ESOK, 12hb November, majlis akad nikah akan berlangsung
pada jam 11.00 pagi. Sesungguhnya Rus tidak sanggup memalukan ahli keluarga dan
pentingkan diri sendiri. Dia tidak sampai hati melihat emak dan abahnya
bersedih hanya kerana dia mengecewakan harapan mereka.
Dalam keterpaksaan, Rus perlu menerima perkahwinannya
dengan seseorang yang tidak pernah dia kenali. Saat ini dia bersedih bukan
sebab tidak jadi berkahwin, tetapi terpaksa kahwin! Padahal, setiap bakal
pengantin pasti sahaja sedang bergembira menyambut hari berbahagia mereka.
Istimewa sangatkah lelaki yang bernama Shah itu? Rus
sendiri tertanya-tanya dan berasa pelik dengan penerimaan keluarganya terhadap
lelaki itu. Emak dan abahnya menerimanya sebagai bakal menantu dengan mudah
sekali. Entah ilmu apa yang lelaki itu pakai sampai keluarganya masih rasional
dan tidak marah dengan apa yang terjadi.
Penat termenung,
akhirnya Rus terpaksa menghubungi seseorang. Selagi dia pendam sendiri, semakin
sakit kepalanya. Seseorang perlu mendengar rintihan hatinya agar dia tidak
terus bersedih. Ketika ini, hanya Nurul yang boleh dia harapkan.
“Aku harap kau akan fikir
masak-masak sebelum buat keputusan. Ini tentang masa depan kau.” Nurul
memberikan kata nasihatnya.
“Sekarang ni aku
memang buntu. Otak aku macam tak boleh nak berfikir,” adu Rus.
“Kalau perkahwinan belum terjadi, kau masih boleh buat
pilihan Rus,” tutur Nurul.
Apabila sahabatnya mengadu dan minta pendapatnya, dia
memberikan pandangan yang jujur dari hatinya. Kebahagiaan Rus, kegembiraan
dirinya juga. Andai sahabatnya itu berduka, dia juga akan turut bersedih.
“Esok aku akan jadi isteri Shah. Pilihan tetap bukan di
tangan aku,” luah Rus dengan sedih.
“Dari dulu sampai sekarang, itu jugak masalah kau. Kau terlalu
lemah dan tak tegas!” tempelak Nurul walau berasa kasihan dengan sahabatnya
itu. Rus terlalu menjaga hati dan perasaan orang lain.
“Aku dah tak boleh buat apa-apa,” balas Rus dengan sedih.
Semalam dia menangis sampai kering air mata. Sebolehnya hari ini dia tidak mahu
mengulangnya lagi.
“Memang susahlah kalau kau terlalu menjaga perasaan orang
lain,” tegur Nurul.
Sepi seketika.
“Habis tu, sekarang ni kau buat apa?” tanya Nurul.
“Menangis ajelah!” Dalam bersedih, Rus berlawak pula.
“Aduhai… menangislah Rus selagi ada air mata. Aku hanya boleh
beri simpati aje kat kau,” pujuk Nurul.
“Nurul, esok kau
datang awal temankan aku, ya? Aku perlukan kau,” pinta Rus dengan sayu.
“Amy tak datang ke?” Nurul bertambah kasihan mendengar
permintaan Rus.
“Dia awal-awal lagi memang tak dapat datang. Kalau tak, aku
pun nak dia ada kat majlis aku.”
“Maknanya kau akan kahwin jugaklah dengan Shah tu?” tanya
Nurul.
“Terpaksalah aku akur dengan permintaan mak dan abah aku. Aku
pun tak sampai hati nak tengok wajah sedih abah aku,” beritahu Rus.
“Aduhai… bagaimana pulak dengan hati dan perasaan kau?
Berkahwin ni bukan untuk sebulan dua, Rus,” tutur Nurul.
Sekali lagi Nurul mengingatkan sahabatnya itu. Dia juga tidak
senang hati sebaik gadis itu beritahu majlis perkahwinannya tetap diteruskan
juga.
“Lalui ajelah. Kalau akhirnya aku tak boleh terima dia, aku
akan bincang dengan dia untuk berpisah,” beritahu Rus. Ketika ini hanya itu sahaja
jalan penyelesaian yang dia nampak andai perkahwinannya dengan Shah menemui
kegagalan.
“Berkahwin bukan untuk bercerai, Rus. Kalau boleh sekali
seumur hidup,” nasihat Nurul lagi.
“Aku tahu…”
“Dah tu, buat apa nak fikir pasal cerai? Berdosa tau. Macam
main-main dengan hukum TUHAN. Kau kena jugak berusaha untuk pertahankan
perkahwinan kau.”
“Harap-harap betullah seperti yang abah aku cakap…” tutur
Rus, sayu dan lemah.
“Abah kau cakap apa?”
“Jodoh yang baik akan datang bersama cinta...”
“Abah kau cakap macam tu? Macam tak percaya pulak aku
mendengarnya.” Nurul tertawa kecil.
“Itu ajelah ayat yang buat hati aku terpujuk.”
“Hmm… anggaplah apa yang terjadi sebagai takdir terbaik untuk
kau.” Nurul terus memujuk sahabatnya yang dalam keresahan.
“Aku akan cuba untuk terima semua ni.”
“Siapa tahu, kau kehilangan Huzaif, tapi ALLAH gantikan
dengan lelaki lain yang lebih baik.” Nurul memberikan kata-kata semangat supaya
sahabatnya itu kekal positif dan bersangka baik.
“Sekarang ni aku memang berserah sepenuhnya pada ALLAH.
Betullah macam yang kau cakap, DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk
aku.”
“Macam tulah dan jangan risau sangat. ALLAH sebaik-baik
perancang, kita ni hanya hamba yang serba kurang. Semoga kau tabah,” nasihat
Nurul.
“Terima kasih Nurul,” ucap Rus dengan sebak. Air mata yang
menitis segera dia sapu.
“Jangan risau, esok aku akan sampai awal kat rumah kau.
Assalamualaikum,” ucap Nurul mengakhiri perbualan.
“Waalaikumussalam,”
balas Rus.
‘MENANGISLAH,
agar esok mampu menghiburkan. TUHAN jadikan kita dengan kelemahan dan kelebihan
supaya menyedari bahawa dengan berdoa dan berusaha, DIA akan jadikan segalanya
indah pada waktunya.’
Kata-kata mutiara itu Rus ulang baca untuk memujuk hatinya.
Dirinya memang tidak boleh mengubah sesuatu yang di luar kawalan. Sebaliknya,
dia patut mengubah diri sendiri agar menerima apa sahaja yang ditakdirkan
untuknya.
Mulai saat ini dia perlu menyiapkan dirinya untuk menjadi
seorang isteri. Dia perlu yakinkan diri, andai keadaan hati bersedia, jodoh
datang pada masa yang terbaik dan dengan orang yang baik.
Walaupun pada mulanya dia tertekan, tetapi setelah meluahkan
resah di hati pada Nurul, dia berasa sedikit lega. Dia perlu banyak berdoa
supaya hatinya tetap tenang dengan segala ujian. Apa pun dugaan selepas ini,
dia perlu hadapi. Menangis dan meratap nasib diri tidak akan menyelesaikan
masalah.
PADA dinihari, hujan turun dengan lebatnya.
Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi ketika Rus tersedar dari lena. Walaupun berasa
dingin, dia tetap bangun kerana mahu menunaikan solat tahajud.
Kedengaran
deruan hujan lebat menghentam atap rumah membelah sunyi. Rus suka sekali
suasana begini, dingin dan mendamaikan hatinya. Sukar digambarkan perasaannya
ketika ini. Dalam sedih dia tetap bersyukur kerana ALLAH kejutkan dirinya pada
saat orang lain lena dibuai mimpi. Ketika inilah waktu yang bagus untuk
bersolat sunat, mengadu dan berdoa ke hadrat ILAHI.
Perjalanan
hidupnya masih panjang dan jauh nun di sana. Walau bagaimana bentuk perkahwinan
yang bakal dilalui, dia perlu tabah. Tidak kisah apa yang akan berlaku, kena
tempuh juga. Perkahwinan adalah satu proses yang perlu diusahakan dan bukannya
tunggu dan lihat sahaja.
‘Dah Rus, jangan sedih-sedih! Lepas ni kurangkan lihat
kesilapan orang lain, fokus pada kelemahan diri dan baiki. Kesianlah kat abah.
Abah nak kau jadi anak dan isteri yang solehah.’ Rus mengingatkan dirinya.