5,119
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab Empat Belas

BAB 14

PANGGG!

“Papa?” Faheem meraba pipi. Wajahnya kehairanan. “Kenapa ni?”

“Kau dah makin kurang ajar, Faheem!!” melentingnya Datuk Nik Rasyid.

“Kurang ajar? Apa maksud papa, ni?” Faheem meraba pipinya. Bekas penampar Datuk Nik Rasyid sengal terasa hingga ke dalam mulut.

Datuk Nik Rasyid menghenyakkan punggung ke kerusi. Rasa geram terus cambah ke dalam diri. Pertanyaan Faheem dibiarkan seketika. Dikesatnya peluh yang menitis di dahi dan leher. Dia mencapai sebuah fail yang terdapat di atas meja. Dibeleknya dari satu persatu. Namun, dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja-kerja di depannya. Hatinya membara.

“Papa ni kenapa?” desak Faheem.

“Kau ingat, bila dah belajar hingga luar negara tu, boleh ke kurang ajar macam tu? Boleh ke tak hormat orang lain? Boleh ke buat sesuka hati kau?” Datuk Nik Rasyid kembali bangkit daripada kerusi dan merenung wajah Faheem. Geram.

Faheem mengerutkan dahi. “Papa, apa ni?”

“Orang macam ni tadbir syarikat? Orang macam ni nak jadi ketua? Orang macam ni nak kendalikan pekerja?” jerkah datuk lagi. “Boleh ke?”

“Apa yang papa nak cakap sebenarnya ni?”

“Tengok darah kamu tu Faheem. Merah tak?” pertanyaan Faheem dibalas dengan pertanyaan juga oleh Datuk Nik Rasyid.

Faheem acuh tak acuh.

“Sama tak dengan darah orang lain?” sinis suara datuk mengerling ke arah Faheem. Matanya masih mencerlang. Seperti mahu ditelan anak terunanya itu.

Faheem buat muka. Dia sudah menduga apa maksud papanya bila ungkapan itu terluah daripada bibir orang tuanya itu.

“Sama tak dengan darah Dija yang kamu tampar semalam tu?”

Faheem melepaskan keluhan. Dadanya mendidih. Betullah apa yang didugakan.

“Eh, mana papa tahu?” soal Faheem. “Ada informer ke?”

“Kalau Allah nak bukakan kekejaman seseorang tu, tak susah Faheem. Tak lama, setiap kejahatan akan terbongkar dengan mudah.” Perli datuk tanpa memandang wajah Faheem. Faheem mengetap bibir dengan geram. Wajah Dija jelas terbayang di mata. Kalaulah Dija ada di situ....

“Ha, dah mengadu dengan papa laa tu...” cebik Fahem. Meluat.

“Bukan Dija yang mengadu. Dia bukan seperti yang kamu sangkakan.” Marah datuk. “Tapi, kamu buat pasal tu kat ofis kita ni. Bukannya kat Afrika sana. Ramai orang yang boleh tahu perangai buruk kamu tu, Faheem! Banyak mata dan telinga yang boleh tahu tindakan kamu tu.”

“Papa ni suka sangat kepada Dija tu. Kenapa, pa?” soal Faheem kegeraman. Matanya mencerlung ke arah papanya. Dia benar-benar tidak puas hati.

“Yang kamu tak suka sangat kepada dia tu, kenapa? Darah tak sama merah? Dia bukan manusia? Dia tu penyangak ke? Dia tu pembunuh ke? Atau sebab dia tu hitam legam macam arang?” datuk menjeling ke arah Faheem. Dia makin geram.

Faheem mendengus.

“Pa, Faheem bosan la dengan sikap papa ni. Terlalu menangkan budak pulau tu, kenapa?” soal Faheem. “Papa nak buat apa dengan dia tu?”

“Nak buat menantu...!”

“Haaa?!” mulut Faheem melopong.

Datuk Nk Rasyid sempat menjeling ke arah Faheem yang melopong kerana terkejut. Dinosourpun tak terkejut macam tu.

“Nak buat apa, pa?”

DIJA melangkah longlai. Jiwanya benar-benar terluka kini. Semalam, dia mendapat habuan istimewa daripada anak bos. Faheem telah memberikan keperitan dan kepedihan buatnya. Entah kenapalah Faheem begitu membencinya. Dija mencari kesilapan dan dosanya terhadap Faheem. Tidak banyak salah yang Dija temukan. Sekadar sedikit perkara kecil, Faheem boleh mendendami sehingga saat ini. Malah, apa saja yang dia buat, Faheem akan melenting marah. Alangkah peliknya Si Faheem. Seorang anak muda yang begitu mudah melenting. Mudah marah. Mudah melepaskan geramnya.

