaan yang dilontarkan oleh Kak Sal. Tapi wajah Kak Sal seperti mendesak Dija bercerita secara jujur. Langkahnya semakin rapat ke arah keduanya. Penyapu yang berada di tangannya, disandarkan pada dinding buat sementara. Mungkin dalam waktu rehat mereka semua, Kak Sal mencari ruang untuk mengorek rahsia sebenar daripada Dija.

“Kak Sal tak suka bila dengar cerita ni dari mulut orang lain. Sebab tu, Kak Sal suka nak tanyakan sendiri kepada Dija. Sebab, Kak Sal lebih percayakan Dija daripada soksek-soksek dan cakap-cakap orang lain.” Mata Kal Sal tertancap pada wajah Dija. Seakan terus mengasak Dija agar bercerita dengan cerita sebenar.

Dija cuba menjongket bahu. Tapi dengan pantas Marina menekan bahu sahabatnya itu. Marina sudah dapat menduga, Dija akan bertindak demikian bila dia tidak mahu bercerita. Menjongketkan bahu bukan bermakna Dija tidak tahu. Sebaliknya dia sekadar untuk mengelak diri daripada membuka lembaran cerita yang cuba dicungkil oleh Kak Sal.

“Dija, Kak Sal bukan nak paksa Dija ceritakan hal tu, kalau Dija rasa keberatan. Tapi, Kak Sal lebih percayakan Dija berbanding dengan mulut-mulut orang lain.” Kak Sal tetap tidak berputus asa cuba mengorek rahsia sebenar daripada Dija.

“Dija, ada apa sebenarnya?” desak Marina kurang sabar untuk mengethaui kisah sebenar yang cuba dikorek oleh Kak Sal. Hatinya tertanya-tanya sendiri. Cerita apa agaknya yang sedang dipersoalkan oleh Kak Sal. Dia memang tidak tahu menahu cerita tersebut. Namun, hatinya mulai ingin tahu.

Kelihatan Dija menarik dan melepaskan nafasnya beberapa kali.

“Apa yang Kak Sal dengar?” soal Dija.

“Apa yang dah berlaku kepada Dija dan Encik Faheem tu laa...”

“Ohhh, kalau pasal tu, memang tak boleh nak elakkan, Kak Sal. Sebab Mamat Bertaring tu, memang akan sentiasa cari pasal untuk buat pasal dengan Dija. Selagi dia tak buat pasal, hatinya takkan puas. Tu pasallah Dija malas nak cari pasal dengan dia tu. Lantak dialah Kak Sal...” Dija tersengih-sengih, sengaja mahu menggembirakan hati sendiri agar Kak Sal tidak sedar hatinya sedang terluka dan perit dengan peristiwa semalam. Antara dia dan Faheem. Juga melibatkan Rita. Minah kesayangan Faheem.

“Tapi, Kak Sal dengar, Cik Rita terlibat sama. Betul ke?”

Dija mengherotkan bibir. Hidungnya juga.

Siapalah yang banyak mulut ni? Bercerita tentang peristiwa yang memang tak ingin diingati langsung itu! Geram betullah dengan makhluk bermulut lembik ni!

Dija mengeluh beberapa kali. Geramnya!

Ah, sabarlah wahai Dija! Tolonglah bersabar...!

“Dija, Kak Sal memang sangat simpati dengan Dija. Selalu sangat terkena dengan Encik Faheem tu.” lembut suara Kak Sal membujuk hati Dija yang resah.

“Apa yang Kak Sal dengar?” Dija cuba mencungkil.

“Kak Sal tak percaya dengan apa yang Kak Sal dengar tu.”

“Eh, apa yang Kak Sal dengar ni?” Marina pula mencungkil rahsia.

“Ada ke patut ada orang yang bawa mulut, mereka kata Dija menggoda Encik Faheem. Kononnya Dija tergila-gilakan Encik Faheem.” Kendur sahaja suara Kak Sal melontarkan ucapan.

“Haaaa?” suara Dija dan Marina serentak terhambur keluar.

