RUS mengeluh berat. Dia baru sahaja selesai mesyuarat ketika
menerima panggilan telefon daripada Che Jamaliah. Rupanya hari ini tunangnya
balik Malaysia dan akan tiba di KLIA pada sebelah petang. Sepatutnya Che
Jamaliah sendiri yang akan menjemput anaknya, tetapi pemandunya ada hal
kecemasan pula.
Tidak berapa lama kemudian, panggilan daripada abahnya pula
menyusul.
“Che Jamaliah ada telefon Rus?” Abahnya terus bertanya.
“Ada, kejap lagi Rus nak ke airport,” beritahunya.
“Kerja Rus macam mana?” tanya Haji Rosman.
“Tadi Rus dah mintak dengan bos nak balik awal, bos okey
aje.”
“Alhamdulillah. Hati-hati memandu, jangan bawak laju-laju,”
pesan Haji Rosman.
“Okey abah. Nanti kirim salam dengan mak,” pesan Rus pula.
“Yalah.”
Dalam tidak mahu, Rus terpaksa juga pergi ke lapangan terbang
menjemput tunangnya. Kemudian dia perlu menghantarnya ke rumah bapa saudaranya
di Bandar Utama. Mujur juga dia dapat perlepasan balik awal daripada bosnya.
Tadi, serba salah juga dia hendak beritahu Tuan Malik. Tidak sangka pula bosnya
memberi kebenaran.
RUS
tiba di KLIA pada jam 5.30 petang. Menurut Che Jamaliah, penerbangan dari
Moscow tiba pada pukul 5.00 petang. Rus memang sudah terlewat, tapi tak dapat
dielakkan kerana dia lambat diberitahu tentangnya.
Tiba di balai ketibaan, melilau juga Rus mencari kelibat
Huzaif. Melalui skrin yang dipaparkan, penerbangan dari Moscow telah selamat
mendarat mengikut jadual. Ketika ini, pasti sahaja lelaki itu telah mengambil
bagasi dan berada di sekitar Rus berada sekarang.
Seketika mata Rus tertancap pada seseorang. Tiba-tiba jantungnya terasa berdetak laju saat terpandang wajah Huzaif. Lelaki itu dapat dicam kerana
sama seperti dalam gambar yang pernah dia tengok.
Baru sahaja dia mahu menghampiri, seorang wanita bertudung
telah berada di sisinya. Langkah Rus terhenti. Matanya jatuh pada bayi yang
kini berpindah ke tangan Huzaif. Wajah bayi itu dicium berkali-kali.
Rus masih memerhati. Tidak berkelip matanya memandang adegan
yang terhidang di hadapan mata. Sungguh, dia tidak sanggup menghampiri mereka.
Andai dia menyapa, apakah reaksi wanita itu dan juga Huzaif? Bagaimana dengan
perasaan sendiri? Persoalan-persoalan itu menerpa benaknya.
Lama Rus terkaku dan berperang dengan perasaan sendiri.
Bukankah perkara ini yang dia mahu? Justeru, perlu apa lagi dia muncul di
hadapan lelaki itu? Semua ini memudahkan lagi dirinya untuk memutuskan ikatan
antara dia dan Huzaif. Apa yang penting pertunangan putus bukan berpunca
daripada pihaknya.
Akhirnya Rus mengambil keputusan untuk balik sahaja tanpa
berjumpa dengan tunangnya. Pandailah lelaki itu balik sendiri ke rumah orang
tuanya. Perlu apa lagi dia bersusah payah menjemput dan menghantarnya?
Tiba-tiba, badan Rus berpusing 180 darjah apabila seorang
lelaki yang dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar dirinya yang mahu berpaling.
Beg tangannya turut terlepas dari bahu. Mujur isi dalamnya tidak jatuh
berterabur di atas lantai.
Lelaki itu segera mengutip beg tangan Rus. Dia terus memohon
maaf sambil mengembalikannya kepada Rus.
“Tak apa,” jawab Rus perlahan. Dia mengukir senyuman dan
menyambut beg tangannya, tetapi langsung tidak memandang ke wajah lelaki
tersebut.
“Rus?”
Suara lelaki itu buat Rus tersentak, lantas dia mendongak
memandangnya. Rus tergamam saat menyedari gerangan yang menyeru namanya.
“Kali ini, senyuman awak yang manis dan bukannya air
Nescafe…” ujar lelaki itu yang turut tersenyum.
Rus
tidak terkata mendengarnya. Dia melarikan pandangan lalu tunduk. Janganlah ada air mata yang jatuh di hadapan
lelaki ini. Doanya dalam hati. Dia memang tidak mahu bersedih dengan apa yang
terjadi, tapi dia dapat rasakan yang matanya panas!
“Saya
ingin sekali berbual dengan awak, malangnya saya dah terlambat. Semoga kita
dapat berjumpa lagi,” ucap lelaki itu dan tergesa-gesa meninggalkan Rus
termangu sendiri.
MALAMNYA,
Haji Rosman menelefon Rus lagi.
“Dapat berjumpa Huzaif?” Abahnya terus bertanya sebaik Rus
menjawab panggilan.
“Tak abah. Rus terlambat sampai KLIA. Tiba kat sana, cari dia
jugak. Tapi tulah, tak nampak dia kat mana-mana.” Rus terpaksa mereka cerita.
Biarlah dia berbohong, dia tidak sanggup beritahu abahnya perkara sebenar.
“Tak apalah, tak ada rezeki nak berjumpa. Rus balik Ipoh
hujung minggu ni, kan?” Haji Rosman bertanya untuk kepastian.
“Haah. Abah dan mak sihat?” tanya Rus bagi melindungi resah
di hati.
“Alhamdulillah… mak dan abah okey. Rus pulak macam mana?”
“Rus pun okey jugak.”
“Abah nak tanya pasal tu aje. Apa-apa hal, nanti abah telefon
Rus. Jaga diri baik-baik,” pesan Haji Rosman.
“Insya-ALLAH…” ucap Rus.
Perlahan-lahan dia letak telefonnya di atas meja, kemudian
meraup wajahnya beberapa kali.
“Kau dah kenapa?
Apasal muka kau pucat?” tegur Nurul yang datang ke ruang tamu. Dia baru sahaja selesai
solat isyak.
“Petang tadi aku pergi airport,”
beritahu Rus, lemah.
“Buat apa kau ke sana?”
“Huzaif balik hari ni. Mak dia
minta tolong aku jemput dia,” beritahu Rus lagi.
“So, dapat jumpa dia?”
Rus mengeluh berat. “Aku
nampak dia, tapi tak berani nak tunjuk muka.”
“Eh, kenapa pulak?” Terkejut
Nurul dengan apa yang Rus sampaikan.
“Aku pun tak pasti sekarang ni
aku nak gembira atau nak nangis,” ujar Rus.
“Kau jangan nak buat aku
keliru. Sebenarnya apa yang dah terjadi?” tanya Nurul, sedikit cemas.
“Huzaif balik dengan seorang
perempuan. Bukan tu aje, dengan bayi sekali!”
“What, biar betul?”
Mata Nurul sudah membulat.
“Aku tak tipu!”
“Kau salah tengok kut?” Nurul
cuba menyedapkan hati sahabatnya dan diri sendiri.
“Aku masih ingat gambar dia
masa abah aku tunjuk kat aku. Masakan aku tersalah orang?”
“Kesiannya kau. Tapi, itu
jugak yang kau mahu, kan?” Walaupun Rus tidak pernah meluahkan kepada Nurul
secara jelas, dia tahu sendiri apabila Amy pernah bercerita tentang perasaan
Rus terhadap tunangnya.
“Memang itu yang aku nak, tapi
bukan pada saat perkahwinan kami semakin hampir!” Rus dah nak menangis ketika
menuturkannya.
Mengingatkan kad jemputan
kahwin yang sudah siap, lagi buat dia bersedih. Mujur kad tersebut belum lagi
dia edarkan kepada rakan-rakan di pejabat. Berkenaan cuti kahwinnya, hanya bos
dan Kak Ina sahaja yang tahu. Dia yakin wanita itu tidak akan menghebahkannya
kerana dia masih belum menerima kad jemputan daripadanya.
“Jadi, apa kau nak buat
sekarang ni?” tanya Nurul. Dia turut bersimpati dengan sahabatnya itu.
“Aku tak tahu…” Saat ini air
matanya sudah merembes.
“Kau bawak bertenang dulu.”
Nurul bangun dan duduk rapat di sebelah Rus. Belakangnya dia usap.
“Kau kena banyak bersabar.
Insya-ALLAH aku ada dan akan bantu kau bila kau perlukan aku,” pujuk Nurul.
“Aku rasa sedih sangat bila
teringatkan mak dan abah aku. Kalau dia orang tahu, macam mana?” Kini, air
matanya laju menitis membasahi pipi.
“Lambat laun dia orang akan
tahu jugak. Takkan Huzaif nak teruskan perkahwinan kau dengan dia, betul tak?”
“Paling aku tak sangka, dia
dah ada anak!” ujar Rus dengan rasa amat kecewa.
“Entah-entah dia berkahwin
tidak lama selepas kita orang bertunang,” sambung Rus lagi. Rasa diri telah
diperbodohkan lelaki itu. Walaupun Rus tidak cintakannya, dia tetap berasa
bengang.
“Lelaki zaman sekarang, memang
tak boleh dipercayai!” ujar Nurul yang turut berasa geram.
Rus kembali termenung
mengenang nasib diri. Segalanya sudah terlambat untuk dia kesalkan. Sekejap dia
berasa okey, sekejap hatinya rasa mahu menangis dan menjerit.