Home Novel Komedi/Romantik Komedi Trio ZAF
Trio ZAF
Izatul Husna
31/7/2024 11:53:56
1,720
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 2

FIRUS menutup buku notanya lalu menyimpan semula ke dalam poket baju kurung. Kini, dia berhampiran dengan tapak perhimpunan. Barisan kelas masih baru seorang dua. Jam tangannya dilirik seketika.

7.00 pagi.

"Okey, semua dah sedia. Zam, bak beg kamera aku," pintanya sambil menadah tangan kanan.

Tiada respons.

Firus memalingkan tubuhnya ke belakang. Zamrud tiada. Laluan pelajar yang dijaga oleh beberapa orang pengawas sangat lengang. Kelibat Zamrud ditilik segenap tapak perhimpunan.

Tiada.

"Mana pula anak orang ni pergi? Ponteng sekolah ke?"

Firus melangkah semula ke arah pagar sekolah. Baru sahaja beberapa minit tidak berbual-bual, Zamrud sudah merajuk. Barangkali.

Firus tidak kisah akan kehilangan Zamrud. Beg kameranya. Amanah sekolah. Tidak boleh hilang atau rosak ataupun dicuri. Dia memilih untuk kembali ke pagar sekolah. Mungkin Zamrud masih berbual-bual dengan gad di sana. Ketika Firus berjalan melintasi barisan pelajar, dia terdengar sesuatu.

"Bagusnya mereka berdua solat duha."

"Kan? Sudahlah imam tu pengawas. Idola sungguh!"

Solat duha?

Pengawas?

Firus melirik jam tangannya. 7.02 pagi. "Kejadahan apa solat duha pukul tujuh pagi ni? Subuh gajah ke?" komen Firus sambil menyambung langkahnya.

Destinasi bertukar dari pagar utama sekolah ke surau sekolah.

"Budak mana solat duha waktu ni? Bijak semacam." Firus terlihat sebuah bekal makanan terletak elok di atas tembok surau.

Kelip mata.

"Itu bukan ke ... bekal aku? Macam mana boleh ada dekat situ?"

Firus pantas menjenguk ke beranda surau. Sebelah bahunya runtuh. Kelihatan dua orang lelaki yang sangat dikenali sedang membersihkan beranda surau.

'Mimpi apa bersihkan surau? Rajin semacam,' getus hati kecil Firus.

"Menjadi juga air tangan aku ni." Awan melihat hasil kerjanya dengan bangga. Dia mengesat peluh halimunan. Tikar sejadah dilipat dan disusun dengan kemas.

Zamrud berdecit. "Susun sejadah aje pun. Bukan suruh cuci sejadah."

Awan mengirai sehelai sejadah ke arah Zamrud. Terbatuk-batuk Zamrud akibat habuk berterbangan dari sejadah yang menerpanya.

"Adab mana? Tertinggal kat rumah?" Zamrud ingin memukul Awan dengan penyapu di tangan. Belum sempat penyapu diangkat,

"Zamrud, mari tolong ustazah gantungkan jam ni dekat bahagian solat perempuan."

Seorang ustazah muncul sambil menghulurkan sebuah jam dinding baharu kepada Zamrud.

Zamrud pantas membantu. Penyapu diserahkan kepada Awan. "Tolong selesaikan ya. Terima kasih."

Awan menyambut dengan senang hati. Zamrud dipandang dari belakang. Setelah kelibat Zamrud tiada, Awan tersenyum. Bahunya terhincut-hincut merancang sesuatu.

Penyapu di tangan diputar-putarkan. Seronok dia bermain dengan penyapu. Pelbagai jurus kung fu dibuat. Entah betul, entah salah. Asalkan bergaya.

Firus berdiri di anak tangga surau melihat aksi kung fu Awan yang sedikit mencuit hatinya. Tidak mahu membazir masa, Firus segera menegur, "Awan, apa benda ...."

Luruh seketika jantung Awan ditegur secara tiba-tiba dari titik buta. Dadanya dipegang. Nafasnya turun naik. Siapa saja yang tidak terkejut ditegur ketika sedang berangan? Syukur dia bukan seorang yang kuat melatah.

Firus mengetap bibir melihat Awan cemas. Hendak ketawa, terasa berdosa.

"Berangan lagi. Itu makanan dia," komen Firus. Firus tersepak sesuatu. Dia menunduk. Badannya berubah menjadi batu saat terlihat objek di kakinya.

Awan terperanjat. Dia kembali menegakkan batang tubuhnya. Penyapu dirapatkan ke sisi. Semasa penyapu berpusing, bekal Firus di atas tebing tembok tertolak dengan hujung penyapu.

Pantas Awan menyambut bekal Firus yang hampir mendarat ke lantai surau. Berderau darah dibuatnya. Syukur Firus tidak melihat kejadian ini. Maut menanti!

"Terima kasih Zamrud, Awan tolong saya tadi. Kejap lagi PPD datang. Syukur kamu berdua ada."

"Hal kecil saja, ustazah."

Awan kembali berdiri tegak menghadap Zamrud dan ustazah. Firus di anak tangga dilupakan seketika. Zamrud terpandang Firus di anak tangga. Masih menjadi tugu Firus.

Firus terpegun melihat beg kertasnya terkoyak. Koyak.

Ustazah meminta diri untuk ke beredar membiarkan mereka bertiga berbual-bual.

Awan dan Zamrud berbisik sesama mereka.

"Ini kantoi, masuk wad kita dua," bisik Awan.

"Aku buat dia lupa pasal bekal. Kau sorok bekal dia dekat mana-mana dulu. Okey?"

Awan mengangguk. Bekal Firus dipegang cermat. Dia akan sorokan bekal Firus sementara Zamrud menarik perhatian Firus. Isyarat bersedia diberi kepada Zamrud.

Zamrud menghulurkan beg kamera Firus. "Rus, beg kamera kau."

Tugu Firus sudah musnah.

"Oh. Lupa pula." Firus menyambutnya dengan sebelah tangan. Dia terus menggalas beg kameranya di bahu kiri dan melangkah pergi dari surau sekolah.

Zamrud berdoa bersungguh-sungguh di dalam hati agar Firus lupa akan kewujudan bekalnya.

"Kak Firus!"

Seorang pelajar perempuan menegur Firus dari belakang. Firus pantas menoleh.

"Kirana?"

Kirana memberikan sekuntum senyuman. Lengan Firus pantas diraih. Firus dan Kirana masing-masing berbeza dua tahun.

"Kak Firus sihat? Sabtu dan Ahad Kirana tak dapat tengok akak. Rindu!"

Meremang bulu roma Firus saat Kirana memeluk sebelah lengannya. 'Alahai gediknya. Aku pijak dia ni nanti terus tertanam dalam tanah. Tinggal letak batu nisan aje,' gumam Firus.

Sambil menahan kegelian yang dialami, Firus cuba menarik lengannya perlahan-lahan. "Sihat alhamdulillah. Tak masuk barisan lagi?" soalnya.

Kirana menggeleng ceria.

"Akak tengah buat apa dekat surau ni?" Kirana cuba menjenguk beranda surau.

Dalam masa yang sama, Zamrud dan Awan sedang menyorok di sebalik tembok dinding seperti cicak dengan harapan Kirana tidak nampak kelibat mereka. Cubaan menyorok bekal Firus hampir gagal. Awan memberikan bekal Firus kepada Zamrud. Pelan B!

"Basuh tangan tadi. Rasa tak selesa," jawab Firus sambil menuding ke arah tempat mengambil air sembahyang yang basah.

Kirana mengangguk.

"Oh ya, Kirana. Perhimpunan nanti, Kirana jadi jurukamera ya? Guna kamera ni."

Mata Kirana bercahaya apabila mendapat arahan daripada Firus. Tugasan yang sangat dinanti-nantikan!

Beg kamera bertukar tangan. "Minggu lepas ajk lain dah bertugas. Minggu ni Kirana ya?"

Kirana mengangguk beberapa kali. Teruja!

"Baik, kak! Kirana akan tangkap gambar cantik-cantik!" ujarnya gembira.

Firus tersenyum senang.

"Habis perhimpunan nanti, bagi balik kamera dekat akak. Akak tunggu dekat tepi tangga pasu bunga kertas. Okey?"

"Okey!"

Kirana segera mengatur langkah menuju ke tapak perhimpuanan sambil melambai-lambai kepada Firus. Firus membalas lambaian dengan senyuman.

Serentak itu, Zamrud dan Awan pantas merangkak dengan siku dari beranda surau ke tangga kiri. Zamrud mendahului perjalanan. Bekal Firus berada dalam pelukannya.

"Zam, kasut kita dekat depan. Lupalah!" bisik Awan.

