Home Novel Cinta LELAKI PALING DIA SUKA
LELAKI PALING DIA SUKA
Zakuan Faizz
1/4/2018 12:39:00
14,909
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1


BEG berjenama Adidas telah dijinjing keluar hingga ke pintu rumah. Segala pakaian yang ingin dipakai disumbat dalam-dalam memenuhi beg pakaiannya oleh gadis yang acah-acah ayu. Berdengus nafasnya setelah penat mengemas ketika itu. Kalau nak ke hostel perlu siap terlebih awal. Tapi, Intan tidak, dia akan siap pada minit-minit akhir untuk ke hostel. Mujur maknya membantu Intan ketika mengemas. Sebenarnya sudah puas mak Intan menyuruhnya mengemas. Bukan tidak dipesan malah berbuih-buih mulut maknya membebel. Kalau tidak terkena senduk di tangan emaknya, pasti Intan tidak akan bergerak untuk menyiapkan segala barang keperluan untuk ke hostel.

Mujur segala bebanannya telah dibuang ke tepi. Kini, tinggal melangkah pergi dari rumah kayunya itu.

“Mak, Intan pergi dulu. Lambat dah ni. Teksi pun mungkin dah tunggu Intan kat tempat sana.”

Sempat wajahnya menoleh ke muka manis emaknya seraya bersalam tangan dengan emaknya. Setelah semuanya selesai, kakinya mengatur langkah laju sambil memegang beg yang dibawa.

Rindu juga meninggalkan kampung halaman. Kalau bukan tempat itu untuk dia menenangkan fikiran selepas berpenat lelah bertarung nyawa menyiapkan assignment  dan menjawab exam, pasti kepalanya serabut memikirkan segala perkara yang timbul difikirkannya.

Intan pelajar tahun akhir di kolejnya. Jurusan filem. Memang agak mencabar. Lebih-lebih lagi dalam meriviu filem yang sudah pasti menjadi assignmentnya pada setiap subjek yang akan diberikan oleh pensyarah.

Naik gugur rambut di kepalanya. Kalau hari-hari memikirkan hasil seni pasti botak rambutnya seperti lelaki yang berkhidmat di bawah Tentera. Terutama tentera darat dan juga tentera udara. Arh, lelaki idamannya juga seperti itu. Sado, macho, tinggi yang penting pangkat tinggi.

Memang tak kena dengan taraf hidupnya seorang gadis kampung. Hidupnya agak susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tapi, cara hidupnya di kolej seperti langit dan bumi bezanya. Ramai kawan kolejnya tidak tahu yang Intan gadis kampung biasa. Oleh sebab pinjaman kewangan daripada PTPTN itu menyebabkannya hidup mewah dan sentiasa berduit.

Dalam dompetnya yang panjang berwarna pink itu penuh dengan mata wang Malaysia. Kalau kempis aja, pasti mesin ATM menjadi sasarannya. Dompet itu tidak boleh kempis dan tak boleh kurus. Perlu gemuk dan sentiasa tebal. Barulah dikatakan seorang gadis kaya.

Intan di rumah dan di kolej sangat berbeza. Di rumah hanya sehelai dua baju sahaja yang dia ada. Dan baju itu juga akan dipakai ke mana sahaja dia pergi. Tak kira ke pasar pagi, ke kedai Wak Suli. Pasti baju itu yang menjadi pujaan hatinya. Sampailah orang boleh mengagak Intan dari arah jauh. Warna bajunya juga orang sudah boleh menghafal.

Prek!!!

Intan terpijak suatu benda yang sangat busuk. Apa lagi tahi ayamlah. Dia pantang kalau dah bersiap-siap seperti bidadari syurga dengan baju berwarna putih itu berhadapan pula dengan benda kotor. Pasti mengamuk satu kampunglah jawabnya. Kalau bukan menjerit sekuat hati, pasti berlari hingga ke rumah.

“Apahal kamu ni Intan. Biawak kejar kamu ke?” soal Mak Anum terkejut.

“Ni mak. Intan terpijak tahi ayam. Dah lah lambat nak masuk hostel ni. Dia buat hal pulak.”

Mak Anum memandang raut Intan dengan tajam. Kemudian, melirikkan matanya ke arah kaki Intan.

“Kamu pakai kasut atau berkaki ayam?”

“Kasut.”

“Dah tu nak bising kenapa?”

“Mak, kalau Intan tak basuh marah pak teksi tu nanti bau tahi ayam. Mak nak ke tengok anak mak ni kena marah?” sedikit riak mengada ditunjukkan pada maknya.

“Ada ada je kamu ni. Dah tu apa tunggu lagi. Pergilah cuci cepat. Kang teksi tu tinggalkan kamu padan muka kamu.”

Mak Anum sudah mula naik angin. Tangannya yang sedang melipat kain di ruang tamu terus melepaskan kerjanya begitu sahaja. Lalu, bergerak menuju ke arah Intan. Kepala Intan sempat ditolak dengan ibu jari.

“Cepatlah!”

Baran Mak Anum sudah mula memuncak. Tinggal larva diletuskan. Kalau Intan masih berdiri tercegat, pasti maknya mengaum bak harimau kelaparan.

“Cepat! Jangan jadi pemalas. Beg mak kemas. Barang kegunaan kamu mak siapkan. Apa nak jadilah kamu ni Intan.”

Intan terus bergerak menuju ke arah pili bertentangan dengan tiang rumah kayunya. Dibuka pili dengan perlahan. Mulutnya dimuncungkan.

“Kurang ajar tahi ni. Kalau kau hidup, lama aku ganyang kau sampai mampus. Nasiblah kau cuma bau busuk yang aku benci.”

“Apalagi tu. Cepatlah bergerak!”

“Ya mak. Intan pergi.”

Terus Intan bergerak dari pili itu tanpa tutup. Perlahan kakinya melangkah menuju ke arah emaknya.

“Intan!!!! Tutup air tu,” mahu kedengaran satu kampung suara Mak Anum. Terkejut Intan. Siapa suruh buat perangai tak elok. Kan dah kena.

“Ya mak Intan tutup.”

Perlahan saja pergerakannya. Tak alam selepas itu dia terus menutup kepala pili air.

“Ha dah tu apa lagi?” sempat Mak Anum menyoal.

 “Salam.”

Perlahan sahaja suara Intan. Mungkin terasa dengan jeritan maknya tadi. Nak buat macam mana, anak degil kan dah terima balasannya tu.

“Hmmm pergi cepat. Hati-hati. Sampai sana. Call mak. Jangan lupa. Kalau tak call mak. Mak cari kamu kat kolej sana. Tahulah mak kerjakan kamu. Jangan nak sosial sangat. Mak potong kaki kamu sampai tak boleh jalan. Biar guna kerusi roda. Nak?”

Sempat maknya membebel panjang ketika Intan sudah separuh jalan. Masih jelas kedengaran suara maknya dari arah jauh. Kalau bukan sebab tahi ayam tu, pasti Intan tak akan dengar suara nyaring maknya yang sudah lanjut usia itu. Apa tidaknya. Anak tunggal. Memang patut kena seperti itu. Satu-satunya anak Mak Anum yang menjadi nadi hidup maknya serta ayahnya.

“Eh ayah. Lupa pulak nak jumpa ayah.”

Intan berpatah balik. Jangan buat hal. Nanti maknya pasti bising. Dia peduli apa. Yang penting sempat menyampaikan niatnya kepada Mak Anum itu.

“Mak!”

Jerit Intan dari jauh. Tak lama selepas itu, Mak Anum menjengah keluar. Penatlah berjalan masuk ke dalam dapur, kini dia perlu berpatah balik? Intan punya pasallah ni. Terkejut beruk wajahnya ketika itu.

“Astaghfirullah, bertuah punya anak. Buang masa!”

“Intan cuma nak cakap. Kirim salam dengan ayah. Intan tak sempat jumpa ayah. Cakap kat ayah, Intan sayang ayah.”

Setelah itu, Intan terus berlari meninggalkan emaknya selepas menyampaikan niatnya itu. Mak Anum menggeleng laju. Anak perempuannya berkelakuan aneh. Yalah, Intan betul. Tak akan nak berlagak kasar dengan ayahnya. Sudahlah tak sempat jumpa ayahnya. Di tinggal pula tanpa mengirim salam kepada ayahnya itu. Ada baik juga budak Intan ni.

“Mak ni hari-hari marah. Sakit telinga aku. Aku tahulah apa aku buat. Umur aku dah masuk 20. Pandailah aku jaga diri. Pasal ayah pun nak marah. Nasib baik tak habis kepala aku ditolak oleh mak tadi. Nasib aku cakap jauh tadi.”

Rungut Intan sendirian. Kadang-kadang terfikir juga kenapa maknya seperti singa kelaparan. Naik hairan membuak-buak. Salah sikit je mesti kena tolak kepala, mesti kena sekeh. Aduh!

“Allah, aku lupa. Teksi!”

Intan menjerit dengan lantang. Baru dia teringat masanya tak mencukupi. Hanya tinggal beberapa minit sahaja teksi akan meninggalkannya. Kalau betul pakcik teksi itu sanggup meninggalkannya, pasti Intan berjalan kaki berpuluh KM menuju ke kolejnya. Memang basah satu badan dek peluh yang terbiak setiap saat. Boleh diperah rasanya.

Tak larat dia berlari menuju ke perhentian teksi lagi. Beg yang dijinjing begitu berat. Nasib beg yang disandang tak seberat di tangannya. Kalau tidak naik merah badannya memikul beg berat seperti berat dosanya ketika itu.

Naik turun dadanya menghela nafas. Gas bertukar dengan laju. Oksigen masuk ke paru-parunya berdesup-desup.

“Ya Allah penatnya. Kenapalah jauh sangat teksi ni!”

Intan tidak larat lagi. Mahu patah kakinya berlari laju hingga ke perhentian. Lemah pergerakannya. Mahu sahaja berehat sebentar tapi masa sudah tidak menyebelahinya.

Pin!

Suatu bunyi hon motor menujah masuk ke telinganya. Intan terkesima. Dia membatu. Matanya terus melirik ke arah bunyi hon tersebut. Jelas mat-mat rempit puncanya. Mukanya terus berubah. Dari penat menjadi marah.

'Ala dia orang nak apa ni. Nak menggatal aku baling dengan beg ni kang,' ujar hati kecilnya.

“Kakak nak ke mana?” soal salah seorang penunggang motosikal EX5. Ber'kakak'. Mungkin masih muda. Bersangka baik ajalah.

Intan diam. Kakinya terus melangkah. Tidak mahu dijawab segala pertanyaan budak itu.

“Kakak cantik nak ke mana?”

Soalan yang sama diberikan. Intan masih lagi membisu seperti orang cacat pendengaran dan cacat berkata-kata.

“Sombongnya.”

Kali ini orang ketiga pula bersuara.

“Kau nak apa ha?” jerit Intan dengan kuat.

“Oh ada suara rupanya. Ingatkan kakak ni pekak dan bisu. Tapi kesian kalau pekak dan bisu secantik ini.”

Pandai budak-budak itu mengusik. Sudahlah penat, diganggu pula oleh budak-budak bermotor itu. Kalau ikutkan perasaan nak aja tengking mereka.

“Nak saya tolong?” baik benar hatinya. Tapi masih tak tahu benar ataupun tidak atas pelawaan manis itu. Kalau dibawa lari si Intan tu pasti mengamuk orang tua kat rumah tu.

“Tak mahu. Aku boleh jalan sendiri.”

“Kak saya kesian tengok akak ni. Penat berjalan sendiri. Eh akak nak ke mana? Balik mana? Mesti tengah tunggu teksi kan?”

Intan terperanjat setelah budak berbaju hijau itu menyebut perkataan teksi. Tak lama selepas itu, dia terus berlari menuju ke arah motor budak itu. Tergesa-gesa dia memanjat motor budak itu. Hanya terdapat dua buah motor. Motor budak berbaju hijau itu menjadi pilihan Intan.

“Ha kan betul. Nak cari teksikan. Akak nak ke mana? Teksi tu tunggu kat mana?”

“Cepat hantar aku kat teksi sana. Aku dah lambat. Jangan sampai aku pulak yang bawak motor ni. Press tu laju-laju sikit.”

Setelah itu, sampai habis budak itu memulas trotal motornya. Berdesup meninggalkan penunggang yang lain. Habis berterbangan tudung yang dipakai oleh Intan. Sekali-sekala dibetulkannya dengan pantas. Agak rimas, tapi apa yang boleh dilakukan ketika itu. Hanya bersabar. Sebab itu juga kehendak Intan. Jadi, bersabar ajalah jawabnya.

Setiba sahaja di perhentian teksi, Intan terus terjun dari motor tersebut. Matanya diliarkan ke arah sekeliling. Dia membatu. Perasaannya gundah. Lalu, menjerit dengan kuat. Budak-budak itu menutup telinganya rapat-rapat. Hampir pecah gegendang telinga jika tidak berbuat demikian.

“Akak kenapa?” soal budak berbaju hijau itu dengan nada meninggi.

“Teksi akak mana, teksi?” Intan sudah mula bersedih.

Bergenang air matanya mengenangkan nasibnya itu. Kalau bukan disebabkan tahi ayam tadi, pasti dia telah berada di dalam perut teksi tersebut. Punah segala impiannya untuk ke kolej pada hari itu.

“Biar betul kena tinggal?”

“Buta ke? Ada nampak teksi kat sini?”

Intan meninggikan suaranya. Memang dasar hidung tinggi. Berterima kasih pun tidak, tahu nak marah sahaja. Sama macam maknya kat rumah tu.

“Tulah lain kali jangan sombong dengan saya. Saya tolong dengan ikhlas. Balasannya terima kasih pun takpa.”

Intan terkesan. Dia malu dengan sikapnya itu. Jarinya diletakkan ke atas bibir. Nasib baik diingatkan oleh budak berbaju hijau itu.

“Terima kasih,” pendek sahaja ucapannya.

“Ha tengok tu!”

Jerit salah seorang pembonceng motor kedua. Apa yang dilihatnya pun tidak tahu. Membuatkan semua terkejut sahaja. Intan juga tak lupa sama. Tapi, lebih terkejut bagai nak gila. Mahu putus jantungnya melihat apa yang dia nampak itu. Apa sebenarnya yang dia nampak? Takkan hantu melintas siang-siang hari? Ke gajah yang sedang melintas?


Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zakuan Faizz