Home Novel Komedi/Romantik Komedi 'Dia' My Love
'Dia' My Love
Zan Zarida
13/8/2016 23:49:49
308,434
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 23

RUS memandang wajahnya di cermin. Tadi, Nurul yang menyolek dirinya. Apabila terpaksa berkahwin tanpa rela, beginilah jadinya. Dia tidak mahu mak andam atau orang lain menyentuh wajahnya.

Dia langsung tiada hati hendak kelihatan cantik dan menawan pada hari pernikahannya. Setelah Nurul memujuk dan mengatakan wajahnya pucat seumpama mayat, terpujuk juga hatinya untuk bersolek.

Rus memang bersyukur apabila sahabatnya itu tiba pada awal pagi seperti yang dijanjikan. Kasihan juga dia dengannya kerana keluar subuh hening dan memandu jauh. Ketika akad nikah nanti, hanya gadis itu yang akan menemaninya sebagai pengapit. Dirinya tidak seperti pengantin lain yang selalunya di kelilingi dengan sahabat handai.

Saat ini, debaran di dada Rus semakin menghimpit dirinya. Sukar sungguh untuk dia menenangkan hatinya. Risau memikirkan kehidupan selepas ini. Tidak terbayang bagaimana berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali, malah tidak pernah bersua muka.

Rus semakin gementar. Hanya tinggal lima belas minit sahaja lagi, dirinya akan berubah status dan bergelar isteri. Mampukah dia menggalas tanggungjawab dan hidup bersama insan yang begitu asing dengannya?

“Tenang Rus. Tak lama lagi, selamatlah,” pujuk Nurul yang menyedari perasaan sahabatnya itu tidak tenteram.

“Entahlah, tak tahu nak cakap macam mana. Perjalanan hidup aku baru bermula. Nanti, entah apa di depan dan kiri kanan aku,” luah Rus.

“Yang pasti ada seseorang kat sebelah kau!” gurau Nurul kemudian tertawa kecil.

“Itu yang buat aku tak tentu arah…”

“Relaks dan tarik nafas,” suruh Nurul. Dia juga turut menarik nafas panjang.

Apabila terdengar keriuhan di luar rumah, Nurul amat pasti pengantin lelaki telah tiba. Dia segera menuju ke tepi tingkap dan menjenguk ke luar.

“Eh, kenapa dia boleh ada bersama rombongan lelaki?” sebut Nurul dengan reaksi terkejut.

“Siapa?” Tiba-tiba jantung Rus berdegup kencang. Kalau ikutkan hati, dia pun mahu tengok wajah bakal suaminya. Tetapi terpaksa dibatalkan, rasa kurang sopan pula kalau dia mengintai di tingkap.

“Siapa lagi? Jejaka misteri idaman Amy tu la. Tengok pakaian dia, macam dia pulak yang jadi pengantin lelaki!” beritahu Nurul.

Rus sudah cuak mendengarnya. “Kau biar betul?”

“Aku pernah terserempak dengan lelaki tu semasa aku makan dengan Amy,” jelas Nurul. Matanya memang tidak salah melihat.

“Macam mana ni, Nurul? Apa aku nak buat sekarang ni?” tanya Rus.

Saat ini dia sudah tidak keruan. Apa yang dilakukan serba tidak kena. Berdiri salah, duduk pun salah. Mengingatkan Amy, lagi dia berasa amat bersalah.

“Kalau betul lelaki tu yang akan jadi suami kau, terpaksa terima la. Dalam situasi sekarang, apa aje pilihan yang ada?” balas Nurul pula.

“Nanti macam mana aku nak berhadapan dengan Amy?” Rus semakin cemas.

“Sekarang ni aku nak tanya. Sanggup ke kau malukan keluarga kau?”

Pertanyaan Nurul buat Rus terdiam.

“Berani berdiri kat depan semua orang dan batalkan majlis ni?” tanya Nurul lagi.

Rus menggeleng.

“Kalau macam tu, terimalah ketentuan takdir. Mungkin ia bukanlah apa yang kau nak, tapi itulah yang terbaik buat masa ni,” pujuk Nurul.

Tiba-tiba Rus bertambah bimbang. Lengan Nurul dia pegang kejap, cuba mencari kekuatan. Ketika ini, rasa hendak pitam pun ada juga.

“Rus, kau jangan pengsan pulak!” Nurul turut cemas melihat keadaan sahabatnya.

“Habislah aku kalau Amy tau.” Rus menyatakan kerisauannya. Sekarang ini pun dia rasa bagai tidak cukup oksigen untuk bernafas.

“Tenang Rus. Tarik nafas perlahan-lahan, kemudian lepas,” arah Nurul sambil memeluk bahu sahabatnya. Dia juga menarik nafas.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka dari luar. “Nurul, bawak pengantin keluar,” pesan mak saudara Rus.

“Ya, kejap,” sahut Nurul, kemudian kembali memandang sahabatnya.

“Kau dah okey, Rus?”

“Tolong aku Nurul… kau janji jangan lepaskan tangan aku. Duduk sebelah aku...” pinta Rus.

“Yalah. Sekarang ni kau tak payah fikir perkara lain. Hal Amy tu, kau tolak tepi dulu,” nasihat Nurul.

Perlahan-lahan mereka beriringan menuju ke ruang tamu. Rus melangkah dengan perasaan berdebar-debar. Di matanya bagai tiada apa yang dia nampak, yang kelihatan seakan ruang kosong yang sangat luas.


RUS menahan rasa sebak. Debaran di dada bagai menghentak jantungnya. ‘Ya ALLAH, permudahkanlah urusan pernikahanku ini,’ doanya berkali-kali.

Ketika upacara akad nikah akan berlangsung, sedaya upaya Rus cuba untuk bertenang. Namun, masakan boleh? Fikirannya sudah serabut dihujani dengan berbagai-bagai perkara. Wajah Amy juga terbayang-bayang di ruangan mata. Mujur gadis itu memang tidak dapat datang ke majlisnya. Andai gadis itu muncul, runtuh semua khemah!

Buat masa ini Rus masih boleh menarik nafas dengan teratur, tetapi dia tetap risau. Tiba masanya, pasti Amy akan tahu juga yang dia berkahwin dengan lelaki idamannya. Mesti Amy akan mengamuk dan tuduh dirinya perampas. Itu yang dia tidak sanggup hadapi.

Dalam keadaan fikiran yang berkecamuk, akhirnya Rus selamat diijabkabulkan dengan Shah. Tanpa benar-benar kenal dan bercinta, terus sahaja berkahwin dengan sebegitu mudah.

Rus berusaha memaniskan wajah walau getaran di jiwa bagai sukar dikawal. Tidak berapa lama kemudian, pengantin lelaki menghampirinya untuk menyarung cincin. Perasaan di hatinya hanya TUHAN yang tahu. Betapa tidak keruannya dia saat ini.

Tiba-tiba mata Rus tidak berkelip. Berkerut dahinya tatkala matanya dapat mengenal pasti wajah yang kini tersenyum di hadapannya. Dia? Sungguh Rus tidak duga lelaki itu yang jadi suaminya. Bertambah galau apabila dia turut ternampak bayang-bayang Amy di sebelahnya!

Mengenangkan sahabatnya itu, dia dihimpit rasa bersalah. Rasa menggeletar seluruh tubuh saat jari-jemarinya disentuh suami buat pertama kalinya. Begitu pun cincin bertakhtakan berlian tersarung cantik di jari manisnya.

Dalam kekalutan hati, Rus tunduk menyalam dan mencium tangan suaminya. Dia terus memejamkan matanya saat pengantin lelaki mengucup lembut keningnya.



Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.