Home Novel Kanak-kanak SAYA BUKAN PENCURI
SAYA BUKAN PENCURI
Mat Lawi Hassan
19/12/2019 12:06:52
60,137
Kategori: Novel
Genre: Kanak-kanak
Bab 4

PERITNYA  MENIKAM HATI

Cerita anting-anting Nadia dijumpai dalam beg sekolah Hanafi heboh satu sekolah. Siapa penglipur laranya tidak diketahui. Masing-masing ada cerita versi sendiri. Ke mana-mana Hanafi pergi, pasti ada di kalangan murid-murid yang berbisik. Malah ada yang melebih-lebih pula dan mengejek-ejeknya.

“Agak-agak kau la Khairul, sepasang anting-anting ni cukup tak untuk sepasang kasut bola?” laung Fauzi sambil mengerling ke arah Hanafi yang sedang membelek-belek buku Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.

“Bukan setakat kasut bola, jersi bola yang ori pun cukup… hahaha…” sahut Khairul, sinis. Diiringi suara ketawa mengejek mereka berdua.

Hanafi hanya membisu, Razak memandang ke belakang. Belum pun sempat Razak bangun untuk bersuara, cepat-cepat Hanafi pegang bahunya sambil menggeleng-geleng.

“Wow, dah pakai loyar laFauzi…” pekik Khairul. Mereka ketawa terbahak-bahak lagi.

“Hahaha… loyar 20 persen la tu,” sampuk Fauzi sambil mengesel-gesel tapak ibu jari dengan tapak jari telunjuk. Mereka ketawa berdekah-dekah dan menepuk-nepuk perut.

“Pi, mereka dah melampau. Kau boleh sabar lagi,” bisik Razak. Tangan kanannya digenggam erat dan kemudiannya dihayun ke tapak tangan kiri.

“Biarlah mereka menyalak, yang aku tahu… aku bukan pencuri. Aku tak sentuh pun anting-anting Nadia tu,” balas Hanafi. Matanya masih melekat pada buku di atas meja.

Di dalam hatinya masih mengharap agar ada petunjuk yang boleh membuktikan dirinya tidak bersalah. Walaupun sindiran yang selalu diterimanya amat melukakan hati, namun dia cuba untuk tidak membalasnya. Selagi dia berdaya akan digagahinya untuk melindungi keperitan yang sedang dihadapinya itu.

Sesekali dia cuba mengerling ke arah Nadia yang berada di sebelah bangkunya. Gadis sunti itu hanya diam membisu dan buat-buat pandang ke arah hadapan. Hanya gadis itu yang boleh membuktikan dia tidak bersalah. Tetapi gadis itu dilihatnya seakan-akan turut menuduhnya melakukan perkara yang diatidak buat. Dia tidak salahkan Nadia kerana dia tahu kalau dia di tempat Nadia,mungkin sikapnya pun begitu. Masakan tidak, anting-anting itu dilihat berada di dalam beg sekolahnya.

“Razak, ngapa kau masih percaya pada aku padahal kau tahu anting tu berada dalam beg aku semasa spot check  hari tu?” tanya Hanafi separuh berbisik.

Razak yang berada di sebelah kanannya memandang tepat ke dalam mata Hanafi. Dia merenung tanpa berkedip. Hanafi jadi serba salah, lalu menolak Razak.

“Ha… sebab mata kau membuktikan bahawa kau jujur,” tutur Razak separuh ketawa.

“Kita ni kan dah lama berkawan, aku kenal kau Pi. Kita kawan dari Tahun Satu lagi,” sambung Razak sambil menumbuk perlahan ke bahu Hanafi.

Hanafi menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya, pada ketika adamurid-murid di kelasnya memulaukan dia. Razak masih ada, berdiri di sampingnya.Namun, dia tidak terlalu berharap.

“Hey Nurin, aku dengar ada orang nampak Hanafi masuk ke kelas semasa semua orang kat padang hari tu,” beritahu Azimah, rakan sekelas Hanafi semasa di tandas.

“Ha… ah la… aku dengar pun gitu,” sahut Nurin.

Hanafi yang kebetulan melintas di situ berpatah balik. Dia berlari-lari dan berhenti di bawah pokok bunga tanjung yang berada di tepi Makmal Komputer. Dadanya kembali sebak. Sememangnya, semenjak peristiwa anting-anting itu hatinya tidak tenteram. Dia asyik termenung. Namun, dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah. Mungkin kerana kes itu dalam siasatan. Mungkin juga kerana masa ayah dan maknya  banyak dihabiskan di ladang, juga di rumah.Ayahnya itu bukan jenis yang gemar bertenggek di kedai-kedai kopi. Mungkin juga kerana rumahnya terlalu jauh dari penempatan orang ramai.

Dia tidak mahu ayah dan maknya tahu benda yang tidak benar. Diatidak lakukan dan dia tidak mahu ayah dan maknya runsing kerana dia. Dalam diam, dia sering berdoa agar kebenaran dapat dibuktikan walaupun setelah dia meninggalkan sekolah ini.

Umpama panas setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau,begitulah Hanafi ketika ini. Semua mata yang memandangnya dirasakan semacam mencari celanya. Tiada lagi kebaikan yang tampak pada dirinya. Masing-masing bercakap pasal sesuatu yang dia sendiri tidak tahu kebenarannya. Hanafi dihukum sebelum dibicarakan. Suasana ini benar-benar menikam hatinya. Peritnya terasa menjalar ke seluruh tubuh. Suara hatinya pula sering meracau dan merayu-rayu agar dia lari jauh dari semua petaka ini.

Jiwanya mula memberontak, semua pandangan guru terhadapnya dirasakan seumpama mengejek. Hilai tawa rakan sekelas dirasakan bagai lurus-lurus sumpitan yang sentiasa mencari helah bagi mengenakannya. Semua yang dipandangnya seolah-olah sedang mentertawakan.

Semalam, dia didenda cikgu sains kerana lupa bawa buku tulis. Hari ini dia diminta berdiri di atas kerusi kerana dikatakan mengelamun semasa cikgu matematik sedang mengajar. Semua ini tidak pernah berlaku kepadanya dahulu. Namun,dia akur, kerana dia tahu itu memang salah dirinya yang hilang tumpuan ketika ini.

Kalau dahulu pada awal pagi dialah tukang buka pintu, tukang buka lampu, tukang padam contengan di papan hijau. Keadaan berubah kini, dialah tukang cabut kemuncup di padang, tukang kutip sampah di kaki lima kelas kerana didenda datang lewat.

Semenjak keluar dari Bilik Guru Besar tempoh hari, dia dapat merasakan seolah-olah dirinya telah dihumban ke laut. Terkapai-kapai sendirian dan  hanya sempat berpaut pada sebatang putung hanyut yang membawanya ke sebuah pulau nun jauh. Semua di sekelilinginya terlalu asing. Dan putung itulah Razak, sahabatnya itulah yang tidak cuak dengan berbagai gelombang malah sentiasa bersamanya.

“Hanafi…” Hanafi tersentak. Dia kenal benar suara itu. Suara yang tidak pernah bertukar nada. Suara yang sentiasa membenamkan segala keperitan hidupnya kini. Namun, dia sedar, tidak selamanya suara itu mampu membantunya.Tidak selamanya suara itu dapat memujuknya.

Dia masih bungkam dan mukanya masih tunduk memandang buku yang terbuka di atas meja. Dia masih ragu dan tidak berani memandang.

“Hanafi…” Cikgu Munirah menyapa lagi, tangan kanannya menepuk lembut bahu Hanafi.

Hanafi merasa teramat bersalah kerana membiarkan cikgu sebaik Cikgu Munirah bercakap sendirian. Perlahan-lahan dia mendongak.

“Cikgu faham kenapa Napi bersikap begini,” ujar Cikgu Munirah lembut,selembut wajahnya.

Cikgu Munirah menarik kerusi dan duduk menghadap Hanafi. Semua murid Kelas 6 Kekwa sudah keluar rehat. Razak pula dibawa guru bagi mewakili sekolah dalam pertandingan pidato. Cikgu Munirah sengaja mencari peluang seperti ini kerana dia tidak mahu ada murid yang mencuri dengar perbualannya.

“Cikgu percaya, itu semua bukan kerja Napi. Mungkin ini hanya ujian untuk Napi,” pujuk Cikgu Munirah. Dia hanya memerhati Hanafi yang masih tunduk,bungkam.

“Apa yang cikgu harapkan dari Napi, jangan putus asa berdoa. Allah Maha mendengar doa hamba-Nya. Lebih-lebih lagi… hamba-Nya yang teraniaya,” kata-kata Cikgu Munirah itu mula menyentuh hati Hanafi.

Hanafi menyeka air mata yang mula menitik ke muka buku yang terhampar di mejanya. Wajah Cikgu Munirah dipandangnya.

“Tapi… cikgu… saya tak mampu…” Hanafi cuba bersuara sambil menahan sebak.

“Cikgu akan bantu,” sela Cikgu Munirah. Bebola matanya tepat memandang Hanafi.

Cikgu Munirah turut empati dengan tekanan yang dirasai Hanafi. Apa yang ada di dalam rekodnya. Dan apa yang dia tahu sepanjang dia mengajar di kelas Hanafi. Hanafi seorang pelajar yang bijak dan suka menolong. Dia tahu tentang  kemiskinan keluarga Hanafi kerana dia pernah berbual dengan emak dan ayah Hanafi semasa Perjumpaan Ibu bapa Murid-murid Tahun 6. Dia turut terkejut dengan pencapaian akademik Hanafi yang terjejas teruk. Sebagai guru dan juga sebagai seorang ibu kepada tiga orang anak. Naluri keibuannya seakan-akan mendesak dia untuk mencari jalan bagi membantu Hanafi. Kanak-kanak yang sedang berada di hadapannya ini terlalu istimewa baginya. 'Allah menguji seseorang insan itu dengan ujian yang mampu dihadapinya' dan itulah kalimah yang dipegangnya selama ini. 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Mat Lawi Hassan