Universiti Teknik Malaysia,
Kampus
Kejuruteraan, Pulau Pinang
4
Ainnur tergelak melihat wajah
cuak Rafiza. Agak lama juga dibiarkannya Rafiza termenung memandang buah durian
yang sedang terbentang di depan matanya gara-gara teori sendiri. Kasihan
melihatkan temannya yang nampak buntu tidak tahu membuat keputusan, Ainnur
bangun dari katilnya. Dia berjalan ke meja belajarnya lalu mencapai sebuah buku
kecil dari celah-celah buku belajarnya. Buku kecil itu diselak ke satu
mukasurat yang sudah ditanda lalu dihulurkan kepada Rafiza.
“Bacalah ayat seribu dinar.” Ainnur
berkata kepada Rafiza yang sedang mendongak memandang ke arahnya yang sedang
berdiri. Dia mahu membuang keraguan di hati Rafiza. Sesungguhnya hanya kepada
Allah sepatutnya kita bertawakkal dan menyerah diri.
“Ibu aku pesan, jika hati
ragu-ragu, tawakkallah hanya kepadaNya. Amalkan selalu, insyaAllah hidup akan
dipermudahkan dan diberkati.”

Barangsiapa bertakwa kepada Allah,
nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya
tanpa di sangka-sangka.
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya
Allah akan mencukupkannya.
Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang
dikehendakiNya.
Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi
tiap-tiap sesuatu.
Ainnur kembali berjalan ke
katilnya bila Rafiza sudah menyelak Risalah Doa pemberian ibunya sewaktu dia
pertama kali mendaftar di sini dulu. Dia senyum lalu kembali menyelak majalah
Libur yang ada di atas katilnya. Melihatkan Rafiza sudah tersengih-sengih, dia
puas hati. Pastilah masalah temannya telah selesai!
Mulut Rafiza penuh dengan isi
durian. Dia berasa sangat berpuas hati kerana durian yang sedang dihadapnya itu
memang jenis bagus. Selain rasanya yang lemak manis, ia berbiji kecil. Memang
rugilah kalau Ainnur tidak mahu merasa.
“Betul kau tak nak rasa? Sedap
ni.” Rafiza cuba memprovokasi Ainnur bila dilihatnya gadis itu tidak
memperdulikannya. Dia bimbang Ainnur yang sedang berbaring sambil membaca
majalah Libur itu akhirnya terlelap lalu membiarkan dia keseorangan
menghabiskan buah durian itu. Baginya marathon borak-borak mereka masih belum
berakhir.
Ainnur tersenyum saja
mendengar kata-kata Rafiza. Bau haruman durian yang semerbak itu memang
mengganggu pembacaan Ainnur tetapi Ainnur cuba melawannya dengan mencalit
hujung hidungnya dengan minyak angin. Tanpa Rafiza memberitahunyapun, Ainnur
sudah dapat merasakan betapa nikmatnya rasa buah durian itu.
Kalau tidak kerana prinsipnya,
sudah lama dia duduk sama bersila di hadapan Rafiza. Dia sekali-kali tidak akan
makan budi yang cuba ditabur Dr. Ahmad Redza. Dia cuba menyabarkan hatinya.
Esok dia boleh membeli buah durian itu di bandar Parit Buntar sebelum bertolak
ke Pulau Pangkor selepas Zohor, kepalanya merencana dalam diam-diam.
“Makanlah puas-puas Fiza,
jangan demam sudah.” Sempat lagi Ainnur berpesan kepada Rafiza yang sudah makan
durian masuk ke pangsa ke tiga. Bimbang juga dia kalau-kalau Rafiza demam nanti
gara-gara terlebih makan durian.
“Tak apa, nanti aku minum air
dari pangsa ni.” Rafiza memberitahu dengan mulut yang penuh.
“Itu pesan Mak Su kau lagilah
kan?” Ainnur meneka sebelum sempat Rafiza membuka cerita. Rafiza
terangguk-angguk sambil mengangkat ibu
jari tangan kirinya ke udara membenarkan kata-kata temannya itu. Dia
betul-betul sedang menghayati kesedapan buah durian itu. Ainnur senyum lalu
meneruskan pembacaannya.
Namun tidak berapa lama
selepas itu matanya terasa berbalam-balam. Dia menguap beberapa kali. Matanya
sudah berair tanda benar-benar mengantuk. Sudah beberapa malam dia berjaga
kerana belajar. Haripun sudah agak lewat. Dia sudah tidak dapat bertahan lagi
untuk menunggu hingga Rafiza selesai makan malam itu. Akhirnya majalah Libur
ditangannya tadi, rebah menutup sebahagian wajahnya.
"Tadi kata nak tahu
sangat kenapa aku tak boleh lekat dengan seorang boyfriend, nak tahu tak kenapa?" Rafiza berkata sambil
menjilat jari-jemarinya yang diselaputi isi buah durian. Dia sudah berkira-kira
mahu ke bilik air mencuci tangan. Ikutkan hati memang dia mahu menghabiskan
sebiji durian, tetapi dia bimbang juga kalau-kalau nanti dia demam. Tentu
tergendala rancangannya hendak balik ke kampung jika tiba-tiba dia demam esok.
“Ya ALLAH! Bertuah punya
kawan, dah tidur rupanya." Rafiza tergeleng-geleng bila menyedari Ainnur
sudah tertidur tidak berapa lama kemudian. Penat dia bercakap sendirian
rupanya. Perlahan-lahan, dia mengangkat majalah Libur yang terletak di muka
Ainnur. Dia tidak sampai hati hendak mengejutkan Ainnur. Tentu temannya itu
keletihan kerana selepas tamat peperiksaan tadi, seharian pula sibuk dengan
mengemas barang-barang yang hendak diangkut pulang.
Dalam hatinya Rafiza ingin
membiarkan temannya itu terus tidur kerana keesokan harinya temannya itu akan
ke Pulau Pangkor pula untuk membantu Dr. Ahmad Redza mengendalikan Kem Ukur
untuk mahasiswa Kejuruteraan Awam Tahun 2. Pastilah Ainnur akan memerlukan
banyak tenaga untuk menghadapi 5 hari yang penuh dengan aktiviti itu.
Setelah membetulkan selimut
Ainnur, Rafiza terus ke bilik air untuk membersihkan diri. Sebaik kembali dari
bilik air, dia berbaring di katilnya namun setelah lima belas minit terkebil-kebil,
dia mengambil keputusan untuk bangun semula.
Matanya masih tidak mengantuk
walaupun jam sudah menunjukkan hampir 1.30 pagi. Daripada membuang masa
memandang siling, lebih baik dia mengemas pakaiannya. Dia turun dari katil lalu
mengeluarkan pakaiannya yang ada di dalam almari untuk diasingkan. Mana yang
masih mahu dipakai, dimasukkan ke dalam beg manakala yang hendak disedekahkan
diletakkan di dalam satu beg plastik.
Sedang sibuk dia mengemas
tiba-tiba dia terdengar suara Ainnur. Dia berpaling kepada temannya yang sudah
duduk tegak sambil mengenyeh mata.
“Dah pukul berapa ni?” Suara Ainnur
kedengaran antara tidak.
“Aku kacau kau ke?” Rafiza
bertanya dengan rasa sedikit serba-salah. Mungkin bunyi bukunya yang terjatuh
dari meja belajar tadi telah membuatkan Ainnur terkejut dari lenanya.
“Taklah... aku tadi nak lelap
kejap je tadi... dah pukul berapa ni?” Ainnur menggesel matanya dengan tangan.
Dia sudah duduk di katilnya memerhatikan Rafiza yang sedang memasukkan beberapa
helai pakaian ke dalam begnya.
“Eh! Tidurlah. Esok kau kan nak
ke Pangkor.” Rafiza memberitahu sambil meneruskan kerja-kerjanya. Dia harus
mengemas sekurang-kurangnya separuh malam itu kerana esok malam dia akan pulang
ke Terengganu. Hanya esok pagi dia sempat mengemas separuh lagi supaya esok dia
boleh lebih tenang. Ada banyak masa lagi untuk dia bersembang-sembang dengan
teman-teman. Selepas ini entah bila mereka akan bertemu lagi.
“Marathon sembang-sembang kita
masih belum habis. Kalau boleh aku nak sembang dengan kau sampai pagi. Esok aku
boleh tidur dalam bas. Mesti bosan perjalanan aku dalam bas sorang-sorang,” beritahunya
perlahan. Dia sudah duduk menompang dagu membayangkan kebosanan yang akan
dilaluinya esok pagi. Elok juga kalau dia dapat tidur sepanjang perjalanan itu
daripada 'mati kutu' di dalam bas. Dia bukannya jenis yang peramah dan cepat
mesra dengan orang yang baru dikenalinya.
Sebenarnya Dr. Ahmad Redza
sudah mempelawa Ainnur menumpang keretanya tetapi dia menolak awal-awal. Dia
tidak mahu orang tersalah sangka dengan hubungan mereka. Lagipun apalah yang
hendak dibualkan di sepanjang hampir 4 jam perjalanan itu nanti. Dia bukannya
Rafiza yang sudah biasa bersembang dengan lelaki. Kalau Rafiza yang hobinya
bertukar teman lelaki itu tentu tidak ada masalah hendak bertentang mata dengan
Dr. Ahmad Redza. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana jika dia tertidur di
dalam perjalanan itu nanti. Manalah hendak disorokkan mukanya. Dia lebih rela
naik bas dan duduk sendirian daripada bertemankan Dr. Ahmad Redza berduan di
dalam keretanya.
“Ikut kaulah... aku masih
segar ni.” Rafiza sudah bangun ke meja tulisnya, memeriksa beberapa buah buku
yang tersusun di atas meja. Ada dua buah buku yang hendak disedekahkan kepada
juniornya esok. Buku-buku notanya akan diberi pinjam juga hinggalah pada masa
konvokesyen nanti. Dia akan mengambilnya semula waktu itu kerana mudahlah
diangkut dengan kereta ayahnya.
"Mananya tak segar, kalau
3 pangsa habis kau balun!" Sempat lagi Ainnur mengintai baki kulit durian
yang diletak Rafiza di tepi cerek elektrik di atas meja. Rafiza menyeringai
melihat Ainnur menggeleng kepala kepadanya. Kata-kata temannya itu memang tidak
boleh disangkal lagi.
“Aku nak buat kopi.” Ainnur
menuang air dari air botol mineral di tepi katilnya ke dalam cerek elektrik.
Malam-malam begitu, dia tidak berani hendak keluar dari bilik mengambil air di
pantri.
“Mai secawan!” Rafiza meniru
iklan kopi Raddix di televisyen.
Ainnur ketawa. Dia akan
rindukan saat bersama Rafiza nanti. Inilah malam terakhir mereka bersama
setelah 4 tahun di Universiti Teknikal Malaysia, Kampus Kejuruteraan itu.
Banyak kenangan pahit manis yang pastinya akan kekal dalam memorinya buat
selama-lamanya.