“Tergila-gilakan Encik Faheem? Mamat Bertaring tu?” Dija hampir menjerit. “Minta simpang malaikat 44, kak! Tak teringinpun Dija nak menggoda atau menggilai dia tu!”

Marina turut mengerutkan kening. “Gilakan musuh kau? Hisy, tak mungkin!”

“Siapa yang bawa cerita ni, kak? Daripada siapa akak dapat berita terkini ni?”

“Mesti Cik Rita tu...” celah menduga dengan geram. “Dia tu memang suka sangat sebarkan cerita buruk tentang orang lain. Ingat dia tu baik sangat ke?’

“Betul ke, kak?” soal Dija inginkan kepastian. “Betul ke semua ni cerita daripada Cik Rita?”

Kak Sal menggeleng. “Malaslah akak nak ceritakan pasal orang. Lagi baik akak dengar cerita sebenar daripada adik akak ni. Boleh Dija ceritakan perkara sebenar kepada Kak Sal?”

Mata Dija mulai melekat pada wajah Kak Sal. Sedang Marina semakin geram dengan berita yang telah tersebar di pejabat syarikat tersebut.

“Aku rasa macam nak cilikan mulut orang yang dah bawa fitnah ni, Dija!” bentak Marina dengan geram. Membulat matanya sambil mengetap bibir.

“Kita tak tahu siapa orangnya , Rina...” ujar Dija.

DIJA tidak boleh melelapkan matanya. Dipandangnya syiling berwarna putih bersih itu. Terkelip-kelip kelopak matanya. Namun, hasilnya tetap serupa. Dia tetap gagal memaksa kedua-dua matanya untuk pejam. Semakin dipejamkan kelopak mata itu, semakin banyak hatinya berbicara. Telinganya seakan terdengar pelbagai suara datang mengetuk ke dalam kamar hati.

Wajah Faheem yang begitu sinis datang menghentak dinding hati. Tergurisnya Dija dengan setiap patah perkataan anak muda itu. Amarannya sering berbaur kemarahan yang mengancam. Telinga Dija jadi pedih dan perit. Hatinya jadi carik.

Tidak lama, wajah Rita pula menjengah. Gadis cantik berkulit putih melepak itu seakan datang menghamburkan kemarahan yang amat likat terhadapnya. Menjerkah dan memaki hamun Dija. Kata-kata kesat yang tak tertelan dek Dija terus singgah di ruang dengarnya. Menjerkah dengan suara yang nyaring seakan pecah gegendang telinga Dija.

“Kalau dah gatal sangat nakkan jantan, kenapa kau tak goda aje Mamat Bangla tukang angkat barang kat setor sana tu!” jeritan Rita terus singgah di telinga dan ingatan Dija. Kemarahan gadis cantik itu memuncak. “Kulitpun sama hitam dengan kulit kau, Dija. Haa, pergi ajelah...!”

Dia menerkam Dija yang sudah melangkah untuk meninggalkan keduanya di tempat kejadian.

Panggg!

Sebuah lagi tamparan singgah di belakang Dija. Tidak sempat Dija mengelak kerana dia tidak menyedari bahawa Rita sesdang mengejarnya.

“Jangan kau harap nak dapatkan buah hati aku ni. Langkah mayat akupun kau takkan dapatkan Faheem aku, tahu?” riuhnya suara Rita menjerit. Memecahi ruang yang agak luas itu.

Dija tidak menjawab. Dia cuba mengelak daripada diterkam terus oleh Rita.

“Memang dasar perempuan buruk rupa hatinya busuk! Dah tak ada jantan lain lagi yang kau nak goda? Cermin muka dulu kalau nakkan Faheem.” Semakin nyaring suara Rita.

Dija tetap tidak membalas ucapan marah Rita itu.

“Kalau pun aku mati, kau takkan dapat buah hati aku ni. Sebab kau memang tak layak langsung untuk bersama Faheem! Faham?!” jerkah Rita lagi.

“Sayang, sudahlah tu. Nanti semua orang dengar. Malu kita.” Faheem mendekati Rita dan terus membujuknya.

“Ahhh, hati lsakit tau! Tengok gelagat gatalnya tu boleh buat darah lmenggelegak tak henti.” Rita membalasnya. Tangan Faheem ditepisnya, geram.

“Sayang, youpun tahu, kan, tak mungkin lsukakan dia. Malah, kalau boleh lnak declare dia tu musuh l.Sebab dia, papa sering marahkan l.Sebab dia jugak, papa dah tangguhkan pelantikan l sebagai CEO di syarikat ni.” ujar Faheem.

“Haa?” Rita mengerutkan dahi. Dia tidak jadi terus menyerang Dija. “Papa youdah tangguhkan pelantikan you sebagai CEO?”

“Ya sayang. Semuanya kerana Budak Hitam ni.” balas Faheem. “Sebab tu, ltak nak youbuat hal dengan dia ni. Nanti papa makin mengamuk. Dia tak nak lterlibat lagi dengan apa-apa yang boleh buat Budak Hitam ni menangis atau kecik hati. Papa dah bagi warningdekat l...”

“Sampai macam tu sekali papa youbela dia ni?” soal Rita, terkejut badak.

Faheem mengangguk.

“Eh, ilmu apa yang kau pakai hingga datuk sayangkan kau sampai begitu sekali?” Rita cuba merapati Dija sekali lagi. Wajahnya menyinga dalam kegeraman yang amat sangat. Tapi dengan pantas Faheem menarik tangan Rita. Dia tidak mahu Rita mengapa-apakan Dija lagi. Dia bimbang kemarahan Rita semakin memuncak. Kalau terjadi perbalahan yang teruk, hukuman ke atas Faheem mungkin akan dilanjutkan lagi. Dia takkan dilantik sebagai CEO dalam masa terdekat.

“Dah, dah tu sayang, jangan dilayan sangat dengan dia ni.” pantasnya Faheem menarik tangan Rita. Malah memaut tubuh buah hatinya lalu dibawa ke depan agar menjauhi Dija.

Dija melongo sendiri.

Salah sangat ke dia? Sampaikan Rita mengamuk begitu sekali?

Ritapun satu, tak boleh ke dia tu siasat dulu apa yang telah terjadi?

“Ah, susahnya!” bisik hati Dija.

Matanya terus melekat pada syiling rumahnya. Sedang mindanya pula terus terhala kepada peristiwa demi peristiwa yang telah terjadi antara dia dan Faheem. Juga antara dia dengan Rita.

“Tinggal di desa lagi baik. Tak bergolak hati dan perasaan macam tinggal kat kota ni.” omel hati Dija.

Malam terus larut bersama buaian mimpi jutaan insan di maya ini. Sedang Dija terus dengan kekalutan rasa dan lukanya.

“Jadi tukang cuci pun susah jugak rupanya. Nasib...” keluh Dija perlahan.

Saat yang sama, wajah orang-orang kesayangan hadir di ruang mata. Wajah ibu tersayang. Wajah bapa tercinta seakan melekat di ruang mata. Hadir dan bersamanya di saat hiba dan kelat begitu.

“Kenapalah abah suruh sangat aku ke kota dan kerja kat sini?” soal hati Dija. “lngat seronok sangat ke kerja sebagai tukang cuci di syarikat ni?”

Wajah Dija semakin keruh. Sepekat malam yang hitam gelap.

“Jadi tukang buat keropok kering lagi baik. Senang kerja. Tak payah nak gaduh dengan Mamat Bertaring tu.” Sungut Dija, kesal.

Akhirnya, minda Dija keletihan. Terlelap jua akhirnya dalam desah nafas kesal. Namun, dia sendiri tidak sedar, jam berapa dia hilang dari paras sedarnya. Sudah menjengah ke alam mimpi. Tidur dengan perasaan yang perit. Hati yang kelat. Jiwa yang rencam.

Sabarlah wahai Dija...!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh