Home Novel Cinta Tersilap Pinang Isteri
Tersilap Pinang Isteri
Niesya Hanie
20/6/2014 13:54:43
71,732
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 11

     SELAMAT pagi semua,” sapa Syarina Azwana, riang.
     “Kak Zwana nampak ceria semacam aje hari ni. Malam tadi mimpikan putera raja berkuda putih melamar akak ke?” usik Syarina Azwani sambil menghulurkan sepinggan nasi lemak kepada Syarina Azwana yang sedang menyanyi kegembiraan.
     “Hisy Zwana, depan rezeki jangan nak menyanyi. Capaikan ayah kicap tu, kurang masin pulak sambal mak kamu hari ni,” kritik Encik Rostam.
     “Iya ke, bang?” soal Puan Rosmini.Dicuitnya sambal untuk mengetahui kebenaran kata-kata suaminya.
     “Haahlah, tak masin. Maafkan Min, bang,” ucap Puan Rosmini, kesal.
     “Tak apalah, Min sayang. Abang tak kisah. Masin ke, tak masin ke, yang penting abang sayang kat Min macam kita muda-muda dulu,” usik Encik Rostam, gemar melihat wajah isterinya yang tersipu-sipu malu.
     Syarina Azwani memerhatikan gelagat emak dan ayahnya. Setia benar mak terhadap ayah. Mak sentiasa jaga perasaan ayah, sentiasa inginkan yang terbaik untuk ayah. Kalau aku kahwin esok-esok, aku pun nak jadi macam mereka. Tak malu mengaku kesilapan dan saling bertolak ansur antara satu dengan yang lain. Mungkin inilah resipinya kalau nakkan rumah tangga berkekalan hingga ke akhir hayat, bisik hati Syarina Azwani.
     “Hah, mengelamunlah tu. Apa hal?” soal Syarina Azwana apabila melihat Syarina Azwani tersenyum memandang emak dan ayahnya yang sedang asyik bergurau senda.
     “Dengar sini...dengar sini...Zwana ada pengumuman penting nak beritahu ni. Dengarlah,” ujar Syarina Azwana sambil bangun dan menepuk tangan, meminta perhatian daripada Syarina Azwani dan kedua-dua orang tuanya.
     “Apa hal Zwana ni? Kan mak dengan ayah tengah berbual. Jangan diulangi perbuatan yang tak sopan tu,” tegur Puan Rosmini yang merasakan sikap Syarina Azwana sudah keterlaluan.
     “Mak, ayah, Zwana cuma nak beritahu yang hari minggu ni ada orang nak masuk meminang Zwana,” ujar Syarina Azwana tanpa segan silu.
     “Apa? Meminang? Hari minggu ni?” soal Puan Rosmini, terperanjat mendengar apa yang dikatakan anaknya itu.
     “Ya, mak. Hari minggu ni, boyfriend Zwana nak mintak mama dan papa dia datang ke rumah kita untuk melamar Zwana,” jawab Syarina Azwana.
     “Hari minggu? Hari ni Khamis, esok Jumaat, lusa Sabtu, kemudian...maknanya kita cuma ada tiga hari aje lagi?”
     “Ya, mak,” jawab Syarina Azwana, ringkas.
     Syarina Azwani terus memeluk dan mencium Syarina Azwana. Tidak dapat diluahkan dengan kata-kata betapa gembiranya dia dengan perkhabaran itu. Dicium pipi Syarina Azwana berkali-kali. Hampir menitis air matanya.
     “Tak apalah Min, kita buat yang ringkas ajelah,” cadang Encik Rostam.
     “Mana boleh, bang. Kita mesti buat besar-besaran. Anak kita bukannya ramai. Dua orang ni aje yang kita ada. Dari dulu lagi Min dah pasang niat, kalau mereka nak bertunang ke nak kahwin ke, Min nak buat besar-besaran,” ujar Puan Rosmini, megah.
     Encik Rostam tersenyum mendengar kata-kata isterinya. Dari awal lagi Encik Rostam telah sedia maklum, Puan Rosmini pernah menyatakan hasrat hatinya untuk membuat majlis besar-besaran berkaitan perkahwinan anak-anaknya.
     “Zwana, macam nilah, nanti Zwana telefon teman lelaki Zwana, tanya kat dia berapa dulang hantaran yang dia nak bawa. Nanti senang mak nak mintak Mak Eton tolong gubahkan hantarannya,” ujar Puan Rosmini.
     “Nanti Zwana tanyakan, ya mak.”
     “Mak, ayah, Zwani pergi kerja dulu. Dah lewat ni,” ujar Syarina Azwani.
     Menyedari jam di dinding telah menunjukkan jam 8.15 pagi, Syarina Azwani bergegas bangun dari kerusi sambil mencapai tangan emak dan ayahnya. Mahu bersalaman untuk ke pejabat.
     “Zwana tak nak pergi kerjalah hari ni, ayah. Nanti Zwana telefon bos Zwana, beritahu dia yang Zwana ada hal,” ujar Syarina Azwana sambil meletakkan tangan di dahi.
     “Jangan macam tu, Zwana. Kerja tetap kerja. Kerja kan satu ibadah. Pergilah tunaikan kewajipan Zwana. Nanti kat tempat kerja, Zwana mohonlah cuti beberapa hari. Beritahu hal sebenar. Ayah pasti majikan Zwana akan faham,” nasihat Encik Rostam.
     “Baiklah, ayah,” jawab Syarina Azwana dengan malas.
     “Hmm... lupa pulak mak nak tanya. Budak yang nak masuk meminang kamu tu orang mana?” soal Puan Rosmini.
     “Nama dia Hairul Zafrel. Anak seorang usahawan terkenal kat Kuala Lumpur ni yang berpangkat Datuk,”jawab Syarina Azwana.
     “Datuk? Wah! Bertuahnya anak mak ni. Kalau macam tu mak nak buat majlis yang grand sikit. Mak nak tunjuk kat semua orang yang mak akan berbesan dengan Datuk,” ujar Puan Rosmini, bangga.
Previous: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Niesya Hanie