Home Novel Cinta STAY
STAY
RUMIÈ AL-HADI
19/2/2020 02:19:01
175,796
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BLURB

“Sekiranya rindu dan segala rasa ini boleh membasuh dosa, aku rela jika itu takdirnya.” – Adib


{Adib Azril Muhammad Adam @ Adib}

RESMINYA dia, seorang lelaki yang dahulu acapkali mengecewakan. Menjadikan cinta itu  harapan bagai ombak berdedaian. Ego dan citarasa yang difikirkannya tinggi. Petik jari apa sahaja akan datang ke kaki. Layak bagi seorang lelaki yang begitu, cinta baginya bagaikan baju. Apa perlunya satu jika yang datang percuma lebih daripada itu. Tidak perlu dipujuk rayu. Entah apa sebenar yang dicari hingga tidak pernah betah untuk rasa cukup. Tidak pernah runduk memahami terbit rasa cinta dan kepentingannya. Angkuhnya dia untuk mengakui akan kelemahan diri. Untuk mengiakan bahawa hatinya mahu dimiliki. Angkuhnya dia untuk menerima hakikat bahawa apabila dirinya tiba ke rumah, yang menyambutnya masih tetap kosong dan sunyi. Tidak sekali-kali dia membiarkan rasa cemburu terhadap lelaki-lelaki lain yang telah punya anak dan isteri. Resminya dia, seorang lelaki... namun dalam kelelakiannya, dia gagal menjadi dewasa. Entah bila akan tiba masa untuk seseorang hadir, mengunjuk dan mengajarnya erti bahagia atau mungkin kecewa.



“Sejauh mana sekalipun aku menjauh, hati ini masih berlari kepadamu. Aku rindu.
Sekuat mana sekalipun aku menidakkan segala rasa terhadapmu, jiwa ini tetap mencari ketenangan yang datang bersama hadirmu. Sungguh... aku rindu” – Alya


{Nuril Alya Abdul Hadi @ Alya}

JIKA hati boleh dibentang di atas lautan luas sekalipun, belum tentu hati perempuan bernama Alya ini dapat dibentangkan keseluruhannya. Jika ingin diungkaikan apa yang tersirat di dalam hatinya, hikayat 1001 malam itu juga mungkin belum mampu menandingi tafsir disebalik lunak bicara atau bisu suaranya. Pilihan-pilihan hidupnya yang lampau menjadikan hati perempuannya seperti kaku. Hakikatnya, hati seorang perempuan itu  adakala boleh jadi lebih jitu daripada hati seorang lelaki. Mungkin juga... hati seorang perempuan itu mampu  lembut mencair jika tahu caranya. Namun, hati seorang perempuan bernama Alya ini acapkali tidak dimengerti atau mungkin mengelak untuk dimengerti. Entah di mana kesudahan titik kecewa dan entah di mana pula punca bahagia. Dia sendiri tidak pernah endah kerana leka dalam rasa yang difikirkannya duka.

DUA jiwa bertembung dalam rentetan hidup yang telah ditentukan-Nya. Dua jiwa yang cuba mencari arah, pernah goyah, pernah patah, bangun dan tumbuh kembali. Dua jiwa yang hakikatnya berantakan dalam salah dan benar. Mencari kemaafan dan pengertian. Mencari identiti yang lama hilang. Menyalut keampunan dan pasrah yang adakalanya goyah. Lalu, dua jiwa ini bersua untuk belajar memilih... ke utara, selatan, timur ataupun barat. Persimpangan-persimpangan yang menuntut kesabaran, kecekalan, kekuatan, kemaafan, pengertian, peluang dan ruang. Mampukah mereka berdiri jitu bersama pilihan atau kecundang sebelum berjuang.


Next: PROLOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI