Miss Marshmallow VSMr. Ego
DYZA AINUN
Bab Satu
PROLOG
Hidup
ini memang tidak
panjang. Sedetik waktu sahaja ia menjadi milik kita. Selebihnya adalah aturan
Takdir yang sukar dijangkakan. Namun, kenangan semalam tidak mudah pergi. Meski
bertahun peristiwa berlalu, ia tetap wujud menjadi kilau cahaya yang sering
tersimbah ke wajah. Kolam mata tetap menyimpan kenangan yang tidak mudah hilang
dari kelopak ingatan. Kenangan yang indah. Kenangan yang manis. Hanya itulah
yang bakal menjadi milik kita untuk berkurun lamanya. Walau ke mana kita
melangkah. Walau ke mana kita menghala arah
Dia termenung dalam kenangan yang entah bila bakal berlalu dari ingatan.
Kenangan yang tidak pernah lari dari lautan mindanya. Meski masa sudah begitu
lama pergi meninggalkan detik itu, namun, kenangan itulah yang sering meribut
ke dalam ruang kehidupannya dari dulu hingga kini.
Dia membelek cincin emas sepuluh yang tersepuh cantik bertatahkan permata
sapphire berwarna merah darah merpati. Cantik! Bisiknya dalam sekuntum senyum.
Matanya terus tertala pada cincin itu. Namun, kenangan yang menjadi miliknya
suatu detik dahulu lebih cantik dari itu. Sangat indah. Kenangan yang tetap
berlegar di ruang hati. Tidak mudah untuk dia membunuh segala kenangan yang pernah
dia harungi bersama orang yang dia sayangi suatu detik silam. Kenangan yang
pernah diukirkan itu akan tetap dipahat sekemas mungkin di kamar hatinya.
Barangkali seteguh Kinabalu yang meninggi hingga ke awan biru.
Dia terus merenung cincin yang cantik itu. Selagi renungannya menelus kea
rah cincin itu selagi itulah kenangan itu menghidupi hatinya. Namun, dia tetap
senang begitu. Merenung cincin permata sapphire berwarna merah darah merpati
itu.
Cincin itu akan terus dipakainya tanpa mengira waktu. Dia tidak akan
menanggalkan cincin itu selagi nyawa masih di badan. Dia sayangkan cincin
permata sapphire berwarna darah merpati itu sepenuh jiwanya. Bagaimana dia
sayangkan cincin itu begitulah dia sayangkan kenangan yang menjadi miliknya
hingga kini.
Anehnya, hati orang tidak sama. Janji terukir hanyalah ketika saling
bertamu di sisi. Barangkali, jauh di mata, di hati pun boleh terlupa. Begitulah
gamaknya. Patutlah hingga kini, dia masih belum menerima berita dari orang yang
dikenanginya. Saban waktu, dia mengharapkan kehadiran insan itu. Sayangnya,
semua itu hanya kenangan.
Namun apa pun keadaan dan di mana sekali pun dia bertapak, ingatannya
cuma satu, janji pada hati tetap akan ditunaikan. Mesti bersatu dalam keluhuran
dan keikhlasan yang sejati.
* * * * * * * * * * * * * * * * *
Mencari kerja di Kuala Lumpur sebenarnya bukan jalan terbaik buat Dija
sebagai anak pulau. Gadis kampung yang kurang arif tentang cerita kota
Metropolitan itu akhirnya mengalah
dengan perjalanan hidup di rantau begitu. Dia mesti sedar siapa dirinya. Bukan
mudah untuk menjadi warga kota yang penuh pancaroba. Bukan juga mudah untuk
menerajui hati-hati angkuh di kota batu itu.
“Aku sayang kau, Dija.” Kata-kata Marina memang sangat tulus hingga
menyentuh tangkai jantungnya. Namun, kasih sayang Marina sahaja tidak cukup
untuk dia meneroka kota batu yang turut dihiasi hati-hati batu itu.
“Aku tahu,” ujar Dija.
“Kalau kau tahu, kenapa kau buat-buat tak tahu.” Wajah Marina tercebik.
“Bukan buat-buat tak tahu. Tapi, sengaja tak nak buat tahu…” Dija
mempamerkan giginya yang berbaris cantik dan putih melepak itu.
“Ha, pandailah kau bermadah!” cebik Marina, geram.
“Aku memang tak akan bekerja kat situ lagi.” Kata-kata Dija itulah yang
seakan membuat telinga Marina hampir pecah. Geramnya dia! Sudah puas dia
membujuk Dija agar tidak berhenti kerja di syarikat tempat mereka bekerja,
namun gadis itu tetap dengan keputusannya. Dija sudah nekad. Marina mengurut
dada. Geram dan tidak puas hati dengan ketegasan Dija membuat keputusan.
“Tapi, takkan kau nak tinggalkan aku kat sini?” soal Marina agak
tersinggung.
“Kak Sal kan nada?” balas Dija.
“Kak Sal lain. Dia bagai kakak. Kau lain. Kau bagaikan adik…” tingkah
Marina.
Dija tersengih. Kembang hatinya berbunga ria. Dia memang sayangkan Marina
dan Kak Sal. Namun, dia sudah tidak mampu untuk terus bekerja di syarikat
tempat mereka bekerja sekarang. Dia sudah rimas. Dia sudah bosan!
“Kalau aku terus berada di situ, bukan sahaja hati aku luruh, malahan
semua 360 ruas sendi dalam badan aku ini akan jatuh dan putus. Hancur lebur
nanti.” Balas Dija seakan meluahkan seluruh rasa yang ada di dalam dirinya.
“Kau nak aku terus menjadi debu di sini ke
Rina?”
“Kau jangan pedulikan Mamat Bertaring tu…”pujuk Marina lagi.
Nama Mamat Bertaring, kalau singgah pada kuping telinganya, membuatkan
dada Dija jadi sebu. Malah telinganya pula jadi panas. Entah kenapalah Mamat
Bertaring itu begitu tingkahnya? Sekeras hutan batu di kotaraya Kuala Lumpur.
Itulah membuatkan hati Dija melecur. Seakan hatinya juga jadi rabak dan rebih.
Lelaki garang itu benar-benar menghancur leburkan jiwa raganya.
“Kalau dah bodoh tu, buatlah macam orang bodoh. Jangan nak
memandai-mandai.” Suara Mamat Bertaring tetap singgah meracau di hatinya.
Dija meraba dada. “Bodoh ke aku ni?”
“Orang lain, buruk rupa taklah buruk perangai…!” pedasnya kata-kata Mamat
Bertaring. Seakan mahu rebah Dija di kala itu.
Benci benar lelaki itu terhadapnya. Salahnya bukanlah banyak. Sekadar
sekecil sayap nyamuk sahaja kesilapannya terhadap lelaki itu namun tidak ada
kemaafan daripada Mamat Bertaring itu.
“Hey Manggis!” jerit Mamat Bertaring.
Amboi, indahnya bahasa? Dija terkedu sendiri saat digelarkan panggilan
yang begitu meranap hatinya. Dia meraba wajahnya.
Memanglah kulitnya sewarna dengan kulit buah manggis. Tapi, Mamat
Bertaring tidak patut memanggilnya sebegitu. Menghina namanya. Dia bukannya
pandai mencipta, sebaliknya setiap kejadian yang terukir oleh Allah itu
ada hikmahnya.
Tahulah kulit aku hitam!
Tapi, memang tak patut! Sungguh tak patut dia menggelarkan aku Buah
Manggis. Kalau panggilPocahontas
kan, enak sikit
didengar? Dija tersengih nakal setiap kali terkenangkan Mamat Bertaring
memanggilnya demikian. Pandai pula Mamat Bertaring menamakan dirinya begitu.
Apa hal dengan namanya yang dihadiahkan oleh kedua orang tuanya selama ini?
Isyh, memang tak patut betullah Mamat Bertaring ni!
Eh, aku pun sama! Tak pasal-pasal aku panggil dia Mamat Bertaring tu,
kenapa? Bisik hati Dija. Bukankah dia juga ada nama yang sesuai dan padan
dengan kekacakannya. Dia terus tersenyum
nakal.
Dua kali lima aje aku dan dia.
Tapi, dia tu garang sangat. Tak
padan dengan handsome. Patutnya kalau dah handsome begitu, cakaplah baik-baik
dengan pekerja bawahan. Kan berbudi bahasa itu amalan kita? Dia tak tahu
berbudi bahasa agaknya. Maklum, belajar hingga jauh ke rantau orang, nun di
luar negara sana, tentu lain bahasa dan budinya. Iyalah kut!
Nak aku ajarkan kau cara berbudi bahasa, tak wahai Mamat Bertaring? Dija
tersengih lagi. Meski hatinya tercalar balar, namun, dia tetap mampu tersenyum
demi mengubat jiwa sendiri. Kalau menangis dan meraung pun bukannya Mamat
Bertaring tahu membujuk atau memohon maaf.
Lantak dia…
Aku apa peduli.
Alangkah indahnya kalau hidup ini setenang air di kali!
Dija sering termenung memikirkan nasib diri. Dari jauh dia datang
bertapak di Kuala Lumpur demi
melangsaikan hutang diri. Hutang Gadis Pulau! Kiranya dia seumpama kain
buruk yang tidak diperlukan oleh sesiapa. Kota itu telah menyambutnya dengan
debu kehancuran bukannya kebahagiaan. Dia semakin mengalah dengan kepayahan
rasa yang merengkungi dirinya.
“Aku rasa, kerja di pulau kelahiran aku lagi baik, Rina. Tak payah nak
telan kata-kata kesat. Tak payah nak hirup air mata sendiri di Kuala Lumpur
yang semakin menggelupur ini.” Ujar Dija seakan mengeluh nasib diri kerana
sering dihina keji oleh bos mudanya, Nik Faheem a.k.a Mamat Bertaring itu.
“Aku ingatkan, kalau kerja kat Kuala Lumpur ni, bolehlah glamour sikit.
Tapi rupanya penuh dengan hama! Isyhhh, aku dah tak larat laa, Rina nak
teruskan kehidupan yang pahit macam ni.” Tambah Dija.
“Dija, di mana-mana saja, hidup tidak pernah lekang dari masalah. Jadi,
Kak Sal harap, Dija banyak-banyaklah bersabar.” Suara tenang Kak Sal membujuk
Dija. Seakan wanita itu mengerti rencam yang ada di hati Dija.
“Itu Dija tahu, Kak Sal. Tapi kalau datang ke Kuala Lumpur kena telan
segala maki seranah, Dija rasa lagi baik Dija jadi pembuat keropok keping di
pulau sana.”
“Alaah, sudahlah Dija. Janganlah kau nak bermadah-madah pula. Aku
tak nak dengar apa saja alasan kau. Yang
penting, kau tak boleh tinggalkan aku dan Kak Sal di sini. Kau mesti juga terus
bekerja bersama kami.” Tingkah Marina, tidak puas hati.
“Helloo…” Dija tersengih lebar. Sambil jari jemarinya menghala ke arah Marina.
Marina sekadar berwajah
selamba.
“Kau siapa nak halang aku?”
Dija menjuihkan bibirnya.
“Ohhh, senangnya cakap!
Bukankah kau cakap aku dan Kak Sal ni adalah kawan yang paling kau sayangi
dalam dunia ni. Malahan, dah macam adik beradik kau sendiri. Mana perginya
kata-kata manis kau tu?” soal Marina.
Kata-kata manis?
“Amboi-amboi....!” Dija terus
tersengih lebar.
* * * * * * * * * * * * * * *
Kekecohan meribut di banglo Datuk Nik Rasyid.
“Abang mesti report polis!”
suara Datin Wan Fuzia seakan mencengkam dada Datuk Nik Rasyid.
“Awak sabar dulu, Zia. Jangan
bawa berfikir sangat.”
“Saya dah boleh nak bersabar,
bang. Hati saya sentiasa berdebar-debar. Ke mana dia menghilang? Kenapa dia
menghilang?” isterinya hampir menangis.
“Kalau awak asyik fikirkan
tentang masalah tu, tentulah jiwa awak tidak boleh tenang. Sebaliknya,
banyakkan berdoa dan bersolat hajat kepada Allah. Minta Dia bantu kita.
Mudah-mudahan, apa yang rumit menjadi mudah nanti.” Walaupun sukar untuk
melentur hati isterinya, namun Datuk Nik Rasyid tetap juga membujuk.
Wajah isterinya keruh lagi.
Kehilangan itu benar-benar seakan meranapkan seluruh ruang diri. Dia
kegelisahan selagi tidak ada jalan penemuan. Datuk Nik Rasyid sendiri pun bukan
tidak risau. Malahan, hatinya meruntum dalam keluh kesah yang tidak menentu.
Dia juga hairan. Bagaimana perkara itu boleh terjadi? Sedangkan, segalanya
berjalan dengan lancar sebelum ini. Malahan, kehilangan itu seakan menjadi
misteri yang sukar untuk dikorek puncanya.
