Bab 11

SELEPAS peristiwa kemalangan itu, El banyak berubah. Dia mula melayani Hana dengan baik. Hana juga perasan akan perubahan El. Tetapi, dia menganggap bahawa El hanya terhutang budi padanya sahaja. Namun, Hana menerima baik perubahan lelaki itu. Sekurang-kurangnya El mula menjaga hatinya.

El termenung jauh. Dia teringat ketika Hana menjaganya di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital. Wajah Hana kelihatan sangat letih kerana tidak cukup rehat. Namun, sikit pun Hana tidak merungut. Cuma kadangkala wajahnya masam kelat apabila El memberi bermacam-macam arahan. El membiarkan sejenak fikirannya menerewang pada peristiwa beberapa minggu lepas.

"Hari ni I nak makan stew? Kalau tak tahu stew tu macam mana, you googleI tak nak you beli. Nak you masak," selamba sahaja wajah El ketika memberi arahan. Kemudian, dibawa matanya ke arah Hana.

Kemain kau punya order. Bebel Hana di dalam hati.
"Okay," balas Hana acuh tak acuh. Wajahnya masam mencuka. Dia membantu El menyediakan pakaian sebelum lelaki itu masuk ke kamar mandi. Selain itu, dia turut membantu mencuci dan membersihkan luka yang masih ada dibeberapa bahagian tubuh lelaki itu. Dalam masa beberapa hari sahaja, luka tersebut sudah nampak kering hasil dari penjagaan yang baik oleh Hana. El tersenyum puas saat melihat luka-lukanya cepat membaik.
"One more thing, lepas ni, jangan tidur dekat luar bilik I ni. Terkejut I semalam. Sejak bila you tidur dekat luar tu?" Soal El dengan wajah yang serius.

"Sejak awak balik sini. Saya risau awak turun tangga tu. Kaki awak tak baik lagi. Bahaya. Takut jatuh tangga," balas Hana sambil mencuci luka El. Wajahnya kelihatan tenang tanpa riak.
"I dah okay. Tak payah tidur situ lagi. Buat terkejut orang je," ujar El cuba menyembunyikan rasa bersalah.

Jujur, dia terharu melihat Hana bersungguh menjaganya. Seminggu dia di hospital, hanya Hana sahaja setia menemani dan menguruskan segala-gala untuknya. Kini, di rumah juga Hana masih menjaga dia dengan baik. Mahu harapkan Azura, wanita itu hanya datang melawat El beberapa kali sahaja. Selebihnya Azura sibuk dengan hal lain. El mula merasakan Azura hanya mempergunakan dirinya seperti yang pernah diperkatakan oleh Ikram sebelum ini.
"Okay. Tapi awak hati-hati turun tangga. Kalau tak boleh, panggil saya. Saya naik atas tolong," balas Hana penuh ikhlas. Ya Allah, aku buat semua ini kerana Kau. Kerana mahu redha-Mu. Bisik hati kecilnya. Sungguh, apa yang dilakukan untuk El hanya kerana tanggungjawab dia sebagai isteri.
"Alright," balas El kehilangan kata-kata. Jatuh egonya saat mendengar setiap butir bicara Hana. Tiba-tiba terbit satu perasaan yang sukar digambarkan.

Hana yang sedang kusyuk mencuci luka di bahagian kakinya, direnung. El mula jatuh sayang pada wanita itu. Patutlah bila malam aku panggil dia tolong aku, tak sampai seminit, dah ada depan pintu. Rupa-rupanya tidur luar bilik aku ni. Gerutu hati El. Rasa bersalah semakin menhenyak perasaannya.
Malam semalam, sewaktu El keluar dari bilik dan mahu ke dapur tanpa bantuan Hana, dia terkejut saat melihat susuk tubuh Hana sedang nyenyak tidur di sebelah pintu biliknya. Ketika melihat Hana tidur di lantai dengan hanya beralaskan tilam toto yang diangkut dari biliknya, membuatkan El tersentuh. Dia tidak menyangka yang Hana benar-benar mengambil berat akan dirinya. 

Setelah selesai Hana mencuci luka, dia memapah El berjalan menuju ke kamar mandi. Walaupun lelaki itu sudah boleh berjalan sendiri, namun, sengaja El membiarkan Hana membantunya. Hangat tubuh Hana seakan menenangkan jiwa lelakinya.
"Tak payah masak. Order je la. Tak kisahlah apa-apa pun," ujar El sebelum masuk ke kamar mandi. Dia berubah fikiran kerana kasihan melihat Hana yang kelihatan letih. Sepanjang berada di rumah, boleh dikatakan setiap hari wanita itu memasak makanan untuk mereka berdua.
"Lepas ni, you pergilah rehat. I boleh urus diri I sendiri," sambung El lagi.
"Okay. Kalau awak nak apa-apa, panggil saya. Kalau saya tak dengar, call saya. Nanti saya naik atas," pesan Hana sebelum dia beredar dari bilik itu.

Mesti dia tak suka aku lama-lama dalam bilik dia. Aku bukan nak sangat masuk bilik kau. Sebab kau sakit je aku masuk. Kalau tak, memang tak ingin. Gerutu hati Hana. Kemudian, kakinya dibawa melangkah keluar dari ruangan itu.
Lamunan El terhenti apabila Ikram masuk ke bilik pejabatnya sambil membawa beberapa dokumen. Serta merta mata El memandang ke arah susuk tubuh itu.
"Aku ketuk banyak kali kau tak dengar ke?" Soal Ikram sedikit geram. Naik sakit tangannya mengetuk pintu, namun tiada respon dari lelaki itu. Akhirnya dia menerjah masuk ke dalam.

Lepas excident, mengelamun saja kawan aku ni. Getus hati Ikram.
"Laaa.. Ye ke. Sorry, bro aku tak dengar," balas El sambil tersenyum.

Kalaulah Ikram tahu aku mengelamun tentang Hana, habis aku kena bahan dengan dia.
"Lately ni, aku tengok kau asyik mengelamun je. Kau okay ke tak ni?" Soal Ikram yang perasan akan perubahan El. Lelaki itu juga kelihatan sudah jarang bertemu dengan buah hatinya, Azura.
"I'm okay. So, nak discuss apa ni?" Soal El mengubah topik perbualan. Sebolehnya dia cuba mengelak dari terlepas cakap tentang perasaannya sekarang.
"Takdalah nak discuss sangat pun. Cuma nak bagi dokumen ni je. Kau amend, lepas tu kau bagi semula pada aku. Tu je," jelas Ikram sambil menghulurkan dokumen tersebut kepada El. "Malam ni jom keluar. Ke kau ada date dengan Azura?" Soal Ikram sengaja menduga.
"Malaslah. Aku nak rest je dekat rumah. Lagi pun Hana masak special hari ni," El terlepas cakap. Memang dia ada menyuruh Hana masak makanan kegemarannya malam nanti iaitu nasi minyak bersama ayam golek.
"What?? Hana masak best?? Wow.. Good step. Dah mula menghargai. Bagus.. Bagus," usik Ikram sambil tersenyum mengejek.

Akhirnya, jatuh juga ego kau, El. Ikram tertawa di dalam hati.
"Mestilah aku hargai. Dia jaga aku masa excident hari tu. Hari-hari dia masak. Dah terbiasa pula makan masakan dia. Tu je. Takdalah makna apa-apa pun," jawab El masih berselindung tentang perasaannya terhadap Hana.
"Kalau ada perasaan pun, apa salahnya. Dia kan wife kau," balas Ikram masih lagi dengan senyuman mengusik.

Apa yang nak risau sangat kalau dah terjatuh cinta pun? Gerutu hati Ikram.
"Azura aku nak campak mana?" Bidas El masih menafikan perasaannya dari diketahui Ikram. Ikram ketawa kecil sambil menggeleng perlahan.
"Tak payah campak mana-mana. Kau terus terang je. Habis cerita," balas Ikram dengan tawa yang masih bersisa.
"Senang kau cakap. Kau bukan tak tahu Azura punya mengamuk tu macam mana," Balas El. Teringat kembali saat Azura bergaduh dengan Ikram beberapa bulan lepas. Mimpi ngeri dibuatnya.
"Takut juga kau dengan Azura tu ek?" Ikram ketawa besar. Kalau belum kahwin dah mengamuk sakan, tak hormat orang lain, dah kahwin nanti macam mana peel dia agaknya?
"Bukan takut. Aku tak nak ada masalah. Serabut," balas El bersahaja. Namun, dia pasti tidak lama lagi, Azura akan tahu juga perasaannya terhadap Hana.
"So, dah ada feeling sikitlah niiii?" Soal Ikram masih cuba mengorek isi hati El.
"Takdalah kau ni Ikram. She's not my taste okay," balas El ego. Padahal hatinya setiap hari berbunga-bunga apabila melihat wajah Hana. Ikram tidak boleh tahu. Jika tidak, pasti dia akan dibahan habis-habisan.
"Iiiiisshhhh.. Ego sangat kau ni. Jangan cakap macam tu El. Tersungkur kau nanti," balas Ikram geram.

Not my taste konon. Sebut je nama Hana berseri-seri muka. Kau ingat aku tak perasan? El..El..
"Dahlah. Aku nak balik bilik aku. Jangan asyik mengelamun je. Baik cepat bertindak sebelum kau tersungkur terpaksa merayu pada Hana tu" pesan Ikram sambil bangun dari duduknya. Kemudian dia terus keluar dari ruangan itu.
El tersenyum sendiri apabila mendengar ayat Ikram itu. Tersungkur? Aku dah pun tersungkur mengharapkan cinta Hana. Cuma masih belum berani nak meluah rasa. Gerutu El di dalam hati.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk.

"Apa lagi si Ikram ni?" El kerut kening sambil memandang sekilas ke arah pintu.
"Masuk!" laungnya agak keras. Susuk tubuh Hana terpacul dimuka pintu. Dia membawa dokumen yang perlu El tanda tangani. El tersenyum. Hati terasa berbunga-bunga saat melihat wajah tenang isterinya itu.
"Yess. What do you want?" Soal El dengan senyuman manis. Hana mengerutkan dahinya. Pelik melihat kelakuan lelaki itu.

Apahal dia ni? Selalu aku masuk bilik dia, tengok muka aku pun tak. Ni tersengih-sengih tak tentu hala. Fius otak terbakar ke? Kata-kata itu hanya terluah di dalam hati Hana.
"Ni dokumen encik kena sign sekarang. Sebab saya nak suruh despatch hantar kejap lagi," Hana menyerahkan dokumen tersebut kepada El yang masih lagi tersengih kepadanya.
"Okay," jawab El dengan riak ceria. Dokumen diambil dari tangan Hana. "Malam ni awak janji nak masak ayam golek dengan nasi minyakkan?" Soal El sambil membelek dokumen tersebut sebelum menanda tanganinya.
"Ya. Tapi, sebelum balik rumah kena singgah supermarket beli barang dulu," jawab Hana sambil menunggu lelaki itu menyelesaikan kerjanya.

Oh, patut tersengih. Tak sabar suruh aku masak rupanya. Detik hati Hana.
"Alright. Kita singgah supermarket dulu. Kita keluar awal sikit hari ni. Takut jem," ujar El. Kemudian, dia menyerahkan semula dokumen tersebut kepada Hana. Dan.. dia masih tersenyum seperti tadi.
"Okay Encik El. Thanks," ucap Hana sambil berjalan menuju ke pintu. Dia memulas tombol pintu dan keluar dari situ.
Tidak lama selepas itu, Hana masuk semula dalam keadaan cemas. Wajahnya pucat dan dia menangis teresak-esak. El agak terkejut melihat Hana begitu.
"Kenapa ni??" Soal El turut cemas.
"Along. Along.. Excident dekat site!" Balas Hana sambil mengesat air mata yang sudah membasahi pipi. Jantungnya berdegup kencang. Nafas seakan tersekat direngkung leher. Dia buntu dan tidak tahu apa yang patut dilakukan.
"Ya ke?? Along dekat mana sekarang?" Soal El terkejut.
"Diorang dah hantar ke hospital. Saya nak pergi tengok Along," kata Hana sambil memegang lengan El. Dia menangis tersedu sedan. El memeluk tubuh Hana cuba menenangkan wanita itu.
"Okay kita pergi sekarang," pelukan dilepaskan. Pantas dia mencapai kunci keretanya. Kemudian, mereka terus bergegas ke hospital.

SEBAIK sahaja mereka sampai di wad, kelihatan Hariz bersama beberapa orang rakannya, sudah pun berada di situ. Dengan muka cemas dan wajah yang pucat, Hana terus menerpa ke arah Hariz.
"Macam mana boleh jadi macam ni?" Hana menyoal dengan esakan yang berlagu dibibirnya. Dia sudah tidak peduli dengan orang yang ada di sekeliling itu. Hariz hanya tersenyum tenang melihat Hana. Dia tahu Hana terlalu risau.
"Kami balik dulu la, Iz. Kalau ada apa-apa, mesej aku. MC kau dan kemasukan wad nanti company uruskan. Selamat berehat," ujar Man, boss kepada syarikat Hariz bekerja. Setelah bersalaman, mereka beredar dari situ.
El yang sedang berdiri di belakang Hana, terpinga-pinga saat melihat wanita itu menangis. Itulah pertama kali El melihat Hana menangis bersungguh-sungguh apabila mengetahui Hariz ditimpa kemalangan. Mujur Hariz memakai pakaian keselamatan. Jadi, kecederaan yang di alami tidak terlalu serius.
"Laaa.. Along okaylah. Tak teruk pun cedera along ni. Janganlah menangis. Malu El tengok," pujuk Hariz apabila melihat Hana masih lagi menangis teresak-esak. El hanya tersenyum nipis. Namun, jauh di sudut hatinya dia kesian mendengar tangisan mendayu-dayu isterinya itu. Mahu sahaja dia memeluk dan menenangkan Hana.
"Along jangan tinggalkan Hana. Hana dah takda siapa-siapa lagi dah dekat sini. Hana ada along je. Jangan tinggalkan Hana," beria-ria Hana menangis sambil menyembam mukanya ke bahu Hariz. Dia sangat trauma apabila mendapat panggilan telefon itu tadi.
El pula tersentak saat mendengar kata-kata Hana.

Hana langsung tidak sedar ke kewujudan aku? Aku yang dah mula sayang pada dia. Bisik hati kecil El. Namun, dia tidak menyalahkan Hana. Semua salah dirinya sendiri. Dia yang telah meletakkan tembok pemisah antara mereka sejak awal perkahwinan itu.
"Along tak kan tinggalkan adik along la. Janganlah macam ni. Along okay je. Tak teruk pun," pujuk Hariz lagi. Kepala Hana diusap lembut.
"Hana takut. Takut tinggal sorang-sorang. Ibu, ayah, Abang Farish semua dah tinggalkan Hana," tangisannya semakin menjadi-jadi apabila nama-nama itu disebut. Sungguh, dia takut jika kehilangan Hariz.
"Hana, along ada sini kan? El pun ada. Hana tak sorang-sorang pun. Janganlah macam ni adik along," pujuk Hariz sayu. Dia mengesat air mata adik kesayangannya itu.
"Ya, saya ada. Awak tak sorang-sorang," El mencelah. Dia juga cuba memujuk Hana. Sedih dia melihat Hana seolah-olah terlalu takut kehilangan Hariz.
Hana tersentak apabila El bersuara. Dia terlupa bahawa lelaki itu turut berada di situ. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. Air mata dikesat dengan telapak tangan. Dia tidak mahu El mengejeknya manja dengan Hariz.
"Hana jaga along sampai along keluar hospital," selamba sahaja Hana membuat keputusan tanpa meminta keizinan El.
"Eh, tak payahlah. Lagipun sikit je ni. Along rasa esok along dah boleh keluar dah ni," bantah Hariz. Dia tidak mahu menyusahkan adiknya itu. Lagipun Hana sudah berkahwin. Dia tidak mahu Hana mengabaikan El.
"Takpalah. Orang jaga along sampai along keluar dari hospital ni laaa..," rengek Hana. Dia tetap mahu menjaga Hariz.
"Tak boleh, Hana. Nanti El macam mana. Makan pakai dia siapa nak uruskan?" Hariz cuba mengingatkan Hana tentang tanggungjawabnya pada El. Hana cebik bibir.
"Saya okay je kalau Hana nak jaga along," celah El ikhlas. Kalau itu boleh buat Hana rasa bahagia, dia akan izinkan. Dia sendiri tidak mahu melihat Hana bersedih.
"Haaa.. El pun cakap okay. Hana jaga along ek?" Rayu Hana sambil buat muka kesian. Hariz melepaskan keluhan. Serba salah dibuatnya.
"Takpa ke El? Nanti kau sorang-sorang uruskan semuanya di rumah," kata Hariz dengan riak tidak senang.
"Takpa along. Saya izinkan," balas El sambil tersenyum tenang. "Tapi, saya bawa Hana balik ambil baju dia dulu. Lepas tu, saya hantar semula Hana ke sini," sambung El lagi. Dia tersenyum melihat Hana yang kelihatan sedikit ceria itu. Hariz mengangguk perlahan. Mahu tidak mahu, terpaksalah dia membenarkan Hana untuk menjaganya buat sementara waktu. Jika tidak, pasti adiknya itu tidak akan berhenti menangis dan merengek.


SETELAH mengambil barang keperluan dari rumah, mereka kembali ke hospital. Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta agak sunyi. Hana menoleh sekilas ke arah El. Lelaki itu kelihatan tenang dalam pemanduannya. Hana tersenyum sendiri. Lega kerana El mengizinkan dia menjaga Hariz.
"Curi tengok saya ke?" El dapat menangkap pandangan Hana padanya. Bibir menguntum senyum apabila wajah Hana merona merah. Malu tertangkap menrenung lelaki itu.
"Terima kasih sebab izinkan saya jaga along," ucap Hana. Lantas, dia melemparkan pandangannya ke tengah jalan raya sambil menghela nafas lega. Dalam hati, dia bersyukur kerana El faham akan situasinya.
"No problem. Along awak tu, abang ipar saya. Sebelum kita kahwin, dia yang jaga awak."
"Esok after office hour, saya datang singgah hospital. Kalau along dah boleh discharge awal, let me know. Saya datang ambil awak dengan along," tambah El lagi.
"Kalau awak tak sempat takpa. Saya boleh uruskan along," balas Hana. Dia tidak mahu menyusahkan El.
"No. Tell me if along dah boleh discharge. Jangan uruskan sendiri. Saya ada boleh bantu awak. Awak tak sorang-sorang. I'm here for you," tegas El. Dia tidak mahu Hana merasakan yang dia keseorangan dalam menguruskan semua hal.
Hana bungkam seribu bahasa. Benar, El sudah berubah selepas dia kemalangan baru-baru ini. Mungkin lelaki itu rasa terhutang budi dengan Hana kerana menjaganya dengan baik. Jadi, inilah masanya dia mahu membalas budi Hana melalui Hariz.
"Dengar tak saya cakap ni? Kalau esok awak tak bagi tahu saya, along dah discharge, siap awak," ugut El sambil menoleh sekilas ke arah Hana. Wajah sengaja digarangkan agar wanita itu mengikut arahannya. Terkebil-kebil Hana saat mendengar ugutan El. Akhirnya, dia mengangguk perlahan tanda faham.
Sesampainya mereka di hospital, El dan Hana masuk ke bilik Hariz. Kelihatan Hariz sudah pun terlena. Hana duduk di kerusi sebelah katil Hariz sambil merenung lama wajah abangnya itu. Hariz sahaja ahli keluarga yang masih ada selepas kehilangan ibu dan ayahnya beberapa tahun yang lalu.
"Kita pergi minum dulu sementara along tengah tidur ni," ajak El. Bahu Hana disentuh lembut. Hana menoleh ke arah El, lantas dia bangun dan membuntuti El keluar dari bilik itu.
Mereka duduk di salah sebuah cafe yang ada di lobby hospital. Hana memesan coffee dan El memesan juice.

El melirikkan matanya pada minuman Hana. "Tak elok minum coffee selalu," tegur El memulakan perbualan. Hana hanya diam. Fikirannya menerewang memikirkan tentang Hariz. "Saya tahu awak risau pasal along. But, he's okay now," El cuba menenangkan hati Hana.
"Along je yang saya ada," balas Hana ringkas. Dia melepaskan satu keluhan berat. Sungguh, kerisauannya menggunung setiap kali menerima berita seperti itu. Ia seakan satu trauma buat dirinya sejak kehilangan Farish.
"Habis saya?" Sengaja El menduga. Dia mahu tahu apa anggapan Hana terhadapnya.
"Awak?" Soal Hana semula. Keningnya seakan bercantum dan kerutan nipis terbit di dahinya. Dia tidak mengerti maksud dari soalan lelaki itu.
"Yelah, awak cakap awak ada along je. Habis saya ni siapa pada awak?" Soal El tenang. Wajah Hana direnung dalam. Hana tersentak seketika. Mata mereka berlaga.
"Sorry. Saya takda jawapan untuk soalan awak tu. Sebab selama ni, memang along je yang saya ada," balas Hana dengan nada perlahan.

Kau sendiri tak pernah anggap aku isteri. Jadi, kau nak aku anggap kau apa? Kata-kata itu hanya terluah di dalam hatinya saat ini.
"Tak pernah anggap saya suami? Tak pernah rasa saya suami?" Soal El seakan mendesak Hana. Dia memandang tepat ke anak mata wanita itu, seolah mencari jawapan.
"Kita kahwin sebab awak terdesak dan saya hanya tolong awak. Awak ada hidup awak sendiri dengan Azura dan saya ada hidup saya sendiri dengan along," balas Hana kedengaran keras nadanya. Namun, perasaannya cuba dikawal.

Aku tak mahu kau lupa atas dasar apa kita berkahwin. Aku mahu kau ingat sumpah apa yang dah kau ucap sewaktu awal perkahwinan kita dulu. Itu kau mahu. Bukan aku. Bentak hatinya.
El tersentak tatkala mendengar jawapan daripada Hana. Jawapan itu membuta dadanya terasa sesak. Dia tahu Hana memang benar-benar maksudkan apa yang dikatakan itu. Keluhan berat dilepaskan. El meraup wajahnya dengan perlahan.
Suasana berubah tegang dan sunyi.

"Saya nak naik tengok along. Awak baliklah. Dah lewat malam ni," kata Hana. Dia segera menghabiskan minumannya.

"Okay. Apa-apa just inform me," balas El dengan nada lemah. Dia tersinggung, namun apa yang berlaku, adalah salah dirinya sendiri. Dia faham jika Hana menganggap dirinya begitu.
Lantas Hana terus berlalu pergi meninggalkan El sendirian. Dia menuju ke wad Hariz. El pula hanya memandang susuk tubuh itu sehingga Hana hilang dari pandangannya. Sekali lagi keluhan dilepaskan. Dia nekad mahu memujuk wanita itu supaya memberinya peluang.


Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.