Home Novel Cinta YUMEJIMA
Bab 2

Berbalik kepada kisahku di Dejima, dari iklan itu, aku mendapat tahu sebuah syarikat sedang merekrut ahli rombongan pelayaran ke sebuah lombong emas di sebuah pulau yang tidak didedahkan namanya. Rombongan tersebut ingin mencari orang yang pandai bertarung dan pandai melombong.

 

Aku tidak tahu melombong emas, namun aku tahu serba-sedikit kaedah melombong belerang dari Azusa. Tapi yang aku pasti, aku tahu bertarung. Itu sudah terbukti. Kami pernah membantu Maharaja. Tanpa berlengah, aku memohon untuk menyertai, dan kami diterima mudah.

 

Aku sedar risiko yang bakal dihadapi. Aku paling membimbangi Hisamiko kerana dia seorang sahaja wanita dalam rombongan itu. Aku harus sentiasa bersamanya. Aku harus pastikan bahawa dia tahu di mana dia harus mengeluarkan kemahiran bertarungnya jika keadaan menuntut.

 

Kami berdua melindungi wajah dengan topi kon yang besar seperti samurai ronin. Kami cuba mengasingkan diri dari ahli-ahli rombongan yang lain. Hisamiko senantiasa bersamaku ke mana sahaja kami berjalan di dalam kapal tersebut. Hisamiko hanya akan membuka topi kon tersebut apabila berada di tempat tersorok.

 

Azuchi masih bersama kami, sehinggalah kami berlayar agak jauh dari pesisir di Dejima. Waktu itu, ia mulai datang rapat dengan Hisamiko dan menuturkan sesuatu dalam bahasanya. Hisamiko kulihat mengalirkan air mata sambil mengusap jemalanya. Burung itu memandangku dan Hisamiko dengan wajah sayu. Aku kebingungan. Ia terbang dan tidak lagi menoleh, menghala ke Jepun. Aku bertanyakan Hisamiko, dan dia memberitahuku Azuchi tidak boleh meninggalkan Jepun lebih dari jarak di mana mereka berada sekarang di tengah samudera. Ia akibat sihir Amaguri yang menuntutnya sentiasa berada di Jepun. Aku faham. Maka dengan terputusnya Hisamiko dari Azuchi, dia tidak lagi dilindungi hayabusa-no-kami. Berdasarkan penjelasan Shinji yang menafsir buku ramalan Amaguri, ia petanda bahawa Hisamiko telah secara rasminya dianggap oleh kami itu tahu melindungi dirinya sendiri. Hisamiko telah mencapai tahap petarung yang tidak lagi terkalahkan. Aku gembira bercampur gentar. Gembira, kerana Hisamiko pasti akan selamat selepas ketiadaanku. Namun aku gentar, kerana petarung yang tidak terkalahkan itulah Kaisenjyo. Ia salah satu cirinya.

 

Apakah masih ada ikhtiar yang boleh kuusahakan demi membentuk Hisamiko agar tidak memenuhi ramalan itu?

 

Apapun, aku melihat tanah tempat tumpah darahku berbalam-balam semakin hitam di kejauhan. Mungkin ini kali terakhir aku berpeluang melihatnya. Aku tidak akan kembali lagi ke Jepun.

 

**

 

Hisamiko dan Ryouji telah diterima menyertai pasukan pelindung untuk Syarikat Perlombongan Kyushu.

 

Pasukan pelindung bertugas melindungi para pelombong dari sebarang bahaya pulau dan juga sebagai pasukan bantuan sekiranya pengurus rombongan gagal meleraikan pertengkaran atau pertengkaran melarat sehingga melibatkan keganasan.

 

Seorang lelaki tua kerapkali dilihat duduk di atas kotak-kotak kayu merenung lautan, berhampiran lokasi Ryouji dan Hisamiko.

 

Hisamiko duduk di sebelahnya dan memberanikan diri menegurnya. Ryouji di belakang memerhati.

 

“Siapa namamu, ojii-san?”

 

Lelaki tua itu menoleh. Wajahnya sedikit terkejut. Setelah lama berlayar barulah dia ditegur seseorang. Jambangnya putih uban dan janggutnya panjang. Dia memakai yukata berwarna perang dari kain kapas, dan topi kon berwarna kelabu. Tangannya memegang sebatang kayu berwarna hitam yang seringkali dibawa aristokrat Barat.

 

“Yoshihisa.” Balas lelaki tua itu. “Kalian adik-beradik?” Tebaknya. Mungkin dalam lama berada di situ dia ada mendengar perbualan mereka dan mengagaknya.

 

“Ya. Namaku Okuhida Hisamiko. Ini abangku Ryouji.” Ryouji tunduk hormat, Hisamiko menyambung, “Apakah kau berlayar seorang diri?”

 

“Begitulah. Isteriku telah meninggalkanku bersama anakku.” Matanya menjeling ke arah atas kanannya sebaik menuturkan.

 

“Oh maaf.”

 

“Tidak mengapa. Sememangnya bila kita sudah tiada guna lagi, kita akan dibuang.” Kata lelaki tua itu. Nadanya kehampaan dan seolah-olah mahu meluahkan namun tertahan sekian lama. Dari wajah tua berkedut terserlah kekecewaan hidup yang cuba disembunyikan sekian lama tatkala merenung lautan. Mungkin pelayaran ini ruang baginya mencari laluan baru hidup dan membawa kekecewaan itu pergi.

 

Ryouji merenung tubuh lelaki ini. Bagaimana mungkin dia melombong dengan tubuh tua begini? Sudahlah bertongkat pula. Namun tongkatnya aneh. Tidak seperti tongkat yang dibawa untuk menopang. Tetapi lebih kepada gaya, iaitu tongkat yang dibawa aristokrat berada dan berpakaian ala bangsawan Prussia seperti yang banyak dilihat di Tokyo.

 

“Apa yang berlaku Yoshihisa jii-san ?”

 

Orang tua itu merenung lautan.

 

“Aku punya perniagaan dahulu. Selepas perniagaanku jatuh akibat Perang Boshin, aku ditinggalkan isteri dan anakku. Aku berkelana dan bertemu iklan menawar pekerjaan ini ketika di Kyushu.”

 

Hisamiko dan Ryouji tekun mendengar dan rasa kasihan mula berembun membasahi hati. Orang tua ini juga diduga tragedi seperti mereka. Mereka ‘sekapal’, kiasan juga fizikal.

 

“Dan kalian pula?” Giliran Yoshihisa ‘membeli’ selepas menawar ceritanya sedikit.

 

Hisamiko memandang Ryouji, seolah-olah meminta pandangan apa wajarkah mereka berkongsi kisah, sedang mereka adalah orang yang sedang diburu. Ryouji mengangguk kecil, kerana dia yakin orang tua ini tidak tahu latar mereka melihatkan riaknya selepas mereka mendedahkan nama.

 

Orang tua itu tersengih, “Sudah pastilah kalian menyertai pelindung. Oh, aku benar-benar sudah tua. Pedang di pinggang kalian itu pun sudah mengisyaratkannya.”

 

“Ah, ya. Kami mendapat tahu rombongan ini merekrut pasukan pelindung maka kami telah menawar diri menyertainya.” Hisamiko menambah.

 

“Kalian dari keturunan Okuhida? Apakah Okuhida yang sama yang menumpaskan pemberontakan Shirasaka Ayame, dan melindungi Maharaja? Dan aku dengar bukankah kalian mengambilalih sebagai pemimpin utama Kogen?”

 

Menyirap darah Ryouji mendengarnya. Habislah kami! Tajam juga orang tua ini! Tak sangka dia mengambil pusing perkembangan semasa.

 

“Ya.” Balas Ryouji perlahan, memotong Hisamiko dari meneruskan bicara. Dia keberatan bercerita penuh. Namun memikirkan yang mereka sedang berada jauh di tengah samudera, dan kedudukan mereka yang terasing dari lain-lain anak kapal, dia berasa sedikit selamat meskipun masih berwaspada dengan bicara.

 

“Aku telah membubarkan Kogen dan menyerahkan sepenuhnya kepada Maharaja.”

 

“Membubarkan Kogen?”

 

“Aku terpaksa mewarisinya. Namun aku memutus melepaskannya.”

 

“Mengapa engkau memutus begitu?”

 

“Aku tidak boleh membahagi hati.” Terang Ryouji.

 

“Membahagi hati?”

 

Ryouji menyambung, “Aku bimbang aku akan menjadi seperti seseorang. Samurai terakhir itu.”

 

“Saisho Takanori? Mengapa dengannya?”

 

Oh, bukan calang-calang orang tua ini, getus Ryouji. Dia mengambiltahu hal semasa.

 

“Ternyata dia tak mampu membahagi hati antara Maharaja dan kesamuraian, dan akhirnya dia memilih yang kedua. Aku dengar sehingga di saat akhir titis darahnya dia masih enggan mengalah.” Terang Ryouji dari perkhabaran Koichi. “Tragik. Bagaimana engkau mati di hadapan bekas sekutumu.”

 

“Dan aku bimbang aku terpaksa menentang baginda demi melindungi darah dagingku.” Jelas Ryouji separa berbisik agar tidak didengari Hisamiko yang sedang ralit memandang laut tatkala menyedari dia tersisih dari perbualan itu.

 

“Saisho Takanori. Selamanya dia akan diingati kerana mempertahankan kesamuraian, namanya bakal terpahat dalam lipatan sejarah kita. Namun masa mengubah manusia. Manusia perlu berubah atau mereka akan diubah. Kita sudah jauh ketinggalan dari Barat. Dan keengganan aku mempelbagai perniagaanku membuka ruang kepada kemuflisan.”

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov