Home Novel Cinta Isteriku Romantik
Bab 10

Hanna berada di majlis perkahwinan kawan Maya. Sememangnya sejak kecil Hanna suka pergi ke majlis perkahwinan walaupun ada kenangan pahit tetapi itu sikit tidak mengganggu kesukaan Hanna.

Kenangan pahit yang berlaku itu, Hanna buang jauh ke luar hatinya. Dia tidak mahu hidup dengan dendam pada sesiapa pun. Dia juga berharap dapat hidup dengan lebih tenang dan berdoa dikuatkan hati jika suatu hari nanti dia akan bertemu dengan orang-orang yang sudah melukakan hatinya.

“Awak?” Hanna terkesima. Lelaki itu.

“Hanna...” Mikail juga terkejut sebab bertemu dengan gadis itu di sini. Rambut Hanna yang panjang di biar bebas. Cantik sekali rambut itu.

“Awak...” Hanna baru sahaja mahu bertanya sebab Mikail berada di sini tetapi dia lupakan sahaja. Mikail mesti berada di sini kerana ini perkahwinan sepupunya.

“Ya...” Mikail menanti dengan sabar.

“Tak ada apa-apa.” Hanna menundukkan wajahnya. Dia sedang menunggu Maya.

“Tanya je la.” Mikail tidak berpuas hati selagi Hanna tidak bertanya padanya. ‘Dulu bukan main lagi kau mengedik dengan aku tetapi sekarang mahu melihat perangai tu pun susah. Adakah kau sudah banyak berubah, Hanna?’ Mikail sendiri tidak pasti.

“Dah lupa pula.” Hanna tersengih. Dia rasa tidak selesa apabila bersama Mikail kerana pelbagai soalan ingin ditanya pada Mikail. Selain itu kegedikannya akan muncul. Dia tidak suka sikap itu.

Hanna yang sedang duduk itu, kini berdiri tegak. “Saya cari Maya sekejap.” Hanna ingin meminta diri.

“Tidak!” tiba-tiba Mikail menghalang langkah Hanna.

“Tidak?” Hanna tidak faham apa yang ingin dikatakan oleh Mikail. ‘Tidak untuk apa?’ Hanna mula keliru.

“Awak tidak boleh ke mana-mana selagi awak tak bagi tahu saya apa yang awak nak cakap tadi.” Mikail mendekati Hanna membuatkan gadis itu terduduk semula.

Mata Hanna terkebil-kebil memandang Mikail. ‘Apa kena dengan lelaki ini? Lupa makan ubat ke?’ Desis hati Hanna.

“Ehem... Ehem...” ada suara yang membuat Mikail dan Hanna tersentap.

“Kau orang buat apa ni?” soal Maya dengan senyuman yang manis.

“Buat apa?” Mikail sengaja bertanya semula. Dahinya sengaja dikerutkan. Dia pura-pura tidak mengerti dengan pertanyaan Maya.

“Berbual. Berbual kosong,” jawab Hanna. Dia tersengih. “Mana air aku, Maya?” soal Hanna pula. ‘Kalau terus dilayan soalan yang Maya tanya, jawabnya sampai sudah aku tidak merasa nasi minyak pengantin baru.’

“Air? Lupa la.” Maya pula yang tersengih. “Aku jumpa kawan tadi. Terus tak ingat apa yang kau nak.”

“Apa punya kawan la? Tadi kau yang beria-ia mahu ambilkan.” Hanna sedikit marah.

“Hanna nak apa? Saya ambilkan.” Tawar Mikail.

“Eh!” Hanna tersentap. Dia serba salah. “Tak apa. Saya boleh ambil sendiri.” Lagi sekali Hanna mahu berdiri tetapi Mikail sengaja berdiri rapat dengan kerusi Hanna duduk membuat dia terduduk semula.

“Oh, abang Islam! Boleh! Boleh ambilkan kami air yang paling sedap dan nasi minyak. Hanna ni suka makan nasi minyak kalau abang nak tahu.”

“Ooo...” Mikail terus berlalu.

“Eh!” Tidak sempat Hanna mahu menghalang Mikail, lelaki itu sudah pergi. “Apa ni Maya?”

“Apa apa pula ni?” Maya pura-pura tidak faham.

“Tak baik buat orang macam tu,” kata Hanna.

“Tak apa.” Maya masih tersenyum. Dia duduk di sebelah Hanna. “Jadi ke kau nak berhenti?”

“Jadi. Aku dah tanya bos. Kalau pelanggan bawah aku ada apa-apa yang dia nak tanya, aku serahkan pada kau. Kau tak kisah kan? Aku rasa tak nak ada kaitan dengan insurans-insurans ni,” kata Hanna.

“Ala, nanti aku mesti bosan kau tak ada.” Wajah Maya muram. Dia rasa sedih tiba-tiba.

“Kenapa muka orang tu macam kena tinggal laki je?” Mikail hadir dengan dua pinggan nasi.

“Kahwin pun belum lagi. Abang Islam ni ada-ada tau.” Maya menyambut huluran pinggan nasi yang diberikan oleh Mikail.

“Kalau bukan tu sebabnya, sebab apa lagi?” Mikail mahu mengorek rahsia. Mesti ada kaitan dengan Hanna.

“Hanna ni, abang Islam.” Muncung mulut Maya dihalakan pada Hanna.

“Aku pula!” Hanna rasa pelik dengan muncung mulut Maya itu.

“Yalah. Kau nak berhenti kerja. Tinggallah aku sendirian.” Wajah Maya masih mendung.

“Kenapa nak berhenti kerja?” soal Mikail.

“Saja. Suka-suka hati mahu berhenti, “ balas Hanna. Dia sendiri tiada alasan yang munasabah bagi keputusan yang dibuat oleh dirinya.

“Kerja la dengan saya, nak?” tawar Mikail.

Hanna tersentap. ‘Kenapa dengan dia ni? Tiba-tiba sahaja ajak aku bekerja dengannya. Kalau hendak tahu, aku tidak mahu jadi kuli. Aku mahu jadi bos. Jadi aku berhenti kerja supaya impianku tercapai.’ Desis hati Hanna.

“Terima kasih Encik Mikail. Lagi pun saya nak jaga mak saya yang tidak berapa sihat.” Tolak Hanna. Tapi itulah hakikatnya yang Hanna mahu menjaga Halimah dengan sebaik mungkin.

“Awak jadi setiausaha saya, nak tak?” tawar Mikail lagi. Entah mengapa dia begitu bersemangat untuk tawarkan Hanna pekerjaan terutamanya bekerja di tempatnya.

“Encik Mikail buka perniagaan apa?” soal Hanna. Dia sendiri tidak tahu apa-apa tentnang pekerjaan lelaki itu.

“Saya buka kilang balak.” Gurau Mikail.

“Kilang balak!” jelas sekali Hanna terkejut.

“Saya gurau je.” Mikail ketawa kecil. “Saya buka perniagaan biasa sahaja.” Mikail rendah diri.

“Saya tahu semua orang buka perniagaan biasa je tapi Encik Mikail ni niaga apa?” geram Hanna. Orang tanya betul-betul, dia jawab main-main.

“Kalau Hanna nak tahu, datang ke pejabat saya nanti.”

Maya yang mendengar perbualan mereka mengeluh.

“Sebenarnya abang Islam ni agen hartanah.” Selamba Maya memberitahu Hanna. Hanna tersenyum tetapi Mikail menjeling tajam pada Maya.

“Tak boleh simpan rahsia langsung.” Mikail memeluk tubuh.

“Ini bukan rahsia encik abang. Ini namanya pengetahuan am.” Maya tersengih. ‘Seronok juga dapat kenakan abang Islam.’

Wajah Mikail sedikit merah. Dia baru sahaja mahu mengajak Hanna bekerja dengannya tetapi di halang dengan kata-kata Maya.

“Saya tak minat bidang tu. Terima kasih sahaja.” Tolak Hanna.

“Tapi Hanna...” Mikail cuba memujuk lagi.

“Mikail....” seseorang memanggil Mikail membuat percakapannya terhenti.

“Kak Zyla...” tegur Maya.

“Please... Jangan panggil I kakak. I muda lagi. Panggil sahaja Zyla Monica. Mantap gitu.” Gedik Zyla sambil ketawa manja.

“Ala, kak Zyla ni, macam tak biasa. Dulu masa sekolah nama Bella, tiba-tiba jadi Zyla.” Maya membuka kisah Zyla.

“Eh, itu nama keramat tu. Jangan sebut la.” Pantas tangan Zyla menekup mulut Maya.

“Kau nak bunuh sepupu aku ke, Zyla?” tegur Mikail. Dia kasihan melihat wajah Maya merah kerana tidak dapat bernafas dengan sempurna.

“Memang aku nak bunuh dia.” Gurau Zyla sambil mendekati Mikail.

“Gurau biawak ni.” Hanna cakap perlahan sekali tetapi mampu didengari oleh Maya.

Maya berbisik di telinga Hanna. “Gurau biawak tu apa?”

“Gurau kasar la macam biawak. Biawak kan kasar. Contoh dah ada macam yang Zyla buat pada kau tadi.” Jelas Hanna. Dia terus makan dan makan tanpa mempedulikan Zyla yang mengedik dengan Mikail.

Mikail hanya mampu melihat Hanna yang kuhsyuk makan tanpa melihat ke arahnya. Alahai Hanna...

Selepas menjamu selera, Hanna mengajak Maya melihat pelamin pengantin. Cantik sangat. Dia sukakan tema yang digunakan. Sangat menarik.

Warna ungu menjadi pilihan pengantin muda ini. Keunikannya terserlah apabila Hanna mula faham tema yang digunakan.

“Mereka pilih tema makanan?” Maya berkata.

Terkebil-kebil mata Hanna memandangnya. Ada dua biji bantal berbentuk biskut oreo begitu menarik perhatian Hanna.

Tambahan pula rendang-rendangnya digubah menjadi seperti krim kek yang cantik. Kerusi pengantin yang berwarna merah jambu cair itu menimbulkan lagi warnanya. Ia nampak begitu menarik di pandangan mata Hanna.

Tiba-tiba kompang berbunyi menandakan pengantin sudah sampai untuk duduk di pelamin.

“Mak ai!” ternganga mulut Hanna melihat dua orang yang sangat sepadan.

“Jangan terkejut, Hanna. Ini kawan Maya yang paling comel dan tembam. Walaupun dia berbadan besar tetapi ramai peminat tau. Sweetnya.” Maya berkata.

“Gemuk juga tapi nampak sweet sangat. Dengan tema pelaminnya ialah makanan. Sungguh menarik!” puji Hanna. Dia teruja mahu mengenali pasangan ini tetapi dia terpaksa pulang awal kerana dia ada sedikit urusan.

“Sweet kan? Nanti kita kahwin, lagi sweet dari ni.” Ada seseorang berbisik di telinganya. Hanna tersentap dan pantas berpaling ke belakang. Mikail!

“Kenapa buat muka terkejut ni? Saya gurau je.” Mikail ketawa kecil. Rupanya comel wajah Hanna terkejut.

“Saya tahu encik Mikail bergurau.” Hanna cuba tersenyum. ‘Sesuka hati dia buat aku tersentap. Nasib baik boleh kawal lagi.’

“Pen merah, pen biru. You marah, I love you.” Tiba tiba sahaja Mikail berpantun. ‘Pantun itu sememangnya popular semasa aku di sekolah menengah dulu.’

“Saya tahu awak marah kan?” Mikail inginkan kepastian.

“Pen merah, pen biru. You marah, I tumbuk sampai biru.” Kasar nada suara Hanna. Dia sensitif bila orang sebut-sebut ‘I Love You’ sebab dia akan teringat tentang M. Hanna mengambil masa yang lama untuk melupakan M apabila ingatan tentang lelaki itu hadir.

Mikail menahan ketawa. Dia mengetap kasar bibirnya tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia melepaskan juga ketawa yang besar.

Kening Hanna ternaik sebelah. Dia tidak mengerti dengan ketawa Mikail.

“Bunga Kekwa, bunga kuning. You ketawa, I pening.” Pantun Hanna lagi. “Jom Maya. Makin lama berbual dengan abang sepupu kau ni, makin pening kepala aku.” Hanna menarik lengan Maya. Mereka mahu pulang sahaja.

Mikail hanya mampu melihat pemergian Hanna dan Maya. Ada senyuman yang terukir di bibir Mikail.

“Pandai juga Hanna berpantun. Ada bakat terpendam.” Mikail tersenyum. Sebaik sahaja dia melihat kelibat Zyla yang mencarinya, pantas dia melarikan diri ke kereta. Apa lagi, baliklah!

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.