Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
287,933
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 5

SETELAH membersihkan diri dan siap berpakaian, Isaac terus berbaring di katil. Seketika dia turut bergolek-golek dengan perasaan yang amat gembira. ‘Putera kayangan?’ Dia mengulangi gelaran istimewa buat dirinya. Terasa diri benar-benar bagai anak raja pula meskipun tidak pasti kenapa dirinya digelar begitu.

Dia juga tersenyum sendiri mengingatkan gadis yang satu koc dengannya. Masih terbayang wajah manisnya yang bisa sahaja buat dia terkenang-kenang. Reaksi spontan gadis itu sebaik menyedari dirinya boleh berbahasa Melayu memercik suatu rasa yang sukar diungkap dengan kata-kata. Dalam hati dia mengharapkan ada lagi pertemuan seumpamanya. Dia akan pastikan ada sesuatu yang membuat gadis itu tidak dapat melupakan dirinya.

Tadi, mujur dia sengaja tergesa-gesa keluar dari koc dan pura-pura terlupa meminta kembali sweater miliknya. Ketika beredar, dia langsung tidak memandang gadis itu. Walaupun hati bagai ditarik-tarik mahu merenungnya, namun dia biarkan saat itu berlalu. Takut andai berlama, si gadis terperasan pula dan rosak pelan yang telah dirancang. Sebaik teringatkan sweater warna biru muda itu, sekali lagi senyuman terukir di bibirnya. Milik dialah sangat!

Sehari sebelumnya, punyalah dia bersusah payah pergi ke Ipoh Parade semata-mata mahu mencari sehelai sweater. Sanggup naik teksi dan keluar pada tengah hari buta. Keluar masuk kedai, jangan dikira. Dia memang mahu memastikan sweater itu adalah yang paling sesuai dan selesa dipakai. Tidak mengapa terpaksa bayar lebih sikit asalkan dia berpuas hati. Akhirnya dia terjumpa juga sweater yang bersesuaian dengan gadis itu.

Kerja yang sepatutnya dia selesaikan pada hari itu terpaksa ditangguhkan sebab takut terlupa pula. Semuanya atas saranan insan tersayang untuk diberikan kepada gadis idaman. Ternyata apa yang dia lakukan amat berbaloi. Peliknya, tidakkah gadis itu perasan yang sweater itu langsung tidak muat untuk lelaki berbadan besar sepertinya? Isaac tertanya sendiri.

Persoalan itu akhirnya dia ketepikan. Mungkin sahaja apabila sudah kantoi dan gabra, gadis itu tidak terfikir langsung perkara itu. Isaac amat berharap penampilan pertamanya di hadapan gadis itu membibitkan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Dia tidak kisah langsung dirinya jadi bahan kutukan gara-gara memakai tali pinggang keselamatan. Padahal, perkara itu sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh mana-mana lelaki macho sepertinya.

Apa yang penting dia mahu gadis itu teringatkan dirinya sampai bila-bila. Selepas itu, dia akan merancang strategi lain untuk menarik perhatiannya. Walaupun gadis itu tidak memperkenalkan dirinya dan tidak menunjuk minat, dia tidak kisah. Paling mustahak, hatinya telah berbunga bahagia apabila digelar putera raja dari kayangan. Kembang satu bandar raya hatinya kerana pujian itu!

Kini, dia bertambah yakin yang gadis itulah yang hatinya inginkan. Dia memasang tekad mahu menyunting gadis itu sebagai permaisuri hatinya. Sungguh, apa yang berlaku adalah takdir yang menemukan semula pada sesuatu yang dia tidak mahu ambil pusing suatu ketika dahulu. Tiba-tiba, dia rasa menyesal pula kerana pernah terburu-buru membuat keputusan tanpa berfikir panjang.

Ketika itu dirinya terbuai dengan perasaan sendiri dan janji manis daripada insan yang tidak berlaku jujur. Dirinya selalu tersilap langkah dan tersalah membuat pilihan dan percaturan hidup. Semuanya gara-gara terlalu mengikut kata hati. Akhirnya dia ditinggalkan dan dibelenggu kekecewaan kerana gagal dalam percintaan.

Dia tidak mahu mengulangi kesalahan yang sama. Kesilapan yang berlaku harus cepat-cepat dibetulkan sebelum terlambat. Apa sahaja dugaan dan halangan akan dia tempuh demi memastikan impiannya terlaksana.

Telefon di atas meja dia capai. Seseorang perlu dia hubungi segera. Sesuatu yang baik tidak elok bertangguh, nanti menyesal pada kemudian hari.

“Ya, ada apa call adik?”