Pihak polis dihubungi agar
kehilangan itu segera disusuli dan disiasat.. Namun, segala bukti kehilangan
itu sukar untuk dikesan. Barangkali, kerana kesukaran mendapatkan bukti itulah
yang membuatkan pihak polis tidak segera menemukan hasil dalam pencarian itu.
Bukan mudah untuk mencari sesuatu yang hilang tanpa petunjuk yang jelas.
“Saya nak dia ditemui semula,
bang. Carilah sampai dapat!” rayu Datin Wan Fuzia. Keruh di wajah itu semakin
merisaukan hati datuk.
“Saya tahu. Tapi, kerja-kerja
mencari tu, bukan mudah. Tak ada bukti. Tak ada kesan pergelutan. Tahu-tahu
sahaja dah lesap. Jadi, kita kena serahkan kepada pihak berwajib untuk selesai
atau menyiasat tentang kehilangan ini.” Pujuk Datuk Nik Rasyid lagi.
Wajah Datin Wan Fuzia bertambah
sedih. Kegelisahannya semakin nyata. Risaunya memanjang sejak kehilangan itu.
Tidur makannya jadi tidak teratur. Malah tidak menentu lagi. Hanya memikirkan
tentang misteri kehilangan yang secara tiba-tiba itu.
“Bagaimana dia boleh hilang, bang?”
“Saya pun tak boleh nak jawab
soalan ni, Zia. Memang aneh sangat!”
“Habis?”
“Awak kena banyak-banyak
bersabar, Zia. Jangan fikirkan tentang hal itu lagi. Apa yang penting, saya tak
mahu awak jatuh sakit lagi...”
1
Terkocoh-kocoh langkahnya. Nampak laju semacam. Ke mana langkahnya, hanya
dia yang tahu. Mulutnya pula terkumat kumit. Entah apa yang diucapkan, hanya dia
juga yang tahu. Langkah itu terus diatur satu demi satu. Mengalahkan acara
jalan laju dalam sukan masa di sekolah dulu.
Praaaanngggg...!
Opsss...!?
Langkahnya mati tiba-tiba. Matanya membulat. Mulutnya pula melopong. Dengan
kening yang masih terangkat itu, pandangan matanya terhala ke arah sesusuk
tubuh. Seorang anak muda sedang terdiri di depannya dengan wajah sejuta kerut.
Kedua tangannya kelihatan terangkat separuh. Dia terkejut bukan kepalang. Anak
muda itu juga terkejut. Wajahnya berubah dengan tiba-tiba.
Dia geramkah?
Dia marahkah?
“Nonsense!”
Cuping telinganya terdengar satu suara. Menusuk mendalam. Bukan setakat
menyambar gegendang telinga. Malah, hampir meluruhkan tangkai jantung. Bergegar
seluruh ruang dada. Memang sah anak muda itu sedang marah. Wajahnya nampak
kelat dan geram. Merenung tajam. Menyinga!
“Err...!” kata-katanya terhenti di
situ.
Dia tergamam. Matanya terlempar ke wajah orang yang berada betul-betul di
depannya. Tercegat merenung ke arahnya tanpa sepatah kata. Ekspresi wajah anak
muda itu seperti mahu menelannya di saat itu juga. Bergegar hatinya ketika itu.
Seriau pun ada. Takut pun ada.
“Apa ke bendanya tu, encik? Tak faham saya...” wajah terpinganya memandang
aneh ke arah anak muda berwajah merah udang bakar.
Anak muda itu mencerlang.
Dia cepat-cepat melutut. Mengutip serpihan kaca yang sudah berterabur di
sekitar. Sedang matanya mengerling dengan iringan debar yang bergelora dalam
dada. Mulutnya membebel pada diri sendiri.
“Kopi?” terdengar lagi suara pemuda di depannya menjerit lantang. Terkejut
berbaur marah. Geram dan sakit hati.
“Hey!” sepatah lagi suara jerkahan ‘tambahan’ menyambar telinganya. Suara
halilintar ke? Suara gergasi ke? Atau suara Sang Kelembai? Eiii...menggelegak
juga tahi telinga bila terdengarkan jerkahan itu. Kuatnya suara. Berdebar lagi
dadanya....
“Hey, kau ni siapa?” soalan yang singgah di telinganya bagaikan suara
anggota polis menyoal. Garang benar b.unyi suara itu.
Marah ke dia?
Dia nak lempang aku ke?
Dia, si gadis itu, terus mengutip sisa-sisa kaca yang berselerak di lantai.
Dadanya berdegup. Kencangnya menggetarkan. Gigilnya datang lagi.
“Err, mintak maaf encik, tuan...?” dia bangkit lalu menundukkan sedikit
wajah di depan anak muda berwajah merah saga itu. Mengalahkan sirap ros merah
yang dibancuh masa hari kenduri kat kampungnya.
“Saya...saya pekerja baru kat sini, encik, tuan...” gagap lagi gugup dia
apabila berhadapan dengan pemuda yang sedang
menyinga itu.
“Pekerja baru?” anak muda itu merenung wajah pekerja baru di depannya.
Gadis pekerja baru itu mengangguk.
“Angguk-angguk. Geleng-geleng. Tak ada mulut ke?” soal anak muda itu. Wajahnya
semakin geram. Nampak seperti singa yang mahu menerkam mangsa.
“lya, tuan...encik...” jawab si gadis. “Ada ni , tuan...encik...”
“Apa yang ada?”
“Mulut tuan!”
“Ohhh, ada mulut ya?” sinis suara anak muda itu. Matanya menjeling tajam.
Marahlah tu!
“Ada tuan...”
“Mata?”
“Err, matapun ada tuan...” dia menjamah matanya.
“Loyar buruk!” jerkahan terpancul lagi daripada bibir anak muda berpakaian
kemas itu. Tapi sudah dikotori dengan warna hitam air kopi panas.
“Bila awak mula kerja kat sini? Siapa yang ambik awak kerja kat sini?”
suara anak muda itu terus meninggi. Matanya merenung dari atas hingga ke bawah
fizikal gadis pekerja barunya itu.
“Minggu lepas, encik...err...tuan...”
Eh, nak panggil apa ni? Siapa orang ni? Bos ke? Pegawai ke? Taukeh ke? Atau
siapa? Mamat ke? Alamak, kenapalah dia tak pernah tengok wajah orang muda itu
sebelum ni? Dari mana dia ni? Tiba-tiba aje muncul. Dahlah garang, banyak soal
pula.
“Minggu lepas?” soalan itu ditekankan nadanya. Mungkin menggertak lagi.
Dia mengangguk. Sudah semakin takut wajahnya.
Ah, angguk aje laa..tak tau nak panggil apa dengan orang ni.
Tuan ke? Encik ke? Rungut hatinya. Dia berbicara sendiri dengan degup dada
yang menggegarkan. Memang benar-benar
kecut hatinya.
Takut ke? Hisyh, apa tak takut? Soal hatinya lagi.
Tapi kalau dah buat salah dengan pegawai macam tu? Memanglah berdebar.
“Kau ni kerja apa kat sini?” soal anak muda itu lagi.
Alamak, banyak soal betullah mamat ni.
Siapa dia ni? Lawyer ke? Hakim ke?
“Saya tanya ni!” menjerkah lagi. Kuat suara anak muda itu hampir menembusi
telinganya. Kalau macam tu punya soalan, boleh cair tahi telinga. Dia ingin
tersengih. Tapi getar dadanya membuatkan dia takut untuk berbuat begitu.
Takut ada tapi lucu pun ada juga. Dia menahan rasa.
“Uiii...garangnya!” bisik hati gadis pekerja baru itu.
“Errr, tuan..encik...” tergagap-gagap suaranya. “Tuan nak tanya apa?”
“Kerja apa kat sini?”
“Err, tukang sapu...” takut-takut tapi lembut nada suaranya, menjawab.
Eh, eh, takkanlah dia ni tak tahu, aku ni tukang sapu kat syarikat ni?
Bukankah aku pakai uniform percuma yang diberi oleh syarikat? Takkan tak kenal
kut? Siapa dia ni , tak kenal uniform syarikat? Orang baru juga kut?
“Ohhh...tukang sapu. Patutlah...” sangat sinis suara itu kedengarannya.
“Ya encik tuan! Saya, saya tukang sapu kat sini.” gadis itu takut-takut.
“Careless!” suara sinis itu
semakin meninggi. Mata anak muda itu tertala ke arah dirinya. Seakan mahu
menelannya sekali lagi.
Seriau terasa. Hatinya terguris bila suara dan ucapan sinis itu terhala
kepadanya. Peritnya bila kena marah dan kena jerkah begitu.
“Maafkan saya...” dia cuba melembutkan suara. “Apa yang patut saya buat,
encik, tuan?”
Pura-pura sahaja dia berlembut. Kalau ikutkan hati, mahu juga dia menjawab
lantang. Biar padan dengan muka mamat tu. Eh, tak boleh ke ! mana boleh dia
menjawab lantang? Dia kan anak dara kampung? Mesti dia kena kontrol marahnya. Biar nampak ayu walau pun dia memangnya tidak ayu.
Gadis itu tersenyum dalam tunduknya.
Ingat pesan ibu kat kampung. Mesti sentiasa sopan. Mesti sentiasa lembut
bila bertutur. Jagalah tatasusila anak dara. Jangan sampai disebut orang, anak
dara tidak sopan bila bercakap. Tidak tahu jaga kelembutan diri seorang gadis.
Ok, mak, aku tetap ingat pesananmu itu. Insya Allah, aku akan tetap
bersabar dengan jerkahan mamat ni. Terima kasih, mak sebab telah bekalkan aku
dengan pesanan berharga itu.
“Patutlah bodoh! Tukang sapu rupanya!” ucapan yang kasar lagi. “Kalau awak
tu tukang sapu, kenapa kena bawa kopi panas ni? Ini bukan tugas awak. Siapa
yang suruh awak bawa benda Allah ni?”soal anak muda itu lagi. Sekali dia
panggil ‘kau’ sekali pula dia panggil ‘awak’. Yang mana sat dia suka panggil,
entahlah.
“Err... Cik Rita minta saya hantarkan kopi ni ke bilik dia.” Gadis pekerja baru it tetap berlembut.
Aku ni pura-pura aje wahai encik tuan yang garang! Bisik gadis itu.
“Rita?” soal anak muda itu. Eh, eh, banyaklah pula mamat ni menyoal.
Bajunya yang kotor tu dah meleleh dengan air kopi hitam pekat.
Dia mengangguk lagi. Berkali-kali. Mengalahkan askar Jepun yang hormatkan
ketua. “Iya, encik...”
Encik? Betul ke aku panggil ni? Nanti dia marah lagi. Melenting karang, aku
juga yang kena. Alahai, susahnya kerja di syarikat ni!
Menyesal rasanya aku kerja kat sini! Memang menyesal! Hatinya membentak.
Berkali-kali dia berbahas dalam hatinya.
“Kenapa
Rita suruh awak hantar kopi ni? Kalau kerja awak tu tukang sapu, sapu ajelah, bukannya
bawa kopi macam ni.” ejek anak muda itu lagi. “Kalau layak tukang sapu, mana
layak jadi penghantar kopi. Buat penyemak mata!”
Marah lagi? Eh, eh, banyaknya marah orang pangkat besar ni, ya?
Tak kena penyakit darah tinggi ke?
Dia tersenyum sendiri. Tapi disembunyikan di sebalik anggukkannya itu.
Wajahnya terus ditunduk memandang lantai. Membilang jerkahan yang sudah
berlambak singgah di telinganya. Mungkin dah berbakul kut jerkahan demi
jerkahan yang terkumpul. Sudah mendidih tahi telinganya.
“Kenapa awak buat kopi untuk Cik Rita?”
“Entah...” dia menjawab tenang. Selamba wajahnya diangkat merenung wajah
anak muda di depannya. Wajah itu masih terlekat tanda-tanda marah yang masih
belum reda. Lamanya dia marah! Tapi si gadis itu terus tersenyum. Ingin jadi gadis
yang sopan dan santun, seperti pesan ibu di desa.
“Kau jawab ‘entah’ je? Habis, yang kau pergi ikut perintah dia tu, kenapa?”
Gadis pekerja baru itu kebingungan. Eh, kenapa aku jawab ‘entah’ aje? Dah
bingung ke aku ni sebab kena jerkah oleh mamat ni?
“Bodoh!” marah anak muda itu. “Tengok, habis kemeja saya kotor dan basah
kerana kopi panas yang kau bawa tu! Macam tak pernah bawa kopi. Hey, kau ni tak
pernah buat ke kerja ni kat rumah?”
Tersentak saat telinganya.
Hampir menitis air matanya!
Bodoh?