"Kau ambil kan aku punya sekali," pinta Zamrud.

Awan mengangguk.

Zamrud sudah selamat berdiri di sebalik dinding tepi tangga. Dia menantikan kemunculan Awan dan kasutnya.

Syup!

Sepasang kasut milik Zamrud sudah diluncurkan dari tangga depan ke tangga kiri. Zamrud mengambil kasut lalu memakainya cepat-cepat.

Firus memandang semula beg kertas bekalnya di anak tangga. Koyak-rabak. Dia mencari Awan dan Zamrud yang tiba-tiba menghilang ketika Kirana menyinggah.

Sebelah tangan manusia menarik perhatian Firus. Ketika tangan itu terjulur mencapai kasut, Firus pantas beraksi.

"Kau nak kasut ni ke?"

Awan terkejut saat Firus mengangkat sebelah kasutnya perlahan-lahan. Dia bangun dari merangkak dan terus bersimpuh di atas dua betisnya.

Awan tersengih. Belakang kepalanya digosok-gosok. "Eh, Firus. Haah. Kasut aku tu. Boleh ...."

"Mana bekal aku?"

"B-Bekal? Kau bawa bekal ke? Mesti Zamrud makan bekal kau ni. Tu yang tak ada." Tergerak-gerak pipi kiri Awan menjawab soalan Firus.

Sepasang mata Firus menjadi sepet ketika mendengar jawapan Awan. Sudahlah air muka Awan mudah dibaca.

Zup!

Awan tergamam. Mulutnya terlopong luas saat melihat sebelah kasutnya selamat dibaling ke arah pokok berdekatan dengan Zamrud.

Bergoyang-goyang dahan pokok ketika menyambut sebelah kasut Awan. Beberapa daun mulai gugur dan jatuh atas kepala Zamrud.

Air liur ditelan kelat. Zamrud menepis daun yang berada di atas rambutnya. Dia cuba meneka keadaan Awan berhadapan dengan Firus yang sedang bersedia untuk mengamuk. Pasti mulut dan mata Firus mengeluarkan api serupa raksasa yang menyerang sebuah kota.

"Maafkan aku, Awan. Aku tak akan lupakan persahabatan kita sampai bila-bila."

Dada Zamrud ditumbuk perlahan sambil menunduk. Dia meneruskan perjalanan menuju ke tapak perhimpunan menggunakan jalan belakang surau.

"Zam! Tolong!" jerit Awan tanpa henti.

Zamrud terhenti. Ingin dia memusingkan kepala tetapi hatinya berat. Dalam keadaan terpaksa, dia meneruskan langkah menuju ke tapak perhimpunan. Dia terpaksa mengorbankan Awan. Terpaksa!

Sebelum itu, dia perlu kembali ke tangga depan surau untuk mengambil semula beg sekolahnya. Dia tidak sanggup menyaksikan penderitaan Awan secara langsung. Tangannya dipanjangkan mencapai beg sekolah di tepi tangga surau senyap-senyap.

"Zamrud!"

Zamrud tersentak.

Langkahnya terhenti apabila dia terdengar seseorang memanggilnya. Yang pasti, bukan Firus. Suara Firus tidak semerdu suara tadi.

Seorang pengawas perempuan berdiri tidak jauh dari Zamrud. Zamrud memandang gadis itu sambil menggalas beg sekolahnya. "Ya?"

"Cikgu Shen cari kau."

"Bila?"

"Sekarang."

Sebelum Zamrud beredar, dia meletakkan semula bekal Firus yang disoroknya tadi ke dalam beg kertas. Senyap-senyap dia melarikan diri membiarkan Awan menderita. Menyahut amanah.

Firus menghantar Zamrud dengan ekor matanya. Matanya terhenti pada pengawas perempuan tadi. Mereka berbalas sengihan. Pengawas itu mengiringi Zamrud selaku ketua pengawas sekolah yang dikasihi lagi disayangi ke tapak perhimpunan.

Kini, fokus utama Firus adalah mencari Awan. Selepas kasut Awan dibaling, Awan berlari mencari Zamrud untuk menyelamatkan diri.

Firus berjalan ke arah tangga depan surau, Awan sedang menyorok di celah tembok. Di tangannya ada sebatang penyapu cuba menutupi sebahagian tubuh. Ingat budak kecil?

"Habis kasut aku. Belum lima hari, dah kotor. Firus, Firus .... Apa nak jadi dengan kau ni? Nama saja perempuan, tapi ...."

"Kau tengah cakap pasal aku ke, Wan?"

Awan tersentak. Dia tersepak penyodok sampah hingga terjatuh bersama semangatnya.

Lokasi persembunyiannya telah dijumpai. Mana tidaknya, tinggi Awan 171 sentimeter. Menyorok pula di celah tembok terbuka. Tempat letak peralatan berkebun. Ingat lebar badan sama lebar penyapu?

Tangan kanan Firus diseluk ke dalam poket baju kurungnya. Awan mengangkat kedua-dua tangannya ke atas. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya menghadap Firus.

"Jangan tembak aku. Aku tak bersalah," pinta Awan. Dia memejamkan mata. Takut menerima hukuman daripada Firus.

Dahi Firus kerut seribu. "Kau dah kenapa?"

Awan memeriksa batang tubuhnya. Tiada apa-apa.

"Alhamdulillah. Aku masih hidup! Terima kasih Allah!" jerit Awan.

Firus tersenyum kanyur. Dia mengepal sebiji penumbuk.

Jeritan Awan menarik perhatian beberapa pelajar yang sedang berjalan menuju ke tapak perhimpunan. Firus yang melihat situasi itu segera mendapatkan Awan yang sudah tidak mampu mengawal dirinya sendiri.

"Sini kau."

Awan takut-takut mengikuti arahan Firus.

Belakang surau menjadi destinasi Firus. Beg kertas Firus yang sudah koyak dipegang cermat. Di dalam beg kertas itu, masih ada dua bekal makanan.

Firus meletakkan beg kertasnya di atas meja. Bekal makanan yang calar-balar menarik perhatiannya. Dia mengeluarkan bekal itu dengan penuh berhati-hati. Penutup dibuka.

Awan pantas mencelah, "Aku tak sengaja! Jangan marah aku! Marah Zamrud. Salah dia!" ucap Awan membela dirinya.

Firus mengeluh panjang.

Nasi goreng, sandwic dan beberapa potongan ayam goreng sudah bercampur aduk. Kertas alas yang digunakan sudah berlumuran dengan sos cili. Sudahlah penat menyediakan sarapan pagi tadi belum hilang.

Awan melihat Firus masih menunduk.

Hatinya berat melihat kolam mata Firus mula bergenang. Belakang kepalanya dikusutkan. 'Jangan menangis. Jangan menangis. Tolonglah,' doa Awan dalam hati.

Usai Awan berdoa, Firus mencebik. Wajahnya merah menanti air mata mengalir. Awan longlai. Lututnya jatuh ke simen.

"Aku minta maaf, Firus! Aku minta maaf!" Sepuluh jari disusun. Awan mengintai Firus. Hatinya tidak tenang. Dia terpandang sesuatu.

Firus mengesat air matanya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Hendak marah lebih-lebih, dia tidak rajin.

Dia terlihat Awan sedang menarik sebuah baldi. "Sudahlah, Wan. Kau minta maaf siap nyanyi lagu P. Ramlee 'Maafkan Kami' tu, sampai esok tak selesai."

Awan yang baru bercadang untuk duduk bersila dan memukul baldi pantas membatalkan niatnya. Perlahan-lahan dia berundur dalam keadaan membongkok. Baldi tadi ditelangkupkan semula ke tempat asal.

Firus menarik nafas dalam-dalam lalu menghembus perlahan. Beg kertas dan bekal diambil semula. Dia bergegas meninggalkan Awan seorang diri.

"Eh, Firus! Sekejap! Kasut aku!"

Tangan Awan tergantung. Firus benar-benar meninggalkan dia seorang diri. Awan menyebak rambutnya ke belakang.

"Baiklah teman-teman. Macam mana aku nak berjalan? Sebelah kasut ada dekat pokok sana. Takkan nak berkaki ayam pula," omel Awan.

Dia melingas mencari sesuatu. Sepasang selipar milik surau sekolah menjadi sasarannya.

"Bolehlah. Sekejap saja. Rehat nanti ...."

Selipar surau disarung. Awan berjalan ke arah pokok di mana kasutnya masih tersangkut di dahan. Dia bercekak sebelah pinggang sambil menuding ke atas.

"Rehat nanti aku ambil kau! Jangan lari!"

Beberapa pelajar yang melihat keadaan Awan mula berbisik-bisik sesama mereka.


Previous: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Izatul Husna