Bab 30

Setahun kemudian.

HANA mengunjungi rumah Hariz dan Wana untuk makan malam bersama. Mereka makan sambil berbual tentang urusan syarikat Hariz yang baru sahaja beberapa bulan ditubuhkan. Hana juga bekerja di syarikat Hariz sebagai pembantu peribadi Hariz.
"Along ada benda nak cakap dengan Hana," ujar Hariz ketika di meja makan.
"Apa?" soal Hana sambil menyuap nasi ke mulut.
"Along ada... joint venture dengan company El untuk satu projek besar di Putrajaya. Jadi, mungkin kita akan kerap jumpa dengan El nanti dan El pun akan kerap datang ke pejabat kita," jelas Hariz. Dia memandang wajah Wana yang kelihatan bimbang dengan reaksi Hana.
"Along boleh handle sorangkan?" soal Hana tanpa memandang wajah Hariz.

El? jujur aku rindukan dia. Setahun sudah berlalu. Sejak berpisah, kami tak pernah lagi bertemu. Masing-masing membawa haluan sendiri. Kini, along membawa semula kenangan silam itu dalam hidup aku. Bisik hati kecil Hana. Sayu.
"Boleh. Tapi, kalau along perlukan pertolongan Hana, Hana boleh tolong?" soal Hariz berhati-hati.
"Alah, abang boleh handle sorangkan? Tak pun abang suruh staff lain yang urus projek tu dengan abang," celah Wana. Dia tidak mahu Hana terluka dan bersedih jika mereka berdua ditemukan semula.
"Mana boleh macam tu. Bila melibatkan kerja ni, kena profesional," balas Hariz. Kalau boleh, dia tidak mahu Hana terus memusuhi El. Memandangkan usaha sama itu akan berlanjutan agak lama. Mahu atau tidak, Hana harus bersua muka dengan El kelak.
"Memanglah profesional. Tapi ni melibatkan hati. Macamlah takda company lain yang boleh abang joint venture," Wana geram dengan tindakan suaminya itu. Seolah dia sengaja mahu Hana bertemu dengan El.
"Takpa la, kak long. Hana okay. Nanti kalau along nak Hana tolong, beritahulah," Hana mencelah dengan tenang. Dia tidak mahu Hariz dan Wana bergaduh kerana hal itu.
"Tak payah lah. Suruh staff lain uruskan," Wana masih tidak berpuas hati dengan tindakan Hariz. Dia menjeling tajam ke arah suaminya. Memanglah orang lelaki ni, tak hirau sangat pasal hati perasaan perempuan. Bebel hati kecil Wana.
"Laa.. Hana sendiri cakap okay. Wana janganlah benci sangat pada El tu. Nanti kenan yang dalam perut tu," usik Hariz. Dia tersenyum sambil melihat perut isterinya yang sudah membesar.
"Abang nak ke anak kita kenan macam El tu?" soal Wana dengan geram sambil mengusap perutnya yang memboyot itu. Sengaja nak mengusik aku pula!
"Abang tak kisah. Lagipun El tu handsome, romantik," puji Hariz. Sengaja. Lantas, wajah Hana dipandang. Dia tahu adiknya itu masih menyayangi El. Sememangnya itu perancangan Hariz. Dia mahu Hana bertemu dengan El.
"Abang ni!!" marah Wana sambil mencubit paha Hariz.
"Aduh. Sakitlah," rintih Hariz. Paha yang terasa perit digosok lembut. Macam ketam isteri aku ni cubit!
"Tengok ummi ni. Cubit abi. Nanti dah keluar, jangan ikut perangai ummi ye," adu Hariz. Mukanya dihalakan pada perut Wana. Dia tersenyum melihat Wana yang masih memandangnya dengan geram.
Wana menjeling tajam. Hana pula hanya ketawa melihat gelagat pasangan itu. Sungguh, dia bahagia melihat kemesraan antara abang dan kakak iparnya. Dalam masa yang sama, dia sedih dengan jalan hidup sendiri. Namun, dia harus reda. Pasti ada hikmah di setiap apa yang berlaku.
Dia harus terima bahawa jalan hidupnya tidak seindah orang lain. Dan dia percaya suatu hari nanti, bahagia pasti akan menjelma. Kuncinya adalah sabar. Sabar dengan perancangan Tuhan terhadap dirinya.
"Esok Hana pergi pejabat El boleh? Bincang dengan dia pasal projek ni?" Hariz mula menyusun jadual untuk Hana. Dia memang mahu Hana melibatkan diri dalam projek itu.
"Esok? Hana sorang?" soal Hana agak cemas. Dadanya mula berdegup kencang.

Bersedia ke aku nak jumpa El? Apa reaksi El nanti bila tengok aku? Macam mana akunak mulakan perbincangan dengan dia nanti? Boleh ke aku bersua muka dan berbincang dengan dia tanpa gugup? Pelbagai perasaan bercampur baur dalam hati Hana tatkala Hariz memberikan arahan itu tadi.
"Ya. Along tak boleh ikut. Along ada appointment lain," balas Hariz. Dia tahu Hana tak bersedia untuk bersemuka dengan El. Tetapi, lambat laun mereka perlu berjumpa juga.
"Okaylah. Pukul berapa? Dia tu punctual. Nanti Hana lambat membebel pula dia," ujar Hana yang sudah masak dengan perangai El.

Aku tak nak dia cakap lepas dengan aku lagi macam mula-mula aku bekerja dengan dia dulu.
"Oh, ingat lagi perangai El?" soal Hariz seakan mengusik. Sengaja dia menduga Hana. Hariz kulum senyum saat melihat wajah mencuka Hana. "Along ni. Hana kan kerja dengan dia dulu. Mestilah Hana ingat. Janganlah tanya soalan aneh-aneh sangat. Nanti Hana tak nak pergi baru tahu," selar Hana dengan geram.

Yelah, gaya tanya macam aku ni ada menaruh perasaan lagi pula dekat lelaki tu. Walaupun masih ada sisa sayang, tapi, tak mungkin aku mahu along tahu apa aku rasa!
"Takdalah. Along tanya je," balas Hariz sambil tersenyum simpul. Merah dah muka. Usik sikit pun tak boleh. Nak marah je adik aku ni.
"Esok pukul sembilan pagi. Tahukan opis dia dekat mana?" sekali lagi Hariz mengusik.
Hana mendecit geram. "Tahulah!!" balasnya. Along ni kan macam saja suruh aku jumpa dengan lelaki tu. Ingat aku tak berani? Aku dah move on lah. Along ingat aku tak professional ke? Kita tengok nanti!
"Jangan layan sangat along ni. Hana okay ke nak jumpa El? Kak long risaulah," soal Wana. Wajahnya terbit kebimbangan. Dia takut El akan menyakiti hati Hana lagi.
"Hana okay. Kak long jangan risau ek," ujar Hana sambil tersenyum segaris.

Aku tau Kak Wana bimbang aku akan sedih seperti setahun dahulu. Dikala Kak Wana membina mahligai bersama along, rumah tangga aku runtuh di hari bahagia mereka. Kak Wana turut menangis sewaktu mengetahui perpisahan aku dengan El. Dia lah orang yang memeluk aku seeratnya ketika aku tidak berdaya untuk menerima semuanya. Kak Wana lah pengantin yang menangis ketika di atas pelamin selepas mengetahui perpisahan aku dengan El. Walaupun ketika itu, aku sudah mampu tersenyum sedikit.
"Macam ni lah adik along, professional," kata Hariz sambil menghalakan ibu jarinya ke arah Hana.

Aku tahu Hana kuat! Pelbagai dugaan yang dia dah lalui sebelum ini. Aku pasti Hana akan lakukan yang terbaik untuk diri dia. Bisik hati kecil Hariz.
"Bagi gaji lebih sikit bulan ni. Hana nak beli kereta baru. Susah pakai kereta second hand tu. Asyik rosak je," rungut Hana.
"Tunggu projek kita dengan El ni settle. Along belikan kereta baru untuk adik along ni," balas Hariz dengan yakin.
"Betul?? Kak long saksi tau. Kalau along tipu Hana, kereta along tu jadi Hana punya," ugut Hana sambil merenung tajam pada lelaki itu.

"Okay, deal!" balas Hariz. Yakin.
Wana hanya ketawa melihat gelagat dua beradik itu. Dia sayangkan Hana seperti adiknya sendiri. Dia menyaksikan bagaimana Hana mengharungi dugaan rumah tangganya sebelum ini. Dia depan matanya, dia melihat Hana kecewa, sedih dan menangis sepanjang perkahwinannya. Dia tidak mahu Hana kecewa atau terluka lagi. Wana betul-betul tidak faham dengan tindakan Hariz apabila menyuruh Hana bertemu dengan El atas alasan kerja. Apa yang Hariz fikirkan agaknya?


MALAM itu di bilik, Wana dan Hariz berbual sebelum mereka tidur.
"Abang tak kesian ke pada Hana? Kenapa suruh dia pergi jumpa El?" soal Wana yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan Hariz. Sepatutnya sebagai abang, lelaki itu memahami perasaan adik perempuannya.
"Wana, ini hal kerja. Lagipun, Hana sendiri kata dia okay untuk bincang urusan kerja dengan El. Jumpa hal kerja, bukan saja-saja," balas Hariz. Dia mahu Wana berlapang dada menerima keputusannya.
"Kalau El layan Hana macam dulu macam mana? Dia sakitkan hati Hana lagi? Abang tak fikir ke hati dan perasaan adik abang tu?" soal Wana dengan riak wajah yang bimbang.
"Wana, kerja yang kami buat sekarang, banyak berurusan dengan syarikat-syarikat macam El tu. Abang baru nak menapak dalam perniagaan. Dan El sendiri offer untuk bantu syarikat abang. Jadi, sampai bila Hana nak mengelak daripada berjumpa El? Lambat laun diorang akan bertemu juga," jelas Hariz dengan lembut. "Dan percayalah. El takkan layan Hana macam dulu. Dia dah banyak berubah. Abang dah jumpa dengan dia dah. Dia pun professional bila melibatkan hal kerja ni," tambah Hariz lagi.
"Wana bukan apa, kesian pada Hana. Wana tahu Hana sedih. Tapi, dia banyak selindung perasaan dia. Lepas bercerai setahun lepas, Wana nampak Hana struggle urus emosi dia. Takkan abang tak nampak semua tu?" balas Wana dengan muka sedih. Dia tidak bermaksud untuk menyakiti hati Hariz. Tetapi, dia harus luahkan apa yang dia rasa tentang adik iparnya itu.
"Abang nampak, sayang. Tapi, abang tahu adik abang tu kuat semangat. Macam-macam dah dia lalui. Benda tu semua ajar dia jadi kuat. Percayalah cakap abang, Hana okay," Hariz cuba yakinkan Wana. Dia tahu Hana boleh tempuhi segalanya dengan baik.
"Okay. Tapi, kalau El tu sakitkan hati Hana lagi. Wana sendiri pergi ganyang dia tau!" tegas Wana dengan keras. Siaplah kalau aku tahu El tu buat Hana menangis lagi. Aku cari dia sampai lubang cacing.
"Ya Allah, tak padan dengan perut memboyot ni. Ada hati nak ganyang orang. Habislah baby dalam perut ikut perangai ummi ni," balas Hariz sambil ketawa besar.
Wana tarik muka masam.


HANA termenung teringat kembali kata-kata Hariz sewaktu mereka makan malam bersama. Ya, semua tentang El, Hana masih ingat. Walaupun perpisahan ini, Hana sendiri yang mahukan, namun jauh disudut hatinya, dia terseksa dengan segala yang berlaku. Dia tahu bukan dia sahaja yang terluka, malah El juga merasakan perasaan yang sama.
Semasa lafaz cerai dimahkamah setahun yang lalu, Hana terasa seperti ada batu yang menghempap kepalanya dikala El melafazkan talak di depan Hakim mahkamah. Hati dan jiwanya terasa kosong. Air matanya jatuh seperti empangan pecah dan tidak berhenti.
Ketika itu, dia melihat wajah El yang bukan lagi suaminya kelihatan tenang. Segala yang berlaku seperti mimpi.
Sebaik sahaja perbicaraan selesai, El bergegas pergi meninggalkan kawasan mahkamah. Dia tidak mahu bertemu muka dengan Hana atau sesiapa sahaja. Itu kali terakhir Hana melihat El selepas perpisahan mereka.
Sepanjang tempoh setahun itu, setiap hari Hana menangis. Entah mengapa dia terlalu sedih dan kecewa dengan pengakhiran rumah tangganya. Sedangkan sebelum ini dia sudah bersedia jika El melepaskannya. Mungkin kerana hati sudah mula jatuh sayang pada El.
Wana dan Hariz yang banyak menaikkan semula semangat Hana. Membantu Hana dikala dia hampir kemurungan. Mereka berdualah yang menjaga Hana sehingga Hana kembali pulih daripada kesedihan.
Esok, dia akan bertemu semula dengan kisah silamnya. Lelaki yang pernah bertamu dihati. Lelaki yang setiap hari dia fikirkan setahun yang lalu. Dikala dia cuba melupakan lelaki itu, kini lelaki itu akan kembali menjadi cerita hidupnya semula.
Ya Allah, aku tak kuat. Tapi, aku mohon Kau pinjamkan aku kekuatan agar aku boleh tempuhi apa jua dugaan yang Kau berikan. Doa Hana di dalam hati.
Dia tarik nafas dalam dan dihela perlahan agar sesak didadanya kembali lapang.


Andai perpisahan itu indah, biarkanlah ia kekal indah. Tetapi, perpisahan itu terlalu sakit untuk dihadapi. Terlalu sakit untuk dilalui. Perpisahan yang dia sendiri tidak pasti kerelaaannya. Biar masa yang mengubati kesakitan ini. Agar dia bisa hadapi dengan senang. Agar dia bisa hadapi dengan tenang.


boleh follow saya di wattpad untuk baca cerita selanjutnya tentang ElHana (Aku Bukan Pilihanmu)

https://www.wattpad.com/user/AHC_007

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.