Home Novel Cinta STAY
STAY
RUMIÈ AL-HADI
19/2/2020 02:19:01
175,790
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

“Menghukum lebih mudah daripada mengorek benar.
Dan, aku diam mengemudi kembara sambil aku usung luka bersalut rahsia” ­– Alya



PAGI ini dirasakan damai sekali. Perjalanan tadi juga tidak sesibuk yang disangka. Hari ini bermula episod baru dalam kehidupannya. Perjalanan panjang yang memungkinkan adanya cabaran ataupun ianya boleh jadi biasa sahaja. Barangkali langkahnya pagi ini terlalu awal. Masih belum ramai yang tiba menjengah ke lantai kerja. Dia sendirian menunggu di ruang tamu. Menanti disuakan dengan suasana baru dan dipertemukan dengan wajah-wajah baru. Fikirannya berselirat di antara gementar, gembira, curiga dan teruja. Entah yang mana satu lebih menguasai.

Sedetik demi sedetik masa berlalu, meninggalkan rentak-rentak sunyi di dada yang hanya dia mampu merasa. Entah bagaimanakah penerimaan teman sekerjanya nanti. Entah bagaimanakah corak penyesuaian yang perlu dilakukannya. Setengah jam masa berlalu. Sunyi yang mengisi ruang sejak tadi kini bertukar rentak. Wajah-wajah yang tidak dikenalinya berlalu silih berganti. Dia masih terus menunggu. Benarlah, penantian itu menyiksakan. Jika mampu, dia mahu hari ini cepat berlalu supaya fasa masa daripada pagi berganjak ke petang dan mengunjur ke malam untuk hari ini juga cepat berganjak. Jika perjalanan hidup semudah itu, dia tidak mungkin berada di sini. Alya mengeluh sendiri

“Cik Alya...” serta-merta lamunan Alya terhenti ketika disapa seorang gadis.

“Ya, saya...”

“Puan Zahara sudah sedia menunggu Cik Alya. Silakan, saya tunjukkan bilik beliau.”

“Baik. Terima kasih.”

Tertib langkah diatur Alya, satu-persatu. Hatinya berdetak kencang. Dia mengerti, sorotan mata penuh persoalan yang mengekorinya itu adalah bibit-bibit rasa ingin tahu tentang kehadiran orang baru. Ketika pintu pejabat Puan Zahara dibuka, angin dingin menerpa lembut ke wajahnya menjadikan dia sedikit gementar namun di cekalkan hati.

“Puan Zahara, ini saya kenalkan Cik Alya,” ungkap gadis manis tadi. Alya segera mendepakan tangannya untuk berjabat tangan tanda hormat.

“Alya, welcome aboard,” Puan Zahara segera menyambut huluran tangannya.

“Thank you, Puan Zahara... it’s an honour to work with this company and to work with you, personally”.

“Have a sit, please,” pelawa Puan Zahara penuh sopan. Dia segera menurut.

“Awak sampai awal, selalunya by nine baru pejabat ni penuh. Yang selalu sampai awal, saya dan pembantu saya tadi, Ira. Awak dah sarapan?” tanya Puan Zahara.

“Saya dah sarapan di rumah tadi.”

Puan Zahara segera mengangguk tetapi tetap meminta pembantunya menyediakan minuman panas. Mereka berbual seketika tentang perkara biasa; tentang keluarga dan isu-isu semasa agar saling mengenali lebih dekat. Sesekali Puan Zahara melihat jam di tangannya.

“Saya ada temujanji di luar sekejap lagi. Let me introduce you to some of the general managers...”, Alya segera menganggukkan kepala dan mengekori langkah Puan Zahara.

Sesi perkenalan bermula dari satu jabatan ke jabatan yang lain. Saat yang sangat tidak digemarinya. Jika boleh dilangkau saat ini, mahu sahaja dilangkaunya sekarang juga. Namun, keadaan memaksa. Ia lebih kepada etika-etika kerja dan rasa hormat yang perlu dijaga.

“... and this is Encik Adib, our General Manager di bahagian sales and advertising. You’have to work close with him soon. Adib, this is Alya... General Manager baru di bahagian Creative Consultation,” lelaki di hadapan Alya menghulurkan tangan dengan senyuman manis. Mata redup, wajah tampan, tubuh sasa. Karismanya seperti kebiasaan lelaki-lelaki lain yang punya pangkat dan nama. Tiada beza di matanya.

Alya segera menyambut tangan yang dihulur dengan senyuman seperti selalu. Dia sedar selepas ini, dia perlu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di kalangan ketua-ketua bahagian yang rata-ratanya lelaki. Adakah dia tersilap mencatur hidupnya hari ini? Adakah lagi masa baginya untuk berpaling daripada cabaran yang terhidang ini? Suara Puan Zahara seakan angin lalu. Tiada yang benar-benar melekat di mindanya saat ni. Dirasakan dirinya hanya satu jasad yang yang mampu bersuara tetapi rohnya entah ke mana. Tiba-tiba dia seperti mahu terbang pulang. Pulang kepada sudut hidup lamanya. Sendiri namun itulah kebiasaan. Dia selesa begitu.

Namun kehidupan sebenar bukanlah seperti apa yang sering kita mahukan. Adakala kita perlu berhadapan dengan rasa yang tidak menyenangkan, situasi-situasi yang janggal, jauh daripada normal kebiasaan. Hidup perlu terus. Perjuangan juga perlu bermula dari permulaan langkah yang pertama. Alya sedar, dia perlu bermula semula. Jika perlu bermula dari titik kosong, maka dia tiada pilihan selain daripada itu.

“Should I call you Cik Alya or maybe Alya will do?” Adib bertanya bersahaja sekaligus membawa semula Alya ke dunia nyata.

“Alya... Alya should be fine.”

“Ya, Alya tu dah cukup sedap, manis saja bunyinya,” balas Adib sambil senyum meleret, penuh makna.

“Adib... behave,” tegur Puan Zahara menyebabkan Adib serta-merta mengangkat sedikit kedua-dua tangannya, lagak menyerah kalah.

“Saya ada urusan kerja di luar. Maybe you can assist Alya ke pejabatnya dan kenalkan dia dengan pekerja lain. If not you can ask Ira to do so,” arah Puan Zahara kepada Adib.

“Boleh saja, puan,” pantas Adib menjawab diikuti dengan anggukkan Puan Zahara dan sekali lagi dia mengalu-alukan kehadiran Alya. Alya cuma mampu memerhati langkah Puan Zahara yang semakin menjauh dan kemudiannya menghilang.

“So, shall we... kita ke department you, I’ll introduces you to your staff,” Adib mempersilakannya penuh hormat. Guruh di dalam hati cuba diselindung sebaik mungkin dan dia berharap hari ini agar cepat berlalu. Bukan sahaja permulaan kerja di tempat baru mengundang rasa janggal, malah lelaki yang berjalan beriringan dengannya saat ini pula menambah debar di dadanya. Segera dilagukan mentera yang sama berkali-kali di dalam benaknya sendiri.

“Lelaki, semuanya sama.”

“Lelaki, semuanya serupa.”

“Lelaki, tiada beza.”


Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh RUMIÈ AL-HADI