Home Novel Cinta Seribu Tahun
Seribu Tahun
DoubleEtch
15/6/2021 01:05:46
7,371
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

10 tahun lalu

 

Langit mendung. Awan gelap. Kedengaran guruh sahut menyahut di langit. Suasana dini hari kelihatan seperti kembali malam semula.

            Lepas subuh tadi, Fazli menunggang motorsikal kapcai, menghantar adik-adiknya Suraya dan Faiqah ke tepi jeti untuk ke sekolah rendah yang terletak di seberang selat.  Sebagaimana setiap hari, Fazli pulang, setelah mempastikan mereka selamat berteduh di pondok dekat jeti itu.

Angin laut memukul wajah Suraya, helai rambutnya menyapa kemulusan wajahnya. Matanya tidak lepas memandang ke laut.

“Kuat sungguh ombak pagi ni…” rungut Suraya. Wajahnya ada garis kerisauan. “Nampak gayanya macam nak ribut…” Hatinya juga tak tenang mengenangkan bapanya PakSuman sudah ke laut sejak jam 4 pagi tadi lagi mengikut kawan-kawannya mencari ikan bilis bermata biru, ketika itu cuaca tidak sebegini gelap.

Dia berpandangan seketika dengan adiknya. Malangnya apa yang menjadi kebimbangannya tidak dikongsi adiknya Faiqah yang baru berusia 7 tahun itu, hanya menoleh sekilas lalu kepadanya. Gadis genit itu sibuk main jengket-jengket di atas lakaran petak-petak yang dibuatnya diatas tanah.

“Pak Sukun cakap tadi tak payah pergi sekolah, bahaya…” balas Faiqah, mengingatkan pesan salah seorang jiran mereka kepada Suraya, sambil membaling tagan, sejenis batu yang digunakan dalam permainan jengketnya.

Suraya diam seketika. Angin semakin kuat menampar pipinya. Dia mengeletar sedikit lantas memeluk tubuhnya.

Kelihatan dari jauh Pak Badar dan seorang pemuda hampir sebaya dengan abangnya Fazli kelihatan menghampiri jeti itu.

“Hang orang nak ke seberang jugak subuh-subuh ni? Hang orang tak tengok langit tu macam nak runtuh? Awat pak hang tinggalkan hang kat sini gelap-gelap macam ni…tak ada bot keluar ke tanah besar dalam keadaan macam ni…” jerit Pak Badar panjang lebar. Suaranya lantang. Marah.

“Habis,tak kan lah setiap kali hujan kita terpaksa cuti, Pak Badar?” tanya Faiqah.

“Hang ni…memang kuat membantah…tengok kakak hang, baik aje, tak macam hang…” bidas PakBadar. “Cuba hang ikut je cakap orang tua macam aku…”

“Bila saya bantah Pak Badar?… kakak yang degil nak pergi sekolah…” jawab Faiqah,bengang apabila diomel Pak Badar.

Pak Badar menjegil ke arahnya. Dia menggelengkan kepalanya.

“Tapi saya memang nak pi sekolah Pak Badar…” tiba-tiba Suraya bersuara, separuh merayu. “Hari ni ada ujian.”

“Hang orang tengok laut…tak takut? Mana ada budak-budak lain? Mana lagi penting nyawa atau ujian tu?”

“Tu,dia orang tak mau pi sekolah, apa yang kami boleh buat?” balas Faiqah.

“Shimah,Fadzidah dan Noraini…semua pakat cuti…” jelas Pak Badar, menyebut beberapa nama kawan-kawan Suraya yang tinggal berdekatan.  “Aku pun tak sanggup nak pi seberang sekarang ni…”

Pak Badar menoleh ke arah kaki langit yang gelap dengan awan yang memberat seperti langit yang mahu runtuh.

“Kejap lagi cerah sikit, boleh Azka teman ayah hantar dia orng, ayah…” kedengaran suara pemuda yang bersama Pak Badar itu.

Kemudian, Pak Badar menoleh ke arah budak perempuan berdua itu. Perasaan belas timbul dalam hatinya.

“Hmm…mujur ada Azka ni…kalau takat aku sorang, memang tak sanggup lah…hang orang tunggu lah kejap…duduk elok-elok kat pondok tu…kat jeti ni angin kuat, hang tak takut ka tengok ombak tu? Nanti kalau tak ribut , aku hantar hang orang kesekolah…” Pak Badar mencekak pinggang sambil matanya kembali memandang laut.

Mendengarkan perbualan pendek anak beranak itu, harapan Suraya kembali mencanak naik. Tidak mengapalah lambat sedikit, asalkan mereka lepas merentas laut itu.

Laut yang dalam itu bukan tidak pernah menelan beberapa orang jiran tetangga mereka.Jiran sekampung mereka, Pak Bidin sudah setahun lalu hilang tidak ditemukan jenazahnya. Manakala anak lelaki Pak Seman pula ditelan laut, dengarnya ketika menangkap ikan, ribut turun tiba-tiba. Begitulah hidup dalam kalangan insan yang hidup dengan rezeki dari laut. Dalam indahnya lautan itu, banyak air mata telah mengalir kerana kisah kehilangan yang tiada noktahnya, bersama rindu yang tiada akhirnya dan kadang kala diiringi kesal yang tiada tepinya.

Suraya memandang jauh ke kaki langit yang menghitam. Wahai awan, berarak pergilah segera…aku mahu ke sekolah, itu sahaja bisik hatinya, pagi itu.
Previous: Prolog

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DoubleEtch