Masya Allah...!
Wahai orang kaya dan terpelajar, tak boleh ke gunakan kata-kata yang indah
di dengar untuk halwa telinga? Bukankah budi bahasa itu budaya kita?
Mak, inikah tutur bicara orang-orang kota? Ohhh, menyakitkan telinga betul.
Masihkah aku kena senyum dengan sumpahan kata yang menyakitkan ini?
“Saya tak nampak encik tadi. Maafkan saya kerana terlanggar encik.” gugup
suaranya. Berdebar hatinya. Luka jiwanya. Dihadiahkan dengan ucapan ‘bodoh’!
“Kau ni buta ke?” soal anak muda itu lagi.
Hah, buta? Si gadis tersentak lagi. Melopong mulut, membulat mata.
Eh, dia tak tengok ke mata aku yang terbuntang celik luas ni? Senang-senang
dia tanya aku ni buta? Masya Allah...buruknya ucapan! Makin kasar nampaknya.
Aikk, ada juga orang tertelan penumbuk aku hari ni...!
“Eh, tak, tak. Saya tak buta , encik, tuan...!” dia menjawab
tergagap-gagap.
“Habis, kau boleh langgar orang tu, kenapa?”
“Mungkin masa tu saya buta encik...” jawabnya bermakna. “Mungkin juga saya
ni orang bodoh yang tak dapat nak agak ada langkah orang pangkat besar kat
depan saya. Minta maaf, encik...”
Air mata, tolonglah jangan luruh. Tolonglah kau bersabar dulu. Jangan
menangis di depan mamat ni. Ya Allah, kuatkanlah aku. Jangan bagi dia ni nampak
aku seorang gadis yang lemah. Jangan...
Biarlah apa ucapan dia ni, minta bersabarlah wahai diri sendiri.
“Aku kena kuat!” pujuk hatinya.
“Mak...!”
“Siapalah ambil awak bekerja kat sini?” soal anak muda itu lagi.
Dia diam. Sudah hilang suara agaknya untuk menjawab.
Eh, nanti, dia akan kata aku bisu pulak!
“Siapa ambik awak bekerja kat sini?!” memang benar, suara anak muda itu
semakin meninggi bila dia tidak menyuarakan sebarang kata.
“Dah bisu?”
Ha, kan betul? Ungkapan yang bakal diluahkan sudahpun terpancul dari bibir
seorang anak muda yang dilihatnya sangat hebat, terpelajar dan berjawatan
tinggi.
Wah, inilah kehidupan di syarikat tempat dia baru bekerja .
“Saya mohon kerja ni dengan Datuk Nik Rasyid, encik...”
“Hiss, apalah papa ni! Orang bodoh macam ni pun boleh dia ambil bekerja kat
syarikat ni?” gerutu anak muda itu.
“Papa?” soalnya spontan.
“Yalah, bos awak tu papa saya!” megah jawapan anak muda itu.
“Eh, anak bos?” dia terkedu. Matanya membulat.
“Maknanya encik ni anak Datuk Nik Rasyid?” dia cuba bersuara. Bertanyakan
soalan yang bukan ada sebarang kaitan dengan dirinya.
“Ya!” angkuhnya jawapan. “Takkan kau pulak anak dia?”
Wajah gadis itu keruh dengan tiba-tiba. Dia buat muka.
“Eh, kalau saya anak dia, takkan saya jadi tukang sapu kat sini, encik,
tuan!”
“Amboi, menjawabnya, kau!” marah mamat itu lagi.
Aku pun tak ingin nak jadi anak dia! Hatinya bersuara. Tapi tersekat di
kerongkong. Mana boleh dia ucapkan kata-kata sekasar itu. Dia kan gadis desa
yang terjaga sopan santunnya. Akan kuingat segala pesanan mak.
Dia menggeleng.
“Kenapa kau menggeleng ni?” soal anak muda itu lagi.
“Errr...tak...tak...” dia cuba tersengih.
“Saya yang patut mengadu dengan papa, kenapa dia sanggup ambil pekerja yang
macam ni. Tak ada kualiti langsung!” sungut anak muda itu.
Gadis pekerja baru itu, hanya terdiam. Apa yang harus dia jawab kalau anak
bos yang menyoal dan membuat kenyataan begitu? Terasa hilang sudah suara dan
harga dirinya. Dia benar-benar rasa terpukul. Juga rasa terhina.
