Home Novel Fantasi Meneroka Alam Bunian
Meneroka Alam Bunian
Fazella Nazeera
17/8/2018 22:40:37
25,186
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 2


  Keadaan di dalam kelas itu begitu hingar-bingar kerana ketiadaan pensyarah yang sepatutnya sudah masuk mengajar pada waktu itu. Ada yang sibuk menyanyi, ada yang sibuk bermain game di telefon bimbit, ada pula yang mengusik teman-teman yang lain. Perangai mereka semua tak ubah seperti perangai pelajar sekolah menengah yang baru meningkat usia remaja. Padahal semuanya sudah melepasi zaman itu. Ditambah pula dengan lantunan muzik Alan Walker yang bergema melalui corong speaker yang disambungkan ke arah komputer riba, menambahkan lagi keriuhan di dalam kelas itu. 

  Husna melilau mencari tempat duduk kosong sambil matanya meliar mencari kelibat Reza. Satu per satu wajah yang berada di situ ditenung. Wajah mereka semuanya kelihan pucat lesi bagai ditoreh tak berdarah. Anemia ke? Tanya Husna dalam hati. 

  “Hisy, mana pulak pergi Reza ni? Cepat betul dia lari!” Keluhan kasar terlontar dari mulut Husna. Begitu ralit dia mencari imbasan wajah Reza di ruangan kelas empat segi itu. 

  “Pssstt.. Sinilah” laung Reza sambil melambai-lambaikan tangannya memanggil Husna. 

  Pandangannya kini menyorot ke arah Reza. Dia menghembus nafas lega bila wajah Reza sudah menyapa ruang matanya. Dia menapak laju menghampiri Reza yang duduk di hujung sudut kelas itu sambil tersenyum kelat. 

  Husna menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di sisi teman baiknya itu. Baru hendak berborak kosong dengan Reza, matanya tertancap tajam pada dua pelajar yang melanggarnya tadi. Mereka duduk benar-benar di hadapan meja mereka. Husna mengetap bibir menahan geram. Senyuman yang terukir di bibirnya tadi segera mati. Hatinya sudah dipenuhi dengan rasa benci. Kalau hendak diikutkan kata hati mahu sahaja dia mencakar-cakar wajah dan menghempas kuat kepala mereka menggunakan buku berkulit keras. Boleh pulak dapat kelas yang sama! 

  Begitu lama Husna memandang ke arah Faiq dan Azra yang sibuk berbual sesama sendiri. Dia membebel seorang diri sehingga air liurnya menjadi kering. Hatinya masih sakit dek perbuatan tidak bermoral mereka tadi. Agaknya, di rumah mungkin Husna asyik membebel sehingga Reza berasa bosan mendengarnya. 

  Reza hanya memerhatikan sahaja wajah Husna dengan kerutan di dahi. Dia mengalih pula pandangan, sekejap ke arah Husna sekejap ke arah Azra dan Faiq. Dia sudah dapat meneka apa yang sedang bermain di kotak fikiran teman baiknya itu. Bukan baru sehari dia kenal perangai Husna.  

  “Hoi, pandang apa?” jerkah Reza. Dia ketawa kecil melihat Husna yang terperanjat beruk umpama baru direnjat elektrik. 

  “Kurrrr semangat!” sambungnya dengan wajah masam mencuka. Husna mengurut-ngurut dadanya menahan sabar dan cuba menenangkan diri. Mahu terputus urat jantungnya dijerkah begitu. 

  "Kau ada masalah dengan dorang berdua tu ke?” bisik Reza perlahan. Tidak mahu perbualan mereka diketahui. Kerusi di tarik sedikit untuk memberi ruang dia bercakap dengan Husna. Hati kecil cuba meneka perkara yang menyebabkan teman baiknya itu runsing.

  Husna buat muka bodoh. Cuaca yang agak diingin di dalam kelas itu menyebabkan dia menguap kecil. Tanpa sebarang respons, dia hanya mendiamkan diri. Merajuk punya pasal, lebih baik dia diam. Nanti tak pasal-pasal dia ditembak soalan yang sama. Dia malas mahu menjawab sebarang soalan ketika itu. Fikirannya masih melayang jauh memikirkan kejadian tadi. Jika diikutkan, keadaan di dalam kelas itu sama sahaja seperti perasaannya yang sakit. Sakit umpama ditusuk duri landak. 

  “Jangan-jangan kau yang dulu buat masalah dengan dorang kan? Tak elok marah-marah nanti muka cepat berkedut" pancing  Reza. kening dijongket ke atas. Langsir disisinya diselak sedikit, membenarkan cahaya dari luar menerobos masuk ke dalam ruangan itu. 

  “Ah, diamlah! Kau pun apa kurangnya. Marah berhari-hari”

  “Yalah tu, macam aje aku tak kenal perangai kau. Lagipun, nampak sangat dorang tak salah. Kau yang salah. Betul tak?”  sambung Reza lagi. Ada nada memerli disitu. 

  “Yang kau sibuk sangat ni kenapa! Dah, aku malas nak cakap pasal tu lagi” Bentak Husna lalu mengherotkan bibir tanda menyampah. Tak kuasa nak beberdebat. Lebih-lebih lagi pasal budak dua tu. 

  “Okey, okey. Rilekslah. Jangan marah. Nanti tak comel. Cuba senyum sikit” Dagu Husna yang runcing dicuit beberapa kali. 

  Husna menyimpan senyum, terasa bahagia dengan perbuatan Reza. Memang pandai betul dia memujuk. Tapi kenapa dia beria-ia sangat nak nempertahankan budak dua ekor tu? Tiba-tiba sahaja terluah persoalan itu dari mindanya. 

  “Fahmi Reza, boleh aku tanya kau sesuatu?” soal Husna dengan nada mengada-ngada. Lagaknya persis perempuan berambut blonde yang miang seperti dalam movie hollywood. Dia berpaling ke sisi kiri, memandang Reza yang sudah mengubah posisi duduk bersandar santai sambil menekan-nekan skrin telefon bimbitnya. 

  Reza tertawa kecil. “Amboi, siap nama penuh lagi kau sebut. Apa dia? Tanya aje. Tapi jangan tanya aku soalan yang sama. Penat nak jawab”

  “Budak dua tu kawan kau ke? Kenapa aku nak kenal? Kan dah lama kita berkawan. Aku tak pernah pun nampak kau bergaul dengan orang lain. Lagipun setahu aku, memang kau melekat aje dengan aku kat kolej ni” Husna terus mengasak Reza dengan persoalannya. Dia sudah berasa sangsi, pasti Reza cuba menyembunyikan sesuatu darinya. 

  "Entah, aku pun bukan kenal sangat dorang tu. Selalu je dengar orang sebut nama dorang. Ada masalah besar ke? Macam beria sangat kau nak tahu ni” tanya Reza sambil menongkat dagu menggunakan siku di atas meja. 

   “Ohh. Takde apa-apa lah. Tanya aje. Manalah tahu kau curang” jawab Husna bersulam ketawa. Sambil itu dia membuka zip beg komputer riba dan mengeluarkannya. Komputer riba itu dikuak ke atas lalu butang on ditekan.

    “Aku dengar dorang tu gangster. Kau tak takut ke? Nanti habis kau kena belasah. Ha, baru padan muka kau nanti” bisik Reza perlahan. Cara bercakap dah tak ubah macam makcik bawang. Takkan terkena virus nitizen pula?

   “Maaf encik Reza. Kau salah orang kot. Tak berjaya pun kau nak takut-takutkan aku” jeling Husna selamba.

  Reza tersengih-sengih. Nampaknya, jerat tak mengena. 

  “Eh, kau ada nampak kereta polis dan ambulan ke tadi?” Soal Husna sambil menghadap komputer riba. 

  “Ada, tapi tak nampak dekat sangat. Ada kemalangan ke? ” 

  “Kau rasa?” sengih Husna sambil menjongket kening sebelah. 

  Reza buat muka selamba. Malas dia hendak berteka teki. Spontan, matanya ligat memerhati ke setiap sudut di dalam kelas itu. Semua wajah di dalam kelas itu ditenung lama. Sangat memukau untuk dia berfikir secara waras. Macam ada yang tak kena? Desis hatinya. 

  “Reza, tolong aku sambung wayar ni kat suis tepi tu” Pinta Husna namun Reza masih dengan dunia khayalannya. Langsung tidak mahu menjawab. 

  Apesal pulak mamat ni! Buang tabiat betul! Getus hati Husna. Dengan perasaan bengang, timbul niat jahat mahu mengejutkan Reza yang masih seronok melamun. Pasti dia terkejut nanti. 

  “Hoi Reza!” tubuh itu digoncang keras. Reza tersentak dengan jerkahan kasar itu. Matanya tiba-tiba celik. Serta merta semuanya terbang melayang pergi dibawa angin. 

  “Ish, panggil elok-elok lah! Mengada betul kau ni” tegur Reza kasar. 

  “Kau yang buat pekak aje. Salah aku pulak” Husna mencebik. Baru seronok mengenakan Reza kini dia pula dimarah semula. Cis! 

  “Ah, bising lah! Rimas aku” Marah Reza. Tiba-tiba sahaja naik angin. 

  “Yang kau naik angin tiba-tiba ni kenapa? angin takde, ribut takde, tak pasal-pasal aku kena tempias. Memang sial lah hari ni!” rungut Husna dengan nada kesal. 

  “Ha, inilah perangai kau yang aku tak suka! Aku cakap elok-elok kot, kau terus nak merugut. Tak faham betullah aku!” bidas Reza, tegas. Dia menghentak meja sekadar menakutkan Husna. Hendak memarahi temannya itu secara berlebihan, tak sampai hati pulak. 

  Husna terdiam. Malas hendak membidas lagi. Dalam situasi itu dia hanya perlu membiarkan Reza tenang sendiri. Mungkin dia sedang menghadapi keadaan yang sukar? Mungkin jugak. Husna cuba membuat andaian sendiri. 

  Husna memalingkan wajah ke arah skrin komputer ribanya. Lincah tangannya menggerak-gerakkan tetikus laser optik tanpa wayar di atas permukaan meja keras dan rata. Fail kerja dalam bentuk microsoft office word ditekan beberapa kali sehingga berlayar di skrin komputer riba itu. Mulut  tertutup rapat. Tidak mahu bersuara. 

  “Ehem. Ni apa bising-bising ni”  jerkah Mr Lim. Suara garaunya agak tenggelam dengan suasana hiruk-pikuk di dalam kelas itu namun masih boleh didengar dengan jelas. Kelam kabut pelajar lelaki yang sibuk bermain game, mengambil posisi duduk di tempat masing-masing. Pelajar-pelajar perempuan yang tadinya sibuk bercerita mengenai drama tv3 secara berkelompok sekelip mata menjadi senyap dan sepi. Pada ketika itu hanya bunyi compressor penghawa dingin dan kipas penghawa dingin sahaja kedengaran, bergerak ke atas dan ke bawah menyimbahkan angin sejuknya ke dalam ruangan itu. Suasana yang hingar-bingar di dalam kelas itu tadi seolah-olah dikelukan oleh suatu kuasa magik. Kini, suara pelajar dari kelas jurusan perhotelan melalak dari kelas sebelah jelas kedengaran membingitkan telinga. 

  "Baru sekejap, dah macam monyet” Sindir Mr Lim sambil mengatur langkah bergaya menuju ke arah meja paling hadapan yang menempatkan tempat duduk seorang pensyarah. Beg kulit kerja di letak kemas di atas meja sebelum melabuhkan punggung di atas kerusi empuk berwarna hitam. Projector disambungkan dengan komputer riba. 

  Dia memerhatikan setiap wajah pelajarnya yang hadir di dalam kelas itu. Mahu memastikan pelajarnya sudah cukup supaya dapat memulakan kelas seperti biasa.  Kacamata bertali merah melorot hingga ke puncak hidung. Namun bola matanya terhenti di suatu sudut. Dia memandang tepat ke arah Reza yang sudah tersipu-sipu mahu menyorok wajahnya dari dilihat.

  “Hai Reza buat apa kat sini? Kamu sesat ke?” sindir Mr Lim memerli. 

  “Er... Er..” gumam Reza. Lidahnya menjadi kelu untuk berbicara. 

  “Kenapa minggu lepas tak hadir? Kamu pergi mana” Soal Mr Lim berbasi. 

  Reza hanya tersengih. Pura-pura tidak faham soalan yang dikemukakan Mr Lim. Tapi sejujurnya dia sudah malu kerana di soal di hadapan rakan sekelasnya yang lain. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Mereka memandang Reza dengan wajah yang hairan. 

  "saya....Saya...."

  "Lain kali kalau nak cuti hantar surat kat pejabat. Kamu tak boleh ponteng kelas sesuka hati walaupun satu hari. Kamu dah tahu ke tugasan berkunpulan yang saya beri minggu lepas?” cantas Mr Lim lagi namun nadanya agak tegas. 

  Reza hanya tunduk kerana malu.. Faiq yang perasan dengan tingkah laku Reza segera memalingkan tubuhnya lalu meletakkan beberapa keping kertas di atas meja Reza. 

  “Nah, ambil ni” kata Faiq perlahan. 

  "Ape ni?” Soal Reza. Matanya sudah tertancap pada huruf-huruf yang tertulis di atas helaian kertas itu.

  "Kau baca dulu, baru kau tahu. Aku lupa nak bagi tadi”  ujar Faiq. Dia mengherot pulak pandangan ke arah Husna yang sibuk menekan-nekan keypad komputer riba. Tadi tak nampak sangat wajah Husna kerana koridor itu agak gelap. Menyesal pulak bergaduh dengan awek cantik. 

  “Apa tengok-tengok?” tanya Husna apabila dia menyedari Faiq asyik memandangnya. 

  “Takde!” jawab Faiq perlahan. Serta merta tubuh dipusing menghadap ke hadapan. Dia jadi gelabah. Degupan jantung tiba-tiba menjadi laju. Hatinya sudah bagai dipalu irama merdu. 

    Reza mencapai kertas yang berada di atas mejanya lalu membelek kertas itu dengan teliti. Dia membaca satu per satu isi kandungan kertas yang bertulis:

  Projek akhir tahun. Semua pelajar diwajibkan melibatkan diri untuk projek akhir tahun ini. Pelajar dikehendaki mencari maklumat terperinci mengenai alam sekitar yang terdapat di dalam hutan. Disarankan meneroka sendiri hutan yang terdapat di Malaysia. Projek ini dilakukan untuk menyokong sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang akan disambut tidak lama lagi. Objektif untuk projek ini bertujuan memberi penekanan terhadap kesedaran penjagaan alam sekitar juga memahami akan kepentingan hutan. Alam sekitar yang dimaksudkan adalah ekosistem di dalam hutan, laut, sungai malah gua sekali pun. Kumpulan yang mendapat markah tertinggi akan menerima anugerah Kelestarian Hutan dari kerajaan serta wang tunai dua ribu ringgit. 

  Dengan itu, pihak kolej dengan berbesar hati tidak bertanggungjawab atas segala kerosakan mahupun sebarang kecederaan yang menimpa pelajar sepanjang projek ini berlangsung. 

  Ahli Kumpulan. Fahmi Reza, Azra Athirah, Muhd Faiq, Raihana Husna dan Amran Fakhriy. 

  Begitu tekun Reza membaca setiap patah perkataan pada helaian kertas tadi. Sesekali dia mengangguk sambil mengurut-ngurut gugusan jangggutnya yang tumbuh di dagu dan pipi. Asyik leka membaca, tiba-tiba sahaja Husna merampas kertas itu dari tangannya.

  “Meneroka hutan? Ish biar betul projek ni. Macam takde tajuk lain aje prof suruh buat” Omel Husna seteleh habis membaca isi kandungan kertas tersebut. Namun apa yang paling cepat ditangkapnya adalah nama Faiq dan Azra.

  “Apehal kau ni! macam tak boleh tunggu aje, tak sopan lah macam ni, Husna!” tegur Reza sambil mengetap bibir geram. 

  “Itupun kau nak marah” Kertas tadi di hulurkan semula pada Reza yang wajahnya sudah berubah menjadi tegang. Reza hanya menjeling dengan malas. 

  “Azra Athirah dan Muhd Faiq tu yang mana?” tanya Husna ingin kepastian. 

   “Tu..” laju Reza memuncungkan bibirnya ke arah dua pelajar yang duduk di hadapan meja mereka. 

  "Aduhai, Lebai malang! Apelah nasib kau hari ni" tutur Husna dengan nada memerli. Memerli diri sendiri. 

  “Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Sampai bila nak berdendam? Tak payah ego sangat. Bermaafkan kan lebih baik. ” Reza cuba memberi nasihat ringkas. 

  Husna membisukan ddiri Pandangan matanya tidak lepas mengekori gerak geri Azra dan Faiq. Husna cuba berfikir sejenak. Makin dia cuba singkirkan perasaan marah itu, makin sarat beban rasa yang terpaksa dipikulnya. 


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Fazella Nazeera