6,479
Kategori:
Genre:
Bab 1

AKU menatap sayu muka sendiri di dalam cermin. Persoalan demi persoalan menerjah benak fikiran.

Apa kurangnya aku?

Apa salah aku?

Apa dosa aku?

Kenapa dia buat aku macam ni?

Kerana zuriat? Baru lima tahun usia perkahwinan dan dia tak boleh bersabar?

Alasan. Ya, semuanya alasan dia.

Tak sedar air mata meleleh ke pipi. Tetapi, kali ini tanpa esakan. Hanya air jernih yang mengalir tanpa suara.

Perlahan tanganku naik mengesat lelehan air mataku. Aku pejam mata kejap. Nafas aku tarik dalam-dalam. Aku nak rasa tenang. Aku tak nak menangis lagi seperti sebelum ini.

Kalau aku menangis air mata darah sekali pun, status aku tetap takkan bertukar. Aku tetap di madukan. Ya, Kaiser dah kahwin dua. Tanpa pengetahuan aku.

Kaiser kata dia berhak dan mampu. Dan dia tak perlu minta izin aku. Lagipun, ia sunnah.

Ah, lelaki. Itu je lah modal nak pertahankan kesalahan sendiri. Guna agama untuk menutup salah.

Aku dah malas dan penat nak berbalah. Akhirnya, aku diam dan relakan. Biarlah dia menang. Penat nak menentang.

Tudung aku betulkan sekali lagi. Solekan diwajah aku rapikan. Comot sedikit dek kerana air mata yang meleleh tadi.

Hari ini, aku perlu bertemu dengan peguam aku. Nak berbincang tentang tuntutan cerai yang masih tiada jalan penyelesaian.

Kaiser tak nak lepaskan aku. Dia suruh aku terima takdir hidup. Kami tiada anak. Mungkin sebab tu akan menguatkan lagi alasan dia untuk berkahwin satu lagi. Dan aku, takda hak untuk meminta cerai. Berdosa besar katanya.

Aku terkenang muka Kaiser yang tenang sewaktu berbicara dengan aku tempoh hari. Riak lelaki itu membuatkan aku sakit hati.

"You takda hak untuk minta cerai. Segala nafkah you I lunaskan dengan baik. I cuma nak zuriat untuk sambung keturunan I. Tu je." Muka Kaiser tenang betul masa dia cakap hal itu pada aku.

Masa tu, aku dah macam orang gila menjerit-jerit marah pada Kaiser. "You suami tak guna!"

Aku serang dia. Pukul dada dia kuat-kuat. Tapi, Kaiser kekal tenang seperti tadi. Seolah-olah tak terkesan pun dengan makian dan kemarahan aku. Dia hanya cengkam pergelangan tangan aku dan minta aku berhenti dari memukulnya.

Teresak-esak aku hambur tangis dan cengkaman dipergelangan tanganku Kaiser lepaskan. Lalu, aku terjelepok terduduk ke lantai betul-betul dekat kaki dia.

Kaiser sikit pun tak pujuk aku sebab dia tahu aku tak makan pujuk.

"You kena terima hakikat yang I dah berkahwin lain." Suara Kaiser juga tenang. Macam takda apa yang berlaku. Ya, Kaiser bukan lelaki baran. Bukan lelaki jenis naik tangan. Aku akui, dia banyak bersabar dengan aku. Cuma, ego dia tinggi.

Perlahan aku angkat muka menatap wajah dinginnya. Lalu, aku bangun semula dan berdiri depan dia. "Aku akan buat tuntutan cerai. Aku tak peduli! Aku nak bercerai! Bercerai!" Aku mula tengking Kaiser.

Aku nampak muka Kaiser mula merah padam. Mungkin marah kerana aku tinggi suara padanya. Tapi, aku dah tak peduli. Apa yang aku tahu, aku nak bercerai dengan dia. Tu je.

Kaiser tenung muka aku dengan pandangan tajam. "I takkan ceraikan you," tegasnya. Nada Kaiser juga terdengar keras.

Aku marah, geram dan sakit hati bila dengar kata-kata Kaiser. Aku rasa nak tumbuk muka dia. Nak bunuh dia. Tapi, sedaya upaya aku kawal perasaan itu. Aku tak mahu jadi apa-apa tragedi yang akan memusnahkan hidup aku sendiri.

"You dah kahwin lain. Apa lagi yang you nak dari I, Kaiser???" Melengking suara aku tak nak kalah.

"I masih cintakan you. I harap you terima hakikat yang I tetap akan jadi suami you sampai bila-bila." Ujarnya dengan nada semakin keras. Ya, dia paksa aku terima takdir hidup aku.

Semudah itu?

Dia ingat hati aku ni apa?

Aku tak boleh terima. Aku akan tuntut cerai sampai dia ceraikan aku! Aku tak perlukan lelaki tak guna macam Kaiser!

Aku tersentak dari lamunan saat telefon bimbitku berbunyi. Skrin telefon aku tatap.

Kaiser.

Panjang umur dia. Kalau ikutkan malas nak jawab panggilan itu. Tetapi, aku perlu berbincang dengan dia untuk dapatkan kata sepakat supaya dia lepaskan aku dengan cara baik.

"Hello," suara aku alunkan dingin. Supaya dia tahu aku takda hati nak melayan dia. Semua kerana terpaksa.

"You masih nak buat tuntutan cerai?" Soal Kaiser. Suaranya kedengaran lemah. Tapi, aku tak peduli.

"Ya. I harap you boleh lepaskan I secara baik,"

Kaiser berjeda beberapa detik.

"I dah cakap yang I takkan lepaskan you." Sambungnya masih berdegil.

Aku hela nafas kasar. Geram dengan jawapan yang dia bagi. "You ni tamakkan? Nafsu tak pernah cukup satu?" Bentakku.

"Cakaplah apa pun, Ammara. I takkan lepaskan you. Muktamad!" Tegas Kaiser.

Dari alunan suaranya, aku tahu Kaiser takkan mengalah. Aku rasa sebal. Entah kenapa dia nak lagi simpan aku sedangkan dia dah ada isteri baru.

Betullah, lelaki ni tak pernah cukup satu!

Belum sempat aku teruskan kata-kata, Kaiser matikan talian. Aku ketap bibir menahan geram dan sakit hati.

Tak guna punya jantan!





AKU menikmati suasana di sekitar restoran yang terletak di KLCC. Air pancut yang sedang bergerak mengikut irama lagu membuatkan aku ralit seketika. Berwarna warni lampu yang terpasang di setiap air pancut itu.

Bibirku mengukir senyum nipis. Dulu, aku dengan Kaiser selalu berjumpa di sini. Sebab aku suka tengok air pancut. Sampaikan Kaiser cakap aku macam budak-budak.

Kaiser lagi? Entahlah, fikiran aku ni tak boleh buang nama tu. Apa tidaknya, hampir belasan tahun kami bercinta. Dari zaman belajar lagi. Sampailah ke jinjang pelamin.

Sepanjang kami bercinta, tak pernah Kaiser buat hal macam sekarang. Aku je suka melayan lelaki lain. Itu pun sekadar suka-suka. Sampai Kaiser beri amaran pada aku.

"Kalau you masih layan budak lelaki tu, kita putus. I takkan cari you lagi!" Ugut Kaiser.

Lepas ugutan tu, aku berubah. Hanya dia yang aku jumpa. Lelaki yang lain, aku dah tak layan walaupun hanya sebagai kawan. Aku tak nak bergaduh dengan Kaiser sebab aku sayang dia.

Aargghh.. Kaiser lagi? Otak aku ni tak henti-henti fikir pasal Kaiser. Ya, aku masih cintakan dia. Tapi, hati aku hancur dengan apa yang Kaiser buat pada aku.

"Sorry, I'm late!" Kata Haida yang baru muncul di situ. Terus aku toleh padanya sambil tersenyum tawar. "It's okay. Aku pun baru sampai," balasku.

Haida tarik kerusi lalu punggung dilabuhkan di situ. Dia tenung muka aku dengan pandangan sayu.

"Kau macam mana?" Soalnya memula bicara. "Macam ni lah," jawabku spontan. Entah, susah nak cakap apa yang aku rasa sekarang.

"Macam mana perbincangan kau dengan peguam? Ada jalan penyelesaian?" Soal Haida lagi.

Aku jungkit bahu. "Entahlah. Aku penat nak turun naik mahkamah. Peguam aku minta aku selesaikan secara baik dengan Kaiser,"

Haida terdiam. Dia renung muka aku.

"Kaiser pula bertegas tak nak lepaskan aku," sambungku lagi.

"Kau masih sayangkan Kaiser?" Soal Haida. Muka aku masih dia tenung macam tadi.

Aku lepaskan keluhan berat. Susah nak cakap apa perasaan aku pada Kaiser sekarang ni. Dan susah nak tipu apa yang ada dalam hati aku.

"Ya. Aku masih sayangkan dia. Dia tak pernah abaikan tanggungjawab dia pada aku. Tapi, hati aku ni hancur," luahku. Air mata mula bergenang.

Haida raih belakang tangan aku seakan beri kekuatan. Diramas lembut tanganku. "Kau boleh bertahan?" Soalnya.

Aku angkat kening sebelah tanda menyoal. "Maksud kau?" Soalku cuba meminta penjelasan.

"Bertahan dengan Kaiser. Hidup bermadu macam dia nak." Kata Haida dengan nada tenang.

Aku terpempan seketika. Macam tak percaya sahabat sendiri minta aku bertahan. Sedangkan dia tahu hati aku dah hancur dengan apa yang berlaku.

"Kenapa kau suruh aku bertahan? Sedangkan kau tahu aku kecewa macam nak gila dengan Kaiser!" Bentakku. Tangan yang Haida pegang tadi aku tarik kasar. Sakit hati dan marah bercampur baur.

"Betul kau nak bercerai dengan Kaiser?" Soal lain pula Haida ajukan pada aku. Makin buat aku tak faham.

Aku merengus perlahan. Pandangan aku alihkan ke arah lain.

"Aku tahu kau marah. Tapi, kau kena dengar apa yang aku nak cakap ni," ujar Haida. Dia duduk menyandar sambil berpeluk tubuh. Mata dia masih terpasak pada aku.

"Apa dia?" Soalku. Aku kembali menatap muka Haida. Senyuman penuh makna Haida buat aku tertanya-tanya.

Haida ni penuh dengan rancangan yang bernas. Dan rancangan-rancangan dia tak pernah mengecewakan aku. Tapi, kali ni segalanya melibatkan hati dan perasaan aku. Kalau rancangan dia kali ni buat aku terpaksa berkorban perasaan, entah aku sanggup atau tak.





AKU baring di katil sambil termenung sendiri. Kalau ikutkan malam ini, giliran aku bersama Kaiser. Tapi, aku dah tak peduli. Kaiser nak balik atau tak, aku malas ambil pusing. Walaupun aku rindu sangat pada dia. Tapi, lantaklah!

Fikiran aku beralih pada kata-kata Haida siang tadi. Hati aku berbelah bahagi. Haida suruh aku bertahan dengan Kaiser. Dia suruh aku layan Kaiser baik-baik. Jangan cepat merajuk. Jangan cepat melenting. Dengar je apa Kaiser cakap.

Aku bantah. Kaiser yang khianat aku. Curang pada aku, kenapa aku yang kena mengalah? Tak mungkin!

Permintaan Haida aku tentang habis-habis. Aku marah sampai aku tinggalkan Haida sorang-sorang dekat situ.

Ya, aku cepat melenting. Mulut aku bila bercakap memang berbisa. Terkesan sampai dalam hati. Haida kata aku kena ubah. Aku yang tersakiti, aku pula yang kena mengalah! Aku marah. Geram dengan Haida.

Kluk!

Pintu bilik aku dibuka seseorang. Aku dapat agak, pasti Kaiser. Sikit pun aku tak toleh pada dia. Sebaliknya aku terus turun dari katil. Muka dia pun aku tak pandang. Malas. Sakit hati.

Boleh dia balik sini macam takda apa-apa berlaku. Sedangkan hati aku ni dah remuk teruk sebab perbuatan dia.

Lelaki macam Kaiser memang takda hati dan perasaan!

Aku jalan melintasi Kaiser. Nak keluar dari bilik. Tapi, Kaiser raih lengan aku.

"Kita kena berbincang." Kata Kaiser dengan nada tenang.

Aku rentap semula tangan aku. Muka Kaiser aku tatap dengan penuh benci. "You nak bincang apa? Kalau you nak lepaskan I, kita bincang. Tapi, kalau you nak suruh I terima takdir dan hakikat yang I dimadukan, boleh pergi mati!" Jerkah aku.

Muka Kaiser berubah riak lepas dengar kata-kata aku. Rahangnya bergerak seolah menahan marah. Tapi, aku tak peduli. Sepatutnya aku yang marah, bukan dia!

"Mulut you ni semakin biadap dengan I kenapa?" Kaiser marah balik pada aku. Mata putihnya kelihatan merah.

Aku tak nak kalah. Memang biasa aku takkan diam. Aku akan lawan. Biar dua-dua sakit hati.

"You nak I hormat you? Pergi mampus!" Melengking suara aku pada Kaiser. Dada aku dah berombak kencang. Aku dah tak peduli apa yang Kaiser nak buat pada aku. Kalau dia pukul aku, aku akan buat report polis. Dan bukti tu aku akan guna untuk buat dia ceraikan aku.

Kaiser diam. Matanya masih tatap muka aku dengan pandangan marah. Aku tak peduli dan tunggu apa tindakan dia seterusnya.

"Kenapa? Nak pukul I? Pukul lah! Pukul!" Cabarku. Suara aku masih nada tinggi seperti tadi. Biar dia tahu yang dia tak layak dapat penghormatan sebagai seorang suami.

"Sebab ni lah. Sebab mulut you. Sebab perangai you dan kata-kata you buat I tak reda. Buat I cari perempuan lain." Perlahan sahaja kata-kata itu Kaiser ucapkan padaku.

Aku terpempan. Sebelum ni, tak pernah Kaiser luah pasal perangai aku. Dia banyak diam. Paling tidak bila kami bergaduh, dia keluar dari rumah. Lepas tu dia balik, dan bercakap dengan aku macam biasa.

"Kenapa baru sekarang you nak cakap? Kalau dah tahu, kenapa tak nak ceraikan I???" Suara aku makin tinggi dari tadi. Aku marah dan rasa tercabar dengan luahan dia.

Mentang-mentang dah ada isteri lain.

"Sebab I masih nak kan you. Lelaki mana nak kan perempuan yang bermulut lancang macam you? Tak reti hormat suami? Lelaki mana?" Suara Kaiser masih dengan nada tadi. Perlahan, tapi, cukup menusuk hati aku.

"You ingat you bagus sangat???" Tetap sahaja aku melawan.

"Kalau I tak bagus, I tak kahwin lagi satu, Ammara." Datar nada Kaiser.

"Lelaki tak guna. Dayus. Lelaki bodoh!" Makiku. Aku tumbuk dada Kaiser dengan kuat. Seperti biasa Kaiser biarkan aku lepas marah dengan cara begitu.

Aku berhenti bila penat. Kaiser sikit pun tak halang. Malah, dia hanya tengok muka aku dengan pandangan tenang.

Dada aku berombak kencang. Aku dah nekad tak nak menangis. Tapi, muka aku dah terasa berbahang. Melihat sahaja muka Kaiser yang tenang itu, aku jadi sakit hati.

Pandangan mataku dah kabur. Air mata dah bertakung. "Kenapa you buat I macam ni?" Lirih suara aku bertanya. Sedih di hati dah tak dapat nak tahan.

"Sebab you tak pernah hormat I," datar sahaja nada Kaiser menjawab.

Aku tak percaya. Sebelum ni dia tak pernah cakap atau luahkan hal ni pada aku. Tapi, kenapa sekarang? Kenapa tiba-tiba? Itu semua alasan dia. Nak tutup salah sendiri.

"You memang saja nak tutup salah you dengan salahkan I?" Soalku. Tak berkelip mata aku tatap muka Kaiser. Air mata tak usah cakap, meleleh tak henti-henti.

"You memang patut muhasabah diri. Supaya you tahu apa kesalahan you pada I. I suami, I berhak dan mampu kahwin lebih dari satu. I masih balik sini untuk tunaikan nafkah zahir dan batin I pada you." Tutur Kaiser satu per satu.

"I balik sini, I tak nak bergaduh dengan you. I nak kita bincang apa yang you nak sebagai isteri pertama. Bukannya I nak lepaskan you. Sampai bila-bila pun, you tetap akan jadi isteri I yang pertama. Faham?" Ayat terakhir ditekan dalam.

Kaiser cuba dorong aku ke katil. Tapi, aku tolak kasar tangan dia. "I tak nak bincang. I nak bercerai! Ceraikan I!" Masih sahaja aku membentak Kaiser.

"Ammara... I dah cukup sabar dengan you ni. Jangan sampai I naik tangan pada you," suara Kaiser mula tinggi.

"Pukul lah kalau you dah tak sabar sangat. Pukul!" Aku cabar Kaiser.

Tapi, macam selalu, Kaiser takkan berani naik tangan dia pada aku. Dia cuma merengus kasar dan terus keluar dari bilik kami.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.