CUTI Hari Kemerdekaan, Rus cuma duduk di rumah. Amy
balik kampung, sementara Nurul pula keluar berdating dengan kekasih hatinya.
Tinggallah dia terkontang-kanting seorang diri. Sekejap pandang dinding,
kemudian beralih pandang siling pula.
Akhirnya Rus tergelak sendiri apabila teringatkan mat
salih yang pandai-pandai sahaja mengatanya tidak pernah bercinta dan berdating.
Dia akui yang dirinya memang tidak pernah bercinta. Tidak berkesempatan hendak menyulam
cinta sebenarnya!
Dia pun tidak faham kenapa Huzaif bersetuju jadi
tunangnya tanpa kenal dan berkasih. Paling pelik, diri sendiri hanya pernah
tengok gambar tunangnya sahaja. Berbual di telefon atau berjumpa dengannya pun
tidak pernah. Nampaknya dia akan mengakhiri zaman bujangnya seperti zaman nenek
moyang jugalah. Jangan dia dan Huzaif tua sebelum waktunya, sudah!
Kadang-kadang terdetik juga kekesalan di
hati Rus.Ketika dia sudah jadi tunangan
orang, ada sahaja yang menggugat hati dan perasaannya. Kenapalah baru sekarang
dirinya dipertemukan dengan putera kayangan dan mengenali jejaka lain?
Sebenarnya, dia pun seperti gadis normal
yang lain. Hendak juga bercinta dan dicintai. Bukannya mengharapkan takdir yang
datang sahaja.Walaupun sahabatnya
sekadar bercerita, hati Rus turut terusik. Mahu juga tahu gerangan orangnya,
apa keistimewaannya sampai Amy boleh angau. Begitu pun, seperti biasa dia tidak
akan tunjuk apa yang dirasa di hadapan Amy.
Apabila berbicara fasal cinta, kasihan juga dengan
diri sendiri. Dia teringin juga merasai seronoknya jatuh cinta dengan lelaki
yang diminati. Setelah bertunang, tentu sahaja dia tidak berpeluang merasai
semua itu. Hendak memupuk rasa cinta dan paksa diri jatuh cinta pada tunang
sendiri pun terasa sukar.
Tiba-tiba Rus teringatkan Che Jamaliah pula. Pada masa
yang sama, telefonnya turut berdering. Dadanya berdebar-debar sebaik nama bakal
mak mentua yang terpamer di skrin. Wanita itu macam tahu-tahu sahaja Rus sedang
teringatkan dirinya!
“Assalamualaikum auntie…”
“Waalaikumussalam. Rus sihat?” Che Jamaliah suka
sekali dapat berbual dengan bakal menantu.
“Alhamdulillah. Auntie macam mana?” Terpaksalah Rus
beramah mesra.
“Bertambah sihat dan gembira. Tak sabar rasanya nak
tunggu hari bahagia Rus dan Huzaif,” tuturnya dengan riang.
Aduhai… ini yang buat Rus tidak terkata mendengarnya. Andai
mereka berhadapan, memang dirinya akan dipeluk mesra.
“Rus?” panggil Che Jamaliah apabila gadis itu
tiba-tiba senyap pula.
“Ya auntie.” Rus yang teralit segera menyahut.
“Auntie sebenarnya baru balik dari Istanbul. Bercuti
dan melancong dengan kawan-kawan,” beritahu Che Jamaliah lagi.
“Seronoknya…” ucap Rus dengan ceria.
“Memang seronok. Kalau Rus ada sama, lagi seronok.” Suara
Che Jamaliah kedengaran ceria. Tentu sahaja menggembirakan dirinya apabila
dapat bercuti di luar negara.
“Tak apa, lain kali kita boleh bercuti sama-sama,”
balas Rus sekadar mengambil hati bakal mak mentuanya.
“Auntie ada beli hadiah untuk Rus, cenderahati dari
Istanbul,” beritahu wanita itu lagi.
“Auntie ni… buat susah-susah aje.”
“Kalau untuk Rus, tak ada benda yang susah. Raya Haji
ni, balik kampung tak?”
“Insya-ALLAH balik.”
“Alhamdulillah… lusa auntie nak jumpa mak Rus dan
hantar hadiah tu sekali kat rumah.”
“Terima kasih banyak-banyak auntie…” Tiba-tiba Rus
berasa terharu dengan kebaikan wanita itu. Dirinya pula jarang mahu membeli
apa-apa untuknya.
“Okeylah Rus, lain kali kita sembang lagi,” ucap Che
Jamaliah yang mahu memohon diri.
“Yalah,” balas Rus.
Seketika Rus termenung. Bakal mak mentuanya memang
lemah-lembut dan penyayang orangnya. Kalau melancong ke mana-mana, mesti
belikan bermacam-macam hadiah buat dirinya.
Rus berasa serba salah juga dengan Che Jamaliah.
Sayangnya wanita itu pada dirinya bagai anak sendiri. Apabila ada kelapangan, wanita itu juga
selalu bertanya khabar. Hati yang keras pun boleh jadi cair apabila bakal mak
mentua melayannya dengan baik.
Hendak harap anak dia, memang jauh panggang dari api.
Tidak dapat Rus bayangkan bagaimana bentuk perkahwinan yang akan dia lalui.
Semakin dia fikir, buat dirinya risau pula. Berkahwin sekali seumur hidup, mahu
jugalah membina rumah tangga bahagia. Namun, andai masa bertunang ini tidak
berpeluang kenal lebih rapat, bagaimana mereka hendak serasi apabila berkahwin
kelak?
Che Jamaliah beria-ia hendak Rus jadi menantu, anaknya
bagai tidak kisah langsung. Ini yang membimbangkannya. Tarikh perkahwinan
mereka hanya tinggal beberapa bulan sahaja. Mengingatkan tanggal 12 November,
buat dia kecut perut.
Tiba-tiba Rus teringatkan mat salih pula.
Dia perlu mencari alasan
bagaimana mahu meminta nombor Isaac daripada Kak Ina. Dia perlu fikirkan alasan
yang logik dan kukuh agar wanita itu tidak mengesyaki sesuatu. Namun, susah
juga kerana lelaki itu tiada kena-mengena dengan sebarang projek di bawah
seliaannya.
Setakat tolong ambil dokumen
daripadanya, apalah sangat? Tentu sahaja pada pandangan Kak Ina tiada keperluan
Rus tahu nombornya. Nanti tidak pasal-pasal boleh terpecah rahsia pula.
Harapan
terakhirnya semoga lelaki itu menghubunginya. Isaac pasti masih menyimpan
nombor telefonnya walau lelaki itu tidak membuat panggilan ketika mahu berjumpa
di Micasa Hotel. Akhirnya, tidak sampai beberapa minit, Rus terlena di ruang
tamu.
SUASANA
di restoran mewah ini senyap sahaja, padahal bukannya tiada pelanggan lain.
Diri Rus pula penat menahan rasa segan apabila asyik jadi tatapan. Ini kali
pertama dia keluar berdating dengan seorang lelaki.
“Hmm… awak
pernah jaga seseorang?” Lelaki di hadapannya itu berdeham sebelum memulakan
perbualan.
Soalannya
kedengaran begitu pelik di telinga Rus. Lama wajahnya dia pandang, cuba meneka
kenapa lelaki itu hendak tahu. Kalau berdating, bukankah tentang perasaan dan
masa hadapan yang sering dibualkan?
“Pernah
tak?” ulang lelaki itu lagi. Matanya memandang tepat ke wajah Rus.
“Pernah,
masa adik saya sakit. Lagipun sejak dulu saya memang jaga diri sendiri.”
“I see…” Lelaki itu mengangguk beberapa
kali.
“Tapi,
sekarang ni saya nak orang lain pulak tolong jaga saya. Kenapa awak tanya?”
“Tak ada
apa. Baik awak lupakan aje.”
“Pulak?”
Rus bertambah pelik dengannya.
“Anggap
aje ia soalan bodoh dari seorang lelaki yang kurang bijak!” Lelaki itu mahu
berlawak pula. Senyuman turut terukir di bibirnya.
“Ke…
awak ada maksud lain?” tanya Rus yang tidak berpuas hati dengan alasan yang
diberikan.
“Kalau
ada, macam mana?”
“Apa
dia?” Pantas Rus bertanya.
“Betul
awak nak tahu?”
“Ya, awak
cakap ajelah!” suruh Rus yang sudah tidak sabar hendak tahu. Ada ketikanya dia
berasa geram juga dengan lelaki itu. Sengaja mahu menduga dirinya yang tidak gemar
berteka-teki.
“Kalau
diizinkan, saya nak jaga awak...” tutur lelaki itu. Matanya redup merenung
wajah gadis idamannya.
Rus yang
terkejut mengerut kening. Rasanya dia tidak salah mendengar. Secara tidak
langsung lelaki ini seperti ingin melamar dirinya.
“Boleh?”
“Tak
apalah, saya boleh jaga diri sendiri.” Rus yang terperangkap dengan soalan
sendiri terpaksa memberikan jawapan selamat.
“Tadi,
kan awak kata nak ada orang lain yang jaga awak?”
Rus
terus tunduk. Pada masa yang sama tercari-cari jawapan balas yang paling
sesuai.
“Izinkan
saya jaga awak. Saya pun amat berharap agar awak sudi jaga saya,” pinta lelaki
itu lirih.
Tiba-tiba
Rus berasa amat tersentuh dengan permintaannya. Aduhai hati, tolong jangan
goyang dan tergugat dengan kata-katanya. Dia berbicara sendiri.
Sepi
buat beberapa ketika. Masing-masing bagai hilang suara hendak meneruskan
perbualan.
“Rus?”
Tiba-tiba namanya diseru beberapa kali.
“Okey…”
Akhirnya jawapan itu yang keluar dari mulut Rus.
“Apa
yang okey?”
Rus terus
terpinga-pinga. Kenapa tiba-tiba sahaja suara perempuan yang dia dengar?
“Rus,
kau okey ke?” Nurul mengulangi pertanyaannya.
“Astaghfirullahalazim…
kau ke?” Wajah Nurul dipandang, namun pandangan matanya masih berbalam-balam.
“Kau ni
menggigau pasal apa? Takkan pasal putera kayangan kut?” duga Nurul kemudian
tersenyum.
Rus
ketuk kepala sendiri. Haish! Macam mana boleh termimpikan orang itu?
“Dah
masuk ke alam nyata ke belum?” usik Nurul.
Dia baru
sahaja mahu menuju ke bilik setelah berdating dengan kekasih hati. Tiba-tiba
dia terdengar suara Rus, tetapi nampak gadis itu seperti tidur dan bukannya
bercakap di telefon.
“Ada apa
sebenarnya?” Rus segera melencong, tidak mahu kantoi dengan sahabatnya itu.
“Malam
ni nak ajak kau makan kat luar.”
“Bukan
hari ni giliran aku masak ke?” tanya Rus.
“Hari ni
aku baik hati nak belanja kau. Lepas maghrib nanti, kita terus keluar. Kau
jangan lambat pulak.” Nurul mengingatkan.
“Yalah,”
jawab Rus kemudian menggosok-gosok matanya. Sebaik terpandang jam dinding
menghampiri pukul 7.00 malam, dia segera bangun menuju ke biliknya. Sudah senja
rupanya, patutlah dia boleh menggigau!