Itukah sikap seorang anak bos?
Anak seorang Datuk Nik Rasyid yang selama ini selalu dia dengari daripada
ibubapanya adalah seorang yang baik? Begitukah sikapnya?
Masya Allah. Dia mengeluh berat. Macam tak percaya!
“Encik...saya nak mintak maaf sekali
lagi. Kalau boleh, biarlah saya yang cuci kemeja encik tu.” lembut suaranya.
Cuba menenangkan hati dan perasaan sendiri.
“Hah?” suara anak muda itu semakin melenting. “Kau nak cuci kemeja ni?”
Dia mengangguk lagi. Entah kali keberapa, dia sudah mengangguk di depan
anak bosnya itu, dia sendiri tidak pasti. Tapi, apa yang pasti, dia sudah
jadi seperti askar Jepun yang tak
habis-habis tunduk hormat dengan anggukannya.
“Hisyyh...!” wajah anak muda itu semakin kelat.
“Habis...?”
“Tak usah nak berbudi...!”
Berbudi? Berbudi apa pula? Bukankah dia juga yang berleter tentang
kemejanya yang dah kotor akibat terpercik kopi panas seketika tadi? Apa pula
budi-budi? Eiii, memang tak faham dengan mamat ni. Anak bos...
Dia mengangguk. “Baiklah encik!”
Betul ke apa yang dia ucapkan itu? Sudahlah terangguk-angguk macam si burung
pungguk. Eh, macam burung belatuk. Dah jadi macam askar Jepun pula.
Mahu je aku berhenti kerja dengan cepat kalau perangai mamat ni teruk macam ni. Memang tak
dapat nak tahan kalau kena berhadapan dengan dia. Gerutu hatinya sendirian. Tak
siapapun yang mendengar. Hanya hatinya yang sibuk berbicara.
“Hah, tercegat kat situ tu kenapa? Nak tunggu apa lagi?” sekali lagi
jerkahan menusuk lubang telinganya yang tidak tertutup itu.
Eh, ya tak ya jugak! Buat apalah aku tunggu kat sini? Depan mamat garang
ni?
“Maaf encik, tuan. Saya pergi dulu...” dia cepat-cepat melangkah.
“Eh, nak pergi?” anak muda itu memanggil.
Dia sudah melangkah beberapa langkah. Tapi berhenti dan berpaling semula ke
arah anak muda itu.
“Ya encik, tuan. Nak pergi laa ni...”
“Habis, benda Allah ni?” anak muda itu menunjukkan serpihan kaca yang
terkumpul di tepi kaki. “Nak tinggalkan untuk siapa?”
“Untuk encik tuan laaa...!” opsss, dia dengan pantas menutup mulut.
Tersalah cakap. Kenapalah dia ni boleh tersasul cakap macam tu? Mungkin kerana
terlalu gugup barangkali.
“Apa kau cakap?” berkerut wajah anak muda itu. Tapi, dia yakin anak muda
itu tidak sempat memahami apa yang diucapkan tadi. Suaranya diperlahankan.
Dia menjelirkan lidah. Matanya disepetkan. Dia mula buat muka.
“Ya tak ya jugak. Nak tinggalkan untuk siapa ya?” dia tersenyum sambil melangkah
dan mendekati serpihan kaca yang terkumpul itu. Lalu dikutip semula.
“Sudahlah cuai, pelupa pulak!” cuping telinganya terdengarkan omelan geram
daripada lelaki muda itu. “Kau ni dah nyanyuk ke?”
Nyanyuk? Aku ni nyanyuk ke? Nauzubillah, tak nak penyakit nyanyuk!
“Lebih nyanyuk daripada nenek saya!” omel anak muda itu lagi.
“Saya belum nyanyuk, encik, tuan! Mak saya cakap, kalau amalkan makan
kunyit muda sebagai ulam, kita tak mudah nyanyuk, encik, tuan!” tak semena-mena
dia bersuara memberikan petua.
Melopong anak muda itu! Membulat matanya memandang gadis pekerja baru itu.
“Oii, kau ingat aku suka nak tahu petua-petua orang tua macam tu?”
Dia terpempan!
Eh, eh, ya tak ya juga. Apa pasal dengan aku ni? Kononnya nak bagi petua?!
Hisyh...macamlah mamat tu suka nak tahu?!
Dia, gadis tukang sapu itu tersenyum sendiri.