Cepat sahaja panggilan telefon buat adik tersayang mendapat balasan.

Next plan…” beritahunya dengan ceria. Dia tidak mahu membuang masa.

“Wow, macam tak sabar aje?” usik adiknya sambil ketawa di hujung talian.

“Takkan tak kenal dengan abang sendiri? Adik lebih tahu apa nak buat, kan?” balasnya.

Dia memang tidak mahu tunggu lama-lama. Walau nanti akan berhadapan dengan berbagai-bagai rintangan, dia sanggup mengharunginya. Gadis itu adalah masa hadapannya dan amat berharap impiannya akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

“Serahkan aje pada adik abang ni. Tapi jangan lupa ganjarannya andai berjaya nanti,” ucap adiknya dengan penuh makna.

Rupanya si adik tidak mahu buat kerja percuma! Terpaksalah dia berkompromi.

“Tentulah abang ingat. Nak apa?” Isaac tidak kisah langsung walau apa jua permintaan adiknya. Andai dia buat kerja sorang-sorang, takut gigit jari. Dia juga yang akan berputih mata.

“Tak banyak. Kereta sebiji, boleh?” tanya adiknya kemudian tertawa.

Sudah alang-alang abangnya membuat tawaran, baik dia pulun cukup-cukup. Bukan senang hendak dapat hadiah lumayan daripada abang kesayangan. Seandainya menunggu hadiah hari jadi, lama lagi dan tidak boleh buat permintaan. Dirinya terpaksa menerima sahaja apa jua yang abangnya hadiahkan.

“Kereta aje, pemandu tak nak sekali?” Isaac juga mahu bergurau.

“Kalau dapat dengan pemandunya, alhamdulillah. Senang banyak hidup adik.”

“Okey. Abang serah semuanya kat adik tau. Abang nak pantau dari jauh aje,” beritahu Isaac dengan ceria.

“Tak payahlah jauh-jauh, nanti asyik merindu pulak,” usik adiknya lagi.

“Tak apa. Tak dapat tengok orangnya, dapat tahu perkembangannya pun dah cukup.”

“Insya-ALLAH… pelan adik akan berjaya. Perlahan-lahan pasti dia akan masuk perangkap dan tertambat.” Adiknya begitu yakin sekali dengan pelan yang telah dirancang. Dia juga ada pelan kontigensi andai pelan yang awal kurang berjaya.

“Tak naklah perlahan-lahan, abang nak cepat. Abang dahlah tengah kejar masa ni.”

“Perancangan yang bagus perlu ada strategi yang mantap. Dia tak boleh tahu langsung. Adik kena fikir jalannya supaya dapat lorongkan ke arah abang,” beritahu adiknya yang mahu memastikan misi kali ini berjaya.

“Tak kisahlah! Apa yang penting, akhirnya abang dapat dia jugak,” balas Isaac.

“Abang tak payah fikir banyak. Abang cuma perlu bersedia untuk berjumpa dengan orang yang lebih mencabar. Itu pun belum tentu boleh berjaya,” usul adiknya pula, merujuk kepada keluarga gadis itu.

“Janganlah punahkan semangat abang. Abang tengah berkobar-kobar ni.”

“Adik cuma ingatkan aje, bukan patahkan semangat abang.”

“Kalau ada apa-apa, jangan lupa beritahu abang.” Dia turut memberikan pesanan.

“Insya-ALLAH abang kusayang...”

“Terima kasih adik yang sangat-sangat abang sayang,” ucapnya dengan girang.

“Okey,” balas adiknya.

Isaac tersenyum lagi. Sungguh dia tidak menyangka yang dirinya akan didatangi sesuatu yang tidak pernah diduga. Andai sebelum ini dia asyik mengejar sesuatu yang tidak pasti, kali ini dia tidak mahu tersilap lagi. Pertemuan kali ini sungguh bermakna buat dirinya. Ia bagaikan petanda dia berada di landasan yang betul untuk mengejar gadis itu. Sudah lama dia tidak mengalami perasaan seperti ini.

Jelingan mata gadis itu membuat hatinya bergetar. Ditambah dengan wajah manisnya, memang malam ini dia tidak akan lena. Pasti wajah gadis itu yang akan menghiasi mimpinya. Walau sering nampak serius, namun bersahaja mengenakan dirinya dalam diam.

Dia cukup suka melihat reaksi gadis itu ketika kantoi dan malu-malu dengannya. Kononnya pura-pura tidak peduli, tetapi kerap juga mencuri pandang. ‘Tunggu! Nanti giliran putera kayangan pulak curi pandang dan rembat sekali hati awak! bisiknya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.