Malamnya pula, Dija mendapat ugutan lagi. Suara sama yang pernah menghubunginya dua tiga hari sebelum itu. Lelaki yang mengaku telah menjahamkan motosikalnya. Lelaki itu menghubungi Dija lagi dengan ugutannya.

“Ohhhh, kau ni dah memang lebih, Budak Hitam.” Marah lelaki itu.

Darah Dija menyimbah ke muka lagi. Berseriau bila dia dengar suara itu.

“Kau ingat kau boleh selamat dengan motor baru kau tu?”

Dija tidak bersuara. Namun dadanya berdebar.

“Hari ini kau dapat motor baru. Mungkin esok lusa kau dan motor kau tu musnah lagi. Kalau kau dah memang tak dengar kata, aku akan bertindak lebih teruk daripada dulu.” Garangnya suara lelaki itu. Mencantas hati Dija.

“Hey, bos kau siapa, hah?” dalam rasa takutnya, Dija mulai naik angin.

Ketawa di hujung talian. Sinis kedengarannya.

“Aku akan buat report polis...” Dija bersuara. Tunjuk berani konon.

“Kalau kau buat report polis pun, belum tentu kau selamat. Sebab aku yang ekori kau setiap masa. Polis, tak!” perlian dan ejakan yang membuatkan Dija terkedu.

Memang benar kata-kata lelaki itu. Takkan polis akan mengekorinya setiap masa. Sedangkan penyangak itu dah tentu akan sentiasa meneropong setiap tingkah laku Dija. Darah Dija tersirap ke muka lagi. Berdebar. Siapakah agaknya yang sedang mengugutnya sekarang. Penyangak mana agaknya? Penjahat? Pembunuh? Perogol?

Masya Allah...

Nampaknya lelaki itu tahu semuanya tentang Dija. Mungkinkah dia juga tahu di mana Dija tinggal sekarang? Padahal selama ini tidak siapa yang tahu di mana dia tinggal. Kak Sal tak tahu. Marinapun tak tahu. Malah, teman-teman sekerja juga tak tahu di mana Dija tinggal. Sengaja Dija merahsiakannya. Dia tak ingin sesiapapun tahu tempat tinggalnya sekarang. Dia suka bersendirian tanpa orang lain tahu tentang tempat tinggalnya. Lebih privacy rasanya kalau dia bersendirian di rumah sewanya tanpa ada sesiapapun yang tahu.

Dia merahsiakannya sebaik mungkin. Marina sering juga mendesak agar Dija mengabarkan tempat tinggalnya. Dia ingin mengunjungi temannya itu dengan mudah bila hatinya rindu di hari minggu. Kak Sal juga sama. Sering bertanyakan soalan yang sama. Namun, Dija tetap membisu. Tetap merahsiakan tempat tinggalnya sekarang.

Tapi, sekarang?

Nampak gayanya malaun pengugut itu seakan dah tahu di mana tempat tinggal Dija. Dada Dija jadi gementar. Kalaulah benar penyangak itu tahu tempat tinggalnya sekarang, bermakna dia sudah tidak selamat lagi untuk terus tinggal di situ. Apakah yang harus dia lakukan sekarang?

Terus tinggal di situ?

Pindah dari situ?

Ataukah....?

Dija diburu debar memanjang. Takut menjalar ke dalam diri. Apalah malang nasibnya? Sering diburu oleh rasa duka dan hiba. Takut dan mendebarkan. Kalau di tempat kerja dia asyik berdebar kalau-kalau ada masalah baru dengan Faheem. Sekarang pula, dia sudah diburu oleh rasa takut terhadap penyangak tersebut. Kalaulah benar, penyangak tersebut adalah pembunuh upahan, tidak mustahil dia akan buat apa saja demi mendapatkan wang. Rogol sanggup. Bunuhpun sanggup. Menyamun apa lagi. Dada Dija terus pula dalam gementar. Ketakutan menyelubungi diri.

Betapa hebatnya dugaan!

Dija mengusap dadanya yang berdebar.

“Ya Allah, selamatkan hambaMu yang lemah ini.”

“Kenapa kau diam? Takut?” tiba-tiba Dija dikejutkan lagi dengan suara penyangak tersebut. “Kalau kau takut mati, baik kau jangan cari pasal dengan keluarga Datuk Nik Rasyid. Baik kau blah aje dari situ. Balik kampung kau lagi baik!”

“Hey, kau ni siapa sebenarnya?” marah Dija.

“Aku kan dah cakap. Akulah pembunuh upahan yang tak reti nak belas kasihan terhadap mangsanya. Aku tahu nak duit aje. Kalau perlu, kaupun aku bunuh, asal dapat duit. Rogolpun aku sanggup. Memang kerja aku macam tu!”

Dija berdebar lagi.

“Masya Allah...!” keluh Dija. “Kau tak takut mati?”

Kedengaran tawa yang kuat di hujung talian. Dija geram. Dia segera mematikan panggilan tersebut. Marah terasa. Tapi, takut lebih terasa.

Dija mulai berkira dalam diri. Dia mesti buat sesuatu. Samada berpindah dari situ ataupun tinggalkan syarikat Datuk Nik Rasyid. Tapi, kalau dia tak kerja dengan Datuk Nik Rasyid, di mana dia harus bekerja? Kalaupun dia kerja lagi di Kuala Lumpur, pastinya dia sudah tidak berani untuk tinggal di situ lagi. Dia mesti berpindah.

Panggilan itu datang lagi.

“KAU tanya aku tak takut mati ya?” soal suara lelaki itu. “Kau, takut tak?”

Dija ketawa mengejek. “Kalau dah Tuhan tentukan aku ni mati di tangan kau, ha, matilah aku. Tapi, kalau Tuhan tak izinkan, aku takkan mati. Bukan kau yang pegang nyawa aku.”

Eh, eh, beraninya aku!

Dija tersengih sendiri. Apa kes ni berlawan mulut dengan penyangak!

“Ohhh, cakap besar. Kau tunggu, aku datang ceroboh rumah kau nanti!”

“Aku sentiasa bersama Allah. Allah pulak takkan biarkan aku susah walaupun aku seorang diri!”

“Kau tengoklah nanti!” marah lelaki itu. “Barulah kau tahu, apa nasib kau!”

“Kau cakap dengan bos kau yang tak ada hati dan perut kemanusiaan tu, aku tak pernah takut dengan kejahatan manusia. Aku tak takutlah nak mati kena bunuh oleh orang macam kau. Tapi, kau dan dia kena tanggung setiap titis darah aku dan setiap dosa yang dah aku buat.” Marah Dija melepaskan rasa sakit hatinya.

Masya Allah, benarkah saat itu dia sedang berlawan dengan seorang penyangak? Aneh pula rasanya bila dia sudah dibekalkan dengan sebuah keberanian dengan tiba-tiba begitu.

“Bodoh!” marah lelaki itu. “Aku tak ada masa nak layan kata-kata bodoh kau tu. Aku ni bukan nak fikirkan sangat pasal dosa pahala tu.”

“Kau tak usah fikirkan pasal tu, kau cakap je dengan bos kau. Kalau dia orang lslam, ha, dia akan fikirkan jugak pasal dosa dan pahala. Kalau dia orang kafir, ha, aku harap dia insaf selepas dia suruh kau bunuh aku nanti. Manalah tau, kan?” sinisnya suara Dija.

“Kau memang bodoh!”

“Kau tu lagi bodoh. Cakap dalam telefon je berani. Ha, cuba kau datang berdepan dengan aku sekarang. Boleh jugak aku kenal wajah penyangak kau tu. Nasib baik, boleh jugak aku tengok rupa kau sebelum aku mati...”

“Ok, kau tunggu. Aku mesti datang!” ketawa lelaki itu membingitkan telinga. “Sebab aku memang nak berseronok dulu dengan kau sebelum kau mati.”

Dija berdebar. Kalau betul penyangak itu datang sekarang, apakah yang akan terjadi kepadanya? Ohh, Tuhan...

“Walaupun kau tu Minah Hitam, tapi kau tetap perempuan, kan? Rupa kau je buruk tapi bab ‘body’ kau memang mengancam habis. Boleh meleleh air liur jantan, kalau tengok lenggok kau tu.” Ada tawa yang amat sinis menyentuh gegendang telinga Dija. Berasap jadinya hati Dija bila mendengar perkataan kurang sopan begitu.

”So, apa salahnya kalau kita berseronok dulu, sebelum kau pulang ke syurga Tuhan?”

Sekali lagi Dija mematikan telefonnya. Dalam debar dadanya, dia mengambil wuduk lalu mengerjakan solat hajat dan solat tolak bala. Biar bala terkena kepada Mamat Penyangak itu. Juga kepada si pengupah mamat tersebut.

“Siapa agaknya bos dia?”

Dija tertidur dengan pakaian solatnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh